Thursday, January 26, 2006

Teguran Dari Aku Untuk-DiriMu (18 PL)


Meneliti beberapa weblog kawan-kawan, rakan taulan, sahabat-handai membuatkan ana terkasima, terjanggama, tersangkasuma serta pelbagai lagi rasa tidak seksama di hati dan kurang senang di diri.

"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma 'ruf, mencegah dari yang munkar" (At-Taubah: 71).



Permasalahan Bercampur Lelaki Perempuan

Sesungguhnya perintah menundukkan pandangan merupakan satu adab, tuntutan dan perintah sunnah yang diperintah oleh Allah swt dan diajari oleh sunnah baginda salallahualaihiwasalam. Ana merasa pelik bagaimana pemilik-pemilik weblog tertentu boleh memaparkan gambar lelaki dan wanita bergambar di tepi pantai yang indah.....konon melalui satu program, baktisiswa dan pelbagai lagi.

“Janganlah kamu mendekati zina sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang sangat keji dan seburuk-buruk jalan (dalam memenuhi fitrah)” (Al-isra : 32).

Sungguh persahabatan lelaki perempuan, memual di friendster, di Sms.ac, YM dan pelbagai lagi medan yang ana tahu dan tidak tetapi sebenarnya ianya meragukan dan dipenuhi syubhat. Tidak bersalah berkenalan, tidak bersalah apa-apa untuk seorang lelaki menjemput seorang muslimah menyertai rangkaian "friendster"nya atau apa....

Namun menjadi kesalahan bagi seorang muslim yang beriman dengan Allah dan rasul serta mengakui menuruti perintah Al-Qur'an dan sunnah untuk memaparkan gambar-gambar wanita dan lelaki sekalipun bertudung tetapi bercampur dalam sebuah gambar dengan tanpa keperluan yang mustahak dan darurat.

“Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengharamkan apa yang baik yang dihalalkan oleh Allah kepada kamu dan janganlah kamu melampaui batas sesungguhnya Allah tidak suka kepada golongan yang melampaui batas” (Al-Maidah : 87).

Apakah kepentingan dan manfaat seorang yang beriman kepada Allah swt memaparkan gambar rakan-rakan kenalan wanitanya dalam weblog, friendster dan lain-lain sekiranya dia seorang yang muslim ?

“Dan katakanlah kepada lelaki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluan-nya" (An-Nur: 30).

“Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluan-nya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya” (An-Nur: 31).

Lalu menulis di bawahnya " rehlah ke pantai" atau " kami berposing dengan gembira" apakah ini adab dan teladan sunnah rasulullah salallahualaihiwasalam ?

Sekalipun pada zaman baginda rasulullah tiada kamera digital dan kamera manual tetapi tentu kita tahu bahawa sekiranya wujud kamera pun pada zaman nabi salallahualaihiwasalam para sahabat ra dan rasulullah tidak akan berpossing-possing bercampur lelaki dan perempuan dalam satu gambar !!!

Sedangkan baginda pernah menyebut : “Sesungguhnya wanita itu adalah aurat, maka apabila dia keluar (dari rumah) , syaitan akan menghiasinya” (Dikeluarkan oleh Al Bazzar dan At Tirmidzi dan dishahihkan oleh Asy Syaikh Al Albani dalam Irwaul Ghalil jilid I).

“ Sesunnguhnya nafsu itu sentiasa mengarah kepada kejahatan…” (Yusof : 53).

Baginda rasul pernah mengatakan : “Sesungguhnya tidaklah datang malu melainkan membawa kebaikan” (hadith sahih riwayat Bukhari no 6117 dan Muslim no 37).

Apakah mungkin sahabat ra akan berpossing bertangkap gambar dengan sahabat wanita ra dengan alasan mereka bergambar kenangan kononnya "ukhuwah fillah" di tepi pantai yang indah atau di hutan peranginan kawasan rekreasi ?

“Dan sesungguhnya pada peribadi rasulullah itu sebagai contoh teladan yang terbaik.” (Surah Al-Ahzab : 21).

MasyaAllah..., sekalipun ana ini dianggap kolot tetapi ana merasakan perlulah menegur sahabat-sahabat dan kenalan ana yang terlalu sangat modennya dan bebas pergaulannya.

Kita perlu sedar, perbuatan bersosial lelaki perempuan tanpa batasan sangat ketara bertentangan dengan perintah daripada Al-Qur'an dan sunnah dan hendaklah kita berusaha menjaga diri dari maksiat.

Tidak haram perempuan muslimah memaparkan gambarnya yang menutup aurat dan gambar-gambar bersama kawan-kawan perempuannya sekalipun hukumnya makruh dan dibenci serta boleh jatuh haram apabila mengundang fitnah tetapi apabila dia memaparkan gambar dirinya (wanita) dengan kawan-kawan lelakinya maka ianya sudah jadi salah dan seolah-olah umat Islam ini sama sahaja seperti barat yang biasa bergambar lelaki perempuan kawan kenalan cuma hanya tudung yang membezakan.


Hubungan Bebas Lelaki Dan Wanita


Sesungguhnya syariat Islam membataskan perhubungan lelaki dan wanita dalam apa jua keadaan yang tiada keperluan dan hendaklah hubungan itu berlangsung dengan menuruti syariat dan membawa manfaat bukan mudharat.

Terlalu bebas hubungan lelaki perempuan baik dalam ruangan chat di yahoo mesengger, di dalam mirc dan juga di dalam ruangan-ruangan agama yang merapu dan mengarut.

“ Sesunnguhnya nafsu itu sentiasa mengarah kepada kejahatan…” (Yusof : 53).

Kita lihat dalam group-group dan ruangan agama yang dibangunkan secara portal banyak mengarut sekalipun mengunakan nama-nama agama dan arab tetapi dalamnya lelaki dan perempuan bebeas mengarut dan bermaksiat dan merapu dan berkenalan dan bersosial seolah-olah seperti barat cuma di atas namakan agama.

eida (bukan nama sebenar) : Hai..apa kaba ? cihat x ? i just visit ur blog...nice i like it...ukhuwah fillah...bila leh jumpe
tuan punya blog ( lelaki) : baik....u pulak jaga diri yee...Ukhuwah Fillah !

Apabila ana membaca tulisan di atas dalam ruangan chitchat di blog-blog dan juga seringkali menemui percakapan bodoh, kosong seperti ini dalam ruangan-ruangan agama maka ana merasa sedih dan terkilan dengan budaya Islam di Malaysia yang sudah mengarut.

Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam bersabda : “Aku melihat ke dalam syurga maka aku melihat kebanyakan penduduknya adalah fuqara (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam neraka maka aku menyaksikan kebanyakkan penduduknya adalah wanita” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim dari Ibnu Abbas dan Imran serta selain keduanya).

Dari Imran bin Husain dia berkata, Nabi Shalallahu ‘alaihi wassalam bersabda : “Sesungguhnya penduduk syurga yang paling sedikit adalah wanita.” (hadith riwayat Muslim dan Ahmad).

Imam Qurthubi rahimahullah mengulas hadits di atas dengan pernyataannya : “Penyebab sedikitnya kaum wanita yang masuk syurga adalah hawa nafsu yang mendominasi pada diri mereka, kecondongan mereka kepada kesenangan-kesenangan dunia, dan berpaling dari akhirat kerana kurangnya akal mereka dan mudahnya mereka untuk tertipu dengan kesenangan-kesenangan dunia yang menyebabkan mereka lemah untuk beramal. Kemudian mereka juga sebab yang paling kuat untuk memalingkan kaum lelaki dari akhirat disebabkan adanya hawa nafsu dalam diri mereka, kebanyakan dari mereka memalingkan diri-diri mereka dan selain mereka dari akhirat, cepat tertipu jika diajak kepada penyelewengan terhadap agama dan sulit menerima jika diajak kepada akhirat.” (Jahannam Ahwaluha wa Ahluha halaman 29-30 dan At Tadzkirah halaman 369).

Apalah gunanya ada jemaah-jemaah dan gerakan sofwah Islamiyah sekiranya mereka dengan gerakan-gerakan dan persatuan-persatuan ini lebih merosakan dan mencampurkan anak-anak muda lelaki dan perempuan dengan mengatas namakan agama ??

Muslimat tudung labuh konon menjaga diri tetapi boleh pula bergambar senyum manis dengan rakan-rakan lelaki yang berkopiah merah, putih dan kopiah raihan konon "ukhuwah Islamiyah" sedangkan Islam bukanlah demikian dan pemikiran umat Islam Malaysia sudah melampaui batasan.

Segala puji hanyalah bagi Allah swt dan dalam kesakitan dan kesihatan yang merosot dan diri yang lemah ini ana memanjatkan rayuan kepada umat Islam kembalilah kepada sunnah rasulullah salallahualaihiwasalam.

Pesanan buat muslimah, hentikanlah kata-kata mengedik-gedik, terhegeh-hegeh, mengatal tak tentu hala dan jadilah muslimah solehah yang menjaga diri, cakapan dan tulisan serta perangai.

Bagi muslimin, hendaklah menjaga diri dengan iman dan ilmu serta akhlak yang soleh dan mentaati perintah Allah dan rasul-Nya, usahakan menghindari fitnah wanita dan godaan percampuran bebas kerana lelaki yang soleh ialah yang menjaga dirinya dari maksiat kepada Allah swt.

Sabda baginda rasulullah : " Tujuh golongan yang akan dinaungi oleh Allah swt di hari tiada naungan (perlindungan) selain dari perlindungan Allah...pemuda yang hidup dalam ibadah kepada Allah (jauh dari maksiat) ....pemuda yang apabila digoda oleh wanita yang cantik dan berkedudukan untuk melakukan maksiat lalu berkata : Sesungguhnya aku takut kepada Allah..." ( Hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim).

Katakanlah wahai muslimin sejati, salafi dan sunni dan hakiki dan umat Nabi Salallahualaihiwasalam apabila kamu di goda oleh muslimat-muslimat dengan menerima kehadiran mereka tanpa diundang dalam hidup kamu dengan berkata "Sesungguhnya aku takut kepada Allah".

Segala puji hanyalah bagi Allah swt, semoga Allah menerima diri ana di sisinya dan kepadanyalah ana kembali...

Sakit ini satu nikmat
Kerananya kita menyedari akan perihal rahmat
Hikmah yang tersembungi di dalam langit tinggi
Hanya pemilik langit dan bumi yang mengetahui
Kesembuhan itu aku tidak ingini
Keredhaan itulah yang aku dambai

p/s :
Sebuah risalah yang bertajuk : "Permasalahan Hubungan Lelaki Perempuan di Alam Maya" akan dikeluarkan untuk manfaat umum...insyaAllah.

Friday, January 20, 2006

Permasalahan Qadha Solat Bagi Yang Meninggalkan Solat Tanpa uzur


Keuzuran yang syar’ie yang membuatkan seseorang itu tidak berdosa ketika meninggalkan solat ialah gila, terlupa atau tertidur, dipaksa, sudah menunaikan solat secara jamak, ketakutan yang bersangatan kerana ancaman keadaan (seperti yang berlaku ketika peperangan khandak lihat dalam Bukhari no. 598).

Adapun selainnya baik lelaki dan perempuan yang berakal, Islam, serta telah baligh maka baginya kewajipan yang ditetapkan supaya mendirikan solat.

“Sesungguhnya solat itu ialah satu ketentuan ke atas orang yang beriman dengan kewajipan yang ditentukan” (An-Nisa : 103).

Bersabda rasulullah salallahualaihiwasalam : “ Sesungguhnya antara (pembatas) seorang lelaki itu dengan syirik dan kufur ialah meninggalkan solat” (hadith sahih riwayat Muslim no. 987, Abu Daud, Nasaie).

Perintah menunaikan solat ialah satu kewajipan sehingga bagi yang sakit tidak terlepas dari kewajipan menunaikannya selama mempunyai akal apabila Islam memberi kelonggaran supaya harusnya menunaikan solat dengan keadaan duduk, berbaring dan bahkan dengan gerak isyarat mata atau sehingga jika tidak mampu cukup dengan lintasan hati selama ianya masih sedar dan berakal.

“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah semampu kamu” (At-taghabun :16).

Juga sekiranya tiada air demi bersuci dan berwudhuk maka Islam membolehkan bertayamum mengunakan debu tanah yang berada di sekeliling dunia.

“ Apabila kamu tidak menemui air maka bertayammumlah dengan debu tanah yang suci..” (Al-maidah : 43)

Perbuatan meninggalkan solat ialah dosa besar dan termasuk salah satu di antara dosa yang boleh membawa kufur kepada pelakunya. Sekiranya ada sesiapa yang meninggalkan solat kerana mengingkari kewajipannya dan membenci perbuatan solat yang merupakan ibadah ini dan menganggap menyusahkan maka ianya tanpa syak kufur dan murtad dari agama Islam dengan ijmak ulama (Al-Majmuk m/s 16 Jilid 3, Hukum Meninggalkan Solat oleh Ibn Qayyim).

“Sesungguhnya solat itu ialah satu ketentuan ke atas orang yang beriman dengan kewajipan yang ditentukan” (An-Nisa : 103).

Adapun yang meninggalkan solat dengan sebab malas dan leka serta lalai kerana dunia dan dalam masa yang sama tidaklah menafikan kewajipan solat dan tidak pula bermaksud mengingkari perintah Allah maka baginya hukum fasiq dan munafiq namun masih tetap dianggap muslim dan dipelihara haknya sebagai muslim tetapi tetap wajar menerima hukuman dan teguran. Demikian mazhab As-Sauri , Abi Hanifah dan golongan Maliki serta Syafie dan Ahmad dari riwayat-riwayat lain yang darinya (lihat Mughni Muhtaj, Al-Majmuk dll).

Sekalipun mereka ini yang berpendapat tidak jatuh kafir bagi orang yang meninggalkan solat dengan sebab malas dan leka serta lalai namun para ulama ini tidak pula bermaksud mengambil pandang ringan kerana mereka tetap menetapkan perlaku dosa besar meninggalkan solat ini mesti dihukum dengan hukuman bunuh dan ini pendapat Maliki serta Syafie.

Adapun pendapat yang mengatakan mereka ini tidak dibunuh sebaliknya disebat dan dipenjara sehingga mati atau bertaubat nasuha dan ini pula ialah pendapat dari mazhab Az-Zuhri dan Ibn Musayyib serta Umar Ibn Abd Aziz dan Abu Hanifah dan Ibn Hazm.

Manakala sebahagian yang lain tetap mengkafirkan golongan ini yang meninggalkan solat tanpa uzur sekalipun tidak menolak kewajipan solat dengan menjatuhkan hukum kafir dan murtad dari Islam kerana meninggalkan solat yang merupakan rukun Islam dan mereka ialah mazhab Said ibn Jubair , Auzaie, Ibn Mubarak, Ishaq dan riwayat yang sahih dari Imam Ahmad dan salah satu qaul dari mazhab Syafie serta Ibn hazm dengan riwayat daripada Umar ibn Khatab , Muadz ibn Jabal dan Abd rahman ibn Auf serta Abi Hurairah dan selainnya dari sahabat rasulullah ra (lihat dalam Al-Insof, Majmuk Fatawa, Hukum Meninggalkan solat oleh Ibn Qayyim).

Pelbagai khilaf dan hujah serta dalil dalam masalah ini namun saya tidak berhajat memanjangkan bicara dalam masalah khilaf ini sebaliknya terus kepada isi pokok perbincangan iaitu tentang perihal qadha solat bagi yang meninggalkan solat tanpa uzur.

Ketahuilah baik salah satu diantara kedua kedudukan hukum golongan yang meninggalkan solat apakah kafir atau fasiq dan munafiq maka keduanya berdosa besar dan bukanlah ringan dan baik sebaliknya tercela dan dibenci dengan kemurkaan Allah swt.

Pendapat yang membolehkan dan mewajibkan qadha bagi yang meninggalkan solat ialah mazhab jumhur ulama daripada imam mazhab yang empat dan ianya dengan syarat hendaklah perlakunya yang meninggalkan solat tanpa uzur itu selain berqadha solatnya yang telah ditinggalkan maka hendaklah juga bertaubat dengan taubat nasuha atas dosa besarnya itu (lihat dalam Al-Majmuk, Al-Insof dll).

Bukanlah bermakna bolehnya qadha solat itu maka diri pembuat dosa boleh terselamat dan terampun dosa sebaliknya hanya usaha ikhtiar selain taubat nasuha bagi menebus kesalahan yang telah dilakukan.

Adapun pendapat selainnya yang mengatakan tiada qadha bagi solat yang ditinggalkan ialah pendapat Umar ibn Khattab dan ibn Umar serta Sa’ad ibn Abi Waqas dan Ibn Mas’ud ra, Ibn Sirrin , Ibn Hazm, dan juga pendapat daripada Syeikhul Islam ibn Taimiyyah ra serta jumlah besar dari salaf soleh yang lain.

“Sesungguhnya solat itu ialah satu ketentuan ke atas orang yang beriman dengan kewajipan yang ditentukan” (An-Nisa : 103).

Demikian jumlah besar menolak adanya qadha solat dengan dalil bahawa solat ini satu kewajipan yang dibuat hanya pada waktunya bukan diluar waktunya (lihat Al-Muhalla ibn Hazm, Majmuk Fatawa, Nailur Authar dll).

Dalam hal ini satu keputusan dapat diambil bahawa golongan yang menolak adanya qadha solat ialah kerana selain menetapkan solat dilaksanakan pada waktu khas dan jika selainnya tidak lagi dikira maka mereka juga mengkafirkan peninggal solat sehingga tiada guna menunaikan qadha lagi.

Keadaan ini dapat diselesaikan hanya apabila orang yang meninggalkan solat ini bertaubat dan kembali dengan taubat nasuha serta di sini mereka diwajibkan melakukan qadha.

“Wahai orang-orang yang beriman bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha (yang sersungguh-sungguh) moga tuhanmu akan menghapuskan dosa-dosa kamu …” (At-Tahrim : 8).

Maka bagi yang bertaubat dengan taubat nasuha maka hendaklah dia mengulangi segala solat yang telah ditinggalkan dengan melakukan solat pada waktunya dan memperbanyakkan solat-solat sunat.

Ini berdasarkan kepada hadith rasul yang menyebut : “Sesungguhnya yang paling awal akan dihisab di hari akhirat daripada amal perbuatan ialah solat dan sekiranya baik (solatnya) maka telah berjaya dan selamat dan sekiranya rosak (meninggalkan) solatnya maka gagal dan rugilah dia serta jika berkurang pahala dari solat wajibnya maka akan berkatalah tuhan yang Mulia dan tinggi : Lihatlah apakah hambaku ini ada melakukan solat sunat dan tampunglah apa yang kurang dari yang wajib dan kemudian jadikanlah seluruh amalannya seperti itu” (hadith sahih riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi dan Ibn Majah).



wallahualam

Wednesday, January 18, 2006

Permasalahan Hukum Membina Bangunan Di atas Kubur

Syeikh Ibn Baz ra menyebutkan dalam fatwanya :

Perbuatan membina bangunan (misalnya kubah dan lain-lain) di atas kubur baik kubur para pemerintah, raja-raja atau tokoh orang soleh atau sesiapa pun ialah haram dan termasuk bid’ah serta larangan yang ditegah oleh Islam.

Bahkan perbuatan menulis nama di atas kubur pada batu nisan, menulis tarikh mati dan kalimah-kalimah tertentu termasuk di antara bid’ah yang dibenci oleh salaf soleh.

Bahkan dalam hadith sahih Muslim melalui riwayat Jabir ra : “Rasulullah melarang dari mewarnakan kubur ( menghiasi kubur) , menduduki atasnya atau membuat binaan di atasnya” dan dikeluarkan oleh Tirmidzi dengan isnad yang sahih dengan tambahan “ dan juga menulis di atasnya” .

Larangan ini menjadikan kita perlu menyedari bahawa perbuatan mengukir batu nisan dan sebagainya dengan juga perbuatan menghiasi kubur ialah satu bid’ah yang tiada asal (punca) atau pertunjuk dari sunnah dan para sahabat nabi .

“ Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu urusan baru dalam agama kami sedang ianya bukan dari kami maka sesungguhnya ianya ditolak.” (Hadith sahih riwayat Bukhari dalam Fathul Bari no. 156 Jilid 8 & Muslim no.4467) .

Tanda kubur cukup sahaja dengan kayu atau batu biasa yang menandakan kawasan perkuburan dan dibuat demi maslahat mengenal adanya perkuburan supaya mengelak dari bersolat di atasnya atau mengalinya tanpa keperluan.

Adapun menghiasi dengan payung kuning, adanya kubah, ukiran dan binaan tinggi jika tanpa keperluan misalnya bukan dibuat demi mengelak dari banjir atau memelihara kawasan perkuburan dari kerosakan maka ianya ialah haram dan termasuk bid’ah.

Sumber dari http ://www.binbaz.org.sa

Menyebut Nama Allah swt dengan Isim Mufrad Amatlah Dibenci & Ditegah

Penyebutan nama Allah swt dengan isim mufrad dalam tujuan zikir amatlah dibenci dan termasuk amalan bid’ah yang dilakukan oleh golongan sufi. Kebiasaannya amalan bid’ah ini kerap di lakukan oleh puak tariqat atau sufi yang jahil dalam agama.

Mereka kerap berzikir “ Allah, Allah, Allah, Allah , Allah” dan hal ini termasuk perbuatan yang ditegah oleh para salaf soleh.

Bahkan perbuatan para ahli nasyid yang menyanyikan lagu-lagu nasyid tidak terlepas dari melakukan kesalahan ini dengan menyebut : “ Allahu Allah…Allahu Allahu Allah”

Hal ini tidak lain berasal dari sufi dan amalan-amalan mereka dan bukan dari Islam dan pertunjuk sunnah. Sebaliknya sunnah ialah mengajarkan berzikir dengan kalimah lengkap baik “Lailahaillallah” atau zikir-zikir lain baik bertahmid, bertasbih dan bertakbir.

Misalnya dari hadith Jabir ibn Abdillah ra bahawa aku mendengar rasulullah bersabda : “Afdhal zikir (di sisi Allah) Lailahaillallah (tiada tuhan yang berhak disembah disembah Allah)” (hadith hasan riwayat Tirmidzi no. 3383, Ibn Majah, Ibn Hibban).

Daripada Samurah bin Jundub ra berkata telah bersabda rasulullah : “Perkataan yang paling disukai oleh Allah ialah empat iaitu : Subhanallah (Maha suci Allah) dan Alhamdulillah (Segala puji hanyalah bagi Allah) dan lailahaillallah (Tiadalah tuhan yang berhak disembah selain Allah) dan Allahuakbar (Allah Maha Besar) dan tidaklah mengapa memulakan dari mana satu pun” ( Hadith riwayat Muslim no. 2137).

Juga lebih dari itu sebahagian puak sufi & ajaran sesat tariqat ini berzikir cukup dengan kata ganti diri bagi Allah swt misalnya “ Hu, Hu, Hu” dan lain-lain. Sesungguhnya syarak dan Islam tidak sedikit pun mengajar zikir-zikir jenis ini bahkan para imam mazhab termasuk Imam Syafie ra membenci perbuatan ini .

Tentulah sangat zalim apabila golongan sufi & ajaran sesat tariqat ini yang mengaku mazhab syafie dan kemudian “mewahabikan” orang lain semata-mata kerana bercanggah dengan amalan mereka sedangkan mazhab syafie dan Imam Syafie sendiri bercanggah dengan amalan-amalan mereka.

Berkata Syeikh Abd Aziz ibn Baz ra : “ Berhimpun orang ramai dan berzikir secara berjemaah dengan satu suara tidaklah ada asal (pertunjuk) dari syarak” .

Daripada Abu Musa Al-Asya’ari ra yang berkata kami pernah bersama nabi apabila kami berada di tempat tinggi di sebuah lembah maka kami bertahlil dan bertakbir sambil meninggikan suara kami maka berkatalah nabi salallahualaihiwasalam : “ Wahai manusia beradablah kamu sesungguhnya kamu tidak berdoa kepada yang pekak atau yang ghaib sesungguhnya Dia (Allah) bersama kamu dan sesungguhnya Dia (Allah) Maha Mendengar dan sangatlah dekat” (Hadith riwayat Bukhari no. 2992 dan Muslim no. 2704).

Wednesday, January 11, 2006

Aidhul Adha : Mengingati Detik Pengorbanan dan Ketaqwaan


Ketika Ibrahim as mendoakan kepada Allah : “ Wahai tuhan berikanlah aku anak yang soleh” lalu Allah membalas doanya dengan berfirman : “ Kemudian kami gembirakan dia dengan anak lelaki yang penyantun” (As-Shofat : 101).

Kemudian Allah swt menguji pula nabi Ibrahim dengan mengarahkan supaya Ibrahim menyembelih (mengorbankan) anaknya Ismail seperti yang terpapar dalam ayat : “ Setelah anak itu sampai masa menemani bapanya (Ibrahim) dalam perjalanan maka berkatalah Ibrahim kepada anaknya : Wahai anakku sesungguhnya aku bermimpi di dalam tidur bahawa aku (diperintah) menyembelih engkau maka bagaimanakah pandangan engkau ? Sahut anaknya (Ismail) wahai bapaku hendaklah engkau memperbuat apa yang diperintahkan maka engkau akan mendapati aku dengan izin Allah termasuk seorang yang sabar” (As-Shofat : 102).

Berkata Mujahid ra bahawa yang dimaksudkan “Setelah anak itu sampai masa perjalanan” ialah telah menjadi remaja atau pemuda yang mampu membantu memanfaatkan bapanya dan para ahli sejarah dan ilmu sepakat bahawa ianya ialah Ismail as bukan Ishaq as seperti dalam riwayat lain (lihat dalam bidayah wan nihayah Ibn katsir).

Melalui hadith yang marfu kepada Ibn Abbas ra bahawa baginda rasulullah pernah bersabda : “Mimpi para nabi itu ialah wahyu” (Bukhari no. 138 dan Tirmidzi no. 3689). Maka lantaran itulah Ibrahim as mengambil perhatian dari wahyu Allah swt kepadanya itu yang disampaikan melalui mimpi dengan bertanyakan kepada anaknya : “ Wahai anakku sesungguhnya aku bermimpi di dalam tidur bahawa aku (diperintah) menyembelih engkau maka bagaimanakah pandangan engkau ?”

Pertanyaan ini mengandungi makna bahawa disamping hendak melihat ketaatan anaknya dan keredhaan melaksanakan perintah ianya juga dapat dimaksudkan bahawa Ismail as telah membesar menjadi anak yang benar-benar memanfaatkan bapanya baik dalam hal agama juga dalam berkongsi masalah dan boleh memberi pandangan dan cadangan.

Lihatlah mengapa Allah swt menyifatkan “ Kemudian kami gembirakan dia dengan anak lelaki yang penyantun” (As-Shofat : 101). Apabila Ismail dengan rela dan kepatuhan serta redha menjawab kepada bapanya dengan kalimah yang teguh : “Sahut anaknya (Ismail) wahai bapaku hendaklah engkau memperbuat apa yang diperintahkan maka engkau akan mendapati aku dengan izin Allah termasuk seorang yang sabar” (As-Shofat : 102).


Kesabaran dalam melaksanakan perintah Allah ialah satu darjah kesabaran yang tinggi bahkan lebih dahsyat dari sabar menghadapi bencana dan dukacita kerana perintah Allah swt ternyata dalam keadaan-keadaan tertentu menjadi sangat rumit dan berat yang bukan hanya boeh ditabahi semata oleh hati sahaja sebaliknya memerlukan harga nyawa dan sebuah kehidupan untuk diserahkan.

“Adakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga begitu sahaja dengan mudah sedangkan kamu belum pun diuji seperti mana ujian yang telah menimpa golongan terdahulu daripada kamu ? Mereka itu ditimpa dengan kesusahan dan bala yang sangat dahsyat dan juga ketakutan sehingga berkata rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya bilakah akan sampai pertolongan Allah ? Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat” (Al-Baqarah : 214).

Bersabar di atas bencana cukup kita menahan hati dari sebak dan pilu, berabar dari putus cinta cukup kita menahan air mata tetapi bersabar dalam menjalani perintah Allah swt memerlukan kita menyerah tubuh daging dan darah serta segala milik diri kepada Allah swt dan jalan perintah-Nya.

Kemudian apabila Allah swt menadapati ketaqwaan kedua rasul-Nya ini maka Allah swt membalas dengan membenarkan mereka dengan berfirman : “Lalu kami menyeru Dia (Ibrahim) : Wahai Ibrahim sesungguhnya engkau telah membenarkan mimpi itu dan demikianlah kami membalas orang-orang yang berbuat baik” (As-Shofat : 105).

Berkata Imam Ibn katsir ra bahawa dimaksudkan dengan membenarkan mimpi itu ialah telah engkau capai dan tunaikan maksud mimpi dan perintah kami (Allah) kepada engkau dan demikian kemudiannya Allah mengantikan bagi Ibrahim seketika itu juga seekor Kibasy yang disebut sebagai “dan kami tebusi anaknya itu dengan korban (sembelihan) yang agung” iaitu dimaksudkan ialah menjadi sunnah dan peringatan kisah ini sebagai satu ikutan dan teladan akan mengorbankan binatang pada syariat Islam.

Demikian kisah ini jelas menguji ketaqwaan apabila Allah swt sendiri membenarkan perkara ini sebagai cubaan apabila befirman : “ Sesungguhnya ini ialah sebuah bala (ujian) yang sangat nyata” ( As-Shofat : 106).

Mengorbankan anak kandung sendiri yang ketika waktu masih remaja dan muda serta demikian pula penyantun dan dapat memanfaatkan ibubapa sangat memberati sesiapa pun yang memiliki jiwa manusia. Namun ketaatan kepada Allah mengatasi segala-galanya dan pengorbanan dilakukan dan Allah menerima niat dan ketaatan ini dengan mengantikan sesuatu yang lebih baik dikorbankan dan kemudian menjadikan sebagai pensyariatan serta sunnah kepada mereka yang beriman.

“Dan kami tinggalkan bagi orang-orang yang kemudian akan (kisah) mereka berdua” (As-Shofat : 108).

Demikianlah sedikit coretan ringkas kisah yang mulia dalam sejarah kemanusiaan apabila ada waktu dan ketika para hamba menunaikan janji dan perintah tuhannya tanpa ragu dan kecewa serta pula merasa yakin dengan segala janji-jani Allah swt.

“Di antara orang-orang yang beriman itu ada lelaki-lelaki yang telah menunaikan janji-janji mereka kepada Allah maka di antara mereka itu ada yang telah sampai ajalnya dan di antara mereka itu pula masih ada yang sedang menanti-nanti dan mereka tidak sekali-kali mengubah janji mereka dengan segala sesuatu” (Al-Ahzab : 23).

Sunday, January 08, 2006

Adzkar (Zikir-Zikir) Sahih Selepas Solat

Berikut ialah Zikir-Zikir yang sahih yang boleh dibaca selepas solat dan menjadi kewajaran bagi pembaca meneliti dahulu artikel lalu berkenaan persoalan “Menjawab Perihal doa Selepas Solat“ dan kali ini ialah zikir-zikir yang sahih yang boleh dibaca selepas solat.

Pernah ditanyakan kepada Al-Izz ibn Abd Salam tentang doa sekitar salam maka dijawab : “Sesungguhnya nabi salallahualaihiwasalam mengajarkan zikir-zikir yang disyariatkan selepas solat iaitu seperti beristigfar 3 kali dan setelah itu beredar dari solat dan tambahnya adalah menjadi pilihan Imam Syafie ra supaya Imam terus beredar selepas memberikan salam” (lihat Fatawanya m/s 47).

Pembacaan zikir ini ialah sunat dan tidaklah wajar sesiapa baik tuan Imam Masjid untuk mengelengkan kepala apabila melihat anak-anak muda selepas solat terus lekas bangun beredar dan memarahi mereka serta memaksa orang untuk tetap duduk berzikir wirid beratib sepertinya.

Manakala bagi yang ingin berwirid dan berzikir serta punyai waktu dan tiada ada urusan yang memerlukan mereka terus beredar maka bolehlah beramal zikir di bawah :

1) Istigfar sebanyak 3 kali
2) Membaca zikir berikut :

اللهم انت السلام ومنك السلام تباركت يا ذا الجلال والاكرام
“Wahai Tuhan Engkaulah As-Salam dan dari-Mu Keselamatan dan Memiliki keberkatan wahai yang Maha tinggi dan Mulia ” (Hadith riwayat Muslim no. 414 Jilid 1).

لا اله الا الله وحده لا شريك له الملك وله الحمد وهو على كل الشيء قدير اللهم لا مانع لما أطيت ولا معطي لما منعت ولا ينفع ذا الجد منك الجد

“Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang Esa (satu) dan tiada syirik (sekutu) bagi-Nya dan pada-Nya kerajaan dan bagi-Nya Pujian dan Dia berkuasa di atas sesuatu, Ya Allah tiadalah apa-apa menghalang jika engkau memberikan sesuatu dan tidaklah apa-apa dapat memberi jika engkau menghalang dan tidaklah yang memberi manfaat pemilik kesungguhan dari-mu Kesungguhan ” (hadith riwayat Bukhari no. 255 Jilid 1 dan Muslim 414 Jilid 1).


لا اله الا الله وحده لا شريك له الملك وله الحمد وهو على كل الشيء قدير لا حول ولا قوة الا بالله لا اله الا الله ولا نعبد الا اياه له النعمة وله الثناء الحسن لا اله الا الله مخلصين له الدين ولو كره الكافرون

“Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang Esa (satu) dan tiada syirik (sekutu) bagi-Nya dan pada-Nya kerajaan dan bagi-Nya Pujian dan Dia berkuasa di atas sesuatu, Tiadalah kekuatan melainkan Allah dan tiadalah tuhan yang berhak disembah selain Allah dan tiadalah kami beribadah kecuali pada-Nya dan pada Dialah nikmat dan pujian dan kebaikan tiada yang berhak disembah selain Allah dengan mengikhlaskan diri kepada-Nya walau dibenci oleh golongan yang kafir” (Hadith riwayat Muslim no. 415 Jilid 1).


سبحان الله والحمدلله والله أكبر

“Mahasuci Allah dan segala pujian bagi Allah dan Allah Maha Besar” (hadith riwayat Muslim no. 418 Jilid 1). - Dibaca sebanyak 3 kali.

لا اله الا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد وهو على كل الشيء قدير

“Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang Esa (satu) dan tiada syirik (sekutu) bagi-Nya dan pada-Nya kerajaan dan bagi-Nya Pujian dan Dia berkuasa di atas sesuatu” (hadith riwayat Muslim no. 418 Jilid).

Kemudian membaca Surah Al-Ikhlas dan Surah Al-Falaq serta Surah An-Nas sebanyak sekali dan dibaca 3 kali pada selepas solat Maghrib dan Subuh (Hadith riwayat Abu Daud no 86 Jilid 2 dan Tirmidzi).

Juga kemudian membaca ayat Kursi sekali (hadith riwayat Nasaie lihat dalam Sahih Al-Jami oleh Syeikh Albani ra no. 339 Jilid 5).


لا اله الا الله وحده لا شريك له الملك وله الحمد يحيي و يميتو هو على كل شيء قدير

“Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang Esa (satu) dan tiada syirik (sekutu) bagi-Nya dan pada-Nya kerajaan dan bagi-Nya Pujian Yang Menghidupkan dan Mematikan dan Dia berkuasa Ke atas sesuatu” (hadith riwayat Tirmidzi no. 515 jilid 5 dan Ahmad no. 227 jilid 4 juga lihat dalam Za’dul Ma’ad Ibn Qayyim ).

اللهم إني أسألك علماً نافعاً، ورزقاً طيباً، وعملاً متقبلاً

“Ya Allah aku bermohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat dan rezeki yang baik dan amalan yang diterima” (hadith riwayat Ibn Majah no. 298 Jilid 1 dan lihat dalam Sahih Ibn Majah oleh Syeikh Albani ra).

Berikut ialah kutipan dari beberapa kitab Adzkar dan kitab hadith berkenaan perihal zikir-zikir yang dibaca selepas solat semoga beroleh manfaat dari usaha ringkas ini.


Segala puji hanyalah bagi Allah swt.


اللهم صل وسلم على نبينا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين

Thursday, January 05, 2006

Larangan Dari BerKhilaf Dalam Agama dan Panduan Salaf Soleh


Khilaf bermaksud berbeza dan berlawanan demikian yang diberikan oleh Ibn Manzur ra (wafat 711Hijrah) dalam Kitabnya Lisanul Arab m/s 190 Jilid 3 . Lawan kepada Khilaf ialah bersatu atau bersepakat dan tidak berpecah belah demikian sudah maklum dikalangan ahlul ilmi bahawa kewajipan untuk bersatu dan bersepakat serta meninggalkan perpecahan.

Allah swt telah berfirman dalam Al-Qur’an yang suci dengan menyebutkan : “Jika tuhan-mu menghendaki nescaya akan dijadikan manusia itu umat yang satu tetapi mereka itu sentiasa berselisih” (Hud : 118).

“ Bersatulah kamu semua di atas tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah” (Ali-Imran : 103).

Juga baginda rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda : “Sesungguhnya barangsiapa yang hidup selepas aku pasti akan melihat perselisihan yang banyak…” (Hadith Sahih , riwayat Tirmidzi no.2676, Abu Daud no. 4607 dan Ahmad no.12561).

Berkata Al-Imam Ibn Hazm ra :

وقد نصَّ ـ تعالى ـ على أن الاختلاف ليس من عنده، ومعنى ذلك أنه ـ تعالى ـ لم يرضَ به، وإنما أراده ـ تعالى ـ إرادة كونٍ ، كما ارادَ الكُفر وسائر المعاصي . إ.هـ. [ الإحكام في أُصول الأحكام

“ Telah disebut dalam nash (Al-Qur’an) dari Allah swt bahawa Ikhtilaf bukanlah daripada kehendak Allah swt dan dari maksud-Nya ialah Dia (Allah) tidak meredhai-Nya sebaliknya yang dikehendaki oleh Allah ialah seperti kehendak keadaan yang menjadikan orang kafir dan seluruh perlaku maksiat” (Al-Ihkam Fi Usul Ahkam m/s 64 Jilid 5).

Sebenarnya yang dimaksudkan oleh Imam Ibn Hazm ra ini ialah memang pada zahir ayat 118 Surah Hud seolah menunjukkan Allah swt berkehendakkan manusia ini berada dalam keadaan berselisih kerana jika Allah tidak mempunyai kehendak demikian nescaya tidak mungkin akan terjadi demikian (sebab mustahil berlaku sesuatu tanpa kehendak Allah ) walaubagaimanapun dijelaskan oleh Imam Ibn Hazm ra bahawa kehendak ini bukanlah bermakna membawa redha Allah pada perbuatan berselisih itu kerana ianya seperti Allah menciptakan manusia yang kafir dan perlaku maksiat dan itu semua berlaku dengan kehendak Allah tetapi bukanlah membawa maksud Allah redha kepada perlakuan maksiat dan kekufuran orang kafir.

Ini kerana Allah swt telah berfirman dengan maksud-Nya :

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara” (Ali-Imran : 102).

Sekalipun pada hakikatnya manusia ini diciptakan dengan fitrah berpecah belah dan berselisih namun dengan hidayah Islam dan pertunjuk dari Allah swt maka manusia dapat bersatu dan bersepakat dan inilah yang dimaksudkan antara nikmat Islam itu ialah persaudaraan.

“Sesungguhnya golongan yang berpecah belah dalam agamanya dan mereka berpuak-puak (berkumpulan& berbilang berjemaah) maka bukanlah engkau (wahai Muhammad) dari golongan mereka itu sedikit pun” (Al-An’am : 159).

Berkata Imam Al-Baghawi ra pada ayat ini bahawa mereka itu ialah Ahlul bid’ah dan hawa nafsu (Syarah As-Sunnah m/s 210 Jilid 1).

Iaitu golongan yang disebut sebagai berpecah belah ini dalam ayat di atas berpanjangan sepanjang zaman dari sikap bid’ah dan kejahilan mereka dan jauh dari pertunjuk sunnah rasulullah salallahualaihiwasalam dan mereka yang menuruti sunnah baginda (salaf soleh).

Berkata pula Imam Syatibi ra bahawa mereka itu ialah golongan yang seburuk-buruk dari para golongan pembuat bid’ah” (Al-Itisom m/s 113 Jilid 1).

Perpecahan ini berlaku di sebabkan dosa dan kejahilan umat Islam terhadap agama yang dibawa oleh rasulullah salallahualaihiwasalam sehingga mereka menjadi sesat dan menyesatkan dari jalan Islam yang lurus.

Baginda rasulullah pernah bersabda : “Tidaklah dua orang yang berkasih sayang kerana Allah swt kemudian berselisih kedua-duanya melainkan disebabkan oleh dosa salah seorang mereka” (hadith sahih riwayat Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 401 dan disahihkan oleh Syeikh Albani ra dalam As-Sahihah no. 637).

Berkata Ibn Mas’ud ra : “Perselisihan itu buruk (jahat)” (Sahih diriwayatkan oleh Abu Daud no. 1960).

Disebut oleh Imam Thahawi ra dalam Matan Thahawiyah :

ونرى الجماعة حقاً وصواباً ، والفُرقة زَيغاً وعذاباً
“ Jamaah itu padanya haq dan kebenaran dan perpecahan itu keburukkan dan azab”

Berkata pula Imam Ibn Taimiyyah ra :

فإن الجماعة رحمةٌ ، والفُرقة عذابٌ

“Sesungguhnya jemaah itu rahmat dan perpecahan itu azab” (Majmuk Fatawa m/s 421 Jilid 3).

“Janganlah kamu menjadi seperti orang yang musyrikin iaitu mereka yang berpecah belah dalam agama mereka dan setiap hizbi (golongan, parti, jemaah) itu bergembira dengan apa yang mereka punyai” (Ar-Rum 31-32).

Pada hadith dari riwayat Umar Al-Khatab ra yang menyebut bahawa rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda : “ Hendaklah Kamu berada dalam jamaah dan jauhilah kamu dari perpecahan sesungguhnya syaitan itu bersama seorang dan menjauh apabila berdua dan barangsiapa yang menginginkan tempat tinggal di syurga maka hendaklah berada dalam jemaah” (Hadith Sahih riwayat Tirmidzi, Ibn Majah dan Humaidi).


Permasalahan Khilaf

Khilaf atau Ikhtilaf bermakna sama iaitu menunjukkan tiadanya kesepakatan pada sesuatu masalah seperti yang disebut oleh Fairuz Abadi dalam maksud khilaf bahawa setiap orang mengambil jalan yang berbeza atau pendapat yang berlainan dalam sesuatu masalah atau perkara.

Khilaf yang berlaku sebenarnya boleh dibahagikan kepada beberapa jenis dan bahagian antaranya khilaf yang haram, dibenarkan dan ada pula yang wajib apabila memerlukan seorang yang beriman itu mengambil pendapat dan jalan yang berbeza dari golongan yang bercanggah pegangan mereka dengan Allah dan rasul.

Namun apabila dibincangkan konsep ini dikalangan orang yang beriman maka tiada satu pun khilaf yang disukai sebaliknya dapat dibahagikan kepada berikut :


(bersambung...)

Tuesday, January 03, 2006

Perkataan Dari Hati

Kata-kata
Maafkan aku
Kataku tidak lagi merdu
Resah sayu membuatkan ku tidak lagi bisu
Bingit di dada dari kecewa
Membuak marah meledak nista
Lalu kau menjadi mangsa

Cintaku
Tidak lagi seperti dulu
Kesabaranku tidak lagi manis seperti madu
Derita kecewa hanya itu yang aku hidu
Darinya menyesakkan nafasku
Aku hidup merana

Wahai kekasih hatiku
Mengapa engkau pula yang membisu
Tiada khabar berita
Membuatkan aku kecewa
Tanpa cintamu aku menjadi hina

Dulu kita pernah bersama
Dalam dunia yang penuh sandiwara
Kau kata cinta ini akan kekal lama
Kerana ukhuwah kita dinaungi Yang Maha Esa

Kini aku dihina
Terima kasih pada luka lama
Menjadikan aku lali oleh derita
Kesunyian menjadi teman
Membuatkan aku tak keruan

Kataku kini menjadi racun
Dari nafas yang menghidu derita
Dari hati yang membuak kecewa
Diriku yang merasa hampa
Lalu kau menjadi mangsa

(khusus buat yang terasa hati dengan tulisan ana maka jadikanlah sajak atau apa-apalah dari kata-kata di atas sebagai sedikit ketenangan dan pujukan).

Adab Menuntut Ilmu

Diberitahu oleh Abd Rahman ibn Yahya dan Khalaf ibn Ahmad yang diberitahu oleh Ahmad ibn Said , diberitahu oleh Ishak bin Ibrahim dan diberitahu oleh Muhammad ibn Ali bin Marwan diberitahu oleh Daud bin Amru bin Zuhair yang berkata aku mendengar dari Fudhail ibn Iyad ra yang menyebut : "Awal ilmu itu ialah berdiam diri dan kemudian mendengar dan kemudian menghafaz dan kemudian beramal dan kemudian menyebarkan".

Dikhabarkan kepada kami oleh Abd Waras ibn Sufyan yang berkata : telah memberitahu Qasim ibn Asbaq yang berkata : Telah memberitahu Ahmad ibn Zuhair yang berkata aku mendengar Said ibn Yazid berkata : Aku mendengar Ali ibn Hasan ibn Syaqiq berkata : Aku mendengar Abdullah ibn Mubarak ra berkata : " Awal ilmu itu ialah niat kemudian mendengar dan kemudian memahami dan kemudian menghafaz dan kemudian beramal dan kemudian menyebarkan".

(lihat dalam Hilyah oleh Abu Nu’aim dan Khatib Al-baghdadi dalam Jami Akhlaqul rawi wa adabul sima’ dan Baihaqi dalam Madkhal ).