Friday, November 17, 2006

Cerita Pasal Dakwah

Di dalam meneliti beberapa buah kitab terbaru tulisan Dr Munqiz Saqqar yang merupakan salah seorang tenaga pengajar di Ma’had Rabitah Alam Islami bertajuk sekitar ilmu perbandingan agama seperti Perjanjian Lama Apakah Kalimah Allah, Perjanjian Baru Apakah Kalimah Allah, Muhammad Di Dalam Kitab Suci Injil dan Taurat dan beberapa buah lagi, saya lantas teringatkan kata-kata beliau kepada saya dalam banyak kali sesi perjumpaan kami iaitu “Sekiranya kamu menguasai ilmu ini (perbandingan agama) maka kamu akan mendapat faedah yang banyak, khasnya di dalam dakwah kamu akan memiliki wajah baru dan mendapat tempat yang mudah sebagai platform berdakwah”.

Seringkali apabila saya memperhatikan persada seni dakwah tanahair maka adakalanya kata-kata beliau saya akui ada benarnya lalu membuatkan saya ketawa sendiri. Disebabkan Arab Saudi sudah dipenuhi oleh ramai para ulama maka bukan mudah mendapat kedudukan dan memperolehi tempat bagi mereka yang baru berjinak dalam arena dakwah kecuali seseorang itu mampu mengetengahkan sesuatu isu yang baru.

Malaysia pula sekalipun pelbagai aliran dakwah dan seruan agama kini pesat membangun dan ramai kelompok manusia dakwah yang hidup dengan berdakwah, makan dan minum dari hasil dakwah serta hidupnya demi dakwah namun saya sama sekali tidak pernah terfikir untuk muncul di tengah-tengah masyarakat mengetengahkan sesuatu isu yang baru demi mendapat kedudukan atau tempat dalam masyarakat sehingga saya secara peribadi memperolehi sesuatu manfaat dari dakwah.

Andaikata saya menekuni bidang perbandingan agama, khususnya mempelajari serta mendalami ilmu saya tentang Bible dan sekitarnya maka tidak susah untuk saya mencari makan dan masuk sebagai penceramah hebat dalam ilmu perbandingan agama lalu menjadi Ahmad Deedat Melayu.

Tentu tidak lama pula untuk mendapat peluang berceramah di televisyen baik TV 3 atau siaran radio dan kemudian membuka syarikat sendiri atau sekurangnya menyertai mana-mana komuniti dakwah dengan terus memiliki pangkat kedudukan yang tinggi tanpa perlu mengikuti senarai yang beratur untuk kedudukan itu sekalipun saya tidak sedikit pun menjalani tarbiyah mereka sekiranya sesetengahnya organisasi itu mempunyai tarbiyah tersendiri kepada ahlinya.

Adakalanya Syaitan menggoda para ahli ilmu dan menjerat guru agama dari cara-cara begini dengan beralasan kononnya untuk maslahat dakwah lalu berusaha menjadikan para ustaz seperti saya ini bekerja dan berusaha demi kepentingan dunia. Di dalam kepala otak saya, terbeban dengan sesuatu yang dinamakan amanah yang membuatkan banyak langkah saya terhenti separuh jalan dari jalan-jalan di hadapan dan kiri-kanan saya sehingga saya tidak kurang berpusing-pusing mencari panduan dan nasihat sehingga setelah agak lama barulah memulakan langkah dengan berhati-hati.

Pendakwah tidak boleh menjadi artis kerana kesenian merupakan satu aliran yang ditimbulkan demi hiburan dan dakwah ditimbulkan dari kesedaran agama bagi menunaikan kewajipan dan ketaatan. Artis merupakan mereka yang menghiburkan orang ramai dan mendapat kelebihan dari sudut keduniaan, populariti, kekayaan, kedudukan dan kemasyhuran. Adapun dakwah bukanlah untuk mendapat nama dan kedudukan, jauh sekali demi mencari kekayaan serta bukan pula untuk menjadi terkenal dan disanjung ramai. Dakwah ditunaikan demi memenuhi ketaatan kepada Allah swt dan dibebani oleh sesuatu yang dinamakan amanah dan seruan dakwah ialah seruan ilahi yang mendokong nama agama.

Sungguh indah ungkapan sesetengah salaf soleh yang dinukilkan oleh Imam Ibn Jauzi ra yang menyebut “ Tidaklah ada ilmu yang aku pelajari melainkan aku suka memanfaatkannya kepada orang lain tanpa mahu menisbahkan ilmu itu kepada diriku.” Sangat banyak manfaat yang akan diperolehi oleh para pendakwah jika membaca kitab “Talbisul Iblis” oleh Imam Abd Rahman ibn Jauzi yang meninggal pada 597 Hijrah.

Tentu sekali sangat jauh mereka yang mendakwah kepada Islam tetapi tidak menyeru di atas jalan yang pernah dilalui oleh rasulullah dan para sahabat radiallahuanhum. Juga tidak membaca kisah-kisah sahabat seperti Abu Ubaidah yang merupakan Gabenor Syam di waktu pemerintahan Umar Ibn Khattab ra yang takala Umar melangkahkan kaki ke rumah Abu Ubaidah lantas menangis kerana tiada apa-apa di dalam rumahnya dan hidup mereka ini dalam keadaan zuhud sehingga memberi kesan contoh dan teladan kepada manusia.

Keghairahan golongan muda hari ini yang bersemangat menerjuni bidang dakwah tanpa memahami apa satu pun prinsip dan ertinya membuatkan banyak perkara menjadi masalah dari manfaat kepada ummah. Tidak perlu memikirkan kesan kepada ummah di masa depan dari apa yang diserunya buat masa ini, tanpa perlu memahami apakah isi matlamat agama yang perlu diserukan, tanpa perlu memahami kepada jalan-jalan yang manakah perlu didakwahkan maka para ahli agama dan golongan muda-mudi terjerat oleh iblis dan hawa nafsu dalam permainan mereka.

Masa yang terhad dari umur yang singkat membuatkan seorang pendakwah yang ikhlas kepada Allah serta memahami kitab dan sunnah perlu memikirkan keutamaan masanya yang perlu diberikan kepada isu-isu yang mendasar dan utama serta wajar diseru dan meninggalkan apa-apa yang tidak penting dan kurang memberi manfaat kepada ummah.

Dakwah diserukan dengan amanah dan memenuhi haknya iaitu para pendakwah tidak mengadakan satu jalan pun di dalam usaha dakwahnya itu akan apa-apa yang memberi manfaat kepada dirinya atau kumpulannya melainkan seruannya itu semuanya kepada Allah semata-mata. Adapun kedudukan manusia itu yang memberi dan menariknya ialah Allah swt jua dan diberi kedudukan kepada mereka yang disukainya dan ditarik dari mereka yang dikehendakinya lalu mengapa harus bimbang bila berdakwah tanpa kedudukan dan kekuatan ?

“Allah meluaskan rezeki dan menyempitkannya bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Mereka bergembira dengan kehidupan di dunia, Padahal kehidupan di dunia itu (dibanding dengan) kehidupan akhirat, hanyalah kesenangan (yang sedikit).” (Ar-Radd :26).

P/s :
Selepas ini dalam penulisan akan datang insyaAllah kita akan belajar sedikit sebanyak ilmu yang akan dipetik dari kitab "Aqidah Fillah" oleh Ustaz Dr Sulaiman Abdullah Asyqar.


Segala puji hanyalah bagi Allah swt

No comments: