Thursday, January 17, 2013

Panduan menganjurkan program yang mematuhi syarak

Nota : Setiap program yang baik ialah program Islamik walaupun tidak memakai nama Islamik asalkan memenuhi syarak-syaratnya.

Apa jua program yang baik dan membawa kebaikan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak baik individu atau kumpulan tertentu ialah program Islam dan dapat dianggap sebagai program agama kerana 'kebaikan itu ialah Islam' dan 'Islam itu sendiri membawa kebaikan' walaupun tidak mempunyai nama-nama yang berunsurkan keagamaan. Allah SWT berfirman: وَمَا تُقَدِّمُوا لِأَنْفُسِكُمْ مِنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِنْدَ اللَّهِ Dan kebaikan apa saja yang kamu usahakan bagi dirimu, tentu kamu akan mendapat pahalanya pada sisi Allah. [al-Baqarah:110]

Syaratnya hendaklah program tersebut bebas dari 5 mawani' (penghalang) syarak yang menyebabkan ianya terlarang dan mengubah hukumnya dari harus kepada haram atau dicela.

1. Program tersebut tidak memudharatkan kepada umat Islam dari sudut agama baik pada sisi aqidah atau syariah, akhlak, akal, jiwa dan harta umat Islam. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW : لا ضرر ولا ضرار Tidak boleh memudharatkan dan tidak boleh membawa kemudharatan. [riwayat Ahmad, Ibn Majah]

2. Tidak wujud percampuran lelaki perempuan dan pergaulan bebas atau yang mendedahkan peserta kepada bahaya zina atau tabarruj

Allah SWT berfirman : وَلاَ تَقْرَبُوا الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلاً Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk. [al-Isra:32]

Bahkan Rasulullah SAW memisahkan lelaki dan perempuan di dalam masjid dengan membezakan soff lelaki dan perempuan dan menyebut sebaik2 soff lelaki ialah di depan dan soff perempuan ialah yang paling belakang.

عن أم سَلَمَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا سَلَّمَ قَامَ النِّسَاءُ حِينَ يَقْضِي تَسْلِيمَهُ وَمَكَثَ يَسِيرًا قَبْلَ أَنْ يَقُومَ قَالَ ابْنُ شِهَابٍ فَأُرَى وَاللَّهُ أَعْلَمُ أَنَّ مُكْثَهُ لِكَيْ يَنْفُذَ النِّسَاءُ قَبْلَ أَنْ يُدْرِكَهُنَّ مَنْ انْصَرَفَ مِنْ الْقَوْمِ" رواه البخاري رقم (793)
Daripada Ummu Salamah RA yang berkata bahawa selepas Rasulullah SAW memberikan salam (dalam solat, sebagai penamat solat) maka kaum wanita akan bangun dan meninggalkan masjid sementara baginda menunggu ditempat baginda. Imam Ibn Syihab Az-zuhri berpendapat tunggunya Nabi SAW ditempatnya adalah supaya memberikan ruang atau kesempatan bagi kaum wanita untuk beredar sebelum lelaki. [riwayat al-Bukhari no.793]

3. Tidak menyeru kepada perkara-perkara yang ditegah oleh Islam seperti perkauman, syirik, khurafat, taasub, ghulu, bid'ah dan perkara-perkara lain yang terlarang. Rasulullah SAW bersabda: هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ . قَالَهَا ثَلَاثًا Binasalah orang yang melampau (berlebih-lebihan) [riwayat Muslim]

4. Program tersebut tidak memanfaatkan musuh-musuh Islam dan golongan yang zalim serta tidak menindas pihak yang lemah, miskin dan golongan yang dhaif.

Allah SWT berfirman : Dalam kisah Musa dan Harun, فَلاَ تُشْمِتْ بِيَ الأعْدَاء وَلاَ تَجْعَلْنِي مَعَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ 'Janganlah kamu menjadikan musuh-musuh gembira melihatku, dan janganlah kamu masukkan aku ke dalam golongan orang-orang yang zalim.' [al-A'raaf:150]

5. Tidak berlaku pembaziran sumber dan tidak menyalahi awlawiyat (keutamaan) umat Islam pada waktu tersebut dan membawa manfaat serta kebaikan kepada orang ramai dan umat Islam khususnya. Adalah berdosa bagi umat Islam menzahirkan kegembiraan dan pembaziran dalam program-program yang dianjurkan dan bermewah-mewah sedang dalam keadaan ada sebahagian umat Islam yang kebuluran, ditindas, diperangi oleh musuh-musuh Islam dan tidak membantu mereka sebaliknya menyalurkan dana dan sumber kepada perkara yang kurang penting.

Allah SWT berfirman: أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ لَا يَسْتَوُونَ عِنْدَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ 'Apakah (orang-orang) yang memberi minuman orang-orang yang mengerjakan haji dan mengurus Masjidilharam kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta bejihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.' [At-Taubah:19]

----------------------------------

Tambahan : Isu program yang dianjurkan oleh bukan Islam (Non-Muslim)

Program yang dianjurkan oleh non-Muslim tetapi memenuhi syarat-syarat yang disebutkan di atas adalah termasuk program yang harus dan dianggap baik untuk dihadiri. Ini berdasarkan hadith berkenaan kisah perjanjian al-fudul حلف الفضول yang dilakukan pada zaman Nabi SAW belum menjadi Rasul. Diriwayatkan baginda menyebut : شهدت مع عمومتي حلف المطيبين فما أحب أن لي حمر النعم وإني أنكثه Aku pernah menyaksikan bersama pakcik2 aku suatu perjanjian al Mutayyibin dan aku tidak ingin membatalkannya walaupun diberikan kepada aku unta berwarna merah. [riwayat Ahmad]

Perjanjian al-mutayyibin ialah merujuk kepada perjanjian al-fudul yang dilakukan oleh golongan arab musyrikin bagi menyekat kezaliman di Kota Mekah.

Kesimpulannya, kebaikan itu diterima walaupun dari bukan Islam jika syarat-syarat Islam dilaksanakan oleh mereka. Adapun jika syarat-syarat Islam tidak dilaksanakan maka ianya tertolak walaupun mereka berniat baik dan bermaksud kebaikan berdasarkan hadith :  Rasulullah SAW yang bersabda,“Setiap syarat yang tidak sesuai dengan Kitabullah, maka ia adalah batil, meskipun ada seratus syarat” [Riwayat al-Bukhari dan Muslim] 

WA

No comments: