Thursday, February 21, 2019

Perbezaan Tauhid antara Manhaj Salaf dan Asya'irah

*(Saya merayu sahabat-sahabat membaca berulang kali sehingga sahabat-sahabat dapat memahami apa yang ditulis dan mampu mengaitkan dengan realiti semasa)*

Perbezaan yang paling ketara antara seruan dakwah tauhid yang dibawa oleh manhaj Salaf dan Asya'irah ialah;

1. Manhaj salaf membawa tauhid yang bertujuan mengesakan Allah dalam ibadah dan menafikan sekutu baginya, pendek kata tauhid itu di sisi manhaj salaf ialah menjadikan ibadah hamba (manusia) hanya kepada Allah sahaja dan menentang segala pengabdian atau ibadah kepada selain Allah. 

==> Sebab itu GOLONGAN SALAF dalam perbincangan tauhid lebih fokus kepada menjadikan ibadah kita hanya kepada Allah dan menjauhi bentuk ibadah kepada selain Allah. 

===> Sebab itu GOLONGAN salaf cukup anti @ alergik kepada syirik dan perbuatan yang berkait dengan ibadah yang tidak ditujukan kepada Allah secara langsung, mengadakan perantara (wasilah) antara Allah dan makhluk. 

Ini kerana, manhaj salaf menekankan konsep لا إله إلا الله yang diterjemah sebagai (TIADA TUHAN YANG "BERHAK" DISEMBAH SELAIN ALLAH) dalam dakwah dan seruan mereka terhadap tauhid sebagaimana yang disebut oleh Imam Ibn Rajab Al-Hambali rahimahullah (wafat 795 Hijrah) yang menyatakan;

إنما أراد التوحيد الكامل الذي يحرّم صاحبه على النار
Sesungguhnya yang dikehendaki bagi maksud tauhid yang sempurna, yang dengannya menyebabkan para pemiliknya (pemilik tauhid) itu diharamkan daripada azab api neraka ialah;

وهو تحقيق معنى لا إله إلا الله فإن الإِله هو المعبود الذي يُطاع فلا يُعصى؛ خشيةً، وإجلالا، ومهابةً، ومحبةً، ورجاءً، وتوكلا، ودعاءً
Membenarkan maksud Lailahailallah, kerana sesungguhnya Al-ILah ialah Tuhan yang disembah yang ditaati dan tidak diderhakai, ditakuti, diagungkan, digeruni, dicintai, diharapkan, yang menjadi tempat pergantungan dan kepada-Nya ditujukan doa permintaan. [Jami Al-Ulum Wal Hikam, Ibn Rajab] 

2. Manhaj Asya'irah pula berbeza dalam memahami Tauhid dengan aliran salaf apabila Tauhid di sisi mereka bermaksud mengesakan Allah yang bersifat azali dengan makhluk yang bersifat baharu sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Al-Junaid Al-Baghdadi (wafat 298 Hijrah);

هو إفراد القدم عن الحدث
Mengesakan Allah yang Qadim daripada makhluk yang bersifat baharu. 

Kemudian, jika dirujuk tokoh-tokoh lain dalam aliran Asya'irah yang menjadi pegangan kaum Asya'ari dan Maturidi serta ahli kalam dan gagasan ilmu berkait tauhid dan aqidah, mereka lebih banyak membincangkan aspek sifat Tuhan yang berbeza dengan sifat makhluk. 

Pendek kata, perbahasan tauhid berkisar soal zat Tuhan, sifat Tuhan dan Af'al (perbuatan Tuhan) yang tidak sama dengan makhluk. 

==> Sebab itu GOLONGAN ASYA'IRAH lebih fokus dan tertumpu pada isu menyerupakan Allah dengan makhluk (Pada ZAT, SIFAT, AF'AL (PERBUATAN) atau tidak menyerupakan Allah dengan makhluk, sebab itulah perjuangan TAUHID mereka sejak sekian lama. 

==> Bagi kebanyakan ASYA'IRAH, tawasul bukan isu syirik, memohon kepada selain Allah, mengambil perantara, berlebihan dalam memuliakan orang soleh, guru-guru, tunduk rukuk dan mencium kaki guru, bukan termasuk syirik. Kerana syirik ialah perbuatan menyamakan sifat Allah dengan sifat makhluk. 

Justeru perjuangan pendakwah ASya'irah dan Maturidiyyah sejak sekian lama adalah lebih menjurus kepada memastikan tiada orang menyamakan sifat Allah dengan makhluk berbanding memastikan orang tidak beribadah dan mengambil sembahan atau melakukan bentuk pengibadatan kepada selain Allah sebagaimana yang diperjuangan oleh Manhaj Salaf. 

# Sila baca dan hadam apa yang dijelaskan di atas berulang kali sehingga faham, InsyaAllah akan kita bahas sambungannya kemudian!

No comments: