Islam tidak melarang kaum wanita bekerja dan mencari nafkah bagi
memenuhi keperluan hidup mereka dan juga demi membantu keperluan keluarga. Hal
ini disebutkan secara umum dalam Al-Quran bahawa Allah SWT berfirman : “Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amalan orang-orang yang beramal
di antara kamu, baik laki-laki mahu pun perempuan, (kerana) sebahagian kamu
adalah keturunan dari sebahagian yang lain.” (Ali-imran : 195)
Begitu juga
diriwayatkan bahawa para isteri sahabat dan wanita di zaman rasulullah salallahualaihiwassalam
selalu ikut membantu ahli keluarga mereka bekerja dan menunaikan keperluan
harian seperti yang dilakukan oleh Asma binti Abu Bakar ra, isteri kepada
Zubair Al-Awwam ra
Daripada
Asma’ binti Abu Bakar katanya: “Az-Zubair mengahwini aku dalam keadaan dia
tidak mempunyai harta, hamba dan apa pun di muka bumi ini kecuali seekor kuda”.
Kata Asma’ lagi: “Akulah yang memberi makan kudanya, mencukupkan keperluan
makannya, menguruskannya, menumbuk biji kurma sebagai minumannya, memberinya
makan, minum air, melubangi timbanya dan mengadun roti. Tetapi aku tidak mampu
membuat roti dengan baik maka kaum wanita Ansorlah yang biasa membuatkan roti
untukku. Mereka adalah para wanita yang ikhlas”. Beliau berkata lagi: “Aku biasa
mengangkat biji kurma di atas kepalaku dari kebun Az-Zubair iaitu tanah yang
diberikan oleh Rasulullah salallahualaihiwassalam. Tanah itu terletak
kira-kira satu pertiga farsakh dari
kota.” (hadith riwayat Muslim)
Satu
pertiga farsakh menyamai hampir dua kilometer pada hari ini dan menjadi
kebiasaan bagi kaum wanita arab untuk bekerja di kebun kurma, menternak
binatang dan membantu suami serta ahli keluarga mereka di pasar-pasar dan kedai
perniagaan.
Walaubagaimanapun terdapat syarat
dan adab yang perlu dipatuhi oleh umat Islam di dalam membenarkan
kaum wanita bekerja agar tidak berlaku fitnah dan kerosakan seperti yang
disebut di dalam hadith nabi Salallahualaihiwassalam: "Tidaklah ada fitnah yang lebih berat bagi kaum lelaki selepas peninggalanku daripada fitnah wanita." (Muttafaq Alaih)
Perempuan adalah kelemahan lelaki dan merupakan sumber kepuasan dan keseronokan bagi golongan lelaki. Melihat perempuan sahaja sudah cukup mengembirakan lelaki apatah pula apabila kaum lelaki dapat bersama-sama dengan orang perempuan di dalam pekerjaan dan urusan kehidupan. Nabi Salallahualaihiwassalam diriwayatkan bersabda : “Perempuan ialah aurat, apabila mereka keluar dari rumah mereka maka syaitan akan merasa bersemangat. Wanita tidak lebih dekat dengan Allah berbanding ketika dia menetap di dalam rumahnya. (hadith riwayat Ibn Hibban dan Ibn Kuzaimah, disahihkan oleh Syeikh Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah)
Perempuan adalah kelemahan lelaki dan merupakan sumber kepuasan dan keseronokan bagi golongan lelaki. Melihat perempuan sahaja sudah cukup mengembirakan lelaki apatah pula apabila kaum lelaki dapat bersama-sama dengan orang perempuan di dalam pekerjaan dan urusan kehidupan. Nabi Salallahualaihiwassalam diriwayatkan bersabda : “Perempuan ialah aurat, apabila mereka keluar dari rumah mereka maka syaitan akan merasa bersemangat. Wanita tidak lebih dekat dengan Allah berbanding ketika dia menetap di dalam rumahnya. (hadith riwayat Ibn Hibban dan Ibn Kuzaimah, disahihkan oleh Syeikh Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah)
Demi menjaga kehormatan dan kesucian
kaum wanita maka terdapat tujuh syarat dan adab yang penting yang perlu
diperhatikan bagi kaum wanita di dalam pekerjaan.
1) Tidak mengabaikan ibadah dan
kewajipan syarak yang ditetapkan oleh Allah SWT dan rasul seperti bertauhid,
menjauhi syirik, mendirikan solat, puasa, zakat, haji,menutup aurat, menuntut
ilmu dan sebagainya.
Pekerjaan ialah termasuk di dalam
ibadah yang umum kepada Allah SWT dan dilakukan kerana mencari nafkah dan
rezeki yang halal. Pekerjaan bukanlah satu matlamat atau tujuan hidup seseorang
muslim tetapi ia adalah merupakan wasilah atau alat bagi mendapatkan belanja
keperluan hidup dan menunaikan kewajipan sosial dalam masyarakat.
Wanita diharuskan bekerja seperti
lelaki selama pekerjaan itu tidak menghalangnya daripada menunaikan kewajipan
sebagai hamba Allah SWT dan beribadah kepada-Nya. Firman Allah SWT : “Katakanlah: "Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah
Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama.”
(Az-zumar : 11)
2) Pekerjaan tersebut bukanlah
pekerjaan yang haram dan menyalahi syariat Islam atau menyumbang kepada sesuatu
yang haram atau membahayakannya.
Tidak boleh bagi lelaki dan
perempuan melakukan sesuatu pekerjaan yang menyalahi syariat Islam atau terlibat
dalam menyumbang kepada sesuatu yang haram seperti kaedah yang ditunjukkan di
dalam hadith berkenaan arak. Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda yang bermaksud:”Allah
melaknat arak, orang yang meminumnya, orang yang
menuangkannya, penjualnya, pembelinya, orang yang memerahnya, orang yang
mengambil hasil perahannya, orang yang menghantarnya dan orang yang meminta
dihantarkan. (hadith riwayat
Abu Daud dan Ibn Majah)
3) Pekerjaan itu hendaklah tidak
menghalang tugas fitrahnya sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anaknya
kerana seseorang wanita itu adalah bertanggungjawab di sisi agama untuk
melayani suami dan keluarganya melebihi tanggungjawabnya yang lain selain
menyembah Allah SWT.
Adalah tidak boleh bagi seorang
wanita untuk bekerja sehingga menganggu perjalanan fitrahnya untuk memenuhi
keperluan suaminya seperti keperluan seksual, keperluan menemani suami dan
melayaninya. Ini kerana tugas-tugas ini
adalah fitrah dan merupakan kewajipan agama dan manusiawi yang dijadikan oleh Allah
SWT sebagai tanggungjawab dan keperluan manusia sejak zaman Adam. Kegagalan menunaikan
keperluan dan tanggungjawab fitrah ini akan menyebabkan mudharat kepada manusia
dan merosakkan fitrah dan jiwa mereka.
Buktinya di dalam hadith yang sahih
baginda nabi salallahualaihiwassalam bersabda : Demi zat yang jiwaku berada di
tanganNya, tidak ada seorang pun suami yang mengajak isterinya ke tempat tidur
lalu isterinya enggan memenuhi panggilan suaminya melainkan Yang di atas langit
menjadi murka kepadanya sehinggalah suaminya kembali redha kepadanya. (hadith
riwayat Muslim)
Begitu juga dengan tugas seorang ibu
yang ditetapkan oleh agama seperti tanggungjawab menyusukan anak-anak yang
disebut di dalam Al-Quran : “Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya
selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan.”
(Al-Baqarah : 233) Perintah ini merupakan satu penegasan bahawa tugas seorang
ibu itu ialah fitrah yang ditetapkan ke atas kaum wanita.
Fitrah
maksudnya ialah semulajadi dan ketetapan asal yang dijadikan oleh Allah SWT secara
fizikal dan mental bagi kaum wanita termasuk keperluan hormon dan kejiwaannya.
Para doktor dan pakar perubatan menyebutkan bahawa banyak keburukan terjadi ke
atas wanita yang tidak menyusukan anak-anaknya termasuk risiko kanser payudara.
4) Hendaklah pekerjaan yang diceburi itu
tidak memberikan tekanan kepada seorang perempuan atau menyekatnya daripada
berkahwin (jika belum) dan melahirkan anak atau menjadi seorang ibu kerana hal
yang sedemikian merupakan kewajipannya terhadap agama, fitrah dan keluarga.
Firman Allah SWT : “Fitrah
Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada peubahan
pada fitrah Allah.” (Ar-Rum : 30)
Amatlah menyedihkan bahawa
sesetengah pekerjaan menghalangi kaum wanita daripada bernikah dan melahirkan
anak. Ini adalah suatu penindasan terhadap fitrah dan kezaliman kepada kaum
wanita dan agama. Apabila seorang anak gadis meningkat dewasa maka adalah
merupakan suatu tuntutan biologi dan fitrah ke atas dirinya untuk bernikah,
memiliki suami dan keluarga.
Menurut pakar perubatan, terdapat
dua hormon yang penting bagi perempuan iaitu hormon Estrogen dan Oksitosin. Hormon
Estrogen ialah hormon yang bertanggungjawab membentuk dan mengawal fungsi
kewanitaan dalam badan seorang perempuan seperti kitaran haid, bentuk fizikal
dan emosi serta kesihatan bagi perempuan.
Hormon ini diperlukan bagi wanita untuk meneruskan kehidupan normal
sebagai perempuan. Manakala hormon oksitosin pula ialah hormon yang memberikan
perasaan bahagia dan gembira dalam diri manusia dan hormon ini dikatakan tinggi
dalam badan perempuan sewaktu melakukan hubungan seksual dan menyusukan anak
bahkan jika tiada hormon ini pada tubuh wanita maka susu dalam badannya pun
tidak akan keluar.
Menghalang wanita berkahwin atau
menyekat dan melewatkan mereka daripada bernikah merupakan suatu kezaliman
kepada biologi dan fitrah wanita disamping satu penyeksaan dan tekanan kepada
mental dan emosi seorang perempuan. Hal ini amatlah tidak sihat dan
membahayakan serta memberi keburukan kepada masyarakat dan memberikan impak negatif
kepada sosial umat Islam.
Banyak wanita kerjaya hari ini
melewatkan perkahwinan kerana terikat dengan kerja dan situasi pekerjaan yang
tidak memberi sokongan kepada perkahwinan. Hal ini tidak bagus khususnya kepada
wanita yang mempunyai tempoh terhad untuk melahirkan anak iaitu sebelum umur 40
tahun (menopaus) dan pakar perubatan menyebutkan bahawa perkahwinan lewat
memberi risiko anak cacat dan ketidak suburan serta pelbagai lagi keburukan.
Prinsip Islam seperti yang disebut
di dalam hadith ialah “Tidak melakukan mudharat dan tidak boleh mendatangkan
mudharat.” (hadith riwayat Hakim)
5) Mengutamakan bernikah dan menetap
diri di rumah jika mampu dan tidak bekerja kecuali kerana ada keperluan dan
kepentingan terhadap keluarga, agama dan masyarakat.
Adalah kebaikan kepada kaum
perempuan untuk menetap di rumahnya jika tiada keperluan untuk keluar bekerja
dan bercampur dengan lelaki apabila dia berasal daripada keluarga yang
berkemampuan dan boleh menyara dirinya tanpa bekerja. Bahkan adalah lebih
afdhal bagi wanita untuk bersolat di rumahnya berbanding di masjid berdasarkan
hadith dari riwayat Abu Daud.
Selain itu bagi anak-anak gadis
adalah menjadi auwlawiyat (keutamaan) untuk mendahulukan nikah dan perkahwinan
sebelum pekerjaan. Ini kerana semasa mereka belum bernikah maka nafkah dirinya
adalah dibawah tanggungjawab para wali mereka kecuali kerana kemiskinan dan
walinya tidak mampu seperti yang berlaku kepada keluarga nabi Allah Syuaib ra.
Firman Allah SWT : “Dan tatkala dia (Musa) sampai di sumber air negeri Mad-yan dia
menjumpai di sana sekumpulan orang yang sedang memberi minum (ternakannya), dan
dia mendapati di belakang orang yang ramai itu, terdapat dua orang perempuan
yang sedang menghambat (ternakannya). Musa berkata: "Apakah maksud kamu
(dengan berbuat begitu)?" Kedua wanita itu pun menjawab: "Kami tidak
dapat memberi minum (ternakan kami), sebelum pengembala-pengembala itu pulang
dengan (ternakan mereka), sedang bapa kami adalah orang tua yang telah lanjut
umurnya. Maka Musa memberi minum ternakan itu untuk (menolong) keduanya,
kemudian dia kembali ke tempat berteduh lalu berdoa: "Ya Tuhanku
sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan yang Engkau turunkan
kepadaku." (Al-Qasos : 23-24)
6) Menjaga batasan dengan kaum lelaki
dan tidak berhubung kecuali atas keperluan dan pekerjaan
Allah menetapkan bahawa kaum lelaki
dan perempuan harus menjaga batasan dan tidak berhubung kecuali dalam hal yang
dibenarkan. Kaum perempuan hendaklah menundukkan pandangan dan mengelak diri
dari bertembung dengan lelaki atau bersama mereka secara khalwat dan
menimbulkan fitnah. Perkara yang sama juga dituntut ke atas orang lelaki agar
memelihara maruah mereka dengan tidak mengambil kesempatan ke atas kaum wanita
dengan alasan pekerjaan.
Hal ini bermaksud adab seorang
perempuan itu ialah memelihara dirinya daripada bergaul bebas dengan lelaki
seperti makan sekali, berjalan berdua-duaan, menaiki kereta dan kenderaan yang
sama tanpa mempunyai ikatan yang sah. Perbualan yang tidak membawa manfaat dan
keperluan hendaklah dielakkan kerana sesungguhnya dosa zina itu selalunya
bermula dengan penglihatan dan percakapan.
Dalam hadith yang sahih menyebutkan
bahawa dosa zina itu sukar dielakkan kerana mata itu berzina dengan memandang,
mulut dengan bercakap, telinga dengan mendengar, tangan memegang, kaki
melangkah dan kemaluan akhirnya membenarkan atau menolak.
7) Menutup aurat dengan sempurna dan
menjaga cara berpakaian, perbuatan dan perbicaraan serta pergerakan mereka
apabila berada di hadapan bukan mahram dan diluar rumah.
Hendaklah wanita yang bekerja
menutup aurat dengan sempurna dan menjaga bahagian-bahagian badannya daripada
kelihatan dan dapat dipandang oleh lelaki. Antara bahagian badan yang selalunya
dipandang oleh lelaki ialah kemaluannya baik depan dan belakang, dadanya dan
juga wajahnya.
Hal ini boleh dilihat dalam perintah
Allah SWT pada surah An-Nur ayat 31.
Islam menetapkan aurat wanita ialah
seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan, tetapi itu bukanlah bermaksud
wajahnya boleh dihiasi dan ditampal dengan make-up yang boleh menarik dan
menggoda lelaki. Kemudian bahagian dadanya hendaklah dilindungi dengan
melabuhkan pakaian agar tidak nampak bonjolan dada dan saiz serta bentuknya
yang menggoda lelaki untuk memandang dan membayangkan bentuknya. Begitu juga
pakaian bawahnya harus longgar agar pinggulnya, bentuk kemaluan hadapan dan
belakang tidak dilihat dan kelihatan diluar pakaian.
Ini kerana sesetengah
wanita memakai pakaian yang ketat seperti seluar yang sendat dan menzahirkan
punggungnya dan peha serta bentuk badannya dan hal itu ialah haram.
Termasuk juga larangan yang penting
bagi wanita ialah tidak memakai minyak wangi dan haruman yang kuat dan boleh
dihidu oleh lelaki kerana ianya disebutkan dalam hadith yang sahih sebagai dosa
dan baginda mengelar wanita yang melakukannya sebagai pelacur.
Kesimpulannya, Islam membezakan fungsi dan peranan
lelaki dan perempuan dan hal ini telah ditegaskan
oleh Al-Quran di dalam ayat 36 Surah Ali-Imran dengan maksudnya : “Maka tatkala isteri 'Imran melahirkan anaknya, diapun berkata: "Ya
Tuhanku, sesunguhnya aku melahirkannya seorang anak perempuan; dan Allah lebih
mengetahui apa yang dilahirkannya itu; dan anak laki-laki itu tidaklah sama
seperti anak perempuan.” (Ali-Imran : 36)
Kata Al-Imam Ibn Katsir bahawa perbezaan itu bermaksud dari
sudut fizikal dan kekuatan untuk berkhidmat di masjid Al-Aqsa (Tafsir
Al-Quran Al-Azim, Ibn Katsir) Maknanya kepada kita ialah
fungsi perempuan itu adalah berbeza dengan fungsi lelaki. Namun kerana
penjajahan minda dan budaya oleh masyarakat barat maka umat Islam sudah mula
menanggalkan tabir yang memisahkan fungsi lelaki dan perempuan sehingga kaum
wanita turut bercampur sekali dengan lelaki dan ditindas oleh sistem-sistem dan
budaya kehidupan yang tidak menyebelahi fitrah dan keperluan kaum perempuan.
Bermula sejak daripada kanak-kanak pemisahan di antara
lelaki dan perempuan sepatutnya perlu dititik-beratkan dengan memberikan
pakaian, tempat tidur dan cara layanan yang berbeza daripada anak lelaki agar
sesuai dengan perkembangan fitrahnya. Ini disebutkan di dalam hadith pendidikan
anak-anak yang berbunyi :
مروا أولادكم بالصلاة
لسبع، واضربوهم عليها لعشر وفرقوا بينهم في المضاجع
Maksudnya : “Perintahkanlah anak-anakmu untuk (menunaikan)solat pada umur 7 tahun. Dan pukullah mereka jika (meninggalkan) solat pada umur 10 tahun, dan pisahkanlah antara mereka pada tempat tidurnya.” (Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud dan Hakim)
Pelajaran penting daripada suruhan di atas ialah
supaya anak-anak perempuan dapat membesar menjadi permata dan perhiasan Islam
yang bernilai dan memenuhi keperluan fitrahnya dan terpelihara daripada
penyelewengan sosial dan jiwa dalam kehidupan. Ramai ibubapa mengambil ringan
hal ini dengan membiarkan anak-anak mereka bercampur gaul tanpa batasan dan
memandang ringan soal pembentukan fitrah. Mereka memakaikan anak perempuan
dengan pakaian lelaki, memberinya permainan lelaki dan melayan serta
menyuruhnya bekerja seperti anak-anak lelaki sehingga dia membesar dengan
memiliki acuan yang salah.
Lebih teruk daripada itu mereka mendidik dan
memberikannya pelajaran yang sama dengan anak-anak lelaki sehingga berlaku
persaingan dan pertembungan antara fitrah lelaki dan perempuan. Pendidikan
adalah wajib dan mustahak kepada semua anak-anak lelaki dan perempuan tetapi
cara mendidik dan isi pelajarannya sepatutnya adalah berbeza dan tidak wajar
disamakan kerana fungsi dan keperluan kedua-dua gender itu adalah berbeza.
(Gambar Hiasan :
Keadilan bukan bermaksud sama tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya)
Anak-anak lelaki perlu dididik untuk menjadi
pemimpin dan mempunyai tanggungjawab manakala anak-anak perempuan perlu
dibentuk menjadi pengikut dan penyokong yang baik dengan kemahiran-kemahiran
yang dapat memenuhi keperluan sosial yang diperlukan oleh mereka. Apa yang
berlaku apabila perbezaan fitrah ini tidak diambil berat ialah muncul
ketegangan dalam rumahtangga dan kehidupan apabila pihak lelaki gagal
mendapatkan “keperluan” yang diperlukan daripada kaum perempuan seperti
seksual, kasih sayang, sokongan emosi kerana kegagalan golongan perempuan
menyediakan keperluan tersebut kepada golongan lelaki disebabkan mereka tidak
diberi persediaan ke arah itu semenjak kecil.
Begitu juga apabila kegagalan pihak lelaki membekalkan
“keperluan” yang diperlukan oleh kaum perempuan seperti perlindungan,
pendidikan, penjagaan dan keadilan sehingga akhirnya kaum perempuan terpaksa
bangkit dan keluar daripada fitrahnya untuk memenuhi keperluannya agar dapat
meneruskan kehidupannya. Tuhan telah menetapkan fitrah manusia dan memilih
untuk menjadikan manusia kepada lelaki dan perempuan agar dapat saling
melengkapi dan memerlukan sebagai tanda kebesaran-Nya. Firman Allah SWT : “Dan Kami jadikan kamu dalam keadaan berpasang-pasangan.”(An-Naba : 8)
Namun sistem kehidupan barat yang dibentuk dengan hawa nafsu
menjadikan lelaki dan perempuan sebagai saling bersaing antara satu sama lain
sejak dari kanak-kanak sehinggalah kepada dewasa apabila mereka dicampurkan
dalam sistem pendidikan, pekerjaan dan kemasyarakatan yang jauh daripada
pertunjuk wahyu. Hal ini telah merubah fitrah dan merosakkan acuan yang
dibentuk oleh tuhan di dalam jiwa manusia sehingga menimbulkan fitnah dan
kerosakkan.
Firman Allah SWT : “Celupan Allah. Dan siapakah yang lebih baik acuannya daripada
Allah? Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah.”(Al-Baqarah : 138)
Wallahua'lam bissowab.
2 comments:
sungguh bernas artikel ini, moga bermanfaat buat semuanya :)
Peringatan buat diri yg bekerja...
Moga Allah kasih.
Post a Comment