Saturday, December 17, 2005

Mengenai Sirah Dan Sejarah Islam


Memohon maaf kepada yang berkaitan bahawa buku sederhana tebal berkait sejarah Islam dalam kajian sunnah yang ana usahakan masih dalam penelitian dan tahqiq.

Menjawab kepada yang ingin mengetahui kisah-kisah sejarah Islam khasnya mengenai para sahabat eloklah merujuk kepada kitab-kitab yang muktabar dan ditahqiq akan kesahihannya misalnya Bidayah wan nihayah, tarikh oleh Imam Bukhari dan kitab Al-Awasim Minal Qawasim dan lain-lain.

Berikut ialah artikel yang dipetik dari Al-Fadhil Ustaz Muhammad Asri berkenaan kisah Pendustaan Pembunuhan anak perempuan Saidina Umar ra yang telah membawa hujah-hujah berikut yang boleh mempertikaikan kesahihan cerita itu :

Pertama:

Mengikut sejarah kaum Arab, tidak ada satu pun sumber sejarah yang boleh dipertanggungjawabkan bagi membuktikan bahawa adat menanam anak perempuan hidup-hidup ini dilakukan oleh qabilah Quraisy, dan tidak ada pun sumber yang menyatakan bahawa kabilah Qurayh pernah menanam anak perempuan mereka. Adat ini hanya berlaku dalam masyarakat Arab jahiliyyah oleh sesetengah kabilah sahaja iaitu Bani Tamim dan Asad, kerana mereka bimbang kepapaan mereka.

Dalam masyarakat Arab jahiliyyah, terdapat mereka yang amat menentang budaya menanam anak perempuan ini antaranya ialah Sa'sa'ah bin Najiah dan Zaid bin Amar bin Nufail.

Dalam Sahih Bukhari disebutkan bahawa Zaid bin Amar bin Nufail tidak terpengaruh dengan masyarakatnya yang menyengutukan Allah dan mengamalkan saki baki ajaran nabi Ibrahim. Beliau pernah berkata, "Jika kamu suka anak perempuan kamu, kamu bolehlah mengambilnya, atau kalau kamu tidak mahu biarkan anak-anak perempuan ini bersama saya. " Dan Zaid bin Amar ini adalah sepupu kepada Umar. Ini membuktikan budaya menanam anak perempuan adalah bukan budaya kaum keluarga Umar.

Kedua:

Saidina Umar telah menggunakan gelaran Abu Hafsin. Sudah menjadi adat kaum Arab menggunakan gelaran dengan anak sulungnya. Gelaran Saidina umar ini merujuk kepada anak perempuan sulungnya iaitu Saiyyidatina Hafsah. Umar mempunyai 9 anak lelaki dan 4 anak perempuan. Daripada isteri pertama Umar, beliau mendapat tiga anak iaitu: Hafsah, Abdulah dan Abdul Rahman al-Akbar. Ketika beliau memeluk Islam, beliau mempunyai 3 orang anak ini sahaja. Maka di sini anak perempuan manakah yang telah dibunuh oleh Umar?? Dan kalau betul-betul beliau bencikan anak perempuan, mengapa menggunakan gelaran Abu Hafsin, yang merujuk kepada Hafsah?? Sebenarnya tidak ada bukti jelas mengatakan Umar telah membunuh anak perempuannya, daripada sumber yang boleh dipercayai. Sumber yang boleh dipercayai dalam erti kata terdapat sanad-sanad atau sandaran-sandaran yang terdiri daripada perawi-perawi yang boleh dipercayai. Dalam sahih bukhari, muslim, dan kitab-kitab hadis yang masyhur, tidak ada pun kisah ini. Dalam kitab Sunan al-Darimi, terdapat kisah seorang lelaki yang mengadap Rasulullah yang mengaku membunuh anak perempuannya, tetapi dia bukanlah Saidina Umar, dan hadis itu sendiri adalah hadis yang munqati' (yang terputus banyak sanad)nya yang jelas tidak diterima sebagai sahih.


Cerita Mengenai Had (hukuman Umar ra terhadap anak lelakinya)

Cerita yang disebutkan di atas ialah sebuah kisah yang tidak ada sandaran yang kukuh. Ia tidak lebih daripada sikap tabarra' golongan Syiah, iaitu untuk memburuk-burukkan para sahabat dan keturunan mereka. Kisah Umar melakukan had terhadap anaknya terdapat dalam banyak versi yang saling bercelaru antara satu sama lain, dan tidak ada satu pun jalan sanad (chain of narrator) yang berautoriti untuk dijadikan pengesahan terhadap kebenaran cerita ini. Kecacatan cerita tersebut bukan sekadar sanadnya yang mengandungi perawi yang tidak dikenali (majhul), bahkan matan atau teksnya juga saling bercanggah, bercelaru dan jelas menunjukkan ia bukanlah cerita daripada sahabat Rasulullah. Cerita yang dipetik di atas adalah bersumberkan hadis kononnya diriwayatkan oleh Ibn Abbas. Namun riwayat-riwayatnya dipertikaikan. Imam Ibn al-Jawzi berkata:

" Cerita ini palsu (mawdu') walaupun daripada sanad mana sekalipun ia diriwayatkan. Kisah ini direka-reka oleh tukang cerita ('penceramah bebas?') untuk tujuan membuatkan orang awam dan wanita-wanita menangis. Beberapa perkara daripada rekaan mereka ini telah dihubungkan kepada Sayyidina Umar dan para sahabat. Perkataan dan ayat-ayat yang digunakan dalam cerita ini menunjukkan begitu lemah dan rapuh sehingga secara terang dan nyata menunjukkan kepalsuannya, selain daripada menjelaskan betapa jahilnya pereka cerita ini kerana tidak mahir dalam persoalan fiqh yang biasa" Antara kecacatan lain ialah dialog-dialog yang berlaku antara Umar dan anaknya menjelaskan lagi kekarutan cerita ini. Imam al-Suyuti turut mengatakan bahawa riwayat cerita ini adalah palsu. Perawi di dalamnya tidak dikenali. Daraquti pun turut sama mengakui bahawa cerita ini adalah tidak sahih.

Ustaz Asri Yusuf pula pernah menjelaskan bahawa masih terdapat beberapa kecacatan lain yang tidak diperjelas oleh al-Jawzi dan al-Suyuti antaranya ialah:

- Penggunakan lafaz ghulam yang tidak konsisten kadang-kadang bermaksud budak, kadang-kadang bermaksud hamba. Hal ini mendedahkan bahawa pencerita asalnya berasal daripada orang Farsi yang tidak mahir bahasa Arab dengan baik. Ghulam dalam bahasa Arab ialah kanak-kanak yang belum baligh, dan tidak sesuai langsung digunakan untuk Abu Syahmah. Jadi bila perkataan ini digunakan Arab yakni 'budak lelaki.'

- Umar tidak ada hamba bernama Aflah atau Abu Muflih tetapi hanya ada bernama Aslam.

- Terdapat riwayat lain yang mengatakan hukum had dilakukan oleh Sayydiina Ali dan Umar, tetapi riwayat dalam cerita yang diberikan di atas menyebut dilakukan oleh Abu Muflih, tetapi dalam hadis Mujahid sebenarnya ialah Aflah, bukan Muflih.

- Dalam riwayat lain tidak menyebut langsung berkenaan Arak, tetapi menyebut Abu Syahmah merogol wanita itu.

- Cerita ini menunjukkan seolah2 kedai Arak berleluasa di zaman Umar, sedangkan bukankah pada Sayyidina Umar orang yg minum arak sangat takut kepada Umar?

- Perbuatan keji dikatakan berlaku kepada perempuan Bani Najjar. Tahukah di mana lokasi Bani Najjar? Kawasan itu sebenarnya terletak di kawasan Nabi membangunkan masjid baginda. Kediaman itu juga tinggalkan Abu Ayyub al-Ansari. Cerita ini seolah2 mahu mengatakan Abu Syahmah melakukan kerja terkutuk berhampiran masjid Nabi. Ia jelas cerita musuh Islam (musuh dalam selimut?) yang mahu menjatuhkan para sahabat dan keluarga baginda.

CERITA ASALNYA?

Sebenarnya Abu Syahmah bukanlah nama samaran bagi Ubaydullah tetapi Abd al-Rahman al-Awsat, salah seorang anak Umar. Setakat yang diterima oleh ulama' pengkaji hadis ia tidak lebih daripada kisah yang diringkaskan seperti berikut:

Abd Rahman telah mengikut Amar Bin al-Ass dalam satu angkatan jihad ke Mesir. Pada suatu hari beliau telah meminum nabiz, dengan keyakinan kepada pendapat bahawa tidak semua nabiz itu memabukkan. Rupanya beliau beliau telah mabuk. Pada keesokan harinya beliau berjumpa dengan Amar supaya menghukum beliau, tetapi Amar enggan kerana tidak ada kesan mabuk. Abd Rahman berkata, kalau Amar tidak mahu menjalankan hukuman kepadanya, dia mengadu kepada ayahnya. Lalu Amar pun menghukum di dalam khemahnya. Kemudian selepas itu Umar tahu perkara sebenarnya, lalu berkata, "Mengapa tidak dilakukan di khalayak ramai, dan disembunyikan didalam khemah??" Selepas Abd Rahman pulang ke Madinah selepas kemenangan di capai di Mesir, umar pun memukul Abd Rahman sebagai tarbiyyah dan ta'dib (kerana hukuman sebenar telah dilakukan oleh Amar). Secara kebetulan, beberapa hari kemudian Abd Rahman jatuh sakit, rupa-rupanya sakit itu membawa kepada ajalnya.

Menurut Imam al-Jawzi dan al-Suyuti, setakat ini saja cerita yang sebenarnya di ketahui, yang lain-lain adalah rekaan semata-mata.

p/s :

Bagaimana cerita ini boleh tersebar ? Sangat jelas dibuktikan bahawa kisah-kisah ini ialah palsu namun mengapa kita tidak kaji siapa yang menyebarkannya selama ini ? Bukankah tok-tok guru dan orang agamawan melayu dulu yang menyebarkannya ? dan bukankah mereka ini sangaaattt alim ???

1 comment:

ubaidillah alqasam said...

kisah yang menarik dan terbaik....maklumat yang baru.. tq..