Wednesday, November 29, 2006

Iman Yang Sahih DiSisi Ahlul Sunnah Wal Jamaah (Sambungan ke 2)

Pemahaman Iman yang sahih disisi Ahlul Sunnah Wal Jamaah ialah bermaksud : “Pengakuan keimanan kepada perkara yang dibawa oleh Nabi Muhammad salallahualaihiwasalam dengan iktiqad hati, pengakuan pada lisan dan amalan perbuatan serta menunaikan segala tuntutannya melalui hati, lisan dan anggota badan dengan ikhlas kepada Allah swt, disertai cinta dan kasih kepada perkara keimanan dan ahlinya serta membenci pula kepada kekufuran dan ahlinya maka iman itu bertambah dengan ketaatan serta berkurang dengan kemaksiatan dan iman itu mempunyai enam rukun yang wajib diketahui dan terbahagi kepada beberapa cabang.”

Demikian pegangan ulama salaf soleh terhadap makna iman dari pelbagai kitab dan tulisan-tulisan ulama sunnah dahulu dan sekarang yang diringkaskan.

“Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi Sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari akhirat, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila dia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. mereka Itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka Itulah orang-orang yang bertakwa.” (Al-Baqarah : 177).

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra bahawa baginda nabi sallahualaihiwasalam ketika menjawab pertanyaan Jibrail mengenai iman dengan menyebut : “Iaitu kamu beriman kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya dan hari akhirat serta beriman kepada qadar yang baik dan buruk.” (hadith sahih, riwayat Bukhari dan Muslim).

Sabda baginda nabi salallahualaihiwasalam juga : “ Iman itu terbahagi kepada tujuh puluh lebih bahagian yang paling tinggi ialah kalimah lailahaillallah (tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah) dan serendah-rendahnya ialah menghilangkan duri di jalanan dan malu itu sebahagian dari iman.” (Hadith sahih, diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim).

Juga di dalam hadith yang baginda menyebutkan : “Aku memerintahkan kamu beriman kepada Allah yang satu dan tahukah kamu apakah itu iman kepada Allah ? iaitu kamu bersyahadah tiada tuhan yang berhak disembah selain-Nya yang satu dan tidak mensyirikkan-Nya serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan menunaikan khumus (harta rampasan perang) dari apa yang kamu perolehi.” (hadith sahih, riwayat Bukhari dan Muslim).

Keimanan itu tidak membawa manfaat kecuali telah lengkap syarat-syaratnya pada seseorang seperti yang disebutkan oleh Syeikh Hafiz Ibn Ahmad Al-Hakami ra di dalam kitabnya أعلام السنة المنشورة apabila menyebutkan syarat-syarat penyaksian keimanan itu mempunyai tujuh perkara sebelum membolehkan penyaksian itu membawa manfaat kepada seseorang.

Iaitu mengetahui akan makna keimanan itu zahir dan batin, keyakinan hati kepadanya, ketaatan kepada tuntutan keimanan zahir dan batin, menerima segala prinsip-prinsip dan isi kandungannya tanpa penolakan, ikhlas dalam menerima dan melaksanakannya, membenarkan dengan hati dan lisan serta perbuatan tidak hanya pada ucapan lisan dan mencintainya serta mengasihi ahli keimanan dan isinya serta memberi wala dan membenci kekufuran dan musuh keimanan.

Mengetahui Makna dan Perkara Keimanan

Dimaksudkan mengetahui makna dan perkara keimanan ialah menyaksikan keimanan dan mengetahui akan hal-hal yang perlu diimani seperti rukun iman dan apa yang datang dari Allah swt melalui rasulullah dan kemudian beriman dengannya.
“Dan sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah tidak dapat memberi syafa'at; akan tetapi (orang yang dapat memberi syafa'at ialah) orang yang mengakui yang hak (tauhid) dan mereka mengetahuinya (memahaminya).” (Al-Zukhruf : 86).

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra bahawa baginda nabi sallahualaihiwasalam ketika menjawab pertanyaan Jibrail mengenai iman dengan menyebut : “Iaitu kamu beriman kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya dan hari akhirat serta beriman kepada qadar yang baik dan buruk.” (hadith sahih, riwayat Bukhari dan Muslim).

Serta rasulullah juga pernah bersabda : “ Barangsiapa yang mati dalam keadaan mengetahui bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah maka dia masuk syurga.” (hadith sahih, diriwayatkan oleh Muslim)

Keyakinan dan keteguhan hati kepada Rukun Iman dan Perkara Keimanan

Disebabkan keimanan bermaksud kepercayaan dan membenarkan apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad salallahualaihiwasalam yang merupakan khabar dan perkara ghaib serta semuanya daripada Allah swt yang Maha Ghaib maka keyakinan dan keteguhan hati itu merupakan syarat kepada bukti wujudnya iman dan keraguan serta syak menunjukkan bukti kekufuran.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. mereka Itulah orang-orang yang benar.” (Al-Hujuraat : 15).

Tunduk dan Patuh Kepada Tuntutan Keimanan

Dimaksudkan tunduk dan patuh kepada tuntutan keimanan ialah menerima segala perintah Allah swt dengan penyerahan hati dan jiwa serta mentaati apa yang dibawa oleh rasul-Nya Muhammad salallahualaihiwasalam.


“Dan Barangsiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang Dia orang yang berbuat kebaikan, Maka Sesungguhnya dia telah berpegang kepada buhul tali yang kukuh. dan hanya kepada Allah-lah kesudahan segala urusan.”
(Luqman : 22).

Juga baginda rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda : “ Tidaklah beriman seseorang di antara kamu sehinggalah hawa nafsunya mengikuti apa yang dibawa oleh aku.” (hadith hasan, disahihkan oleh An-Nawawi).

Ikhlas dalam Menerima dan Melaksanakan Tuntutan Keimanan

Keikhlasan ialah melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah swt tanpa ada tujuan lain dan dilakukan hanya kerana Allah swt dan demi ketaatan kepada perintah-Nya bukan selain-Nya.

“Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.” (Al-An’am : 162).

Keimanan dicapai oleh seorang manusia dengan payah dan susah, terhasil keimanan itu bukan dengan hanya angan-angan dan cita-cita tetapi dengan amalan soleh dan kebajikan serta mujahadah. Matlamat dari mempercayai sesuatu yang tidak nampak dan ghaib di hadapan mata hanyalah satu iaitu mengharapkan keredhaan dan menunaikan ketaatan kepada Allah swt tuhan yang Maha Ghaib.

Maka penumpuan tujuan dan pengkhususan segala kepercayaan, kesusahan dan hasil usaha ibadah dari tuntutan keimanan haruslah ditunaikan dengan keikhlasan.

Sabda rasulullah : “Sesungguhnya Allah ta’ala mengharamkan neraka kepada sesiapa yang mengucapkan kalimah lailahaillallah (tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah) demi mengharapkan wajah Allah.” (hadith sahih, diriwayatkan oleh Bukhari dan Ahmad).

Membenarkan Iman dengan Hati, Lisan dan Perbuatan

Tasdiq (membenarkan) perkara keimanan dengan hati, lisan dan perbuatan merupakan kewajipan dan asas dalam keimanan yang perlu ditunaikan untuk mencapai iman.

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-Ankabut : 2-3).

Membenarkan iman dengan hati ialah mempercayai dan menyakini apa yang disampaikan oleh Muhammad salallahualaihiwasalam dan apa yang dibawa olehnya termasuk rukun-rukun iman yang enam dan selainnya sebagai benar daripada Allah swt dan sebagai merupakan perkara yang pasti, hakiki dan menyakini dengan kepercayaan yang teguh tanpa ada keraguan dan syak.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. mereka Itulah orang-orang yang benar.” (Al-Hujuraat : 15).

Membenarkan iman dengan lisan ialah dengan iqrar dan pengakuan keimanan dan diucapkan secara lisan dengan bersyahadah (penyaksian) ke atas ketaatan, penyerahan diri dan penyembahan kepada Allah swt secara mutlak serta tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu dan pengakuan penyaksian di atas kebenaran Muhamad salallahualaihiwasalam sebagai utusan Allah dan juga rasul-Nya yang terakhir disamping mengimani dan mengisytiharkan keimanan secara lisan kepada rukun iman yang enam dan segala yang dibawa oleh Nabi Muhammad.

“Katakanlah: "Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada Kami dan yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya'qub, dan anak-anaknya, dan apa yang diberikan kepada Musa, Isa dan Para Nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorangpun di antara mereka dan hanya kepada-Nyalah Kami menyerahkan diri." (Ali-Imran : 84).

Sabda baginda rasulullah sallahualaihiwasalam : “Aku diperintahkan untuk memerangi semua manusia sehinggalah mereka bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan aku ini ialah rasulullah dan setelah mereka mengatakan demikian maka selamatlah dari aku akan darah mereka dan harta mereka kecuali dengan haknya dan hisabnya ke atas Allah.” (hadith sahih, riwayat Bukhari dan Muslim).

Membenarkan keimanan dengan amalan perbuatan ialah dengan melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah swt dan meninggalkan apa yang dilarang oleh-Nya serta menunaikan ketaatan kepada tuntutan keimanan dengan tindak perlakuan baik meninggalkan atau mengerjakan sesuatu.

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?” (Al-Ankabuut : 2).

Dan Itulah syurga yang diwariskan kepada kamu disebabkan amalan-amalan yang dahulu kamu kerjakan.” (Az-Zukhruf : 72).

Berkata Imam Bukhari di dalam Sahihnya bahawa Iman itu ialah amal dengan membawakan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra yang menyebutkan bahawa rasulullah ditanyakan mengenai apakah amalan yang paling afdhal ? Lalu dijawab oleh baginda : “ Iman kepada Allah dan rasul-Nya.” Kemudian ditanya lagi apakah selepas itu lalu dijawab : “ Jihad di jalan Allah.” (hadith sahih riwayat Bukhari).

Jawapan baginda kepada amalan yang paling afdhal dengan mengatakan bahawa keimanan kepada Allah dan rasul-Nya ialah amalan yang paling utama memberi maksud bahawa keimanan itu ialah termasuk dalam amalan kebajikan dan keimanan itu mesti dibenarkan dan ditunaikan dengan amalan perbuatan bukan semata-mata di lisan dan hati.

Mencintai dan Mengasihi Perkara Keimanan dan Ahli Iman

Dimaksudkan dengan mencintai dan mengasihi perkara keimanan itu ialah menjadi kewajipan syarak kepada seseorang hamba untuk memiliki perasaan cinta dan kasih kepada perkara keimanan seperti diwajibkan kepadanya untuk memiliki rasa benci dan permusuhan kepada kekufuran. Demikian juga wajib baginya mencintai dan mengasihi ahli iman dan membenci ahli kuffar sebagai tanda kesempurnaan iman.

“Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman Amat sangat cintanya kepada Allah. dan jika seandainya orang-orang yang berbuat zalim itu mengetahui ketika mereka melihat siksa (pada hari kiamat), bahawa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya, dan bahawa Allah Amat berat siksaan-Nya (nescaya mereka menyesal).” (Al-Baqarah : 165).

Demikian juga menjadi kewajipan mencintai ahli iman dan taqwa disebabkan mereka itu ialah auliya Allah dan merupakan golongan yang dikasihi Allah swt.

“Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Anshor), mereka berdoa: "Ya Rabb Kami, berilah keampunan kepada Kami dan saudara-saudara Kami yang telah beriman terlebih dahulu dari Kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati Kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Rabb Kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang." (Al-Mujadalah : 10).

Memberi Wala (Ketaatan) Kepada Keimanan dan Bara’ah (perlepasan diri) dari Kekufuran

Dimaksudkan dengan memberi wala (ketaatan) kepada keimanan ialah menyerahkan diri untuk ditadbir dan dipandu oleh Allah dan rasul serta apa yang datang dari keduanya dan bersikap menyertai diri di dalam keimanan dan ahli iman serta menetap diri bersama mereka dan mengikuti jalan mereka.

Dan Barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang yang beriman, Maka Kami biarkan dia berleluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan dia ke dalam Jahannam, dan Jahannam itulah seburuk-buruk tempat kembali.” (An-Nisa : 115).

Imam As-Syirazi di dalam kitab Al-Luma’ Fi Usul Fiqh menyebutkan bahawa ancaman mengikuti jalan yang bukan jalan orang yang beriman seperti di dalam ayat di atas menunjukkan bahawa mengikuti jalan orang yang beriman itu sebagai wajib dan dituntut. Dikeluarkan oleh Imam At-Tirmidzi ra , dari riwayat Ibn Abbas ra bahawa baginda pernah bersabda :
يد الله مع الجما عة
“Tangan Allah itu bersama jemaah.” (Riwayat Tirmidzi m/s 367 Jilid 6).

Juga melalui riwayat yang lain di tambah dengan :
فان الشيطان مع الواحد وهو من الاثنين أبعد
“ Sesungguhnya Syaitan itu bersama seorang dan menjauh apabila berdua.” (riwayat Ahmad dan Nasaie, Tirmidzi dan Ibn hibban dan lain-lain.)

Juga disebut melalui riwayat Umar Ibn Khattab ra menyebut bersabdanya baginda rasulullah salallahualaihiwasalam :
من أراد بحبوحة الجنة فليلزم الجماعة
“Barangsiapa yang menginginkan tempat tinggal di syurga maka hendaklah berada dalam jemaah.”(Hadith Sahih riwayat Tirmidzi no 2165, Ibn Majah dan Humaidi).

Jemaah yang dimaksudkan ialah jemaah keimanan yang benar menurut kehendak Allah swt dan mereka itu ialah golongan yang beriman kepada Allah dan rasul dengan sebenar-benar keimanan dan kepercayaan iktiqad tanpa penyelewengan dan kesesatan.

Menurut para ulama salaf soleh seperti apa yang diriwayatkan oleh Muhammad Ibn Sirrin dari Ibn Mas’ud ra bahawa yang dimaksudkan jemaah itu ialah para sahabat baginda dan sebahagiannya mengatakan mereka itu ialah para ulama kerana para ulama itu pewaris nabi salallahualaihiwasalam ان العلماء ورثة الأنبياء (Hadith Sahih, riwayat Tirmidzi no. 2606, Abu Daud dan Ibn Majah).


Dalam hadith baginda yang diriwayatkan oleh Ibn Umar ra yang bermaksud “ Akan datang kepada umatku perkara seperti yang pernah menimpa kaum bani Israel , selangkah demi selangkah sehingga akan berlaku dikalangan mereka yang berzina dengan ibunya secara terang-terangan. Sehingga ada umatku akan melakukan sedemikian. Sesungguhnya umat bani Israel berpecah kepada 72 golongan dan akan berpecah umatku kepada 73 golongan dan kesemuanya di neraka kecuali satu golongan.

Maka bertanyalah para sahabat ra kepada baginda akan siapakah golongan yang satu itu wahai rasulullah ? Maka jawab baginda “ Golongan yang aku berada di dalamnya dan para sahabatku .” (Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi no.26 Jilid 5, Hakim no.218 Jilid 1).

Itulah jalan golongan yang beriman yang wajib bagi umat Islam menetap diri di dalamnya dan wala (mentaati) dan berlindung serta menyertai mereka dan mengabungkan diri bersama mereka serta menunaikan perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah secara bersama di dalam naungan keimanan kepada Allah swt. Iaitu jalan serta manhaj yang padanya nabi dan para sahabatnya berada iaitu jalan salaf soleh dalam iktiqad (kepercayan) serta aqidah mereka itulah jalan yang benar.

“Wahai orang-orang yang beriman, Barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, Maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintaiNya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang beriman, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad dijalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha mengetahui. Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah).” (Al-Maidah : 54-55).

Dimaksudkan pula kemudiannya dengan Bara’ah (berlepas diri) daripada kekufuran ialah meninggalkan segala bentuk dan jenis kekufuran di dalam diri dan kehidupan serta berpindah menuju kepada keimanan dan membenci segala bentuk kekufuran dengan sebenar-benar benci.

Di dalam hadith riwayat Anas ra ada menyebutkan bahawa baginda nabi salallahualaihiwasalam pernah bersabda akan ciri-ciri kemanisan iman dan di antaranya menyebutkan bahawa seseorang itu membenci kepada kekufuran seperti dirinya membenci untuk dicampakkan ke dalam neraka dan hadith tersebut sahih serta dikeluarkan oleh Bukhari.

Seperti yang telah disebutkan bahawa kewajipan menunaikan tuntutan keimanan dengan amalan perbuatan tidak hanya pada hati dan lisan, maka demikian juga di dalam persoalan ketaatan dan perlepasan diri dari kuffar serta permusuhan terhadap musuh iman yang memerlukan ditunaikan dengan amalan perbuatan, lisan dan juga hati.

“Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu menjadikan bapa-bapa dan saudara-saudaramu menjadi wali(mu), jika mereka lebih mengutamakan kekafiran atas keimanan dan siapa di antara kamu yang menjadikan mereka wali, Maka mereka Itulah orang-orang yang zalim. Katakanlah: "Jika bapa-bapa , anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNya dan dari berjihad di jalan-Nya, Maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya". dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.” (At-Taubah : 23-24).

Ayat di atas dengan terang menjelaskan perintah Allah swt supaya orang yang beriman membezakan diri mereka dengan kuffar dan tidak menjadikan golongan kafir sebagai penaung atau rakan atau sahabat atau sekutu sekalipun mereka itu ialah kaum keluarga dan saudara mara.

Bahkan tidak sekadar itu, di dalam ayat di atas menyebutkan sekiranya mereka iaitu kaum keluarga lebih mengutamakan kekufuran daripada iman, sehingga memberi makna sekalipun mereka muslim tetapi lebih mengutamakan kekufuran dan hampir kepadanya maka hendaklah ditentang serta tidak ditaati akan mereka.

“Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka: "Sesungguhnya Kami berlepas diri daripada kamu dari daripada apa yang kamu sembah selain Allah, Kami engkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara Kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah sahaja. Kecuali perkataan Ibrahim kepada bapanya: "Sesungguhnya aku akan memohon ampunan bagi kamu dan aku tidak dapat menolak sesuatupun dari kamu (seksaan) Allah". (Ibrahim berkata): "Ya Tuhan Kami hanya kepada Engkaulah Kami bertawakkal dan hanya kepada Engkaulah Kami bertaubat dan hanya kepada Engkaulah Kami kembali." (Al-Mumtahanah : 4).

Hukum berwala (mentaati) kepada orang yang kafir ialah haram menurut ijmak ulama Islam dan hanya mereka yang jahil serta angkuh kepada hukum Alah swt sahaja dan menginginkan pertolongan manusia yang kufur dan mengharapkan ganjaran dunia yang sedikit sahaja tertipu lalu berpaling dari perintah Allah dan meninggalkan pertunjuk dan panduan dari kitab dan sunnah.

Di dalam Kitab الولاء والبراء فى الإسلام oleh Dr Muhammad Said Al-Qahthani menyebutkan bahawa jihad ialah kewajipan yang paling jelas diperintahkan oleh Allah swt untuk memutuskan hubungan di antara umat Islam dengan musuh-musuhnya. Jihad juga merupakan tempat di mana seorang bapa yang beriman membunuh anaknya yang kufar dan engkar kepada Allah serta memerangi Islam dan disitu juga medan yang menemukan seorang anak membunuh bapanya yang memusuhi agama Allah swt seperti yang berlaku ketika perang Badar.

Pemisahan ini satu asas yang penting dalam agama apabila seseorang itu meletakkan keimanan sebagai dasar dalam sebarang aspek kehidupan termasuk pertalian darah, kasih sayang dan soal perasaan. Demikianlah sabda baginda rasulullah salallahualaihiwasalam yang menyebutkan : “Tidaklah beriman seorang kamu sehingga aku lebih dicintai olehnya daripada dirinya (dalam riwayat lain) daripada ibubapanya, anak-anaknya dan manusia seluruhnya.” (hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim).

Baginda rasulullah juga diriwayatkan pernah bersabda : “ Aku berlepas diri daripada setiap muslim yang berdiri di antara bahu-bahu orang musyrikin.” (hadith riwayat Abu Daud dan Tirmidzi).

“Kamu tak akan mendapati kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, Sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Itulah orang-orang yang telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya. Dan dimasukkan-Nya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah redha terhadap mereka, dan merekapun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)-Nya. Mereka Itulah kumpulan Allah. ketahuilah, bahawa Sesungguhnya hizbullah itu adalah golongan yang beruntung.” (Al-Mujadalah : 22).

Bersambung...

Monday, November 27, 2006

Hakikat Iman DiSisi Ahlul Sunnah Wal Jamaah

Memahami hakikat iman ialah satu persoalan yang penting khususnya apabila pemahaman ini membentuk kepada pemecahan kelompok manusia dan membezakan status manusia di antara satu sama yang lain. Kita seringkali membaca persoalan iman di dalam pelbagai kitab-kitab dan buku malahan sejak di bangku sekolah didedahkan dengan kefahaman iman yang cetek serta tidak mendalam.

Disebabkan iman yang diajar di dalam matapelajaran pengajian Islam di bangku sekolah ialah bertujuan untuk meluluskan pelajar di dalam peperiksaan dan ilmu “so- called” yang dicari oleh golongan muda-mudi di sekolah ialah “kumpulan silibus” yang ditulis oleh lembaga pendidikan demi memastikan para pelajar memenuhi ciri-ciri keilmuan yang berteraskan kepada pekerjaan.

Maka di sekolah, pengajian Islam lebih berbentuk satu kelas pengajian yang mencurahkan teks-teks hafalan yang mesti dihafal oleh pelajar dan salah satunya ialah pengertian iman dan dihafal untuk dijawab dalam kertas peperiksaan. Setelah itu pengertian iman itu dilupakan dan diabaikan dan tidak diterapkan di dalam kehidupan. Demikian juga guru-guru dan ustaz yang mengajar seringkali tidak memahami apakah makna iman dan lawannya iaitu kufur dengan pemahaman yang sahih sehingga dapat menerangkan kepada umat Islam akan kewajipan mereka dalam menunaikan tuntutan keimanan.

Pengertian Iman

Iman disisi bahasa arab bermaksud membenarkan atau mempercayai sesuatu khabar dan disebut oleh pakar bahasa Ibn Manzur sebagai membenarkan dan lawannya ialah mendustakan (lihat dalam Kitab لسان العرب m/s 223 Jilid 1).

Bagaimanapun maksud iman yang hakiki tidak hanya bermakna “Membenarkan” sebaliknya seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Jauzi Al-Bagdadi ra (meninggal 597 Hijrah) bahawa iman di dalam Al-Qur’an itu pernah disebut dan didatangkan dalam lima bentuk iaitu :

Pertama : Kepercayaan : iaitu mempercayai dan membenarkan apa yang didatangkan oleh Allah swt seperti di dalam ayat 17 Surah Yusof وَمَا أَنْتَ بِمُؤْمِنٍ لَنَا وَلَوْ كُنَّا صَادِقِينَ)) “Dan tidaklah kamu akan mempercayai kepada kami sekalipun kami ini benar”. Di dalam ayat di atas digunakan kalimah sodiqin yang bermaksud hubungan iman itu ialah mesti dicapai dengan kepercayaan yang terhasil apabila membenarkan apa yang disampaikan.

Kedua : Iqrar dan pengakuan dengan lisan tetapi tidak membenarkan dengan hati, Ketiga : At-Tauhid, Ke-empat :Syariah, Kelima :As-Solat.

Lihat keterangan lanjut di dalam kitab نزهة الأعين النواظر في علم الوجوه والنظائر m/s 145-147 Cetakan Beirut.

Al-Imam Ibn taimiyyah ra menyebutkan juga masalah ini bahawa iman itu tidaklah hanya bermaksud membenarkan seperti kebanyakkan sangkaan orang ramai kerana tidak dikatakan kepada seluruh perkara yang dibenarkan seperti khabar berita dan lain-lain yang disampaikan oleh seseorang itu dengan diberi jawapan أمنت “aku beriman” sebaliknya digunakan kalimah صدقت iaitu “aku membenarkan atau aku mempercayainya”. Ini disebabkan penggunaan jawapan aku membenarkan seringkali berlaku kepada perkara keduniaan dan urusan harian.

Adapun “keimanan” berlaku kepada perkara ghaib dan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar maka dari situlah ucapan aku beriman digunakan sebagai ganti aku membenarkan. Berkata lagi Syeikhul Islam Ibn taimiyyah bahawa iman itu ialah darjah keyakinan dan kepercayaan yang bermula di hati dengan mencapai ketenangan dan jauh dari keraguan serta darinya membenarkan seluruh apa yang didatangkan oleh Allah swt dan ditunaikan dengan ketaatan.

Kemudiannya kalimah iman itu juga hanya digunakan dalam perkara yang ghaib dan bersangkut soal-soal yang datang dari Allah swt. Iman pula memiliki ciri-ciri makna yang lebih khusus dari sekadar “tasdiq” membenarkan, iaitu iman membawa makna perkhabaran yang iltizam (pasti) dan keyakinan yang tidak tergugat serta jauh dari syak dan ragu-ragu.

Kalimah “tasdiq” membenarkan digunakan kepada sesuatu yang lebih umum dan hanya kepada zahir hal seperti dikatakan aku mempercayaimu dan aku membenarkan berita yang disampaikan lalu hanya sekadar itu.

Maka iman pula sebaliknya tidak boleh diterjemah demikian kerana, kalimah iman yang lawannya kufur ialah sesuatu yang tidak hanya membenarkan sebaliknya mengandungi keyakinan, ketegasan kepada janji dan berita khabar yang pasti lalu membawa kepada ketaatan dan perlakukan balas dari keyakinan yang dimiliki.

Hal ini tercerna dalam pelbagai dalil dari kitab dan sunnah misalnya :

“Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: "Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang-orang mati." Allah berfirman: "Belum berimankah kamu ?" Ibrahim menjawab: "Aku telah mengimaninya, akan tetapi agar hatiku tetap mantap (dengan imanku) Allah berfirman: "(Kalau demikian) ambillah empat ekor burung, lalu cincanglah semuanya olehmu. (Allah berfirman): "Lalu letakkan diatas tiap-tiap satu bukit satu bahagian dari bahagian-bahagian itu, kemudian panggillah mereka, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan segera." dan ketahuilah bahwa Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (Al-Baqarah : 260).

Pendapat yang mengatakan burung-burung itu dicincang diatas adalah menurut pegangan At-Thabari dan Ibnu Katsir, sedang menurut Abu Muslim Al Ashfahani dan lain-lain ahli- takwil aqli pengertian ayat diatas bahawa Allah memberi penjelasan kepada Nabi Ibrahim a.s. tentang cara Dia menghidupkan orang-orang yang mati. Disuruh-Nya Nabi Ibrahim a.s. mengambil empat ekor burung lalu memeliharanya dan menjinakkannya hingga burung itu dapat datang seketika, bilamana dipanggil. Kemudian, burung-burung yang sudah pandai itu, diletakkan di atas tiap-tiap bukit seekor, lalu burung-burung itu dipanggil dengan satu tepukan/seruan, nescaya burung-burung itu akan datang dengan segera, walaupun tempatnya terpisah-pisah dan berjauhan. Maka demikian pula Allah menghidupkan orang-orang yang mati yang tersebar di mana-mana, dengan satu kalimat cipta hiduplah kamu semua pastilah mereka itu hidup kembali. Jadi menurut Abu Muslim sighat amr (bentuk kata perintah) dalam ayat ini, pengertiannya khabar (bentuk berita) sebagai cara penjelasan. Pendapat beliau ini kemudian dipegang pula oleh Ar Razy dan Rasyid Ridha. Wallahualam

Di dalam ayat di atas jelas menunjukkan bahawa iman itu mempunyai pelbagai tahap kedudukan dan Nabi Ibrahim as telah membenarkan tetapi tidak mencapai tahap ketenangan dan keyakinan hati serta belum muthma’inah sehingga memaksanya memohon kepada Allah swt agar ditunjukkan kepada baginda akan kekuasaan Allah swt sehingga beroleh baginya keyakinan dan keteguhan iman.

Iman itu mengandungi makna iqrar (pengakuan), juga pembenaran (tasdiq) serta kepercayaan yang mencapai darjah keyakinan sehingga dengannya disebut wajib ditunaikan dengan hati, lisan dan amalan perbuatan. Lalu sekiranya mahu disebut iman itu dengan perkataan tasdiq maka haruslah diperluaskan makna tasdiq (pembenaran) itu tidak hanya dengan menyebut tasdiq pada hati, lisan dan amalan perbuatan sebaliknya mesti ditegaskan dengan iqrar, keyakinan yang membawa kepada ketaatan (yang disebut al-inqiyad).

Allah swt menyebutkan kalimah iman di dalam Al-Qur’an tidaklah dengan mutlak sebaliknya seringkali mengikatnya dengan sesuatu atau menafsirkannya seperti mengikat kalimah iman dengan perkara ghaib dan perintah atau menafsirkannya dengan tuntutan keimanan dan rukun-rukunnya serta cri-ciri mereka yang beriman.

“(Iaitu) mereka yang beriman, kepada yang ghaib, yang mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka.” (Al-Baqarah : 3).

Demikian ayat di atas menyebutkan Iman itu ialah kepercayaan yang teguh yang disertai dengan ketundukan dan penyerahan jiwa. Tanda-tanda adanya iman ialah mengerjakan apa yang dikehendaki oleh iman itu. Juga ada kalanya ditafsirkan ciri-ciri pemilik iman itu seperti firman Allah :

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka Itulah orang-orang yang benar.” (Al-hujurat : 15).

Dimaksudkan dengan golongan yang benar itu ialah mereka yang benar iman mereka disisi Allah swt dan memenuhi ciri-ciri iman di dalam ayat ini yang menjelaskan bagaimanakah sifat dan ciri mereka yang beriman iaitu dengan menunaikan perintah Allah swt setelah menyakini segala kebenaran apa yang diturunkan oleh Allah swt yang lalu mengerjakan segala tuntutan dan perintah yang dituntut.

Mengapa Perlu Ditekankan Iman Bukan Hanya Tasdiq (membenarkan) ?

Hal ini penting kerana dari usul yang salah pada awalnya akan menghasilkan cabang dan furu’ (ranting) yang menyeleweng dari kefahaman yang sahih. Iman sekiranya disebut hanya sebagai tasdiq (membenarkan) maka akan menghasilkan kejahatan di muka bumi yang sangat banyak dan kesesatan apabila manusia menganggap iman itu cukup sekadar dibenarkan tetapi tidak perlu ditunaikan segala perintahnya.

“Katakanlah: "Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang Kuasa (menciptakan) pendengaran dan penglihatan, dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan?" Maka mereka akan menjawab: "Allah". Maka Katakanlah "Mangapa kamu tidak bertakwa kepada-Nya)?. " (Yunus : 31).

Cukup banyak dalil dari kitab Al-Quran yang menunjukkan golongan kafir turut mengakui dan membenarkan Allah swt sebagai tuhan yang menciptakan alam tetapi tidak mahu tunduk mentaati (inqiyad) dan enggan menerima keyakinan yang dibawa oleh rasulullah salallahualaihiwasalam dengan mendustakan dakwah Islam.

Kerana itu sekadar membenarkan tetapi tidak melaksanakan tuntutan Islam merupakan sebahagian atau separuh dari kekufuran ini disebabkan Islam itu terdiri daripada amalan zahir dan batin serta iman itu pula menuntut ditunaikan dengan keyakinan tanpa ragu dan amalan ketaatan dari hasil penyerahan kepada apa yang telah diyakini.

Di dalam ayat 31 Surah Yunus, dipersoalkan kepada kaum kafir mengapa kamu tidak bertaqwa ? dan di dalam ayat 84 Surah Al-Mukminun pula dipersoalkan mengapakah kamu tidak mengambil pengajaran ? dan ayat 87 yang menyebut mengapa kamu tidak bertaqwa ? yang ayat sebelumnya menyebutkan mereka semua telah mengaku Allah swt yang menciptakan alam langit dan bumi dan memberi rezeki kepada manusia.

Sekaligus bermaksud termasuk dalam maksud tuntutan iman itu ialah ketaqwaan dan bukan hanya pembenaran dan pengakuan bahawa Allah itu yang menciptakan alam dan sebagainya serta demikian pada seluruh hal yang ghaib yang dibawa oleh rasulullah salallahualaihiwasalam tetapi juga perlu ditunaikan yang demikian itu lalu baru disebut sebagai bertaqwa iaitu menunaikan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang.

Maka satu penjelasan yang cukup baik telah diberikan oleh Syeikh Hafiz Ibn Ahmad Al-Hakami ra di dalam kitabnya أعلام السنة المنشورة apabila menyebutkan syarat-syarat penyaksian keimanan itu mempunyai tujuh perkara sebelum membolehkan penyaksian itu membawa manfaat kepada seseorang. Iaitu mengetahui akan makna keimanan itu zahir dan batin, keyakinan hati kepadanya, ketaatan kepada tuntutan keimanan zahir dan batin, menerima segala prinsip-prinsip dan isi kandungannya tanpa penolakan, ikhlas dalam menerima dan melaksanakannya, membenarkan dengan hati dan lisan serta perbuatan tidak hanya pada ucapan lisan dan mencintainya mengasihi ahli keimanan dan isinya serta memberi wala dan membenci kekufuran dan musuh keimanan.

Berkata Imam Abu Bakr Muhammad ibn Husain Al-Bagdadi Al-Ajari ra di dalam kitabnya As-Syariah bahawa tidaklah seseorang itu dianggap muslim sehingga terkumpul padanya pembenaran iman itu pada perkara hati, lisan dan perbuatan kemudian menambah lagi hendaklah wahai kaum muslimin menetap diri pada apa yang dipegang oleh ulama muslimin iaitu sesungguhnya iman itu wajib kepada semua makhluk dan ianya pembenaran dengan hati dan iqrar (pegakuan) lisan serta dengan amalan perbuatan serta tidaklah dianggap iman pada hati melainkan telah diketahui dari pengakuan lisan dan tidaklah diterima pengakuan lisan dan hati melainkan dengan amalan perbuatan. Sekiranya telah sempurna ketiga perkara ini maka seseorang itu dianggap telah mencapai kedudukan mukmin seperti yang disebut oleh kitab dan sunnah serta pegangan ulama muslimin.

Imam Al-La’likaie ra di dalam kitab شرح أصل إعتقاد أهل السنة والجماعة pernah menyebutkan bahawa Imam Syafie ra pernah menyebutkan di dalam kitabnya Al-Umm pada bab niat di dalam solat yang menyebutkan bahawa telah ijmak para sahabat dan tabieen sesungguhnya iman itu ialah qaul (perkataan) dan amal perbuatan serta niat di hati dan tidaklah terpisah di antara satu sama lain melainkan iman mesti dengan ketiga-tiganya sekali.

Juga berkata Imam Al-Auzaie ra bahawa tidaklah tertegak iman melainkan dengan qaul (perkataan) dan tidaklah tertegak iman dengan qaul perkataan kecuali dengan amal dan tidaklah tertegak dengan perkataan dan amal kecuali mesti dengan niat. Para salaf kita yang terdahulu tidaklah memisahkan iman dengan amal perbuatan dan amal perbuatan dengan iman serta iman itu ialah dari amal dan amalan perbuatan itu dari keimanan.

Lihat lanjut di dalam kitab الإباناة لابن بطة m/s 807 Jilid 2.

Juga berkata Imam Al-Baghawi ra di dalam kitab شرح السنة bahawa telah bersepakat para sahabat dan tabien dan sesiapa yang selepas mereka dari kalangan ulama sunnah bahawa sesungguhnya iman itu ialah dengan amalan perbuatan. Demikian juga al-Imam ibn Abd Bar ra yang menyebut di dalam kitab التمهيد bahawa telah ijmak para ulama fiqh dan hadith mengenai iman itu ialah perkataan dan amal perbuatan.

Dalil Iman itu Mesti dengan Hati

“Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.” (Ar-Radd ; 28).

“Barangsiapa yang kafir kepada Allah sesudah Dia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa kafir Padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa), akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, Maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar.” (An-Nahl : 106).

Sabda rasulullah salallahualaihiwasalam : “Aku bersaksi disisi Allah bahawa tidaklah seseorang itu mati dan dia mengucapkan syahadah bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan aku ini rasulullah dengan benar di hatinya kemudian dia tetap padanya melainkan dia menuju ke syurga.” (hadith hasan, riwayat Imam Ahmad).

Dalil Iman itu Mesti Dengan Lisan Perkataan

“Katakanlah: "Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada Kami dan yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya'qub, dan anak-anaknya, dan apa yang diberikan kepada Musa, Isa dan Para Nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorangpun di antara mereka dan hanya kepada-Nyalah Kami menyerahkan diri." (Ali-Imran : 84).

“Orang-orang Arab Badui itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah: "Kamu belum beriman, tapi Katakanlah 'kami telah tunduk', karena iman itu belum masuk ke dalam hatimu; dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun pahala amalanmu; Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Hujuraat : 14).

Sabda baginda rasulullah sallahualaihiwasalam : “Aku diperintahkan untuk memerangi semua manusia sehinggalah mereka bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan aku ini ialah rasulullah dan setelah mereka mengatakan demikian maka selamatlah dari aku akan darah mereka dan harta mereka kecuali dengan haknya dan hisabnya ke atas Allah.” (hadith sahih, riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalil Iman Itu Mesti Dengan Amalan Perbuatan

“Orang-orang yang beriman itu berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan thaghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana Sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.” (An-Nisa : 76).

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?” (Al-Ankabuut : 2).

“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, Padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, Sesungguhnya pertolongan Allah itu Amat dekat.” (Al-Baqarah : 214).

“Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman kepada ayat-ayat Kami adalah mereka yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat itu mereka segera bersujud seraya bertasbih dan memuji Rabbnya, dan mereka itu tidaklah sombong.” (As-Sajdah : 15).

Sabda baginda nabi salallahualaihiwasalam : “ Iman itu terbahagi kepada tujuh puluh lebih bahagian yang paling tinggi ialah kalimah lailahaillallah (tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah) dan serendah-rendahnya ialah menghilangkan duri di jalanan dan malu itu sebahagian dari iman.” (Hadith sahih diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim).

Bersambung…

Friday, November 17, 2006

Cerita Pasal Dakwah

Di dalam meneliti beberapa buah kitab terbaru tulisan Dr Munqiz Saqqar yang merupakan salah seorang tenaga pengajar di Ma’had Rabitah Alam Islami bertajuk sekitar ilmu perbandingan agama seperti Perjanjian Lama Apakah Kalimah Allah, Perjanjian Baru Apakah Kalimah Allah, Muhammad Di Dalam Kitab Suci Injil dan Taurat dan beberapa buah lagi, saya lantas teringatkan kata-kata beliau kepada saya dalam banyak kali sesi perjumpaan kami iaitu “Sekiranya kamu menguasai ilmu ini (perbandingan agama) maka kamu akan mendapat faedah yang banyak, khasnya di dalam dakwah kamu akan memiliki wajah baru dan mendapat tempat yang mudah sebagai platform berdakwah”.

Seringkali apabila saya memperhatikan persada seni dakwah tanahair maka adakalanya kata-kata beliau saya akui ada benarnya lalu membuatkan saya ketawa sendiri. Disebabkan Arab Saudi sudah dipenuhi oleh ramai para ulama maka bukan mudah mendapat kedudukan dan memperolehi tempat bagi mereka yang baru berjinak dalam arena dakwah kecuali seseorang itu mampu mengetengahkan sesuatu isu yang baru.

Malaysia pula sekalipun pelbagai aliran dakwah dan seruan agama kini pesat membangun dan ramai kelompok manusia dakwah yang hidup dengan berdakwah, makan dan minum dari hasil dakwah serta hidupnya demi dakwah namun saya sama sekali tidak pernah terfikir untuk muncul di tengah-tengah masyarakat mengetengahkan sesuatu isu yang baru demi mendapat kedudukan atau tempat dalam masyarakat sehingga saya secara peribadi memperolehi sesuatu manfaat dari dakwah.

Andaikata saya menekuni bidang perbandingan agama, khususnya mempelajari serta mendalami ilmu saya tentang Bible dan sekitarnya maka tidak susah untuk saya mencari makan dan masuk sebagai penceramah hebat dalam ilmu perbandingan agama lalu menjadi Ahmad Deedat Melayu.

Tentu tidak lama pula untuk mendapat peluang berceramah di televisyen baik TV 3 atau siaran radio dan kemudian membuka syarikat sendiri atau sekurangnya menyertai mana-mana komuniti dakwah dengan terus memiliki pangkat kedudukan yang tinggi tanpa perlu mengikuti senarai yang beratur untuk kedudukan itu sekalipun saya tidak sedikit pun menjalani tarbiyah mereka sekiranya sesetengahnya organisasi itu mempunyai tarbiyah tersendiri kepada ahlinya.

Adakalanya Syaitan menggoda para ahli ilmu dan menjerat guru agama dari cara-cara begini dengan beralasan kononnya untuk maslahat dakwah lalu berusaha menjadikan para ustaz seperti saya ini bekerja dan berusaha demi kepentingan dunia. Di dalam kepala otak saya, terbeban dengan sesuatu yang dinamakan amanah yang membuatkan banyak langkah saya terhenti separuh jalan dari jalan-jalan di hadapan dan kiri-kanan saya sehingga saya tidak kurang berpusing-pusing mencari panduan dan nasihat sehingga setelah agak lama barulah memulakan langkah dengan berhati-hati.

Pendakwah tidak boleh menjadi artis kerana kesenian merupakan satu aliran yang ditimbulkan demi hiburan dan dakwah ditimbulkan dari kesedaran agama bagi menunaikan kewajipan dan ketaatan. Artis merupakan mereka yang menghiburkan orang ramai dan mendapat kelebihan dari sudut keduniaan, populariti, kekayaan, kedudukan dan kemasyhuran. Adapun dakwah bukanlah untuk mendapat nama dan kedudukan, jauh sekali demi mencari kekayaan serta bukan pula untuk menjadi terkenal dan disanjung ramai. Dakwah ditunaikan demi memenuhi ketaatan kepada Allah swt dan dibebani oleh sesuatu yang dinamakan amanah dan seruan dakwah ialah seruan ilahi yang mendokong nama agama.

Sungguh indah ungkapan sesetengah salaf soleh yang dinukilkan oleh Imam Ibn Jauzi ra yang menyebut “ Tidaklah ada ilmu yang aku pelajari melainkan aku suka memanfaatkannya kepada orang lain tanpa mahu menisbahkan ilmu itu kepada diriku.” Sangat banyak manfaat yang akan diperolehi oleh para pendakwah jika membaca kitab “Talbisul Iblis” oleh Imam Abd Rahman ibn Jauzi yang meninggal pada 597 Hijrah.

Tentu sekali sangat jauh mereka yang mendakwah kepada Islam tetapi tidak menyeru di atas jalan yang pernah dilalui oleh rasulullah dan para sahabat radiallahuanhum. Juga tidak membaca kisah-kisah sahabat seperti Abu Ubaidah yang merupakan Gabenor Syam di waktu pemerintahan Umar Ibn Khattab ra yang takala Umar melangkahkan kaki ke rumah Abu Ubaidah lantas menangis kerana tiada apa-apa di dalam rumahnya dan hidup mereka ini dalam keadaan zuhud sehingga memberi kesan contoh dan teladan kepada manusia.

Keghairahan golongan muda hari ini yang bersemangat menerjuni bidang dakwah tanpa memahami apa satu pun prinsip dan ertinya membuatkan banyak perkara menjadi masalah dari manfaat kepada ummah. Tidak perlu memikirkan kesan kepada ummah di masa depan dari apa yang diserunya buat masa ini, tanpa perlu memahami apakah isi matlamat agama yang perlu diserukan, tanpa perlu memahami kepada jalan-jalan yang manakah perlu didakwahkan maka para ahli agama dan golongan muda-mudi terjerat oleh iblis dan hawa nafsu dalam permainan mereka.

Masa yang terhad dari umur yang singkat membuatkan seorang pendakwah yang ikhlas kepada Allah serta memahami kitab dan sunnah perlu memikirkan keutamaan masanya yang perlu diberikan kepada isu-isu yang mendasar dan utama serta wajar diseru dan meninggalkan apa-apa yang tidak penting dan kurang memberi manfaat kepada ummah.

Dakwah diserukan dengan amanah dan memenuhi haknya iaitu para pendakwah tidak mengadakan satu jalan pun di dalam usaha dakwahnya itu akan apa-apa yang memberi manfaat kepada dirinya atau kumpulannya melainkan seruannya itu semuanya kepada Allah semata-mata. Adapun kedudukan manusia itu yang memberi dan menariknya ialah Allah swt jua dan diberi kedudukan kepada mereka yang disukainya dan ditarik dari mereka yang dikehendakinya lalu mengapa harus bimbang bila berdakwah tanpa kedudukan dan kekuatan ?

“Allah meluaskan rezeki dan menyempitkannya bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Mereka bergembira dengan kehidupan di dunia, Padahal kehidupan di dunia itu (dibanding dengan) kehidupan akhirat, hanyalah kesenangan (yang sedikit).” (Ar-Radd :26).

P/s :
Selepas ini dalam penulisan akan datang insyaAllah kita akan belajar sedikit sebanyak ilmu yang akan dipetik dari kitab "Aqidah Fillah" oleh Ustaz Dr Sulaiman Abdullah Asyqar.


Segala puji hanyalah bagi Allah swt

Tuesday, November 07, 2006

Membersihkan Dakwah Islam Dari Kecelaruan

Saya apabila meneliti pelbagai situasi dakwah di antara yang positif dan negatif seringkali menemukan diri saya mendapat banyak kemanfaatan dari pengalaman dan buku-buku harakah yang ditulis oleh kepala dan tokoh-tokoh Ikhwan Muslimun awal kurun yang lalu sewaktu belum pun kelahiran saya sekalipun sekarang ini manhaj ikhwan muslimun tidak lagi menjadi pilihan saya namun manfaat di dalam buku mereka kelihatan sangat banyak.

Sehingga disebabkan itu saya menyibukkan diri saya sejak lalu membaca dan menapis kembali apa yang baik dan mengisikan panduan-panduan serta tunjuk ajar mereka dengan timbangan ilmu-ilmu dari ulama Saudi serta Yaman dari aliran salafiyah bagi mencari timbangan kebenaran dan membuat penyesuaian serta pembetulan terhadap pelbagai penyelewengan dan kesalahan.

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. kemudian jika kamu berlainan Pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik hasilnya.” (An-Nisa : 59).

Agak menyedihkan apabila tulisan buku-buku syeikh dan ulama salafi yang mendakwa di aliran salaf tidak banyak memberikan manfaat dan kesan dalam kehidupan kecuali sangat sedikit dan ulama yang sedikit inilah yang benar-benar berjuang di jalan Allah swt dan sekarang menghuni dipenjara-penjara sekaligus mengurangkan lagi jumlah penulis haq (kebenaran) yang dapat mencelikkan manusia lalu tinggallah tokoh salafi yang diakui salafi menulis dan mencontengkan dakwah dengan pelbagai keraguan dan masalah. Perumpamaan mereka ini seperti yang apa disebutkan Allah swt kepada Bani Israel :

“Dan diantara mereka ada yang buta huruf, tidak mengetahui Al kitab (Taurat), kecuali dongengan bohong belaka dan mereka hanya sangka-menyangka.” (Al-Baqarah :78).

Peluang bertemu dengan Syeikh Safar Al-Hawali hafizahulullah di rumahnya di Mekah baru-baru ini memanfaatkan saya memerhatikan penulisan dan buku-bukunya yang sarat dengan ilmu, pemahaman dan pedoman di dalam manhaj kehidupan yang menuruti jalan salaf soleh sekalipun amat sedikit tulisan-tulisan mereka berbanding ribuan penulisan tokoh-tokoh ilmuan lain yang menyemak di perpustakaan namun kesannya amat berbeza.

“Apakah kamu wahai orang musyrik yang lebih beruntung ? Ataukah orang yang beribadat di waktu-waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang dia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang berakal itulah yang dapat menerima pelajaran.” (Az-Zumar : 9).

Kelemahan Terhadap Ilmu Alat Dalam Memahami Hakikat Ilmu Agama

Peluang menuntut dan berkenalan bersama al-fadhil Ustaz Ismail Omar, pengasas Yayasan Kebajikan Nusantara dan pengasas sekolah Kiblah di Sungai Merab, Selangor sejak beberapa tahun yang lalu memanfaatkan saya meneliti serta mengkaji buku beliau yang bertajuk Manhaj Aqidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah serta meneliti skima pemikiran beliau terhadap kupasan salaf soleh di dalam masalah aqidah dan manhaj kehidupan muslim.

Cukup bermanfaat dari kitab dan tulisan beliau membolehkan saya memahami kepentingan ilmu alat di dalam memahami syariat Islam serta mengerti bahawa segala isi kitab dan sunnah sebelum boleh saya petik dan kutip sesuka hati untuk dibuat berhujah, terlebih dahulu saya diwajibkan atau dimestikan menguasai ilmu alat supaya petikan dan pengajaran yang dihasilkan oleh saya menepati kehendak syariat bukan dari hawa nafsu atau terhasil dari kejahilan yang menyesatkan.

Ilmu Alat – Memahami Kitab dan Sunnah

1)Bahasa arab – Kunci Memahami Ilmu Agama
2) Ulum Qur’an – Menafsirkan Al-Qur’an dengan cara yang benar
3) Ulum Hadith – Menilaikan hadith dan menafsirkan hadith dengan benar
4) Usul Fiqh – Mengeluarkan hukum hakam dengan benar
5) Ilmu-ilmu Semasa – Sirah (sejarah), politik, ekonomi, perubatan, adab (tasauf), sains teknologi, pentadbiran dan lain-lain.

Ilmu alat ialah bahasa arab dan seninya yang membolehkan seseorang itu memahami dalil-dalil dari kitab dan sunnah menurut maksud bahasa yang sahih bukan dari hanya terjemahan dan juga kamus bahasa. Demikian juga ilmu Usul Fiqh yang merupakan ilmu alat di dalam membantu mengeluarkan hukum-hukum feqah dan juga istinbat hukum dari dalil kitab dan sunnah dengan betul serta menepati maksud syarak disamping ilmu tafsir, ilmu hadith dan sirah serta beberapa lagi bidang ilmu bagi memastikan kesahihan pemahaman yang dihasilkan dari kaedah pegeluaran hukum dan kefahaman menurut sistem yang benar dan sahih berdasarkan panduan salaf soleh dan ulama Islam sejak berzaman.

Malangnya hari ini ramai para pemuda-pemudi Islam tidak menguasai bahasa arab dan belum pun mencapai 1 per sepuluh 1/10 penguasaan terhadap ilmu bahasa arab tetapi telah menulis dan menghasilkan rumusan, kesimpulan serta pelbagai panduan di dalam agama yang hanya melalui pembacaan mereka dan logik akal serta sangkaan mereka terhadap kalam-kalam ulama Islam semasa.


“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan dipersoalkan” (Al-Isra :36).

Bahkan Imam Abu Ishak As-Syatibi ra telah memperingatkan umat Islam akan hakikat ini dengan menyebutkan di dalam kitabnya Al-Itishom m/s 173 jilid 2 dengan bermaksud : “ Sesungguhnya yang menjadi sebab utama bid’ah dan pertikaian yang membawa kepada perpecahan umat dan malapetaka ialah seseorang mempercayai dirinya ialah seorang mujtahid atau termasuk ahlul ilmi wal ijtihad dalam ilmu agama sedangkan hakikatnya dirinya belumlah mencapai tahap itu.

Maka apabila dia beramal dengan pendapatnya maka dianggap pendapatnya ialah sebagai pendapat ulama dan khilafnya sebagai khilaf ulama lalu baik hal itu berlaku di dalam hal yang furu (cabang) atau hal yang mendasar dan usul baik iktikad dan amaliyah sehingga seringkali dia mengambil sesetengah hal yang juz’iyah atau furu’iyah (cabang) dari syariat lalu diruntuhkan hal yang kulliyat atau usul dengannya atau sebaliknya sehinggalah jadi apa yang zahir itu sepintas lalu seolah menepati makna tetapi hakikatnya tidak mencapai maksud syarak maka inilah dia seorang tukang pembuat bid’ah.”


“(Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit pun, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal ianya di sisi Allah adalah amat besar.” (An-Nur :15).

Maka dari sikap ini kita lihat banyak kacau bilau dalam masyarakat melayu hari ini serta umat Islam umumnya di pelbagai Negara dan daerah kekacauan dan keraguan yang menyesakkan apabila kejahilan dan kebenaran yang tidak penuh bertemu sehingga fitnah tidak pernah kehabisan dari terus membakar umat Islam.

Kefahaman Bukan Hanya Mengetahui Tetapi Menguasai

Kefahaman itu yang patut diutamakan oleh para pelajar yang menuntut ilmu pengetahuan di dalam usaha bergigih mencari ilmu bukannya penguasaan hafalan dan penguasaan menyampaikan kembali apa yang diterima dari guru-guru. Sangat menduka-citakan madrasah dan sekolah pengajian ilmu masih mengamalkan sistem yang salah iaitu menekankan peperiksaan yang menekankan kepada konsep hafalan bukan kepada kefahaman.

Ketika saya mengaji hadith dari guru saya, maka kami bermula dengan hadith berkaitan niat yang diriwayatkan oleh Umar Ibn Khattab ra dan hadith ini sangat popular serta dihafaz oleh setiap muslim iaitu “Setiap amal itu dengan niat”. Persoalannya apabila ditanya kepada pemuda dan pemudi Islam apakah kamu benar-benar memahami hadith ini ? Maka mereka semuanya akan menjawab ya kami telah faham hadith ini.

Sedangkan hakikatnya mereka hanya mengetahui iaitu boleh menghafaz dan mengulangkan kembali hadith itu tetapi bolehkah mereka menghuraikan maksudnya dan menjadikan hadith ini sebagai aplikasi (mengunakan hadith ini) di dalam kehidupan mereka ? Jawapannya ialah tidak !

Mereka tidak tahu di manakah kegunaan hadith ini dalam kehidupan mereka juga di manakah letak duduknya hadith ini dalam amalan feqah dan harian agama mereka sedangkan menurut ulama, hadith ini telah menentukan pelbagai hukum feqah serta menentukan pelbagai nasib dan hukum di dalam syariat sehingga kita akan mendapati ribuan masalah di dalam kitab-kitab feqah dan ilmu Islam berdalilkan kepada hadith ini.

Juga di dalam masalah aqidah misalnya golongan yang mengaku mengaji ilmu agama dari universiti terkemuka misalnya baik Universiti Islam Madinah dan Universiti Al-Azhar sendiri sebahagiannya tidak begitu peka dan menghalusi ilmu yang dipelajari serta kesannya terhadap kehidupan lantaran tiada kefahaman sehingga tiada beza di antara mereka dengan kanak-kanak sekolah tadika yang menghafaz definasi iman.

Ditanya kepada mereka apakah maksud iman ? Maka semua orang dapat menjawab bahawa iman ialah membenarkan dalam hati, mengucapkan dengan lisan dan beramal dengan anggota badan serta ianya bertambah dengan ketaatan serta berkurang dengan maksiat.

Tetapi tahukah mereka ? fahamkah mereka definasi yang ringkas ini telah melahirkan perbezaan yang besar kepada umat Islam dan pengasingan kelompak ahlul sunnah wal jamaah dari selainnya ? Tahukah mereka dari definasi yang ringkas ini mengasingkan puak ahlul sunnah dari murjiah, khawarij dan Muktazilah serta karramiyah dan jahmiyah ?

Golongan jahmiyyah mengatakan bahawa iman itu ialah cukup membenarkan dengan hati serta cukup hati sebagai saksi keimanan demikian syiah yang menganggap Abu Talib sebagai beriman kerana telah membenarkan kebenaran serta risalah nabi salallahualaihiwasalam di hati cuma tidak mengikuti risalah baginda rasululullah dari sudut pengakuan zahir.

Inilah kehancuran dan kebinasaan umat Islam apabila sistem pendidikan yang dihasilkan oleh sistem acuan barat hanya mencetak para ustaz dan ilmuan yang mengetahui tetapi tidak memahami kerana ilmu hanya boleh diketahui tetapi tidak boleh diamalkan.

Sedangkan kefahaman dihasilkan melalui amalan dan pengalaman praktikal serta tercapai dengan pelbagai ujian dan ujikaji dalam kehidupan yang menghasilkan satu tingkat ketetapan hati yang disebut sebagai keyakinan.

Maka kepentingan faham di dalam keilmuan ialah darinya masalah dalam kehidupan dapat diselesaikan menurut keputusan yang adil, menepati kehendak Allah swt serta mencapai maksud ketaatan kepada Allah swt dengan sempurna. Kemudian hasil dari keputusan yang sempurna dan cemerlang itulah memberikan ganjaran akhirat yang lebih besar dari keputusan yang kurang tepat dan salah.

“Dan (ingatlah kisah) Daud dan Sulaiman, di waktu keduanya memberikan keputusan mengenai tanaman, karena tanaman itu dirusak oleh kambing-kambing kepunyaan kaumnya. dan adalah Kami menyaksikan keputusan yang diberikan oleh mereka itu, Maka Kami telah memberikan pengertian kepada Sulaiman tentang hukum (yang lebih tepat) ; dan kepada masing-masing mereka telah Kami berikan Hikmah dan ilmu dan telah Kami tundukkan gunung-gunung dan burung-burung, semua bertasbih bersama Daud. dan kamilah yang melakukannya”. (Al-Anbiya : 78-79).

Menurut riwayat Ibnu Abbas bahawa sekelompok kambing telah merosakkan tanaman di waktu malam. Maka yang tuan punya tanaman mengadukan hal ini kepada Nabi Daud as lalu baginda Daud as memutuskan bahawa kambing-kambing itu harus diserahkan kepada pemilik tanaman sebagai ganti kepada tanaman yang rosak. Tetapi Nabi Sulaiman as memutuskan supaya kambing-kambing itu diserahkan hanya sementara kepada pemilik tanaman untuk diambil manfaatnya dan tuan pemilik kambing diharuskan mengusahakan tanaman itu dengan tanam-tanaman yang baru.

Sehingga apabila tanaman yang baru telah dapat diambil hasilnya, maka tuan pemilik asal yang mempunyai kambing itu boleh mengambil kambingnya kembali. Keputusan Nabi Sulaiman a.s. ini adalah keputusan yang tepat dan disebutkan sebagai keputusan yang lahir dari kefahaman yang sahih terhadap kitab Allah swt berbanding kefahaman ayahnya Daud as yang juga sahih dan benar cuma Sulaiman lebih difahamkan akan hal tersebut.

Bercambahnya Kefahaman Zahiri di Kalangan Pelajar Yang Baru Berjinak dengan Ilmu Agama

Imam Daud az-zahiri serta muridnya ibn Hazm Az-zahiri merupakan diantara ulama silam yang hebat di dalam ilmu feqah dan cukup terkenal dengan sikapnya yang mengambil dalil-dalil kitab dan sunnah dengan secara zahir tanpa penafsiran dan takwil mendalam.

Seringkali saya dipenatkan menjawab pebagai persoalan dari para pelajar yang dipenatkan oleh ustaz-ustaz zahiri yang memberikan hujah kepada pelajar dengan kitab dan sunnah semata-mata tanpa membiasakan kepada pelajar akan penerangan yang sahih dan jelas bagaimanakah hukum tersebut serta pendapat tersebut terhasil.

Hal ini amatlah dibenci merebak kepada para pemuda dan pelajar yang baru hendak berjinak-jinak dengan syariat Islam. Sekarang ini fitnah terhadap umat Islam semakin merebak dengan munculnya aliran “madkhaliyah” yang dahulunya berpusat di Madinah yang sampai ke-tahap membid’ahkan ilmu usul fiqh dengan memakai nama gelaran salafi.

Sekiranya usul fiqh itu merupakan bid’ah maka sesiapa sahaja boleh mengeluarkan hukum hakam feqah dari kitab dan sunnah dengan sesuka hati maka bogel dan telanjanglah dalil-dalil kitab dan sunnah kepada golongan zindiq dan musuh Islam untuk membuat pengeluaran hukum menurut hawa nafsu maka jadilah kitab dan sunnah tanpa perlindungan.

Inilah yang pernah dikeluhkan oleh Imam Syafie ra yang kemudiannya menulis sebuah kitab usul fiqh yang pertama yang memuatkan panduan mengeluarkan hukum dan cara membaca dan memahami dalil-dalil kitab dan sunnah menurut kaedah yang sahih yang kemudiannya disebutkan orang-orang sebagai kitab Ar-Risalah kerana disebabkan ianya dijadikan risalah yang diutuskan kepada Abd Rahman ibn Mahdi.

Mereka ini golongan pemakai gelaran salafi yang sebenarnya mengambil pendapat zahiri dan juga mengikut jalan ijtihad yang menyeleweng seperti Madhkali dan rakan-rakannya menyebut dengan keras sekali akan kalimah-kalimah Allah dan rasul lalu menggunakannya untuk mencela, mengutuk dan membid’ahkan ramai di kalangan pendakwah Islam yang tidak pernah maksum dan sekian banyak ulama dan orang yang berminat kepada agama dicela dan dibid’ahkan oleh mereka.

Sedangkan Allah swt menyebutkan di dalam kitab-Nya :

“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu Berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. karena itu ma'afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, Maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.” (Ali-Imran : 159).

Sabda rasulullah salallahualaihiwasalam : “ Sesungguhnya kelembutan itu tidak terdapat pada sesuatu melainkan menjadi penghias kepadanya dan juga tidaklah hilang dari sesuatu perkara kecuali menjadi aib kepadanya.” (Hadith sahih riwayat Muslim).

Hendaklah umat Islam menjauhi dari mengikuti jalan dan sikap mereka dalam agama melainkan diambil apa yang baik dan ditinggalkan apa yang buruk dan kurang benar dari kumpulan mereka. Berdoalah kepada Allah swt moga-moga diberi hidayah dan dibukakan pintu hati mereka kepada kebenaran dan diberi pertunjuk supaya mereka menyertai kumpulan jemaah umat Islam dan bersama di dalam masyarakat lalu meninggalkan sikap ekstrim mereka terhadap agama.

Benarlah sabda baginda rasulullah salallahualaihiwasalam : “ Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah akan kebaikan kepadanya maka diberikan kepadanya akan kefahaman dalam agama.” (Hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim).

Setiap kali saya menyelesaikan pengajian kitab dengan syeikh seringkali di minda saya muncul kesedihan dan penyesalan andaikata umat Islam yang lain dapat berkongsi ilmu dengan pelbagai ulama luar yang begitu alim dan hebat serta mendapat peluang seperti saya.

Hujan Rahmat di Negara Orang dan Hujan Batu di Negara Sendiri Maka Hujan Rahmat Di Negara luar Perlu dikutip dan Di bawa masuk ke negara sendiri supaya melembutkan batu-batu agar dapat dimanfaatkan untuk pembinaan Ummah

Kata pepatah lama perlu diubah supaya kita semua beroleh manfaat dan tidak hanya taklid buta kepada situasi lama yang merugikan umat Islam dan menyekat kita dari pembangunan hakiki serta pembinaan insan cemerlang dan menegakkan sebuah masyarakat Islam yang sahih.

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah," mereka menjawab: "(Tidak), tetapi Kami hanya mengikuti apa yang telah Kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami". "(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk?.” (Al-Baqarah : 170).

Saya cukup hairan menyaksikan masyarakat kita cukup mudah sekali taksub dan terlalu besar penghormatan diberikan kepada tokoh-tokoh tertentu di dalam masyarakat sedangkan ilmu dan kefahamannya terhadap agama amatlah biasa dan tidak terlalu hebat sehingga selayaknya diberi pengiktirafan sebegitu tinggi.

Lantaran itu saya membincangkan hal ini dengan pelbagai rakan serta guru-guru saya lalu mebuat kesimpulan hal ini disebabkan masyarakat kita masih belum terdedah kepada keilmuan luar yang begitu hebat dan tinggi. Kita dibanggakan dengan beberapa orang tokoh sedangkan kalau dibandingkan tokoh kita dengan ilmuan luar maka ustaz-ustaz dan Doktor-doktor phd kita akan tenggelam hanyut menjadi buih di banding ulama luar yang begitu banyak.

“ Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama, Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Faathir : 28).

Saya hanya tersenyum apabila seorang “adik” yang begitu taksub kepada seorang doktor phd agama di Malaysia dengan memuji-muji dan menyebutkan kealiman gurunya sedangkan saya sendiri pernah menemui doktor phd di Yaman, Syeikh Dr Hasan Maqbuli Al-Ahdal yang ilmunya begitu hebat dan alim serta telah mensyarahkan dan menulis pelbagai kitab dan merupakan Dekan kuliah syariah Universiti San’a. Bukunya digunakan di pelbagai universiti arab serta ilmunya mencurah-curah menerangi pelajar menuju manhaj yang sahih.

Belum lagi ulama-ulama lain yang merupakan selevel dengan Muhammad Al-Ghazali iaitu guru lepada Dr Yusof Al-Qaradhawi dan selevel dengan beliau yang cukup banyak dan tidak menghairankan saya akan tulisan mereka dalam pelbagai ilmu.

Adapun dipersada ilmu aliran salafi di Saudi dan Yaman, kita sudah lama terkenal dengan karya-karya tulisan Syeikh Bin Baz ra, Syeikh Utsaimin, Syeikh Albani, Syeikh Muqbil Al-Hadi, Syeikh Soleh Ibn Fauzan, Syeikh Ubaid, Syeikh Ibrahim Ali Syeikh, Syeikh Salman dan Syeikh Safar Al-Hawali serta lain-lain.

Amatlah dinasihatkan kepada para pemuda Islam supaya membanyakkan musafir ke Negara luar dan meningkatkan kualiti ilmu agama masing-masing supaya tidak hanya taklid buta dan duduk memuji tuan guru masing-masing tanpa mengetahui isi dasar Islam dan jahil akan matlamat ke mana harus di tuju kehidupan muslim menurut Islam yang sahih.

“Maka Maha Tinggi Allah raja yang sebenar-benarnya, dan janganlah kamu tergesa-gesa membaca Al qur'an sebelum disempurnakan mewahyukannya kepadamu, dan Katakanlah: "Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan.” (Thaha : 114).

Para ulama menyebutkan maksud ayat ini ialah Nabi Muhammad salallahualaihiwasalam dilarang oleh Allah dari menirukan bacaan Jibril alaihisalam kalimat demi kalimat, sebelum Jibril selesai membacakannya, agar dapat baginda Nabi menghafal dan memahami betul-betul ayat yang diturunkan itu.

Maka demikianlah pula perumpamaan yang benar kepada para pemuda agar jangan cepat terus membaca apa yang diajarkan oleh guru-guru mereka kepada orang lain sebelum telah benar-benar memahami akan kebenarannya dan mengetahui akan apa yang disampaikan oleh mereka.

Lalu disudahi ayat ini dengan perintah berdoa kepada Allah swt supaya menambahkan ilmu pengetahuan maka sudah pastinya usaha bergerak menuntut ilmu itu “mimbabil aula” iaitu lebih utama dilakukan sekiranya berdoa sahaja sudah pun diperintahkan.

Memahami Tujuan Hidup dan Ubudiyah Kepada Allah Melenyapkan Permasalahan Remeh Dan Memberikan Jalan Pemahaman Apa Yang Perlu Dilakukan

Telah disebutkan oleh saya berkali-kali bahawa pihak yang tidak mempunyai hala tuju dalam kehidupan mereka maka mempunyai masalah yang cukup besar serta memberikan masalah pula kepada orang lain apabila bertindak menghalang dan menyekat kemaraan Islam serta umatnya menuju matlamat ubudiyah kepada Allah swt.

Allah swt telah berfirman :
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْأِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
“Dan tidaklah aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku”. (Adz-zariyat : 56)

Pemikiran zionis dan kuffar ketika mewujudkan sistem ekonomi kapitalis, mengadakan sistem pendidikan ala barat dan pelbagai lagi yang menekankan apa yang diusahakan oleh seseorang ialah demi untuk apa yang memanfaatkan mulut dan anggota badan. Maksudnya ialah, segala kerja keras, baik belajar di sekolah, pusat pengajian tinggi dan universiti atau berusaha di bidang pekerjaan seperti pejabat, pembinaan dan kerja buruh ialah demi mencapai kewangan dan kedudukan yang beroleh manfaat duniawi.

Bidang pendidikan menghasilkan kepada pelajar akan satu “kelayakkan” untuk beroleh pekerjaan dan pekerjaan pula melayakkan kepada pendapatan dan penghasilan kewangan baik tunai atau melalui bayaran bukan tunai.

Bayaran dan hasil berupa wang ringgit dan hasil bukan tunai seperti simpanan tetap, pencen, perkhidmatan kesihatan percuma dan sebagainya semuanya hanya memuaskan apa yang masuk ke mulut iaitu makan dan minum , serta apa yang memuaskan anggota badan seperti pakaian, kenderaan, tempat tinggal, hiburan dan kesihatan serta perlindungan dan kedudukan.

Kelahiran pendidik, guru, ustaz yang terpengaruh oleh sistem ini membuatkan mereka menguasakan kepada diri mereka dan orang lain agar menjadi seperti mereka iaitu berpendapat “apa yang perlu dilakukan oleh kita ialah berusaha mendapatkan apa yang boleh memuaskan mulut dan anggota badan kita” dan kehidupan kita, usaha kita, titik peluh kita ialah apa yang mesti berkaitan dengan hal ini.

Kemudian demi kerana mahu menjadikan usaha mereka sebagai turut diterima oleh agama maka lalu secara tiba-tiba mengaitkan usaha ini sebagai ibadah dengan melafazkan niat kerana Allah swt atau membuat hebahan bahawa ianya ibadah bila diniatkan kerana Allah swt dengan tergantung begitu sahaja.

Seorang ustaz memberitahu bahawa berusaha mencari rezeki ialah ibadah, maka bergigihlah si ustaz meninggalkan tanggungjawab dakwah dan keperluan Islam kepadanya untuk berjihad dan berjuang kepada agama bersesuaian dengan ilmunya lantaran sibuk mengejar Phd agar beroleh kedudukan yang selesa sebagai seorang ahli agama dan memiliki kewangan yang kukuh dan memampukan dirinya memenuhi keperluan isterinya dan keluarganya kepada hal duniawi lalu mengatakan dia telah beramal soleh semampu beliau.

Seperti yang dikatakan bahawa beliau mengaitkan amalan mencari rezeki sebagai ibadah dengan mengantungkan usahanya sebagai ibadah begitu sahaja tanpa mengitkan bilakan usaha mencari rezeki itu menjadi ibadah ?

Bilakah pula usaha mendapatkan isteri yang cantik serta comel di kalangan pelajar universiti itu menjadi ibadah ? Bilakah pula usaha membeli kereta mewah itu menjadi ibadah ? Bilakah pula usaha mendapatkan Phd itu menjadi ibadah ? Bilakah pula usaha menjadi pensyarah di universiti itu menjadi ibadah ?

Dia tidak memberitahu kita bahawa syarat sesuatu amalan itu menjadi ibadah apabila ianya ikhlas kerana Allah swt dan dilakukan dengan menepati kehendak Allah dan rasl iaiatu disebut sebagai muta’baah (mengikuti pertunjuk rasulullah salallahualaihiwasalam”.

قُلْ إِنَّ صَلاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
“Katakanlah sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah iaitu tuhan sekalian alam.” (Al-An’am : 162).

Ikhlas kerana Allah swt itu adakah dimaksudkan ianya dibuat semata-mata untuk Allah swt ? Atau mempunyai makna berkongsi iaitu dibuat amalan ini misalnya membeli kereta mewah ini kerana ianya bagus, glamour, selesa untuk kepentingan diri tapi aku tujukan amalan ini kepada Allah maka jadilah ianya ikhlas ?

Atau bermaksud aku berusaha mendapatkan status sebagai pensyarah universiti sebagai usaha untuk membuatkan kehidupan aku stabil dan selesa dan beroleh kehidupan yang mudah dan senang dan aku tujukan hal ini kepada Allah maka jadilah ianya ikhlas kerana Allah swt ?

Sedangkan ulama Islam mengajarkan kita usaha ikhlas itu apabila ianya dibuat semata-mata kerana Allah swt tanpa ada tujuan lain dan dilakukan hanya kerana Allah swt dan demi ketaatan kepada perintah-Nya bukan selain-Nya.

“Dan aku pengikut agama bapak-bapakku iaitu Ibrahim, Ishak dan Ya'qub. Tiadalah patut bagi Kami (para Nabi) mempersekutukan sesuatu apapun dengan Allah. yang demikian itu adalah dari karunia Allah kepada Kami dan kepada manusia (seluruhnya); tetapi kebanyakan manusia tidak mensyukuri (Nya).” (Yusof : 38).

Maka amalan masyarakat melayu yang menyandarkan sesuatu perbuatan kepada Allah swt tidak ubah mirip kepada perbuatan golongan jahiliyyah yang kerap pula menyandarkan sesuatu kepada Allah swt tanpa haq.

“Ingatlah, hanya kepunyaan Allah-lah agama yang bersih (dari syirik). dan orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah (berkata): "Kami tidak menyembah mereka (sembahan semuanya) melainkan supaya mereka mendekatkan Kami kepada Allah dengan sedekat- dekatnya". Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara mereka tentang apa yang mereka berselisih padanya. Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang pendusta dan sangat engkar.” (Az-Zumar : 3).

Melainkan jika sesuatu amalan itu dilakukan untuk Allah swt dan bukan atas dasar kepentingan peribadi serta dilakukan dengan maslahat yang diperlukan maka menjadilah hal itu ibadah.

Misalnya mereka yang menjadi pensyarah dengan tujuan menjadikan ianya sebagai landasan berdakwah maka mereka memperjuangkan Islam dari kedudukan mereka tanpa takut kehilangannya dan menjadikan ianya hanya sebagai wasilah dakwah bukan matlamat lalu kesenangan digadaikan dengan kegigihan menyeru manusia kepada Allah dan menjadikan sebagai usaha ubudiyyah kepada Allah swt maka barulah ini dinamakan ikhlas kerana Allah swt.

Pemikiran ini sungguh banyak di kalangan masyarakat Melayu Malaysia yang hidup senang lenang. Maka kerana itu sewaktu kebangkitan ilmu Islam dan kefahaman salaf soleh maka ramai sekali guru-guru yang mengaku salafi dan ustaz-ustaz serta Doktor phd yang mengaku salafi ini mengatakan kepada kita bahawa usaha kebajikan dan jihad itu harus dilakukan dengan bersenang-lenang dan mesti dengan mengecapi sijil ijazah Ba di universiti, mengikuti peperiksaan dan mendapat keputusan cemerlang lalu mencari pekerjaan yang selesa dan beroleh pendapatan yang banyak lalu mampu mengisi perut dan anggota badan kepada keperluannya baik makan-minum, tempat tinggal, pakaian, hiburan, perkahwinan yang memerlukan belanja, kesihatan, perlindungan dan sebagainya.

Berjalanlah hidup manusia di bawah sistem ini maka apabila ditanyakan kepada mereka seterusnya apa yang perlu dilakukan dan seterusnya apa yang perlu ditunaikan maka mereka tidak mampu memberikan jawapan serta kerana itu tiada perubahan di dalam hasil dakwah dan seruan mereka serta tiada hasil cemerlang dari madrasah serta didikan mereka.

Berbeza dengan kita yang mengikuti manhaj Ahlul Sunnah Wal Jamaah serta jalan Salaf soleh dari kitab dan sunnah maka teladan dari golongan dahulu memberikan kepada kita matlamat yang cukup jelas dari ubudiyah kepada Allah swt.

Dinamakan Manhaj yang bermaksud skima atau sistem teratur yang merupakan syariat yang diturunkan kepada manusia bagi menjalani kehidupan berubudiyah kepada Allah swt.

“Dan Kami telah turunkan kepadamu Al Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu Kitab-Kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap Kitab-Kitab yang lain itu; Maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. untuk tiap-tiap umat diantara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, niscaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, Maka berlomba-lombalah berbuat kebajikan. hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu.” (Al-Maidah : 48).

Kita mengetahui dan dapat menjawab persoalan apa yang perlu dibuat selepas ini dan setelah menyelesaikan suatu tugas kita akan tahu dan dapat pula mengarahkan orang lain dan diri kita bagi melakukan apa yang seterusnya perlu dilakukan kerana gambaran ubudiyah (ketaatan kepada Allah swt) itu jelas bagi kita dengan gambaran yang syumul dan lengkap.

Kerana itu kita tidak disibukkan dengan hal yang remeh dan menyangkut cabang dan furu serta kita pula mempunyai gambaran yang jelas terhadap syariat serta apa yang perlu diutamakan dan kerja apa yang perlu di dahulukan dan cara bagaimanakah pula hendak menetapkannya pun kita diberitahu oleh kitab dan sunnah dan dari ilmu ajaran guru-guru kita di dalam manhaj ini.

Misalnya di dalam satu contoh yang mudah, seorang dari mereka mungkin mengatakan kepada kita apabila melihat kita sedang minum berdiri dengan mengatakan wahai saudara hendaklah kamu minum duduk.

Mereka meninggalkan apa yang utama seperti aqidah dan dakwah seruan kepada persoalan mendasar sebaliknya mahu menegur kita dalam persoalan minum berdiri. Lalu apabila dijawab bahawa minum berdiri juga dibolehkan maka mereka dengan marah mengatakan kepada kita bahawa pendapat mereka lebih benar ini disebabkan terdapat hadith menyuruh meminum duduk dan jika terlupa hendaklah memuntahkan kembali apa yng telah diminum seperti yang ada di dalam as-sahih.

Tetapi jika kita menjawab kembali kepada mereka bahawa di dalam bukhari juga terdapat hadith yang menyebutkan bab minum berdiri yang memberitahu bahawa rasulullah juga pernah meminum berdiri dari hasil saki baki air-air wudhuk beliau seperti hadith riwayat Ibn Abbas ra daripada Ali ibn Abi talib ra serta hadith lain riwayat Tirmidzi daripada Ibn Umar ra yang juga menceritakan bahawa rasulullah pernah meminum berdiri dan masalah ini sudah berzaman disebutkan oleh Imam Ibn Hajar di dalam kitabnya Fathul Bari berkenaan masalah ini dan menyebutkan sebahagian ulama mengharuskan dan sebahagian yang lain melarang dan kepelbagaian lagi kisah mengenainya.

Maka mereka dengan cepat menuduh kita ini dengan pelbagai tuduhan dan gelaran sehingga akhirnya mengatakan kita ini dengan mereka telah berselisih pendapat maka sangat jelas sekali mereka mahu berhenti bersama dengan kita hanya disebabkan masalah furu’ (cabang) disebabkan mereka tidak mempunyai matlamat jauh dari itu dan tidak tahu apa yang hendak diperjuangkan selepas isu itu.

Sabda rasulullah : “Sesuatu kaum itu tidak akan tersesat setelah memperolehi pertunjuk dan mereka mengikutinya sehinggalah mereka melakukan perdebatan.” (hadith hasan).

Mereka ini menantikan isu (kisah baru) yang berlaku di kalangan masyarakat lalu memperjuangkannya dengan ilmu yang mereka miliki dan mereka tetap di situ, berlalu semusim pula maka datang isu baru lalu mereka perjuangkan pula isu seterusnya dan mereka tetap di situ.

Sedangkan kita mengatakan bahawa Matlamat kita ialah ubudiyah kepada Allah swt dan kerja kita cukup banyak yang perlu ditunaikan maka satu persatu kerja kita dilakukan dalam kehidupan di dunia ini yang mencapaikan kita kepada maksud itu bukan hanya bergerak mengikut arus semasa dan isu tetapi menurut peringkat dan sistem manhaj kehidupan yang mentaati Allah swt yang telah lengkap ditinggalkan oleh salaf soleh kepada kita.

Janganlah Mengambil Ilmu Dari Suhuf Dan Al-Qur’an dari Mushaf sahaja Tetapi Di ambil Ilmu dari Alim Ulama !

Para ulama dahulu terkenal dengan memiliki pelbagai guru dan pengajar serta pendidik yang memberikan mereka pelbagai pengetahuan dari pelbagai aliran dan pendapat sekaligus membuatkan mereka memahami Islam dengan aspek yang meluas dan dapat memahami gambaran lengkap serta mengetahui kekurangan dan kelebihan setiap pendapat lalu mencantumkan di dalam kitab-kitab tulisan mereka apa yang terbaik dapat mereka kumpulkan dari ilmu-ilmu.

Malangnya hari ini golongan suhufiyun (hanya membaca ilmu dari buku) dan kurang sekali mencapai pengetahuan dari hasil perbincangan dan pertanyaan dengan pelbagai ulama dan alim Islam menyebabkan mereka tersasar dari landasan yang sebenar yang sepatutnya dicapai oleh mereka. Masalah ini begitu meruncing apabila golongan ini sudah menjadi popular dan perihal mendapat ilmu dan mengaji dengan buku ini cukup popular di kalangan muda-mudi pelajar agama kerana lebih mudah dan segera.

Ini disebabkan ilmu jika dituntut dengan cara talaqi akan memakan masa maka bilalah pula seorang pelajar itu baru dapat berhasil beroleh sijil ? Berapa lama lagi harus belajar dan tidak boleh bekerja kerana belum memiliki sijil ? Bilakah lagi akan dapat tamat belajar untuk membolehkan dia bernikah dengan gadis cantik dan comel bertudung labuh yang menjadi idaman hati, berkulit putih gebu kerana masih belajar dan belum bekerja ? Bilakah lagi akan tamat belajar kerana belum dapat memiliki kereta dan belum pun dapat membeli rumah ?

Lalu pengajian perlu disingkatkan dan kesegeraan inilah yang didesak oleh sistem ekonomi dan sistem kehidupan sekuler barat yang menguasai manusia maka akan menghancurkan bidang ilmu. Belajarlah, kemudian bekerjalah untuk menyara kehidupan dan bernikahlah apabila sudah bertemu jodoh dan kesesuaian dan berusahalah mencari rezeki demi menyara kehidupan dan belajarlah meningkatkan kualiti dalam ketaatan ubudiyah kepada Allah swt. Belajar untuk tujuan sijil bukanlah diperintahkan tetapi belajar demi menunaikan ketaatan itulah yang menjadi kewajipan.

“Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.” (Al-An’am : 162).

Para ulama mengaji ilmu dengan berguru dari satu kitab ke sebuah kitab demikian yang dialami oleh mereka yang gigih mempelajari ilmu pengetahuan dan saya sendiri pernah menyaksikan hal sedemikian sehingga akhirnya pelajar benar-benar memahami akan ilmu yang terkandung di dalamnya serta aplikasi di dunia kehidupan.

Pernah salah seorang guru saya menceritakan bahawa beliau pernah menghabiskan masa bertahun-tahun hanya untuk menyelesaikan sebuah kitab secara pengajian talaqi dengan gurunya di masjid-masjid sekitar Mekah sewaktu zaman awal beliau. Hal ini bukanlah sebuah dongeng dan cerita kosong atau kisah rekaan kerana demikianlah adab dalam menuntut ilmu seperti yang boleh di baca dalam Kitab Jami Akhlaqul Rawi Wa Adabul Sima oleh Imam Khatib Al-Bagdadi ra dan demikian situasi biasa bagi mereka yang belajar ilmu dengan bersungguh di sekitar tanah arab yang disaksikan oleh mata kepala saya sendiri yang sangat jauh berbeza sistem tersebut dengan apa yang pernah saya lalui semasa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dahulu.

Ilmu yang terhasil dari pembacaan bukanlah ilmu selagi ianya belum diuji dan diteliti melalui pengkajian yang panjang, kritikan dan perbahasan panjang oleh ahli ilmu dan mereka yang takhasus (pengkhususan) di dalam bidang tersebut dan sehinggalah ilmu itu terbukti melalui amalan dan perbuatan yang ditegakkan secara realiti bukan hanya teori. Maka ambillah ilmu dari para ulama dan hayatilah manhaj kehidupan Islam yang membawa manusia kepada ubudiyah yang sempurna kepada Allah swt.

Segala puji hanyalah bagi Allah swt

emran ahmad
Jumaat 1427 Hijrah

Mekah Al-Mukarramah.

Wednesday, November 01, 2006

Apa Ada Dengan Ustaz ? Tak Perlu Semua Jadi PROTAZ ! Tetapi Jadilah PRODIYAH !

Melihat suasana yang menular di kalangan pelajar IPT cukup menghairankan saya apabila kelahiran pelbagai blog dan website baru yang tumbuh bagaikan cendawan menjuarai pelbagai isu agama dan ilmunya sekalipun pemilik dan penulisnya bukanlah ahli agama dan jauh sekali menerima tarbiyah (pendidikan) agama secara rasmi dan menjalani disiplin pengajian ilmu agama.

Wahai Muslimin dan Muslimat,

Ada apakah dengan gelaran title ustaz ? juga mengapa sebahagian saudara kita yang lain mahu menjadi profesional ustaz ? Pelik dengan fenomena ini maka ana merasakan tidak ada salahnya jika ana memberi sedikit nasihat, komen dan sedikit ulasan berkenaan hal ini dan sesiapa sahaja boleh menilai apakah nasihat ini benar dan tidak atau pun sesuai diterima atau pun ditolak.

Setiap kalam manusia boleh diterima dan ditolak kecuali sabda baginda rasulullah salallahualaihiwasalam.Maka di dalam hal ini sangat perlu para pemuda khususnya memperhatikan nasihat ana ini supaya beroleh kebaikan dan juga manfaat kepada mereka yang menaruh minat kepada ilmu agama dan bidangnya.

Gelaran Tidak Membawa Makna

Sesungguhnya di dalam Islam, gelaran, kemasyhuran serta kedudukan title bukanlah menjadi sesuatu tujuan yang dibenarkan untuk dimiliki jika tidak ada keperluan daruri atau mendesak yang membawa kepada keperluan dan kemanfaatan akhirat.

Bahkan di dalam persoalan menuntut ilmu, mempelajari ilmu agama dengan tujuan mendapat kedudukan dan juga gelaran penghormatan dari manusia maka hukumnya ialah haram dan berdosa ini berdalilkan kepada hadith Baginda rasulullah salallahualaihiwasalam yang pernah bersabda : “Barangsiapa yang menuntut ilmu untuk menyaingi para ulama, atau untuk berdebat dan mengalahkan orang yang bodoh atau untuk mencari wajah manusia kepadanya maka Allah akan menempatkan dirinya di dalam api neraka”. (Hadith sahih riwayat Tirmidzi dan Ibn Majah).

Di dalam hadith yang lain riwayat Abu Daud, nabi salallahualaihiwasalam memberi amaran bahawa mereka yang menuntut ilmu demi ganjaran dunia diharamkan dari mencium bau syurga. Maka para ulama menyebutkan bahawa menjadi kewajipan kepada pelajar ilmu untuk mengikhlaskan niat menuntut imu ialah semata-mata kerana Allah swt dan ditunaikan usaha ini sebagai ibadah kepada Allah swt.

“ Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama, Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Faathir : 28).

Para ahli ilmu menyebutkan bahawa dimaksudkan ulama itu ialah mereka yang memiliki perasaan takut kepada Allah swt dan disebabkan itulah mereka mendapat kedudukan sebagai ulama dari ilmu yang dimiliki membawa mereka menuju kepada takut kepada Allah swt lalu menghasilkan ketaatan.

Para imam mazhab benar-benar meninggalkan kepada kita semua teladan yang baik dalam masalah berfatwa dan keilmuan sehingga perlu dicontohi oleh para pelajar ilmu bukan hanya kepada kealiman mereka tetapi juga pada taqwa dan keimanan mereka.

Al-Imam Malik ra pernah berkata “ Barangsiapa yang ditanya akan suatu persoalan maka sebelum dia menjawabnya hendaklah terlebih dahulu menyerahkan dirinya kepada pertimbangan syurga dan neraka dari perbuatannya itu apakah dia dapat melepaskan diri di akhirat kelak kemudian barulah dia boleh menjawab persoalan tersebut.”

Bahkan Imam Malik ra sendiri terkenal dengan jawapannya paling berhikmah iaitu “Aku tidak tahu” sehingga apabila seorang dari muridnya berkata apakah akan aku pulang memberitahu orang-orang ramai mengenai engkau tidak tahu dalam masalah ini ? Lalu dijawab oleh imam dengan berkata : “Ya, beritahu kepada orang-orang lain bahawa aku tidak tahu”. Demikianlah wara’ dan taqwa mereka kepada Allah swt mengatasi ilmu mereka.

Pada hari ini, disebabkan perang saraf oleh kuffar yang menguasai system pendidikan dunia dan umat Islam dikuasai pemikiran oleh mereka maka ramai memandang title dan gelaran ilmiah seperti Doktor Falsafah, Profesor itu sebagai ukuran keilmuan seseorang sedangkan hakikatnya ialah semua gelaran ini hanya menunjukkan kejahilan pemiliknya yang tunduk kepada desakan semasa kuffar dan mereka yang tidak yakin kepada keizzahan Islam dan keaslian sistem ilmu Islam.

Kembali kepada gelaran PROTAZ dan juga sikap pemuda-pemudi IPT yang berlumba-lumba mendalami ilmu agama maka nasihat ana ialah usaha yang dilakukan oleh mereka sangatlah bagus dan baik cuma hendaklah bersikap awas dan berhati-hati. Kita sudah memiliki beberapa orang PROTAZ yang baik seperti Saudara Kapten Hafiz Firdaus dan beberapa lagi tokoh maka bagi ana mereka ini sudah mencukupi sebagai wakil kita di dalam urusan ini.

Bukan semua orang perlu menjadikan PROTAZ ini sebagai trend yang baik dan perlu diikut sebaliknya cukup dengan apa yang ada kerana gejala ini bukanlah gejala yang baik kerana gelaran tidak membawa makna apa-apa nilai. Bukan semua pemuda dapat mengikuti ketaqwaan Hafiz Firdaus, atau memiliki keimanan seperti beliau sehingga dapat menerima bebanan untuk melakukan kerja-kerja seperti beliau.

Berfatwa dan Memberi Keputusan Ialah Satu Tanggungjawab Yang Disoal

Keberanian para pemuda Islam dalam memberi fatwa dan menjawab persoalan hukum hakam agama tanpa mendalami terlebih dahulu bidang tersebut sangatlah dikesali dan hal ini benar-benar mengundang kepada fitnah serta bahaya di dalam masyarakat Islam.
“Kami tiada mengutus rasul-rasul sebelum kamu (Muhammad), melainkan beberapa orang-laki-laki yang Kami beri wahyu kepada mereka, Maka Tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui.” (Al-Anbiya :7).

Para sahabat rasulullah dan golongan salaf soleh terdahulu benar-benar meninggalkan teladan yang sangat berguna kepada kita namun malangnya para pemuda yang mengaku mengikuti manhaj salaf soleh sebaliknya mengabaikan banyak dari teladan mereka. Di dalam masalah berfatwa misalnya para sahabat ra sangat terkenal menjaga lisan dan diri mereka dari berfatwa sesuatu yang tidak mereka ketahui dan sangat berhati-hati di dalam mengeluarkan pendapat dan memberikan tunjuk ajar keputusan hukum.

Sehingga para ulama menyebutkan orang yang paling banyak berfatwa di kalangan kamu ialah orang yang paling berani masuk ke dalam neraka lantaran disebabkan banyak berfatwa mendedahkan dirinya kepada pelbagai kesalahan dan juga tanggungjawab yang besar yang perlu dipikul dari keputusannya kerana melibatkan kehidupan dan pengaruh kepada orang lain.

Utbah ibn Muslim pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah berkawan dengan Ibn Umar ra (Abdullah Ibn Umar ra) selama tiga puluh empat bulan dan seringkali ketika beliau ditanya dengan sesuatu persolan maka djawab oleh beliau dengan berkata : “Aku tidak tahu”.

Demikian juga Ibn Abi Laila ra yang menyebutkan aku pernah melihat seratus dua puluh lebih para sahabat rasulullah salallahualaihiwasalam dari kalangan ansar yang apabila ditanyakan dengan sesuatu permasalahan agama maka dia menyerahkan kepada yang lain sehingga sahabat yang lain itu menyerahkan kepada yang lain sehingga seringkali persoalan itu kembali kepada sahabat yang pertama ditanyakan tadi.

Setiap yang diusahakan di dunia hari ini akan dipersoalkan oleh Allah swt di akhirat maka hendaklah kita berhati-hati khasnya di dalam ilmu agama yang memerlukan kepada ahli di dalam bidangnya.

Di dalam Al-Qur’an, Allah swt menyebutkan :
“ Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak sebahagian dari tiap-tiap golongan di antara mereka dikhususkan beberapa orang untuk memperdalamkan pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat mengambil pengajaran.” (At-Taubah : 122).

Ayat ini memberi pemahaman kepada kita bahawa tugasan menuntut ilmu itu juga tidak semestinya perlu diceburi oleh semua orang secara mendalam atau secara khusus cukup dikhaskan beberapa golongan yang mampu untuk tujuan itu sama seperti maksud asal iaitu tugas keluar berjihad dan berperang itu tidak semuanya dilakukan oleh semua pihak tetapi wujud golongan yang bertafaquh menguasai ilmu agama untuk memperingati umat Islam.

Ilmu Ialah Wasilah Bukan Matlamat

Matlamat kita wahai para pemuda Islam ialah Ubudiyah kepada Allah swt, bukanlah ilmu sebaliknya ilmu ialah sebagai wasilah (jalan) kepada menuju ketaatan yang benar dan diterima oleh Allah swt. Tanpa ilmu manusia akan menuju kepada kehancuran dan kesesatan. Juga dengan ilmu sekalipun manusia tetap dapat rosak dan hancur oleh kebinasaan sekiranya matlamat dari menuntut ilmu itu tidak jelas dan jalan keilmuan itu tidak menuju kepada matlamat yang benar.

Allah swt telah berfirman :

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْأِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
“Dan tidaklah aku menciptakn jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku”. (Adz-zariyat : 56)

Al-Imam ibnu Taimiyyah rahimullah ketika ditanya kepadanya apakah yang dimaksudkan dengan Ubudiyah maka beliau pun menjawab sesungguhnya ubudiyah itu ialah ketaatan kepada Allah swt dan melakukan apa yang diredhai serta dikehendaki oleh Allah swt baik berupa perkataan seperti zikir dan doa atau mengucapkan perkataan yang baik, perbuatan hati seperti niat dan hasrat kepada kebaikan serta ikhlas dan juga amalan zahir anggota badan seperti mendirikan solat berpuasa, menunaikan zakat, mengerjakan haji, memenuhi amanah dan tanggungjawab kepada yang berhak, berlaku adil, menunaikan amar makruf nahi mungkar, berjihad di jalan Allah menentang kuffar dan munafiqin serta musuh Allah swt, berbakti kepada ibu dan bapa, berlaku baik kepada jiran, membaca Al-Quran dan lain-lain kewajipan yang telah disampaikan dengan jelas dan terang oleh Nabi Muhammad salallahualaihiwasalam.

Penghambaan diri kepada Allah swt ialah suatu kewajipan dan merupakan perintah dari Pemilik Alam Semesta supaya manusia tunduk dan patuh kepada ketetapan dan perintahnya serta supaya manusia mencari akan jalan-jalan yang dapat membawa mereka kepada mentaatinya secara penuh sempurna dan diredhai olehnya.

Kerana itu manusia diwajibkan menuntut ilmu serta dijadikan usaha menuntut ilmu iu sebagai sebahagian dari usaha ketaatan dan dikira dalam amalan ketaatan dan diberi ganjaran ketaatan iaitu pahala, keampunan, dan ketinggian darjat serta kedudukan di sisi-Nya sehingga akhirnya diberikan keredhaannya.

Semuanya supaya dari usaha menuntut ilmu itu manusia dapat meninggalkan kejahilan dan mengetahui serta menemui perkara-perkara yang dapat dilakukan bagi mentaatinya, yang perlu dan mesti dilakukan bagi mentaatinya, yang perlu ditinggalkan bagi mentaatinya dan juga yang perlu dicari dan dikaji bagi mentaatinya serta mengetahui pula perkara yang mesti diperjuangkan, dipertahankan dan digadaikan nyawa dan darah demi menunaikan ketaatan kepadanya.

قُلْ إِنَّ صَلاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
“Katakanlah sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah iaitu tuhan sekalian alam.” (Al-An’am : 162).

Kefahaman Itu Yang Utama

Apabila kita sudah memahami matlamat menuntut ilmu itu sendiri maka seterusnya menjadi mudah untuk mencapai apa yang dimaksudkan kefahaman. Hal ini disebabkan faham hanya diberikan oleh Allah swt kepada mereka yang memiliki keikhlasan dan usaha menuju matlamat ubudiyah kepada Allah swt.

Hanya mereka yang mengerti bahawa semakin banyak ilmu yang dituntut maka semakin beban diri dengan pelbagai kewajipan ketaatan kepada Allah swt yang baru diketahui dan perlu diamalkan berbanding keadaan dahulu sewaktu jahil. Maka pemahaman kepada ilmu itu terhasil dari keikhlasan menuntut ilmu untuk mentaati Allah swt dan dilakukan hanya kerana niat mentaati Allah swt bukan kerana hal duniawi.

Maka kepentingan faham di dalam keilmuan ialah darinya masalah dalam kehidupan dapat diselesaikan menurut keputusan yang adil, menepati kehendak Allah swt serta mencapai maksud ketaatan kepada Allah swt dengan sempurna. Kemudian hasil dari keputusan yang sempurna dan cemerlang itulah memberikan ganjaran akhirat yang lebih besar dari keputusan yang kurang tepat dan salah.


“Dan (ingatlah kisah) Daud dan Sulaiman, di waktu keduanya memberikan keputusan mengenai tanaman, karena tanaman itu dirusak oleh kambing-kambing kepunyaan kaumnya. dan adalah Kami menyaksikan keputusan yang diberikan oleh mereka itu, Maka Kami telah memberikan pengertian kepada Sulaiman tentang hukum (yang lebih tepat) ; dan kepada masing-masing mereka telah Kami berikan Hikmah dan ilmu dan telah Kami tundukkan gunung-gunung dan burung-burung, semua bertasbih bersama Daud. dan kamilah yang melakukannya”. (Al-Anbiya : 78-79).

Menurut riwayat Ibnu Abbas bahawa sekelompok kambing telah merosakkan tanaman di waktu malam. Maka yang tuan punya tanaman mengadukan hal ini kepada Nabi Daud as lalu baginda Daud as memutuskan bahawa kambing-kambing itu harus diserahkan kepada pemilik tanaman sebagai ganti kepada tanaman yang rosak. Tetapi Nabi Sulaiman as memutuskan supaya kambing-kambing itu diserahkan hanya sementara kepada pemilik tanaman untuk diambil manfaatnya dan tuan pemilik kambing diharuskan mengusahakan tanaman itu dengan tanam-tanaman yang baru.

Sehingga apabila tanaman yang baru telah dapat diambil hasilnya, maka tuan pemilik asal yang mempunyai kambing itu boleh mengambil kambingnya kembali. Keputusan Nabi Sulaiman a.s. ini adalah keputusan yang tepat dan disebutkan sebagai keputusan yang lahir dari kefahaman yang sahih terhadap kitab Allah swt berbanding kefahaman ayahnya Daud as yang juga sahih dan benar cuma Sulaiman lebih difahamkan akan hal tersebut.

Jadilah PRODIYAH, USTADIYAH atau Hamba Allah

Sekiranya masih ingin glamour di muka bumi ini maka tumpukan usahakan kepada mencapai ubudiyah kepada Allah swt bukan kepada kesibukkan duniawi dan hal-hal yang kurang memberi faedah kepada masyarakat dan ummah islamiyah.

Jadilah Profesional Ubudiyah (profesional yang beribadah kepada Allah) atau Ustadiyah (Ustaz yang beribadah kepada ALlah swt) dan menunaikan ketaatan serta tuntutan ubudiyah sepenuhnya kepada Allah swt dan bukannya dipermainkan oleh isu-isu remeh dan sibuk dengan masalah-masalah sampingan sehingga melupakan tugasan serta kerja-kerja dasar dalam ummah.

Apa salahnya menjadi doktor yang tidak boleh mentashihkan hadith ? Tidak boleh menghukum dan menentukan darjah sesebuah hadith ? Berdosakah ? Tidaklah sekali-kali tetapi akan berdosa apabila menjadi doktor yang hidupnya kerana matlamat duniawi atau kehidupannya tidak ditunaikan sepenuhnya sebagai hamba kepada Allah swt.

Apa ada pada ilmu hadith ? usul fiqih ? usul tafsir dan ilmu riwayat serta sirah ? Jika semua ilmu ini tidak membawa kepada ketaatan kepada Allah swt ? Sebaliknya bukankah begitu hebat ilmu geologi, ilmu genetik dan ilmu sains yang dengannya telah membuatkan manusia beribu beriman kepada Allah swt lantaran menemui pelbagai mukjizat dan kebenaran Islam yang terbukti dengan ilmu-ilmu ini (boleh baca mukjizat Al-Qur'an dari sudut Sains Oleh Harun Yahya).

Ilmu hanya wasilah bukan matlamat, gelaran hanya pinjaman sementara bukan kekal di semat di dada, sebaliknya ubudiyah dan kehambaan merupakan tugas asal diciptakan manusia dan ianya kekal ditengkuk sebagai satu bebanan dan tanggungjawab serta kewajipan yang mesti ditunaikan.

Profesional Ubudiyah ialah mereka yang bertugas sebagai hamba Allah tetapi begitu profesional dalam menjalankan kerja-kerja ubudiyah dengan teratur, sistematik maka mereka inilah yang bagus dan baik kerana merupakan seorang profesional ubudiyah kepada Allah swt. Pendek kata mereka ialah hamba Allah swt yang profesional dalam menjalankan kerja-kerja ibadah dan ubudiyah kepada Allah swt dan mereka inilah yang menduduki makam yang tinggi di sisi Allah swt.


Segala puji hanyalah bagi Allah swt,
Mekah Al-Mukarramah