Friday, December 09, 2005

Perbezaan Antara I'lah dan Rabb



Allah swt menyebutkan dalam Al-Qur’an perkataan Ar-Rabb pada tempat yang khusus dan juga menyebut pula I’lah pada tempat yang khusus. Mengambil contoh pada surah An-Nas apabila Allah swt menyebutkan : “ Katakanlah Aku berlindung dengan Rabb manusia * Pemerintah manusia * I’lah manusia” (An-Nas : 1-3).

Allah swt menyebut Rabb pada ayat pertama kemudian menyebut pula Malik (yang diterjemahkan sebagai raja atau pemerintah) kemudian menyebut pula perkataan I’lah. Sekalipun dalam ilmu tafsir dan kaedah I’rabul Quran kita akan menemui satu kebiasaan pengulangan ayat Al-Qur’an dengan mengunakan perkataan yang berbeza tapi bermaksud sama namun pada kalimah I’lah dan rabb ini adalah berlainan kerana mempunyai pemahaman yang tidak sama dari sudut penggunaa istilahnya di dalam Al-Qur’an.

Memang mustahil menterjemahkan perkataan I’lah dan rabb ini dalam bahasa Melayu kerana kelemahan pebendaharaan kata Melayu yang tidak sekaya pebendaharaan kata bahasa Arab namun mungkin dari sudut kefahaman kita mampu menghuraikan demi beroleh kemanfaatan dalam memahami usul tauhid.

Penggunaan kalimah rabb kerap di dalam Al-Qur’an misalnya pada firman Allah swt : “ Katakanlah siapakah rabb tujuh petala langit dan Rabb arasy yang agung ?* Mereka akan mengatakan Allah” (Al-Mukminun : 86-87).

Rabb pada perkataan bermaksud pentadbir atau pengurus dan sesuai disebut pada takrifan yang diberi oleh para ulama sebagai pendidik dan di antara makna lain ialah pada pemahaman kalimah Ar-Rabb ialah pemilik langit dan bumi serta yang menciptakannya dan yang mendidik makhluk dengan kehidupan dengan mengurniakan akal dan pemikiran dan fitrah dan anggota jasad dan memahamkan pula makhluk itu bagaimana menjalankan fungsinya .

Kesimpulannya jika meneliti makna Rabb dalam Al-Qur’an semuanya akan membawa kaitan kepada penciptaan alam, pemberi rezeki dan pemberi nikmat kepada manusia dan jika Allah menyebut kekufuran manusia maka dikaitkan pada perkataan rabb apabila manusia kafir pada rabb yang telah mengurniakan rezeki, nikmat dan pelbagai pemberian.

“Dan orang-orang yang kafir pada rabb mereka maka azab jahannam itulah balasan mereka dan seburuk-buruk tempat balasan” (Al-Mulk : 6).

Adapun makna I’lah ianya lebih khusus dari makna Ar-Rabb apabila I’lah ini merujuk kepada “yang disembah” dan ianya membentuk kata ilahiyah iaitu pengibadahan dan dalam Al-Qur’an selalu mengaitkan perkataan I’lah ini dengan sembahan dan ibadah dan ini dapat dilihat pada firman Allah swt :

“Berkatalah mereka (Anak-anak Ya’kub) kami menyembah I’lah engkau dan I’lah bapa-bapa-Mu iaitu I’lah Ibrahim, Ismail dan Ishaq iaitu I’lah yang Esa dan pada-Nya kami menyerah” (Al-Baqarah : 133).

Demikian I’lah ini ditumpukan pada kalimah khas yang membentuk maksud yang menjadi tujuan ibadah apabila I’lah ini disebut oleh Allah swt dengan firman-Nya : “ Sesungguhnya Alllah itulah I’lah yang satu maha suci Dia dari mempunyai anak” (An-Nisa : 171).

Pada ayat di atas menyebutkan Allah itulah I’lah yang satu (Esa) dan bersih dari tuduhan bahawa Allah mempunyai anak dan sekutu dan hal ini menyampaikan pemahaman bahawa kalimah I’lah itu digunakan juga pada setiap yang diambil sebagai tuhan dan tempat sembahan.

Mereka berkata apakah kamu yang melakukan (kerosakkan pada berhala) ini pada I’lah-I’lah kami wahai Ibrahim ?” (Al-Anbiya : 62).

Demikian Allah menyebutkan bagaimana golongan musyrikin di zaman Ibrahim mengambil berhala-berhala sebagai I’lah selain Allah swt dan serupa dengan mereka yang mengambil Isa a.s sebagai I’lah apabila mendakwa dianya ialah anak Allah swt dan perbuatan kafir musyrikin mengambil berhala sebagai I’lah dalam masa yang sama mereka mendakwa beriman pada Allah swt sebagai Rabb yang menciptakan langit dan bumi.

“ Katakanlah siapakah rabb tujuh petala langit dan Rabb arasy yang agung ?* Mereka akan mengatakan Allah” (Al-Mukminun : 86-87).


Sekaligus dari penerangan ringkas kita memahami bahawa di antara Ar-rabb itu dan I’lah mempunyai perbezaan dan membawa kepada maksud yang tidak sama apabila kita melihat golongan kafir musyrikin di zaman rasulullah menerima Allah sebagai tuhan yang memberi rezeki di langit secara lain mengiktiraf hak Allah sebagai Ar-Rabb dan dalam masa yang sama melakukan syirik pada hak Allah sebagai I’lah yang satu dengan mengambil berhala sebagai I’lah-I’lah yang disembah di bumi sebagai perantaraan.

Inilah yang diperjelaskan dalam beberapa hadith yang berkaitan mengenai kafir musyrikin Mekah yang sentiasa menyebut nama Allah pada lisan-lisan mereka seabgai tuhan yang sedia maklum yang memiliki kedudukan Ar-rabb namun dalam masa yang sama mensyirikkan Allah pada kedudukan I’lah yang menyangkut sekitar pengibadahan.

Allah swt menyatakan bagaimana kaum kafir ini menyebut :

“Apakah kamu menjadikan I’lah-I’lah yang banyak itu sebagai hanya satu ? Sungguh ini suatu perkara yang ajaib (pelik)” (Shad : 5).

Bahkan cukup melihat dalam kisah Walid Ibn Mughirah yang mendatangi rasulullah dalam riwayat Ibn Abbas ra mengenai bagaimana hatta termasuk Abu Jahal mengucapkan Demi Allah, demi Allah, Demi rabbul Ka’bah dan macam-macam lagi ucapan yang menunjukkan keimanan mereka pada Allah namun sama sekali itu tidak bernilai di sisi Allah (lihat Al-Mustadrak oleh Hakim hadith sahih disepakati oleh Ad0zahabi).

Demikian juga apabila kaum kafir Quraisy mengadakan perbincangan apakah tuduhan yang sesuai untuk diucapkan pada Muhammad bagi menjatuhkan kedudukannya lalu mereka berkata apakah mahu dituduh baginda sebagai kahin (dukun) ? Lalu dijawab oleh yang ada demi Allah dia bukanlah kahin (dukun) kerana kita mengenali sifat seorang dukun, apakah sebagai orang gila ? Demi Allah dia tidaklah gila , apakah seorang penyair ? apakah seorang penyihir ? yang mana semuanya dijawab oleh sesama mereka demi Allah, demi Allah (lihat Sirah Ibn Hisyam m/s 172 Jilid 1 dan Bidayah wan Nihayah).

Penggunaan kata, demi Allah, demi tuhan ka’bah oleh lisan kafir Quraisy sekaligus menunjukkan sekalipun kafir Quraisy itu menyembah berhala namun mereka masih beriman pada Allah namun apakah itu mencukupi untuk menghentikan dakwah baginda rasulullah yang berteraskan pada firman-Nya :

“ Dan tidaklah kami mengutuskan sebelum kamu daripada rasul-rasul melainkan kami mewahyukan kepada mereka bahawasanya tiada tuhan selain aku maka sembahlah aku.” (Al-Anbiya’ : 25).

Bagi para rasul, merupakan kewajipan ke atas mereka untuk memurnikan aqidah umat mereka dari pencemaran dan kesesatan serta memerangi kebathilan syirik. Sebagaimana sabda baginda salallahualaihiwasalam ;

“ Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehinggalah mereka bersyahadah bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad sebagai rasulullah.” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no. 25 & Muslim no.22).

Demikianlah secara ringkas yang memahamkan kita bahawa dakwah para rasul diteraskan pada tauhid uluhiyah bukanlah hanya semata-mata pada rububiyah yang juga turut dimiliki oleh kebanyakkan kafir Quraisy yang mengakui kekuasaan Allah yang menciptakan langit dan bumi dan yang memberi rezeki namun dalam masa yang sama mensyirikkan Allah pada tauhid uluhiyah dengan menyembah berhala yang terdiri dari para solihin dan kubur-kubur para nabi.


Walalhualam

p/s :

Musyrikin dan sifatnya yang dimeterai dalam Al-Qur’an ialah kekal sepanjang zaman apabila kita lihat pada hari ini pun wujud kesan-kesan syirik dan kejahilan apabila manusia yang mengaku Islam pada nama dan lisan-lisannya berzikir menyebut nama Allah seperti mana para musyrikin menyebut demi Allah, demi Allah dan lain-lain tapi pada pengamalan ibadah mereka dipenuhi syirik dan mungkar dari deen para rasul.

Mirip seperti musyrikin perbuatan jahil mereka apabila masih ada amalan memuja kubur para orang-orang soleh, para wali, keterlaluan memuja golongan soleh dan guru-guru dengan menggantungkan gambar-gambar habib-habib, hadad hadid yang mereka anggap soleh lalu memuja dan mengambil sebagai perantara mereka dengan Allah dan beramal zikir-zikir ganjil yang diwarisi dari habib-habab kebab dan hadid hadad mereka.

Juga kita lihat mereka tidak kurang mengadakan perbincangan mirip kafir Quraisy dengan mengatakan apakah tuduhan yang patut kita ucapkan pada baginda rasulullah dan pengikutnya yang sejati ? Cuma mungkin kerana zaman berubah maka gila, penyihir dan penyair tidak lagi menjadi idea mereka sebaliknya timbul idea baru dan tuduhan berbentuk baru iaitu apakah terrorist ? Apakah salafi ? Apakah wahabi ? Apakah sesat ?

Maka akhirnya terhasillah kesepakatan mereka menuduh golongan yang menuruti sunnah rasulullah dan menjauhi kesesatan bid’ah sebagai wahabi, sesat dan anti mazhab dan memecah belah seolah-lah iblis menyampaikan ilham kepada mereka.

Segala puji hanyalah bagi Allah swt.

No comments: