Saturday, October 25, 2014

Kenapa mahu jadi terkenal ?

1. Ada seseorang pernah meminta saya untuk mendoakan anaknya supaya menjadi seorang ulama'. Saya pun mendoakan anaknya dengan apa yang dibacakan oleh baginda rasulullah salallahualaihiwasallam kepada Ibn Abbas RA ;

اللَّهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ
Ya Allah, faqihkanlah dia pada urusan agama. [Riwayat Al-Bukhari]

Lalu beliau pun dengan gembira dan berkata secara spontan, saya teringin hendak melihat anak saya menjadi seorang ulama' yang terkenal.

Ah sudah, kenapa mesti terkenal?

Saya pun memberitahu bahawa jika kita hendak anak kita menjadi seorang ulama' maka itu bagus kerana pengertian ulama' itu ialah mereka yang bukan sahaja alim tentang agama Allah tetapi adalah yang paling takut dan bertaqwa kepada-Nya.

Tetapi menjadi terkenal, itu artis bukan ulama'. Masyhur, popular dan terkenal hanyalah keinginan nafsu kita yang tiada kena mengena dengan agama Allah.

Ibubapa mahu anaknya menjadi ulama' terkenal supaya dia boleh berbangga, sebagai ibubapa kepada ulama' lalu berkata 'Itulah anak saya.'

Sedangkan ianya langsung tidak menguntungkan akhiratnya.

Lupakah kita hadith baginda rasulullah salallahualaihiwasallam dari riwayat Abu Hurairah RA yang menceritakan tentang seorang lelaki yang diberikan ilmu dan mengajarkan ilmu serta membaca al-Quran lalu apabila dikatakan kepadanya ;

فما عملت فيها
Apa yang engkau perbuat dengannya (ilmu yang dimiliki) ?

Lalu orang itu pun menjawab ;

تعلمت العلم وعلمته وقرأت فيك القرآن
Aku telah mempelajari ilmu pengetahuan dan mengajarkannya serta membaca al-Quran kerana engkau.

Maka dikatakan kepadanya :

كذبت ولكنك تعلمت العلم ليقال عالم وقرأت القرآن ليقال هو قارئ فقد قيل ثم أمر به فسحب على وجهه حتى ألقي في النار
Engkau dusta. Sebaliknya engkau menuntut ilmu supaya dikatakan bahawa engkau seorang yang alim dan membaca al-Quran supaya dipanggil sebagai qari dan telah pun dikatakan sedemikian (telah mendapat pujian) lalu mengarahkan supaya lelaki itu diseret pada wajahnya sehingga dicampakkan ke dalam api neraka. [Riwayat Muslim, Ahmad, al-Tirmidzi dan al-Nasaie]

Apa guna menjadi ulama' jika menjadi bahan bakaran api neraka?

2. Imam-imam salaf mengelak dari dikenali, Imam Ahmad apabila menuju ke masjid untuk solat Jumaat akan melalui jalan para buruh supaya tidak diketahui beliau adalah Imam Ahmad.
Berkata Imam Abdullah bin Mubarak rahimahullah ;

قال لي سفيان: إياك والشهرةَ؛ فما أتيتُ أحدًا إلا وقد نهاني عن الشهرة
Telah berkata kepada aku oleh Sufyan; ‘Jauhilah kamu daripada menyukai kemasyhuran kerana tidaklah aku mendatangi seseorang (daripada kalangan salaf) kecuali mereka berpesan dengan melarang aku daripada kemasyhuran.’

Alasan saya perlu terkenal untuk menyebarkan dakwah, untuk mengembangkan sayap dakwah hanyalah helah untuk menghalalkan kehendak nafsu kita yang sukakan kepada populariti dan kemasyhuran yang disebut sebagai حب الشهرة.

Dakwah tidak pernah bergantung kepada seorang individu, terkenal atau tidaknya kita bukanlah menjadi penentu kejayaan Islam. Ini kerana agama Allah akan tetap disempurnakan oleh para pejuang yang ikhlas, yang benar dan yang beristiqamah di atas jalan al-sunnah.

3. Ramai orang selalu mengaitkan pemidato, sang penceramah agama yang pandai bercakap mempengaruhi emosi pendengar sebagai ulama' sedangkan takrif ulama' ialah orang berilmu yang bertaqwa.

Pernah ditanyakan kepada ulama' salaf tentang siapakah yang paling alim dikalangan mereka? Lalu dijawab oleh mereka dengan berkata yang paling bertaqwa dikalangan kami kerana Allah SWT berfirman ;

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ
"Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, adalah para ulama." [Fathir :28]

Boleh saja seseorang itu bisu, gagap, tidak pandai berceramah atau pidato, sangat pendiam, tidak dikenali namun dia takut kepada Allah dengan ilmunya yang banyak maka jadilah dia seorang ulama'.

4. Apa jua label yang dipanggil oleh manusia seperti ulama', gelaran alim, dipanggil syeikh, tok guru, ustaz, tokoh Muharam, Safar, Maulidurrasul, tokoh Maal hijrah, tokoh pendakwah hakikatnya adalah hanya bernilai dihadapan manusia bukannya dihadapan Allah atau disisi para malaikat.

Bahkan pangkat Dato, Haji, Dr, Phd, MA hanyalah pencapaian duniawi yang mungkin bermanfaat dan mungkin juga tidak berguna langsung di hari akhirat.

5. Tak usahlah berbangga dan merasa hebat dengan pencapaian kita sedangkan itu semua hanyalah pemberian dan sedikit nikmat dari Allah. Dapat belajar ke universiti itu pun pertolongan Allah, sekadar berharap pada 'keputusan' peperiksaan kita boleh saja tercicir seperti ramai yang lain. Dapat pergi ke luar negara tu pun dengan duit zakat dan hasil bantuan ramai, jika ke sana dengan duit ibubapa maka siapakah yang masih memberikan kesihatan dan kemampuan kepada mereka jika bukan Allah ?

Kita tak punya apa-apa kecuali yang dipinjamkan oleh Allah.

Daripada Abdullah bin Amr RA bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam diriwayatkan bersabda ;
من سمع الناس بعمله سمع الله به أسامع خلقه وحقره وصغره
Barangsiapa yang berusaha untuk manusia mendengar tentang amalan yang dilakukannya maka Allah pun akan memperdengarkan (perbuatannya) kepada sebahagian makhluknya yang mendengar dan menghinanya serta memperkecilkannya. [Riwayat al-Baihaqi dan disahihkan oleh Syeikh Albani]

Friday, October 10, 2014

Orang perempuan kalau masuk syurga dapat apa?

Dalam banyak kuliah yang berkait dengan aqidah dan sekitar cerita tentang syurga dan neraka akan selalu ada orang perempuan yang bertanya saya;

"Ustaz, orang perempuan kalau masuk syurga nanti dia akan dapat apa?"
Pemikiran ini kerana mereka selalu mendengar bahawa jika kaum lelaki masuk ke dalam syurga maka lelaki akan mendapat bidadari, justeru apakah yang tersimpan di dalam syurga buat mereka?

Aljawab;

1. Sesungguhnya dapat masuk ke dalam syurga itu pun sudah merupakan satu nikmat yang paling besar. Ini kerana disebutkan di dalam hadith Imran bin Hussain RA bahawa Nabi salallahualaihiwasallam bersabda;

اطَّلَعْتُ فِي الْجَنَّةِ فَرَأَيْتُ أَكْثَرَ أَهْلِهَا الْفُقَرَاءَ وَاطَّلَعْتُ فِي النَّارِ فَرَأَيْتُ أَكْثَرَ أَهْلِهَا النِّسَاء
'Aku diperlihatkan ke dalam syurga dan aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum fakir. Kemudian diperlihatkan kepada aku akan neraka. Lalu aku melihat kebanyakan penghuninya adalah para wanita.' [Riwayat al-Bukhari dan Muslim] 

Terselamat daripada azab api neraka itu adalah merupakan sebuah kejayaan yang besar. 

2. Di dalam syurga, seseorang itu akan mendapat semua yang dia ingini. Sudah tentu setiap apa yang dihajatkan itu akan diperolehi namun hanyalah ahli syurga yang layak berhajat itu dan ini. 

Allah SWT berfirman ;

لَهُمْ فِيهَا مَا يَشَاءُونَ خَالِدِينَ كَانَ عَلَى رَبِّكَ وَعْدًا مَسْئُولا
"Bagi mereka di dalam syurga itu apa yang mereka kehendaki, sedang mereka kekal (di dalamnya) itu (hal itu) adalah janji dari Tuhanmu yang patut dimohonkan (kepada-Nya)” [al-Furqan: 16]

لَهُمْ مَا يَشَاءُونَ فِيهَا وَلَدَيْنَا مَزِيدٌ
"Mereka di dalamnya memperolehi apa yang mereka kehendaki; dan pada sisi Kami ada tambahannya.” [Qaaf : 35]

Memandangkan kita pun belum tentu masuk ke syurga, belum mengetahui apakah pengakhiran kita di neraka atau di syurga maka sudah selayaknya untuk kita sedar diri dan tidak patut berniat atau berhajat yang bukan-bukan. 

Tunggu dulu masuk ke syurga. Nanti barulah minta macam-macam....

3. Lelaki dan wanita itu tidak sama, kehendak dan fitrah mereka adalah berbeza. Umum mengetahui bahawa lelaki lebih berhajat kepada hubungan seks sementara kaum perempuan lebih berhajat kepada hubungan cinta. 

Allah SWT berfirman ;

فَلَمَّا وَضَعَتْهَا قَالَتْ رَبِّ إِنِّي وَضَعْتُهَا أُنْثَىٰ وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا وَضَعَتْ وَلَيْسَ الذَّكَرُ كَالْأُنْثَىٰ
“Maka tatkala isteri 'Imran melahirkan anaknya, diapun berkata: "Ya Tuhanku, sesunguhnya aku melahirkannya seorang anak perempuan; dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkannya itu; dan anak laki-laki tidaklah seperti anak perempuan. [Ali-Imran : 36]

Seorang perempuan jika dia dicintai oleh ramai lelaki, maka dia akan pening kepala bahkan dia tidak mungkin dapat bahagia. Sementara seorang lelaki pula dia tidak peduli berapa ramai gadis yang mencintainya asalkan dia dapat melakukan hubungan seksual dengan mereka seramai yang boleh. 

Peduli apa lelaki kalau ramai gadis suka kepadanya, lagi dia suka....

Cuba kalau orang perempuan jadi begitu maka sudah tentu akan resah dan sedih, kasihan lelaki itu, kasihan lelaki ini, lalu dia pun akan mesej kepada sang Ustaz bertanya; "Ustaz, saya keliru dan tidak tahu hendak memilih siapa ? Lelaki A atau B, atau C ? Semuanya baik dengan saya dan saya tidak sampai hati serta tidak tahu hendak pilih siapa.

Allah SWT tidak sebut secara terperinci tentang bidadara atau lelaki kacak yang menanti mereka di syurga kerana bukan begitu jiwa wanita. Allah SWT tidak menyebut tentang sifat-sifat bidadara, berdada bidang, berbulu dada, lengannya kekar, misainya berkilat dan badannya berketul-ketul kerana hal itu akan mengotorkan jiwa wanita yang dijadikan suci oleh Allah untuk melayani suami-suami mereka. 

Wanita muslimah atau ahli syurga bukan pelacur atau jalang, mereka adalah wanita yang bermaruah, suci dan berfikiran indah. Mereka ingin bergembira dengan fitrah yang dijadikan Allah. 

4. Jika ada muslimat yang sejak di dunia lagi sudah mula membayangkan mahu ditiduri 2-3 lelaki serentak, berangan-angan mahu mendapat bidadara atau jejaka syurga dengan fikiran-fikiran yang bukan-bukan sehingga perlu mandi wajib maka itu sudah salah dan menyeleweng. Boleh jadi Imannya bermasalah dan sukar untuknya menuju ke syurga. 

Berbeza dengan lelaki, fitrah mereka sememangnya condong kepada wanita, baik daripada Nabi sehingga kepada lelaki biasa. Bahkan nikah bagi lelaki itu ibadah, jimak dengan isteri itu menjadi pahala kerana orang lelaki nafsunya jika dipuaskan dengan cara yang halal adalah satu kebaikan sedang bagi wanita jika terlalu suka jimak itu bermasalah. 

Kerana malu itu kebaikan dan perhiasan mereka, semakin tinggi malu semakin mulia dan semakin bernilai Iman dan pahala. 

WA

Thursday, October 09, 2014

Antara punca amalan tidak diterima

Diriwayatkan bahawa Imam Bilal bin Saad rahimahullah (meninggal pada 120 Hijrah) pernah menyebut;

ثلاث لا يقبل معهن عمل , الشرك والكفر والرأي ، قيل وما الرأي. قال : يترك كتاب الله وسنة رسوله ويعمل برأيه

“Tiga hal yang menyebabkan amalan tidak akan diterima apabila disertai olehnya, iaitu; syirik, kufur, dan al-ra’yu.” Ada yang bertanya, “Apa yang dimaksudkan dengan al-ra’yu.”

Beliau menjawab ; 'Ia adalah perbuatan meninggalkan Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya dan beramal dengan pendapatnya sendiri.'

[Hilyah Al-Awliya', Abu Nuaym]

# Beliau ialah salah seorang tabien besar yang belajar daripada Abu Darda RA, Ibn Umar RA, Jabir RA dan Muawiyah RA.