Thursday, December 26, 2013

Islam menyuruh berubat apabila sakit, berusaha berubat itu termasuk tawakal dan menurut al-sunnah


Soalan :

Kalau kita sakit tetapi kita tidak mahu dirawat kerana mahu bertawakal sahaja maka adakah kita berdosa ? Lagipun bukankah ada dalil hadith berkenaan wanita yang terkena penyakit sawan tetapi apabila mengadu kepada nabi salallahualaihiwassalam maka baginda menawarkannya syurga jika dia memilih untuk sabar ?

Aljawab,

1. Masalah agama perlu dijawab dan dihuraikan oleh orang yang memahami maqasid syarak dan faham tentang usul fiqh serta cara beramal dengan hadith-hadith atau al-sunnah.

Hal ini demi mengelak daripada kekeliruan yang ditimbulkan oleh golongan al-Ruwaibidah.

2. Adapun hadith Ibn Abbas RA berkenaan wanita berkulit hitam yang menghidap penyakit sawan. Kemudian wanita itu pun mengadu kepada baginda rasulullah salallahualaihiwassalam dan baginda pun bersabda ;
إِنْ شِئْتِِ صَبَرْتِ ولكِ الجنةُ، وإن شئتِ دعوتُ اللهَ أن يعافِيَكِ
'Jika kamu mahu bersabar maka bagi kamu itu syurga dan jika kamu mahu aku berdoa maka aku akan berdoa agar Allah menyembuhkan kamu.' Lalu perempuan itu memilih untuk sabar.' [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Hadith ini bukan membawa maksud jangan berubat apabila sakit, tetapi hadith ini menyuruh supaya sabar apabila diuji oleh Allah dan termasuk dalam bab menyatakan setiap musibah yang menimpa kita akan menjadi penyebab kepada syurga.

Lagipun, penyakit yang menimpa perempuan tersebut adalah merupakan 'kecacatan kekal' seperti buta, pekak, bisu yang memang tiada ubat pada zaman itu. Kebanyakkan yang mengidap sawan adalah daripada sebab genetik keturunan, faktor yang bukan boleh diubah, bahkan rawatan semasa pun hanya bersifat mengawal dan membendung gejalanya bukan menyembuhkan.

Justeru tiada usaha fizikal yang boleh dilakukan oleh sang perempuan tadi untuk merawat sakitnya kecuali meminta doa kepada baginda rasulullah dan baginda menyuruhnya supaya sabar disebalik baginda mengunakan mukjizat baginda untuk memohon agar Allah menyembuhkannya.

Jadi tidak sama kes wanita yang terkena penyakit sawan itu dengan orang yang sakit yang boleh dirawat.

3. Islam memerintahkan umatnya untuk berubat apabila ditimpa sakit, hal itu terdapat dalam hadith yang menyebut tentang seorang arab badwi bertanya kepada baginda : 'Wahai rasulullah bolehkah kita berubat ? Lalu baginda rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda ;

تداووا ، فإن الله لم يضع داء إلا وضع له شفاء إلا داء واحد
قالوا : يا رسول الله وما هو ؟ قال : الهرم
"Berubatlah, kerana Allah telah menetapkan ubat bagi setiap penyakit yang diturunkan-Nya, kecuali satu penyakit!" Para sahabat bertanya: "Penyakit apa itu wahai Rasulullah?" Beliau menjawab: "Penyakit tua." [Riwayat al-Tirmidzi]

4. Bagi sesetengah kes, tidak berubat adalah haram khususnya apabila ianya memang penyakit yang boleh dirawat jika dibawa ke hospital atau kes seperti ibu mengandung yang beranak dengan ditemani orang yang bodoh dalam bidang perubatan sehingga menyebabkan kematian dan mudharat kepada si ibu dan bayi yang dilahirkan.

Ini kerana ada hadith yang menyebut :
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
"Tidak boleh mendedahkan diri kepada mudharat dan melakukan kemudharatan." [Riwayat Malik, Ibn Majah dll]

5. Hukum segolongan pandir yang menyalah-gunakan agama, salah faham hadith dan al-quran lalu menyeru dan berkempen agar orang ramai tidak berubat apabila sakit, menyerah diri kepada takdir tanpa usaha adalah perlu dicegah. Golongan ini jika hidup dizaman Umar al-Khattab RA maka mereka pasti akan disebat atau dihukum oleh beliau kerana berbuat bid'ah.

Kata Imam Ibn Qayyim rahimahullah ;

في الأحاديث الصحيحة الأمر بالتداوي ، وأنه لا ينافي التوكل ، كما لا ينافيه دفع الجوع والعطش والحر والبرد بأضدادها ، بل لا تتم حقيقة التوحيد إلا بمباشرة الأسباب التي نصبها الله مقتضيات لمسبباتها قدراً وشرعاً ، وأن تعطيلها يقدح في نفس التوكل

'Dalam haditt-hadith sahih telah disebutkan perintah berubat, dan berubat tidaklah menafikan tawakkal. Sebagaimana makan kerana lapar, minum kerana dahaga, berteduh kerana panas dan menghangatkan diri kerana sejuk tidaklah menafikan tawakkal. Tidak akan sempurna hakikat tauhid kecuali dengan menjalani ikhtiyar (usaha) yang telah dijadikan oleh Allah sebagai sebab musabab terjadinya sesuatu takdir. Bahkan meninggalkan ikhtiyar itulah yang dapat merosakkan hakikat tawakkal.'

[Zaadul Ma'ad, Ibn Qayyim]

No comments: