Tuesday, January 01, 2008

Dakwah Korporat Di antara Realiti dan Teori

Sebuah artikel dedikasi buat guru saya, Haji Ismail Omar
(seorang businessman dan juga ulama')


Dakwah Korporat Di antara Realiti dan Teori

Idea menulis persoalan dakwah korporat timbul di minda apabila saya mula melangkah masuk ke alam pekerjaan secara serius. Berbeza dengan kebanyakan orang lain, saya diberi rezeki oleh Allah swt (The Almighty God) dengan kemahuan dan kesedaran untuk melihat dan memahami sesuatu sistem secara menyeluruh dan memahami setiap konsep dan aplikasinya.

Berbicara persoalan korporat dan dunia entrepreneurship bukanlah hanya sekitar Islam sebagai agama duties and responsibilities (hanya berkaitan kewajipan dan tanggungjawab) yang menjadi perhatian para ustaz dan ulama' apabila melihat dan berbicara tentang persoalan ini . Kebanyakan mereka (para ustaz dan ahli agama) hanya akan membincangkan persoalan riba, kewajipan zakat, masalah transaksi yang sah menurut syariah, unsur-unsur haram dalam perniagaan dan masalah penipuan, penyalahgunaan serta yang sekitarnya berkait kewajipan (duties) dan tangungjawab (responsibility) yang perlu dilaksanakan menurut landasan agama.

Di dalam melaungkan slogan "Islam is the way of Life" (Islam sebuah jalan hidup) kita harus faham akan sebuah "Gospel Truth" hakikat bahawa secara teorinya, Islam is just "too far away" more than that (Islam sebenarnya tersangat jauh membincangkan persoalan melebihi daripada hanya sekadar hal itu) bahkan Islam sebenarnya turut membentangkan segala proper guidance (panduan tersusun) berkenaan entrepreneurship.

Allah swt berfirman yang bermaksud ;

"Bekerjalah Wahai keluarga Daud untuk bersyukur (kepada Allah). dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang berterima kasih." (Saba : 13)

Aspek yang jarang ditonjolkan sebagai Dakwah

Agama Islam, jarang ditampilkan oleh tokoh agama sebagai sebuah agama motivasi dan panduan di dalam membina kerjaya dan kejayaan. Tidak hairan, para pemuka besar usahawan dan ahli perniagaan ketika menceritakan pengalaman kejayaan mereka kepada wartawan dan pemberita sewaktu ditemuduga langsung tidak menyebut Al-Quran-lah yang memberikan saya jalan keluar daripada kemelut hutang dan masalah yang dihadapi atau mengatakan saya menemui resepi kejayaan saya daripada buku hadis karangan Imam Bukhari atau Muslim.

Malangnya Islam hanya akan menjadi bahan rujukan apabila berbicara persoalan berkat, hidup aman makmur dan murah rezeki, panjang umur yang dikaitkan dengan kewajipan demi kewajipan yang perlu ditunaikan untuk mendapatkan apa yang disebut sebagai "berkat" itu baik dengan menunaikan sedekah atau zakat. Kerana itu kita tidak hairan apabila seorang usahawan pernah berkata dan mengeluh ;

"This religious people do not coming at me with a good smile when I was empty pocket but with hate and keep telling me this and that all my doing was wrong until I win myself a good fortune and they come again go after my wealth for zakat and promise me a better life of berkat."

Kita jarang melakukan muhasabah dan penilaian terhadap diri kita sendiri sebelum menegur orang lain, saya tidak menyalahkan sepenuhnya para usahawan dan ahli perniagaan yang kurang kefahaman agama terhadap sikap mereka yang memandang remeh kepada agama disebabkan sewaktu mereka susah dan baru hendak memulakan langkah di alam perniagaan kebanyakan mereka tidak mendapat "sokongan dan motivasi agama" dan panduan serta penerangan daripada ahli-ahli agama untuk membantu mereka di dalam membina kejayaan.

Diriwayatkan oleh Al-Miqdam ra bahawa rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda : "Tiada sesiapa yang pernah memakan hidangan yang lebih baik melebihi daipada apa yang diperolehi daripada hasil usaha tangannya sendiri. Nabi Allah Daud a.s sentiasa memakan sesuatu yang merupakan hasil usaha baginda sendiri." (hadis sahih dikeluarkan oleh Imam Bukhari di dalam kitab sahihnya)

Islam gagal di terjemahkan sebagai penyelesaian dan panduan terhadap masalah hutang, masalah kekurangan modal, masalah ditenggelami dengan surat-surat saman dan surat mahkamah, dikejar oleh EPF kerana gagal membayar gaji pekerja, dihantui oleh bayangan Jabatan Insolvensi dan lain-lain .Menjadi satu keperluan dan kewajipan bagi para pendakwah sebelum menceburi dakwah korporat untuk memahami tindak tanduk dan menyelami dunia perniagaan atau sekurangnya mempelajari teori-teorinya sebelum bercakap dan menghukum sepuas-puas hati tanpa merenung kembali apa yang diucapkannya.

Islam sebagai Motivasi Kejayaan

Falsafah, prinsip hidup, motto dan segala apa yang berupa motivasi penggerak diri para ahli perniagaan ketika menghadapi susah, jarang sekali disandarkan kepada Al-Quran dan Hadis kerana kegagalan para ustaz dan ahli agama menterjemahkan kitab suci Al-Quran dan hadis rasul ke alam realiti dan berbentuk aplikasi (pengunaan). Berbeza dengan para penulis buku-buku motivasi barat atau timur mereka agak berjaya memberikan nasihat dan penyelesaian atau bantuan terhadap kebanyakan masalah realiti hidup melalui pengalaman dan rujukan daripada pelbagai sumber termasuk agama yang mereka terjemahkan ke dalam bentuk motivasi dan persembahan yang memberi kesan.

إن الله يحب إذا عمل أحدكم عملا أن يتقنه
Diriwayatkan kepada A'isyah ra bahawa rasulullah sallahualaihiwasalam dikatakan pernah bersabda yang bermaksud ; " Sesungguhnya Allah menyukai sesuatu amal perbuatan yang dilakukan oleh setiap daripada kamu apabila dia melakukannya dengan itqan (berkualiti dan dengan kesungguhan)." (hadis ini dikeluarkan oleh Tibrani dan Abi Ya'la serta Baihaqi dengan sanad yang dipandang dhaif disisi kebanyakan ulama tetapi disahihkan oleh Syeikh Albani ra di dalam Kitab Silsilah Sahihah beliau, wallahualam)

Sebagai contoh,

Prinsip jangan mudah mengaku kalah dalam bisnes sangat penting, ianya merupakan faktor kejayaan yang utama kerana tiada usahawan dan peniaga yang berjaya dengan hanya sekali cuba. Impian berjaya hanya dengan sekali cuba sedemikian hanya mengundang parah bagi yang tidak bersedia menemui kegagalan dan tidak bersedia dengan langkah-langkah untuk menghadapi kegagalan.

Islam mendahului segala pakar motivasi dan pakar khidmat nasihat di dalam hal ini

Tahukan anda "Never say die" (Jangan sekali-kali menyebut mati, maksudnya jangan mudah mengalah) merupakan salah satu daripada ajaran Islam ?

Allah swt berfirman yang bermaksud ;

" Wahai anak-anakku, Pergilah kamu, Maka carilah berita tentang Yusuf dan saudaranya dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada orang yang berputus asa daripada rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir". (Yusof : 87)

Sekalipun nabi Allah Yusof a.s dan adiknya sudah hilang sekian lama, namun bapa mereka Ya'akub a.s tetap melarang anak-anaknya yang lain daripada berputus asa berusaha mencari khabar berita tentang saudara mereka kerana itulah prinsip Islam iaitu tidak mudah menyerah kalah dan berputus asa.

Bahkan di dalam kerugian dan mengalami masalah kehilangan harta maka Islam mengajar supaya bersabar dan menyakini setiap yang berlaku mempunyai hikmah dan manfaat.

Rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda : "Seorang muslim yang menanam atau menabur benih, lalu ada sebahagian daripada tanamannya itu yang dimakan oleh burung atau manusia, ataupun oleh binatang, nescaya semua itu akan menjadi sedekah baginya" (hadis sahih dikeluarkan oleh Bukhari, Muslim dan Ahmad).

Begitu juga, dakwah nabi Allah Nuh a.s , sekian lama menyeru kaumnya kepada tauhid tetapi gagal mendapat keuntungan mata kasar yang diukur dengan bilangan pengikutnya. Kisah (sirah) sejarah hidup Nabi Muhammad salallahualaihiwasalam sendiri merupakan satu motivasi besar kepada umat Islam sekiranya para ustaz dan ahli agama dapat memetik point-point penting (isi penting) yang bersesuaian dengan keperluan mad'u (yang menjadi sasaran dakwah).

Pelbagai lagi konsep dan ajaran motivasi yang boleh kita dapati daripada Kitab suci Al-Quran dan sunnah rasulullah yang terlalu banyak untuk dijadikan bimbingan dan nasihat menuju kejayaan dan menjadi pedoman kepada usahawan (insyaAllah akan dikeluarkan oleh penulis di dalam artikel khusus di waktu yang lain)

Peranan Dakwah Islam di dalam Dunia Koporat

Proses dan perjalanan dakwah Islam di dalam dunia perniagaan dan keusahawanan dilihat sangat berkisar dan bertumpu kepada dua perkara iaitu soal keperluan (necessity) manusia dan perkara yang dituntut dan menjadi prinsip (order and principles) .

Ini disebabkan kita boleh menyimpulkan segala usaha dakwah yang berlaku dan berpeluang untuk diaplikasikan di dalam dunia korporat dapat diringkaskan kepada dua situasi atau proses ini tanpa membincangkan persoalan lain baik politik, sosial dan lain-lain lagi yang bukan menjadi tajuk kita kali ini.

Pertama : Proses Dakwah Around The Necessity (Dakwah di sekitar soal keperluan)

Dimaksudkan keperluan ialah apa yang menjadi penting kepada manusia untuk memilikinya dan kita tidak boleh hidup atau sukar untuk meneruskan hidup tanpanya seperti makanan, minuman, tempat tinggal, kenderaan dan alatan perhubungan.

Dakwah wujud untuk memperbaiki sesuatu, menghasilkan peluang dan memberikan injection (suntikan dan dorongan) maka ketika ini dakwah dan entrepreneurship (keusahawanan) boleh bergabung untuk kemaslahatan manusia apabila kemunculan dakwah ialah sebagai seruan dan ajakan kepada pembaharuan dan pembaikan, manakala kemunculan entrepreneurship sebagai usaha menjadikan pembaharuan dan pembaikan tadi suatu kejayaan dan dilaksanakan.

Dakwah melihat, makan dan minum harus berasaskan kepada kesucian dan kebersihan, Islam menitik berat persoalan "kebaikan" makanan dan minuman yang masuk ke dalam perut manusia baik dari sudut kebaikan sifat seperti makanan yang halal dan daripada sudut zat seperti bersih, berkhasiat dan bermanfaat.

Allah swt berfirman yang bermaksud ;

"Wahai orang-orang yang beriman, makanlah daripada rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah." (Al-Baqarah : 172)

Maka entrepreneurship (keusahawanan) datang bagi menjayakan konsep ini, melaksanakan apa yang diserukan dengan bermatlamatkan keuntungan dan ganjaran. Di sini peluang untuk perniagaan wujud seperti peluang membuka pusat penyembelihan halal, peluang membiak dan menternak binatang halal, menanam sayuran yang halal, kemudian seterusnya kepada perniagaan menjual dan memproses makanan, penghasilan makanan berkualiti dan berkhasiat dan sebagainya.

Islam tidak menolak dan tidak menghalang melakukan sesuatu kebaikan dengan mengharapkan ganjaran bahkan Islam mempromosikan setiap amalan di dalam agama ini dengan ganjaran. Cuma Islam menetapkan konsep bahawa ganjaran bukanlah segala-galanya sebagai didikan dan keseimbangan agama yang mementingkan kejayaan dunia dan akhirat, kepuasan fizikal dan kepuasan rohani.

Oleh itu, konsep Islam sebagai agama fitrah dapat diserlahkan oleh para pendakwah yang mahir apabila di dalam dunia perniagaan mereka dapat memahami keperluan manusia dan bersikap membantu serta memberikan khidmat kepada para usahawan.

Contohnya :

"Para ustaz mempromosikan Islam sebagai agama yang mahukan umatnya kaya, hebat dan bermaruah."

Diriwayatkan oleh Al-Miqdam ra bahawa rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda : "Tiada sesiapa yang pernah memakan hidangan yang lebih baik melebihi daipada apa yang diperolehi daripada hasil usaha tangannya sendiri. Nabi Allah Daud a.s sentiasa memakan sesuatu yang merupakan hasil usaha baginda sendiri." (hadis sahih dikeluarkan oleh Imam Bukhari di dalam kitab sahihnya)

Seruan ini akan disambut oleh para usahawan dengan sorakan dan semangat bagi memulakan langkah mereka, lalu jangan menjadi hairan sekiranya mereka berjaya mencapai keperluan mereka, maka Islam tidak akan lemah dan dibiarkan miskin apabila pastinya mereka membantu membalas jasa atau sekurang-kurangnya menunaikan tanggungjawab sosial mereka dan agama.

Diriwayatkan oleh Abu Abu Musa Al-Ash'ari ra, bahawa nabi salallahualaihiwasalam pernah bersabda ; " Pada setiap amalan perbuatan Muslim itu terdapat kewajipan sedekah," lalu orang bertanya, bagaimana jika seseorang itu tidak mempunyai apa-apa ? Maka baginda membalas, : "Maka dia harus bekerja dengan kedua tangannya supaya dia dapat memberikan manfaat kepada dirinya dan mengeluarkan sedekah…" (hadis sahih dikeluarkan oleh Imam Bukhari di dalam kitab sahihnya)

Para ahli agama yang faqih menguasai kitab dan Sunnah juga boleh berperanan membantu dakwah dan keusahawanan melalui jalan memberikan maklumat dan input berkaitan R&D "research and development" (kajian dan pembangunan) yang boleh diperolehi melalui kitab dan Sunnah.

Contohnya :

Asas-asas pemilihan pekerja, aspek dan kriteria pemilihan yang boleh dijadikan sebagai guideline kepada bahagian Human Resource sesebuah syarikat.

Islam mengajarkan konsep pemilihan pekerja yang terbaik seperti yang diberitahu oleh Allah swt melalui kisah Nabi Allah Musa a.s yang digambarkan sebagai seorang yang kuat lagi dipercayai oleh anak-anak gadis Shuaib a.s kepada bapa mereka.

Allah swt berfirman yang bermaksud ;

"Salah seorang darpadai kedua wanita itu berkata: "wahai bapakku ambillah dia sebagai orang yang bekerja (dengan kita), kerana Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu perlu ambil untuk bekerja (untuk kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercayai". (Al-Qasos : 26)

Kesimpulannya pada bahagian ini dakwah berlaku sekitar hal berikut ;

a) Merangsang dan menyuntik semangat keusahawanan
b) Mengerakkan R&D (research and development) bagi mengkaji informasi berguna yang terdapat di dalam Kitab dan Sunnah sebagai informasi dan bantuan kepada para usahawan.
c) Memberi kesedaran dan membentuk sikap positif kepada para usahawan
d) Membina daya ketahanan diri dan kekuatan dalaman sebagai bekalan di dalam liku-liku perniagaan.
e) Menjadi "penasihat" dan "ustaz" kepada para usahawan membantu menyelesaikan masalah domestik (masalah peribadi & dalaman) yang boleh menganggu-gugat perniagaan.
f) Lain-lain

(Banyak lagi tugas-tugas pendakwah di dalam bahagian ini yang dapat dilakukan bagi menjayakan konsep-konsep Islam sebagai sebuah cara hidup)

Seterusnya dakwah berlaku di bahagian kedua yang telah disebutkan oleh saya di atas iaitu ;

Kedua : Proses Dakwah Around The Principles (Dakwah di sekitar soal prinsip & perintah)

Pada bahagian ini, dakwah dilaksanakan sebagai menunaikan perintah, arahan daripada Allah swt (The Almighty God) berkenaan tanggungjawab, kewajipan yang perlu ditunaikan oleh semua hamba-hamba-Nya termasuk para usahawan serta yang terlibat di dalam bidang ini.

Isu yang disentuh oleh pendakwah pada hal ini agaknya sudah maklum dan menjadi makluman sekian ramai orang iaitu apabila kita harus bercakap persoalan halal dan haram, kewajipan dan dosa serta yang berkaitan dengan tanggungjawab kepada agama dan sekitar kepatuhan kepada syariah Islam.

Bermula sewaktu perniagaan hendak dibentuk, pendakwah harus bijak dan hadir memberikan sumbangan atau wujud untuk memberikan panduan mengenai usaha mendapatkan modal yang bersih dan halal serta menepati syarak.

Mereka (para usahawan) harus diberikan bimbingan, kursus dan kefahaman asas tentang Islam dan konsepnya yang diperlukan di dalam bidang entrepreneurship. Pendakwah harus bijak menerangkan kewajipan dan tanggungjawab agama kepada para usahawan supaya mereka dapat menerima dan bersedia menunaikan hak-hak agama dan tuntutannya dengan penerimaan dan kesedaran.

Sabda baginda : “ Sesungguhnya kamu diutuskan untuk memudahkan manusia dan bukan untuk mempersusahkan” (hadith sahih, dikeluarkan oleh jamaah kecuali Muslim).

Penasihat syariah ketika ini sangat diperlukan kepakarannya dalam menasihati dan membimbing pihak syarikat dan pelabur supaya tidak terjebak di dalam perniagaan yang haram dan bersalahan dengan syariat. Memastikan urusan jual beli sah menurut Islam, menjauhi riba dan keuntungan haram yang salah, memastikan kebajikan dan sikap positif terlaksana dan bi'ah (persekitaran) kerja berada di dalam suasana yang sihat dan diredhai oleh Allah swt (The Almighty God).

Dakwah harus dilaksanakan secara harmoni dan penerangan yang efektif dan berkesan bagi memahamkan para pemilik syarikat dan keusahawanan supaya mereka menjadi ringan tangan untuk mengeluarkan bayaran zakat dan membersihkan harta-harta mereka daripada sumber yang haram. Para pendakwah ibarat pembentang teori mengenai arahan dan perintah mengeluarkan zakat sehingga mereka dapat menyediakan bahan kajian dan data-data berguna bagi menunjukkan kepentingan zakat.

Sebagai seorang pendakwah, tugasnya jauh melebihi ustaz, maka mereka bukan hanya perlu mengajar tetapi mendakwahkan orang jadi mereka juga perlu melengkapkan diri mereka dengan sikap dan kemahiran profesionalisme apabila menerjuni dunia korporat.

Mereka perlu membuat "presentation" (persembahan) bahawa mengapa zakat wajib dibayar oleh syarikat bukan hanya dengan bersumberkan kepada dalil-dalil dan rujukan suci yang dianggap tradisional seperti Kitab dan Sunnah sahaja tetapi juga turut menyakinnkan pihak pengurusan syarikat dengan menyertakan fakta kepentingan zakat kepada ekonomi umat Islam, sebagai tanggungjawab sosial, proses timbang-balik dan menceritakan misalnya kepada pihak syarikat bahawa zakat merupakan pelaburan syarikat di dalam bentuk terbuka yang mewujudkan kestabilan dan mengekalkan keseimbangan ekonomi.

Misalnya, sekiranya rakyat miskin maka siapa yang akan membeli dan menjadi pengguna kepada barangan yang dikeluarkan oleh pihak syarikat ? Tidak ada perniagaan dan keusahawanan yang menjadi untung disebabkan oleh masyarakat yang ramai miskin dan melarat berbanding keuntungan mereka apabila rakyat dan umat Islam menjadi kaya dan menghasilkan pasaran ekonomi yang meluas.

Kebijaksanaan pendakwah menyakinkan orang ramai dengan sistem Islam mirip kepada kecerdikan para "salesman" (penjual) yang menjualkan dan mempromosi barangannya agar diterima orang. Selain memperbaiki mutu komunikasi, pendakwah harus menguasai maklumat dan melengkapkan diri dengan pengetahuan luas terhadap pasaran semasa dan bidang yang diceburinya.

Menjaga Hak dan Kebajikan

Pendakwah juga ketika ini menjaga hak dan kebajikan Islam serta umatnya daripada di anaiyai oleh pihak korporat dan mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab. Mereka wajar tampil sebagai pembela umat, menjadi ketua dan aktif di dalam persatuan pekerja, mengetengahkan hak-hak pekerja dan membela nasib pekerja serta menjadi orang tengah dan penghubung di antara majikan dan pekerja.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra bahawa nabi salallahualaihiwasalam pernah bersabda : "Aku akan menjadi lawan kepada tiga golongan di hari akhirat nanti pertama ialah mereka yang melakukan sumpah di atas nama aku tetapi melakukan khianat dan kedua ialah mereka yang menjual orang yang merdeka dan memakan hasilnya dan yang ketiga ialah mereka yang mengambil pekerja dan memeras tenaganya tetapi tidak membayar di atas usahanya." ( Hadis sahih dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam kitab sahihnya)

Pendakwah harus bersikap open (terbuka) dan sentiasa berada lurus dan sederhana di bawah pertunjuk Islam yang disebut dengan wasatiyah (pertengahan) agar tidak melampau dan ekstrim di dalam melakukan dan menampilkan sesebuah perkara bagi mengelakkan imej kepercayaan orang di dalam bidang dakwah korporat.

Bidang korporat sangat menitik beratkan penjagaan imej dan kepercayaan kerana itu untuk membentuk hal ini maka hubungan dan komunikasi terhadap pihak lain harus dijaga dan diawasi dengan baik serta menurut landasan syarak dan etika-etika Islam yang sebenarnya turut memenuhi etika moral.

Kebanyakkan syarikat mempunyai bahagian "Public Relation" (Perhubungan awam) yang bertugas menjaga hubungan dan mengekalkan kestabilan dan rangkaian jaringan perniagaan agar peluang-peluang bisnes tetap berterusan dan semakin terbuka. Maka Islam di waktu ini sangat bermanfaat dijadikan sumber ajaran dan panduan apabila agama ini cukup kaya dengan budi bahasa dan panduan akhlak serta moral etika yang cukup lengkap.

Allah swt berfirman yang bermaksud ;

"Wahai manusia, Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal. " (Al-Hujurat : 13)

Ringkasnya pada bahagian ini dakwah berlaku sekitar hal berikut ;

a) Menguat-kuasakan hukum Allah berkaitan muamalah Islam
b) Menerapkan perlaksanaan syariah dan transaksi yang sah ke dalam syarikat
c) Bersikap hikmah di dalam menerangkan kewajaran dan kepentingan penerapan hukum syariah di dalam entrepreneurship.
d) Menjaga hak majikan dan pekerja serta menjadi tali hubung di antara keduanya
e) Mengendalikan persoalan zakat dan kewajipan-kewajipan syarikat dan usahawan terhadap agama serta membimbing mereka menunaikan kewajipan agama.
f) Menjadikan Islam sebagai sumber dan rujukan etika, undang-undang di dalam syarikat.
g) Lain-lain


Dakwah dan keusahawanan harus saling berkawan

Dakwah dan entrepreneurship bermaksud memperbaiki taraf dan mempertingkatkan mutu kualiti hidup manusia cumanya dakwah mengharapkan ganjaran daripada Allah swt manakala keusahawanan mengharapkan balasan duniawi yang boleh ditukarkan kepada bentuk benda dan fizikal yang menjadi keperluan hidup.

Oleh yang demikian, dengan kewujudan usahasama di antara dakwah dan entrepreneurship maka barulah kejayaan di dunia dan di akhirat akan dapat tercapai bersesuaian dengan maksud konsep Islam.

Allah swt berfirman yang bermaksud ;

"Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan Kami, berilah Kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah Kami daripada seksa neraka". (Al-Baqarah : 201)

Islam datang untuk mempromosikan kemajuan dan menjadi anjakan paradigma supaya umat Islam tidak hanya berpuas hati menikmati apa yang disebut sebagai keperluan dengan sebagaimana adanya itu tetapi memperbaiki taraf dan mutunya sehingga menjadikan kita sebuah umat pengguna barangan yang paling bermutu berbanding umat yang lain.

Diriwayatkan oleh Aslam ra bahawa Ibn Umar ra pernah bertanya kepada aku beberapa perkara berkaitan Umar ra. Dia berkata ; " Semenjak kewafatan rasulullah aku tidak pernah melihat sesiapa pun yang lebih serius dan rajin bekerja serta pemurah melebihi daripada Umar bin Khattab ra." (hadis sahih dikeluarkan oleh Imam Bukhari di dalam kitab sahihnya)

Ketika itu barulah kita boleh berbangga mengangkat Islam sebagai agama kualiti dan bermaruah apabila tamadun Islam muncul sebagai pemimpin dan pemandu utama di dalam soal nilai dan kualiti. Umat yang makan nasi yang diperbuat daripada beras yang diproses daripada pokok padi sudah tentunya berkali ganda utama dan mulia daripada umat yang hanya memakan pokok padi sebagai menu mereka.

Tamadun umat yang menggunakan kayu dan batu sebagai alat untuk menghasilkan api pastinya lebih rendah mutu dan kualiti berbanding tamadun umat yang mengunakan "mancis" dan "pemetik api". Mahukah kita Islam dan tamadun umat Islam ketinggalan di belakang menjadi pengguna barangan-barangan yang sudah ditinggalkan orang sebagai kegunaan kita sedangkan tamadun barat di hadapan kita berlumba-lumba menuju ke depan menghasilkan pelbagai ciptaan baru untuk kegunaan mereka.

Mahukah kita terus menggunakan sistem perhubungan melalui "asap" , "burung merpati", "orang utusan", sebaliknya barat sibuk dengan email, 3G, satelit, maka berusaha menjadikan masa sebagai bermanfaat (Islam sangat menjaga masa) dengan mengisi masa tidak hanya usaha untuk mendapatkan kejayaan di akhirat tetapi juga di dunia dengan bersikap kreatif dan inovatif apabila memperbaiki mutu perhubungan melalui "asap" kepada isyarat bunyi, kepada isyarat gelombang sehingga kepada telepon tangan dan khidmat 3G maka ketika itu barulah tamadun Islam mampu berdiri tegak hebat di muka bumi.

Amir al-Mukminin ‘Umar bin al-Khattab pernah menyebut kepada kaum Arab: “Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya maka kita akan dihina oleh Allah”. Riwayat ini sanadnya dikatakan sahih oleh al-Hakim dan disokong oleh al-Zahabi

Segala puji hanyalah bagi Allah swt,

akan bersambung…..InsyaAllah

oleh :

Emran Ahmad
pendakwah & penulis tidak bebas
themuslimmail@yahoo.com

p/s ;

Sesiapa yang merasakan dirinya sudah cukup alim, berisi sarat dengan ilmu, usahlah memperlecehkan usaha dan kemampuan orang lain, pergilah berkhidmat dan menabur ilmu. Biarkan saya di sini mencurahkan sedikit titisan maklumat yang diperlukan oleh ramai manusia di luar sana, jazakumullahukhairan kasiro.

No comments: