Monday, January 21, 2013

Masalah politik dan demokrasi, pilihanraya bagi Muslim

Masyarakat Islam tidak memisahkan antara perkara politik dan agama kerana Islam bermaksud jalan hidup yang diredhai oleh Allah. Firman Allah SWT : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ ادْخُلُواْ فِي السِّلْمِ كَآفَّةً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.

Konsep Islam ialah 'kaffah' iaitu menyeluruh dan seorang Muslim hendaklah meletakkan wala' (ketaatan) dan keyakinan kepada al-Quran dan as-sunnah ke atas semua perkara mengatasi segala kepentingan yang lain. Dalam aspek politik, berikut ialah pendapat yang perlu difahami oleh masyarakat :

1. Demokrasi ialah sistem buatan manusia, pentadbiran manusia berdasarkan sistem buatan manusia untuk manfaat manusia. Hal ini berbeza dengan sistem Islam dari dua sudut yang pokok :

i- Sistem Islam mentadbir manusia agar mematuhi perintah Allah dan mendahulukan kehendak Allah daripada kepentingan manusia. Allah sebagai pembuat undang-undang dan peraturanNya ditaati serta dijadikan dasar yang utama.

ii- Peraturan Demokrasi ditentukan oleh majoriti ramai manakala sistem Islam ditentukan oleh Perintah Allah dari Al-Quran dan as-sunnah yang sahih serta sorih, tanpa mengira berapa jumlah sokongan atau persetujuan manusia.

Ada kalanya jumlah yang kecil diberi hak untuk berkuasa ke atas golongan yang ramai kerana 'kebenaran' dan 'kemampuan' untuk melaksanakan hak-hak Allah SWT.

2. Semenjak kekalahan perang salib moden dan kejatuhan khilafah Islam pada 1924 M, telah menyebabkan negara-negara Islam berpecah dan dijajah oleh barat. Justeru demokrasi telah diserapkan ke seluruh negara umat Islam sebagai sistem pentadbiran dan pemerintahan. Maka penglibatan umat Islam dalam hal ini adalah dimaafkan kerana keterpaksaan, firman Allah لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا Allah tidak memberatkan seseorang kecuali apa yang dia mampu. [Al-Baqarah: 286] Maka harus bagi seorang muslim terlibat dengan demokrasi bagi memperjuangkan keadilan dan hak-hak Islam sehingga dia mampu menukar sistem pentadbiran kepada sistem Islam sepenuhnya.

3. Mengundi dalam pilihanraya adalah suatu kewajipan semasa*(maksud kewajipan semasa ialah ianya berubah mengikut keadaan dan selama prinsip Islam dapat dicapai dan mudharat dapat dicegah dengan demokrasi maka ianya menjadi wajib sementara) berdasarkan kaedah fiqh, مالا يتم الواجب إلا به فهو واجب Apa-apa yang diperlukan untuk melaksanakan perkara wajib maka ia juga turut menjadi wajib. [Qawaid fiqhiyah] Wajib bagi umat Islam mencegah amar makruf nahi mungkar, melaksanakan keadilan, menjaga hak-hak orang Muslim maka jika pilihanraya dan parti politik dapat melaksanakan hal berikut ianya menjadi wajib untuk dilakukan.

Kata Syeikh Muhammad Al-Utsaimin, أنا أرى أن الانتخابات واجبة ، يجب أن نعين من نرى أن فيه خيراً ، لأنه إذا تقاعس أهل الخير ، مَنْ يحل محلهم ؟ سيحل محلهم أهل الشر ، أو الناس السلبيون الذين ما عندهم خير ولا شر ، أتباع كل ناعق ، فلابد أن نختار من نراه صالحاً
Saya memandang pilihanraya sebagai wajib, kita sepatutnya melantik seseorang yang kita pandang sebagai baik sebab jika orang yang baik terhalang (dari memimpin) maka siapa yang akan mengambil tempat mereka?Lalu orang jahat yang akan menduduki tempat tersebut, atau orang yang tiada pendirian yang mungkin ada baik dan jahat lalu mengikut siapa yang bersuara banyak maka tiada pilihan melainkan kita mesti memilih orang yang kita pandang sebagai soleh (layak). [Liqaa’aat al-Baab al-Maftooh]

4. Kewajipan memilih parti Islam atau kumpulan orang-orang Muslim yang terpercaya untuk mewakili umat Islam. Hendaklah kita memilih parti Islam atau kumpulan orang Islam yang dipercayai amanah, siqah dan layak memikul tanggungjawab sebagai pemimpin. Hendaklah dia bebas dari tohmahan dan diyakini dapat menunaikan hak-hak Islam dan umatnya. Mengundi parti Islam termasuk dalam perintah Allah SWT, : {وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى Bantu-bantulah di dalam kebaikan dan taqwa.[Al-Maidah:2]

Haram mengundi parti yang sekular, memperjuangkan perkauman serta mengamalkan rasuah, penyelewengan kuasa dan dipenuhi oleh orang-orang yang jahil, tidak patuh pada perintah Allah dan fasik.

5. Harus hukumnya menjatuhkan kerajaan atau pentadbiran yang zalim jika terdapat jalan yang selamat dan aman atau tidak membawa mudharat yang lebih besar seperti pilihanraya umum dan ianya diterima oleh Islam sebagai salah satu jalan sementara* untuk mengangkat dan menurunkan pemerintah umat Islam. Sistem demokrasi hari ini menetapkan sesuatu pemimpin mempunyai tempoh mandat tertentu untuk memerintah rakyat dan apabila tempoh tersebut tamat maka dia perlu memperbaharuinya dengan pilihanraya. Rakyat berhak memilih selain dia jika ada calon yang lebih baik.

Rasulullah Salallahualaihiwassalam berpesan, إنكم ستحرصون على الإمارة وستكون ندامة يوم القيامة فنعم المرضعة وبئس الفاطمة 'Kamu sangat ingin menjadi pemimpin tetapi kamu akan menyesal di hari akhirat. Permulaannya kelihatan nikmat tetapi pengakhirannya adalah kesusahan. [riwayat al-bukhari]

WA

No comments: