Thursday, October 11, 2012

Kafir kerana perbuatan dosa di sisi ASWJ

Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah golongan yang berpegang kepada al-Quran dan As-sunnah tetapi perlu diingat bahawa al-Quran dan as-sunnah itu sendiri memberi banyak tafsiran dan pendapat yang perlu diperhatikan antara yang diterima dan ditolak. Justeru itu, ahli sunnah wal jamaah itu sendiri ialah kumpulan yang di dalamnya ada orang-orang yang berselisih pendapat seperti kumpulan yang menyokong sahabat nabi Khalifah Ali ra dan kumpulan yang menyokong sahabat nabi Muawiyah ra serta mereka yang tidak terlibat dengan kedua-duanya. Mereka semua ialah ahli sunnah cuma berbeza dalam memahami kitab Allah dan sunnah rasulullah serta berbeza pada mengamalkannya dalam situasi semasa. 

Salah satu daripada kaedah yang didakwa sebagai pokok pegangan ahli sunnah wal jamaah ialah tidak mengkafirkan orang yang berbuat dosa. Tetapi benarkah kaedah ini dan apakah ianya disepakati sebagai kaedah disisi ahli sunnah ? Al-jawab kaedah ini diterima sebagai satu pegangan umum bahawa seseorang itu tidak dikafirkan kerana dosa-dosa maksiat seperti mencuri, berzina dan melakukan maksiat kepada Allah. Tetapi masih ada dosa yang boleh menyebabkan seseorang itu menjadi kafir.

Contohnya hadith nabi salallahualaihiwassalam yang menyebut : ( أن رجلا قال: يا رسول الله أيُّ الذنب أعظم؟ قال: أنْ تجعلَ للهِ نداً وهو خلقك)
 Ada seorang lelaki datang kepada rasulullah salallahualaihiwassalam dan bertanya, : Wahai rasulullah, dosa apakah yang paling besar ? Lalu dijawab oleh baginda : Kamu mengadakan sekutu bagi Allah sedangkan Dia telah menciptakan kamu. [riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

Hadith di atas jelas-jelas menyebut bahawa syirik itu termasuk dosa dan menjadi salah satu dosa yang besar maka apakah seseorang itu tidak dikafirkan kerana perbuatan syirik ?

Jadi kaedah bahawa seseorang itu tidak dikafirkan kerana perbuatan dosa tidak selalunya tepat. Ianya kaedah yang diterima tetapi pemahamannya perlu jelas bahawa bukan bermakna seseorang itu boleh berbuat dosa secara senang hati dan juga melakukan syirik kerana syirik termasuk dosa yang membuatkan seseorang itu menjadi kafir !

Ramai orang hari ini menggunakan kaedah-kaedah ahli sunnah secara bermudah-mudahan tanpa mengetahui akan maksud dan syarahannya. Lebih malang mereka menerapkan maksud-maksud yang menyalahi nash-nash serta mendakwanya sebagai ijmak (kesepakatan) para ulama sedangkan ianya adalah suatu yang sukar dicapai atau terjadi melainkan oleh urusan yang qat'ie (putus) kerana itu al-Imam Ahmad ra menyebut : (من ادّعى الإجماع فهو كذّاب، ما يُدريه لعلَّ النّاس قد اختلفوا ولم ينته إليه) Barangsiapa yang mengaku dengan sesuatu ijmak maka dia adalah pendusta. Boleh jadi para manusia (ulama) itu berselisih namun tidak sampai kepadanya (pengetahuannya). [Al-Ihkam fi usul al-Ahkam, Ibn. Hazm]

WA.

No comments: