Wednesday, November 01, 2006

Apa Ada Dengan Ustaz ? Tak Perlu Semua Jadi PROTAZ ! Tetapi Jadilah PRODIYAH !

Melihat suasana yang menular di kalangan pelajar IPT cukup menghairankan saya apabila kelahiran pelbagai blog dan website baru yang tumbuh bagaikan cendawan menjuarai pelbagai isu agama dan ilmunya sekalipun pemilik dan penulisnya bukanlah ahli agama dan jauh sekali menerima tarbiyah (pendidikan) agama secara rasmi dan menjalani disiplin pengajian ilmu agama.

Wahai Muslimin dan Muslimat,

Ada apakah dengan gelaran title ustaz ? juga mengapa sebahagian saudara kita yang lain mahu menjadi profesional ustaz ? Pelik dengan fenomena ini maka ana merasakan tidak ada salahnya jika ana memberi sedikit nasihat, komen dan sedikit ulasan berkenaan hal ini dan sesiapa sahaja boleh menilai apakah nasihat ini benar dan tidak atau pun sesuai diterima atau pun ditolak.

Setiap kalam manusia boleh diterima dan ditolak kecuali sabda baginda rasulullah salallahualaihiwasalam.Maka di dalam hal ini sangat perlu para pemuda khususnya memperhatikan nasihat ana ini supaya beroleh kebaikan dan juga manfaat kepada mereka yang menaruh minat kepada ilmu agama dan bidangnya.

Gelaran Tidak Membawa Makna

Sesungguhnya di dalam Islam, gelaran, kemasyhuran serta kedudukan title bukanlah menjadi sesuatu tujuan yang dibenarkan untuk dimiliki jika tidak ada keperluan daruri atau mendesak yang membawa kepada keperluan dan kemanfaatan akhirat.

Bahkan di dalam persoalan menuntut ilmu, mempelajari ilmu agama dengan tujuan mendapat kedudukan dan juga gelaran penghormatan dari manusia maka hukumnya ialah haram dan berdosa ini berdalilkan kepada hadith Baginda rasulullah salallahualaihiwasalam yang pernah bersabda : “Barangsiapa yang menuntut ilmu untuk menyaingi para ulama, atau untuk berdebat dan mengalahkan orang yang bodoh atau untuk mencari wajah manusia kepadanya maka Allah akan menempatkan dirinya di dalam api neraka”. (Hadith sahih riwayat Tirmidzi dan Ibn Majah).

Di dalam hadith yang lain riwayat Abu Daud, nabi salallahualaihiwasalam memberi amaran bahawa mereka yang menuntut ilmu demi ganjaran dunia diharamkan dari mencium bau syurga. Maka para ulama menyebutkan bahawa menjadi kewajipan kepada pelajar ilmu untuk mengikhlaskan niat menuntut imu ialah semata-mata kerana Allah swt dan ditunaikan usaha ini sebagai ibadah kepada Allah swt.

“ Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama, Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Faathir : 28).

Para ahli ilmu menyebutkan bahawa dimaksudkan ulama itu ialah mereka yang memiliki perasaan takut kepada Allah swt dan disebabkan itulah mereka mendapat kedudukan sebagai ulama dari ilmu yang dimiliki membawa mereka menuju kepada takut kepada Allah swt lalu menghasilkan ketaatan.

Para imam mazhab benar-benar meninggalkan kepada kita semua teladan yang baik dalam masalah berfatwa dan keilmuan sehingga perlu dicontohi oleh para pelajar ilmu bukan hanya kepada kealiman mereka tetapi juga pada taqwa dan keimanan mereka.

Al-Imam Malik ra pernah berkata “ Barangsiapa yang ditanya akan suatu persoalan maka sebelum dia menjawabnya hendaklah terlebih dahulu menyerahkan dirinya kepada pertimbangan syurga dan neraka dari perbuatannya itu apakah dia dapat melepaskan diri di akhirat kelak kemudian barulah dia boleh menjawab persoalan tersebut.”

Bahkan Imam Malik ra sendiri terkenal dengan jawapannya paling berhikmah iaitu “Aku tidak tahu” sehingga apabila seorang dari muridnya berkata apakah akan aku pulang memberitahu orang-orang ramai mengenai engkau tidak tahu dalam masalah ini ? Lalu dijawab oleh imam dengan berkata : “Ya, beritahu kepada orang-orang lain bahawa aku tidak tahu”. Demikianlah wara’ dan taqwa mereka kepada Allah swt mengatasi ilmu mereka.

Pada hari ini, disebabkan perang saraf oleh kuffar yang menguasai system pendidikan dunia dan umat Islam dikuasai pemikiran oleh mereka maka ramai memandang title dan gelaran ilmiah seperti Doktor Falsafah, Profesor itu sebagai ukuran keilmuan seseorang sedangkan hakikatnya ialah semua gelaran ini hanya menunjukkan kejahilan pemiliknya yang tunduk kepada desakan semasa kuffar dan mereka yang tidak yakin kepada keizzahan Islam dan keaslian sistem ilmu Islam.

Kembali kepada gelaran PROTAZ dan juga sikap pemuda-pemudi IPT yang berlumba-lumba mendalami ilmu agama maka nasihat ana ialah usaha yang dilakukan oleh mereka sangatlah bagus dan baik cuma hendaklah bersikap awas dan berhati-hati. Kita sudah memiliki beberapa orang PROTAZ yang baik seperti Saudara Kapten Hafiz Firdaus dan beberapa lagi tokoh maka bagi ana mereka ini sudah mencukupi sebagai wakil kita di dalam urusan ini.

Bukan semua orang perlu menjadikan PROTAZ ini sebagai trend yang baik dan perlu diikut sebaliknya cukup dengan apa yang ada kerana gejala ini bukanlah gejala yang baik kerana gelaran tidak membawa makna apa-apa nilai. Bukan semua pemuda dapat mengikuti ketaqwaan Hafiz Firdaus, atau memiliki keimanan seperti beliau sehingga dapat menerima bebanan untuk melakukan kerja-kerja seperti beliau.

Berfatwa dan Memberi Keputusan Ialah Satu Tanggungjawab Yang Disoal

Keberanian para pemuda Islam dalam memberi fatwa dan menjawab persoalan hukum hakam agama tanpa mendalami terlebih dahulu bidang tersebut sangatlah dikesali dan hal ini benar-benar mengundang kepada fitnah serta bahaya di dalam masyarakat Islam.
“Kami tiada mengutus rasul-rasul sebelum kamu (Muhammad), melainkan beberapa orang-laki-laki yang Kami beri wahyu kepada mereka, Maka Tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui.” (Al-Anbiya :7).

Para sahabat rasulullah dan golongan salaf soleh terdahulu benar-benar meninggalkan teladan yang sangat berguna kepada kita namun malangnya para pemuda yang mengaku mengikuti manhaj salaf soleh sebaliknya mengabaikan banyak dari teladan mereka. Di dalam masalah berfatwa misalnya para sahabat ra sangat terkenal menjaga lisan dan diri mereka dari berfatwa sesuatu yang tidak mereka ketahui dan sangat berhati-hati di dalam mengeluarkan pendapat dan memberikan tunjuk ajar keputusan hukum.

Sehingga para ulama menyebutkan orang yang paling banyak berfatwa di kalangan kamu ialah orang yang paling berani masuk ke dalam neraka lantaran disebabkan banyak berfatwa mendedahkan dirinya kepada pelbagai kesalahan dan juga tanggungjawab yang besar yang perlu dipikul dari keputusannya kerana melibatkan kehidupan dan pengaruh kepada orang lain.

Utbah ibn Muslim pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah berkawan dengan Ibn Umar ra (Abdullah Ibn Umar ra) selama tiga puluh empat bulan dan seringkali ketika beliau ditanya dengan sesuatu persolan maka djawab oleh beliau dengan berkata : “Aku tidak tahu”.

Demikian juga Ibn Abi Laila ra yang menyebutkan aku pernah melihat seratus dua puluh lebih para sahabat rasulullah salallahualaihiwasalam dari kalangan ansar yang apabila ditanyakan dengan sesuatu permasalahan agama maka dia menyerahkan kepada yang lain sehingga sahabat yang lain itu menyerahkan kepada yang lain sehingga seringkali persoalan itu kembali kepada sahabat yang pertama ditanyakan tadi.

Setiap yang diusahakan di dunia hari ini akan dipersoalkan oleh Allah swt di akhirat maka hendaklah kita berhati-hati khasnya di dalam ilmu agama yang memerlukan kepada ahli di dalam bidangnya.

Di dalam Al-Qur’an, Allah swt menyebutkan :
“ Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak sebahagian dari tiap-tiap golongan di antara mereka dikhususkan beberapa orang untuk memperdalamkan pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat mengambil pengajaran.” (At-Taubah : 122).

Ayat ini memberi pemahaman kepada kita bahawa tugasan menuntut ilmu itu juga tidak semestinya perlu diceburi oleh semua orang secara mendalam atau secara khusus cukup dikhaskan beberapa golongan yang mampu untuk tujuan itu sama seperti maksud asal iaitu tugas keluar berjihad dan berperang itu tidak semuanya dilakukan oleh semua pihak tetapi wujud golongan yang bertafaquh menguasai ilmu agama untuk memperingati umat Islam.

Ilmu Ialah Wasilah Bukan Matlamat

Matlamat kita wahai para pemuda Islam ialah Ubudiyah kepada Allah swt, bukanlah ilmu sebaliknya ilmu ialah sebagai wasilah (jalan) kepada menuju ketaatan yang benar dan diterima oleh Allah swt. Tanpa ilmu manusia akan menuju kepada kehancuran dan kesesatan. Juga dengan ilmu sekalipun manusia tetap dapat rosak dan hancur oleh kebinasaan sekiranya matlamat dari menuntut ilmu itu tidak jelas dan jalan keilmuan itu tidak menuju kepada matlamat yang benar.

Allah swt telah berfirman :

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْأِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
“Dan tidaklah aku menciptakn jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku”. (Adz-zariyat : 56)

Al-Imam ibnu Taimiyyah rahimullah ketika ditanya kepadanya apakah yang dimaksudkan dengan Ubudiyah maka beliau pun menjawab sesungguhnya ubudiyah itu ialah ketaatan kepada Allah swt dan melakukan apa yang diredhai serta dikehendaki oleh Allah swt baik berupa perkataan seperti zikir dan doa atau mengucapkan perkataan yang baik, perbuatan hati seperti niat dan hasrat kepada kebaikan serta ikhlas dan juga amalan zahir anggota badan seperti mendirikan solat berpuasa, menunaikan zakat, mengerjakan haji, memenuhi amanah dan tanggungjawab kepada yang berhak, berlaku adil, menunaikan amar makruf nahi mungkar, berjihad di jalan Allah menentang kuffar dan munafiqin serta musuh Allah swt, berbakti kepada ibu dan bapa, berlaku baik kepada jiran, membaca Al-Quran dan lain-lain kewajipan yang telah disampaikan dengan jelas dan terang oleh Nabi Muhammad salallahualaihiwasalam.

Penghambaan diri kepada Allah swt ialah suatu kewajipan dan merupakan perintah dari Pemilik Alam Semesta supaya manusia tunduk dan patuh kepada ketetapan dan perintahnya serta supaya manusia mencari akan jalan-jalan yang dapat membawa mereka kepada mentaatinya secara penuh sempurna dan diredhai olehnya.

Kerana itu manusia diwajibkan menuntut ilmu serta dijadikan usaha menuntut ilmu iu sebagai sebahagian dari usaha ketaatan dan dikira dalam amalan ketaatan dan diberi ganjaran ketaatan iaitu pahala, keampunan, dan ketinggian darjat serta kedudukan di sisi-Nya sehingga akhirnya diberikan keredhaannya.

Semuanya supaya dari usaha menuntut ilmu itu manusia dapat meninggalkan kejahilan dan mengetahui serta menemui perkara-perkara yang dapat dilakukan bagi mentaatinya, yang perlu dan mesti dilakukan bagi mentaatinya, yang perlu ditinggalkan bagi mentaatinya dan juga yang perlu dicari dan dikaji bagi mentaatinya serta mengetahui pula perkara yang mesti diperjuangkan, dipertahankan dan digadaikan nyawa dan darah demi menunaikan ketaatan kepadanya.

قُلْ إِنَّ صَلاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
“Katakanlah sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah iaitu tuhan sekalian alam.” (Al-An’am : 162).

Kefahaman Itu Yang Utama

Apabila kita sudah memahami matlamat menuntut ilmu itu sendiri maka seterusnya menjadi mudah untuk mencapai apa yang dimaksudkan kefahaman. Hal ini disebabkan faham hanya diberikan oleh Allah swt kepada mereka yang memiliki keikhlasan dan usaha menuju matlamat ubudiyah kepada Allah swt.

Hanya mereka yang mengerti bahawa semakin banyak ilmu yang dituntut maka semakin beban diri dengan pelbagai kewajipan ketaatan kepada Allah swt yang baru diketahui dan perlu diamalkan berbanding keadaan dahulu sewaktu jahil. Maka pemahaman kepada ilmu itu terhasil dari keikhlasan menuntut ilmu untuk mentaati Allah swt dan dilakukan hanya kerana niat mentaati Allah swt bukan kerana hal duniawi.

Maka kepentingan faham di dalam keilmuan ialah darinya masalah dalam kehidupan dapat diselesaikan menurut keputusan yang adil, menepati kehendak Allah swt serta mencapai maksud ketaatan kepada Allah swt dengan sempurna. Kemudian hasil dari keputusan yang sempurna dan cemerlang itulah memberikan ganjaran akhirat yang lebih besar dari keputusan yang kurang tepat dan salah.


“Dan (ingatlah kisah) Daud dan Sulaiman, di waktu keduanya memberikan keputusan mengenai tanaman, karena tanaman itu dirusak oleh kambing-kambing kepunyaan kaumnya. dan adalah Kami menyaksikan keputusan yang diberikan oleh mereka itu, Maka Kami telah memberikan pengertian kepada Sulaiman tentang hukum (yang lebih tepat) ; dan kepada masing-masing mereka telah Kami berikan Hikmah dan ilmu dan telah Kami tundukkan gunung-gunung dan burung-burung, semua bertasbih bersama Daud. dan kamilah yang melakukannya”. (Al-Anbiya : 78-79).

Menurut riwayat Ibnu Abbas bahawa sekelompok kambing telah merosakkan tanaman di waktu malam. Maka yang tuan punya tanaman mengadukan hal ini kepada Nabi Daud as lalu baginda Daud as memutuskan bahawa kambing-kambing itu harus diserahkan kepada pemilik tanaman sebagai ganti kepada tanaman yang rosak. Tetapi Nabi Sulaiman as memutuskan supaya kambing-kambing itu diserahkan hanya sementara kepada pemilik tanaman untuk diambil manfaatnya dan tuan pemilik kambing diharuskan mengusahakan tanaman itu dengan tanam-tanaman yang baru.

Sehingga apabila tanaman yang baru telah dapat diambil hasilnya, maka tuan pemilik asal yang mempunyai kambing itu boleh mengambil kambingnya kembali. Keputusan Nabi Sulaiman a.s. ini adalah keputusan yang tepat dan disebutkan sebagai keputusan yang lahir dari kefahaman yang sahih terhadap kitab Allah swt berbanding kefahaman ayahnya Daud as yang juga sahih dan benar cuma Sulaiman lebih difahamkan akan hal tersebut.

Jadilah PRODIYAH, USTADIYAH atau Hamba Allah

Sekiranya masih ingin glamour di muka bumi ini maka tumpukan usahakan kepada mencapai ubudiyah kepada Allah swt bukan kepada kesibukkan duniawi dan hal-hal yang kurang memberi faedah kepada masyarakat dan ummah islamiyah.

Jadilah Profesional Ubudiyah (profesional yang beribadah kepada Allah) atau Ustadiyah (Ustaz yang beribadah kepada ALlah swt) dan menunaikan ketaatan serta tuntutan ubudiyah sepenuhnya kepada Allah swt dan bukannya dipermainkan oleh isu-isu remeh dan sibuk dengan masalah-masalah sampingan sehingga melupakan tugasan serta kerja-kerja dasar dalam ummah.

Apa salahnya menjadi doktor yang tidak boleh mentashihkan hadith ? Tidak boleh menghukum dan menentukan darjah sesebuah hadith ? Berdosakah ? Tidaklah sekali-kali tetapi akan berdosa apabila menjadi doktor yang hidupnya kerana matlamat duniawi atau kehidupannya tidak ditunaikan sepenuhnya sebagai hamba kepada Allah swt.

Apa ada pada ilmu hadith ? usul fiqih ? usul tafsir dan ilmu riwayat serta sirah ? Jika semua ilmu ini tidak membawa kepada ketaatan kepada Allah swt ? Sebaliknya bukankah begitu hebat ilmu geologi, ilmu genetik dan ilmu sains yang dengannya telah membuatkan manusia beribu beriman kepada Allah swt lantaran menemui pelbagai mukjizat dan kebenaran Islam yang terbukti dengan ilmu-ilmu ini (boleh baca mukjizat Al-Qur'an dari sudut Sains Oleh Harun Yahya).

Ilmu hanya wasilah bukan matlamat, gelaran hanya pinjaman sementara bukan kekal di semat di dada, sebaliknya ubudiyah dan kehambaan merupakan tugas asal diciptakan manusia dan ianya kekal ditengkuk sebagai satu bebanan dan tanggungjawab serta kewajipan yang mesti ditunaikan.

Profesional Ubudiyah ialah mereka yang bertugas sebagai hamba Allah tetapi begitu profesional dalam menjalankan kerja-kerja ubudiyah dengan teratur, sistematik maka mereka inilah yang bagus dan baik kerana merupakan seorang profesional ubudiyah kepada Allah swt. Pendek kata mereka ialah hamba Allah swt yang profesional dalam menjalankan kerja-kerja ibadah dan ubudiyah kepada Allah swt dan mereka inilah yang menduduki makam yang tinggi di sisi Allah swt.


Segala puji hanyalah bagi Allah swt,
Mekah Al-Mukarramah

1 comment:

Zuhairi Zainuddin said...

Betul tu ustaz, saya setuju.

Saya sendiri sbg pelajar IPT tempatan pun turut melihat aura ini berkembang.

Benar, tak salah hendak menuntut ilmu Islam, tapi masalahnya apabila para pelajar ini sanggup masuk ke dunia perdebatan, memberi fatwa dan hukum hakam. Malah mahu diri digelar sebagai jaguh ilmu Islam dan pujian orang ramai, sedangkan bahasa arab pun dia tidak tahu.

Padahal tujuan menuntut ilmu Islam tu ialah untuk mentaati Allah. Benar kata ustaz, ilmu itu wasilah bukannya matlamat.

Saya menyokong usaha pemuda Islam mendalami ilmu bahasa arab, tafsir, hadith dan usul fiqh. Biarlah mereka jadi profesional yang tahu berbahasa arab dan faqih hukum hakam. Ini semua baik. Semua orang Islam ada hak untuk belajar ilmu Islam yang begitu dinamik dan unggul.

Cuma, perlulah kita sedar kemampuan dan keterbatasan masing-masing: orang yang tahu bahasa arab mampu faham lebih daripada orang yang tidak tahu bahasa arab, orang yang belajar dalam disiplin agama lebih bersistematik pembelajaran agama, berbanding dengan orang yang belajar dalam jurusan perubatan, misalnya.

Saya, sebagai pelajar perubatan, memang sangat minat belajar ilmu agama, tetapi alhamdulillah artikel ini banyak memberi tazkirah berguna buat saya. Saya akan sentiasa ingatkan diri supaya berhati-hati dengan niat dan tujuan saya untuk belajar ilmu agama. Jauh sekali niat saya untuk menunjuk-nunjuk ilmu, tapi saya cuma betul mahu mengetahui dan menghayati segenap aspek tentang apa yang dinyatakan oleh Allah dan RasulNya (Al-Quran dan As-Sunnah).

Juga saya setuju dengan pandangan ustaz, satu peringatan kepada para profesional yang asyik mahu mempelajari ilmu Islam, jangan pula kerana sibuk mencari ilmu Islam, kewajiban-kewajiban lain terabai. Kita tetap perlukan orang Islam yang pakar perubatan, pakar genetik, tenaga atom dan lain-lain. Jangan sampai kerana terlalu obses kejar ilmu Islam, kewajiban-kewajiban seperti ini diketepikan, akibatnya umat Islam akan terus ditindas.

Sewajarnya kita perlu melahirkan lebih ramai ustaz yang berstatus pakar hadith, pakar fiqh dan lain-lain. Kita perlu sokong usaha ini. Seorang ustaz yang menjadi pakar hadith tentu lebih sistematik dan teratur daripada seorang doktor yang pakar hadith. Ini kerana, secara logiknya, disiplin ilmu seorang ustaz lebih tepat untuk melahirkan pakar hadith, berbanding doktor yang dididik dalam disiplin ilmu perubatan.

Sungguhpun kita tidak dapat nafikan kebarangkalian seorang profesional menjadi pakar hadith atau pakar fiqh, namun keutamaan tetap perlu kita berikan kepada para ustaz. Hantarlah mereka belajar ke luar negara untuk mereka dalami ilmu mereka dengan ulama-ulama ternama, kemudian gunakan authority "ustaz" mereka untuk berdakwah kepada umat Islam di negara ini.

Tentang profesional yang rajin menuntut ilmu agama pula; selagimana para profesional ini merendah diri, berakhlak mulia, bertambah kuat iman dan taqwa disebabkan oleh ilmu yang dia pelajari, ini kita sokong. Ini sememangnya jauh lebih baik daripada mempunyai para profesional yang tidak tahu hukum hakam, bertaklid buta dan melakukan kemaksiatan di sana sini.

Sebaliknya jika para profesional yang mendalami ilmu agama ini bongkak, sentiasa mahu berdebat, mahu dipuji dan namanya disanjung atas ilmunya, dan lain-lain tujuan duniawi, inilah tindakan yang buruk.

Sesungguhnya setiap amal bergantung atas niatnya.

Sekadar komen dan pandangan sahaja, maafkan jika tersilap.

Wallahu a'lam