Kita perlu faham satu perkara
sebagai mukadimah bicara di awal kata. Manusia ini terbahagi kepada beberapa
peringkat menurut kata para ulama antaranya yang disebut oleh Syeikh Muhammad
bin Soleh Al-Utsaimin di dalam Syarah Kitab Salasah Usul bahawa manusia itu dalam
berilmu ada 6 peringkat.
Peringkat
tersebut ialah Al-Ilm, Dzon, Syak, Waham, Jahil basith (ringkas) dan Jahil
Murakkab iaitu jahil yang berat dan berlapis-lapis. Namun hasil pembacaan yang
lebih menyeluruh saya berpendapat peringkat manusia itu ada tujuh bahagian dengan
kejahilan itu ada satu lagi bahagian lain yang jarang disebutkan orang iaitu yang
dipanggil sebagai jahil al-mutawasith (jahil pertengahan) yang berada di antara
jahil ringkas dan jahil berat.
Peringkat manusia dalam berilmu :
1.
Al-Ilm
(العلم
) yang mencapai tahap yakin
2.
Dzon
(الظن
)yang hampir mencapai tahap yakin
3.
Syak
(الشك
) keraguan yang mendekati keyakinan
4.
Waham
(الوهم
), kekeliruan yang gagal mengenal kebenaran dan kesalahan
5.
Jahil
basith (الجهل البسيط), kejahilan ringkas yang boleh diperbetulkan
6.
Jahil
mutawasith (الجهل المتوسط) , kejahilan pertengahan tetapi masih boleh
diselamatkan
7.
Jahil
murakkab (الجهل المركب), kejahilan yang berat dan berlapis-lapis yang menentang
kebenaran
Al-Ilm
atau ilmu bermaksud yakin dan pasti secara jazam (putus). Manusia yang berada
dalam peringkat yakin atau berilmu ini dapat dipecahkan kepada tiga golongan
iaitu keyakinan dengan hujah atau pengetahuan (ilmu yakin), keyakinan
berdasarkan nampak dengan pandangan mata kepala (ainul yakin) dan keyakinan
kerana merasai dan mengalaminya sendiri secara nyata dan benar (haqqul yakin).
Di
dunia ini, manusia hanya mampu memperolehi keyakinan dari dua bahagian sahaja
iaitu ilmu yakin dan ainul yakin. Keyakinan berdasarkan ilmu seringkali
terhasil apabila dengan maklumat dan informasi yang cukup sudah mampu
membuatkan orang percaya dan yakin bahawa sesuatu perkara itu memang akan
terjadi atau telah berlaku. Adapun sekali-sekala dengan rahmat Allah, seseorang
itu berpeluang mendapat keyakinan dengan mata kepalanya sendiri lalu melihat
kebesaran tuhan di hadapan mata lalu percayalah dia dengan keyakinan yang bertaraf
ainul yakin.
Hal
ini pernah terjadi kepada rasul-rasul terdahulu seperti Ibrahim alaihisalam
yang meminta kepada Allah SWT untuk melihat bagaimanakah orang yang mati akan
dihidupkan. Baginda sudah yakin dengan
ilmu cuma kali ini beliau mahu melihat dengan mata kepala supaya keyakinan yang
dimiliki dari hasil ilmu itu meningkat setahap lagi kepada keyakinan dengan
mata kepala yang dipanggil ainul yakin itu.
Firman Allah
SWT : Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: "Ya Tuhanku, perlihatkanlah
kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang-orang yang sudah mati." Allah
berfirman: "Belum yakinkah kamu ?" Ibrahim menjawab: "Aku telah
yakin, akan tetapi agar hatiku tetap mantap (dengan imanku) Allah berfirman:
"(Kalau demikian) ambillah empat ekor burung, lalu cincanglah semuanya
olehmu. (Allah berfirman): "Lalu letakkan diatas tiap-tiap satu bukit satu
bahagian dari bahagian-bahagian burung itu, kemudian panggillah mereka, nescaya
mereka datang kepadamu dengan segera." Dan ketahuilah bahwa Allah Maha Perkasa
lagi Maha Bijaksana.” (Al-Baqarah : 260)
Keyakinan dengan haq atau mengalami
sendiri kebenaran itu sebagai sesuatu yang pasti dan tidak mungkin dapat
ditolak hanya akan berlaku apabila kita sudah mati dan melihat sendiri serta
mengalami apa yang dikatakan sebagai alam barzakh, alam kubur dan juga hari
akhirat. Manusia tidak ada yang mampu mencapai tahap haqqul yakin atau disebut
sebagai keyakinan yang haq dan pasti kerana kita belum mati dan belum
mengalaminya dengan diri sendiri.
Ini seperti
mana firman Allah SWT :"Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang
tetap) yakin." (Al-Hijr: 99)
Dan
firman Allah SWT lagi : “Sesungguhnya
mereka telah mendustakan yang haq (Al-Quran) tatkala sampai kepada mereka, maka
kelak akan sampai kepada mereka (kenyataan dari) berita-berita (hari Akhirat)
yang selalu mereka perolok-olokkan itu.” (Al-An’am : 5)
Peringkat seterusnya selepas
keyakinan ialah dzon, iaitu sedikit dibawah yakin yang merupakan sebuah
sangkaan berat dan pendapat atau tanggapan seseorang bahawa dia telah menemui
kebenaran dan keyakinan tetapi yang sebenarnya dia itu belumlah berada di
tangga keyakinan. Dzon ialah sangkaan atau tanggapan atau juga boleh dikatakan
harapan seseorang dalam sesuatu perkara. Manusia itu umumnya yang beriman dan
beramal soleh selalunya bermula di atas kedudukan sebagai seorang yang dzon
(mempunyai sangkaan) bahawa dia sedang berada di dalam kebenaran.
Dzon terhasil dari ilmu atau ajaran
yang diterima oleh seseorang semenjak kecil, atau persekitaran yang membentuk
pemikirannya maka dia pun membesar dengan memiliki kepercayaan dan tanggapan
tertentu kepada sesuatu perkara. Kita semua selalunya bermula di atas kedudukan
dzon ini.
Dzon itu pun sebenarnya sudah cukup
dan diterima oleh Allah SWT kerana berapa ramai orang yang mampu berusaha
sehingga ke tangga yakin ? Dalam Islam kita disuruh sentiasa memiliki husnu
dzon (sangka baik) kepada Allah SWT dan kepada orang yang beriman yang lain.
Kita tidak pula diberatkan dengan dipaksa supaya terus yakin kerana manusia itu
bukan semuanya akan menduduki syurga yang setaraf. Keimanan yang dihafal oleh
anak-anak kecil, kepercayaan dan rukun yang dipegang di dalam hati semuanya
selalu beredar di daerah dzon di dalam hati. Jika tidak kerana kita harapkan
rahmat Allah maka kita tidak akan ke masjid, kita tidak akan melakukan amalan
soleh dan kita tidak akan mengelak dari berbuat jahat. Semua itu dilakukan
dengan harapan, atau sangkaan dzon bahawa ianya akan dibalas oleh Allah dengan
ganjaran pahala dan syurga.
Firman Allah
SWT : “Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia
mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan seorangpun dalam
beribadat kepada Tuhannya." (Al-Kahfi : 110)
Begitu juga di dalam sebuah hadith
bahawa baginda rasul salallahualaihiwasalam pernah bersabda : bahawa
Allah tabaraka wata’ala
pernah berfirman : “Aku adalah menurut sangkaan hamba-hambaKu, maka hendaklah
mereka bersangka terhadap Aku menurut kemahuan mereka.”
Kita memahami bahawa sangkaan atau
dzon itu menduduki tangga percaya atau apa yang kita sangka akan terjadi. Oleh
yang demikian dapatlah kita faham dengan ilmu dan pengalaman maka sangkaan dan
dzon itu tadi boleh sahaja meningkat menduduki tangga keyakinan.
Dalam
Islam, dzon diterima dalam semua
perkara yang baik dan ramai yang tidak tahu bahawa Dzon itu seringkali
digunakan untuk membina hukum-hukum agama melalui hasil ijtihad.
Ya, ijtihad
itu semuanya menduduki tangga dzon kerana tidak mungkin ijtihad boleh mencapai
tahap yakin kerana hanya Al-Quran dan As-sunnah sahaja boleh mencapai tahap
keyakinan itu dan ijtihad ialah menggunakan akal serta kemampuan ilmu untuk
berhukum pada sesuatu perkara yang tidak ada hukumnya dari Al-Quran dan
As-sunnah maka ia akan kekal berada ditangga dzon sekalipun seolah-olah
kelihatan benar dan pasti.
Inilah
yang dimaksudkan oleh hadith nabi salallahualaihiwassalam :
إذا حكم الحاكم فاجتهد ثم أصاب فله أجران وإذا حكم فاجتهد
ثم أخطأ فله أجر
Maksudnya
: “Apabila seseorang hakim itu berijtihad dan ijtihadnya itu benar maka baginya
dua pahala dan apabila dia berijtihad dan ijtihadnya itu salah maka baginya
mendapat satu pahala.”
Di
dalam subjek ilmu hadith, tafsir dan feqah banyak perkara dalam agama ini
sebenarnya dibangunkan di atas dasar dzon yang kemudiannya dipegang dan
didukung oleh orang ramai sebagai suatu kebenaran dan keyakinan yang teguh
kerana kejahilan dan sikap taklid (ikutan buta) mereka kepada para ulama dan
tokoh-tokoh tertentu.
Syak adalah berbeza dengan Dzon,
kerana syak bukan percaya atau harap yang menjadi dasar kepada dzon sebaliknya
syak didasari oleh keraguan dan sikap kurang yakin dan tidak pasti atau
ketakutan bahawa apa yang dipercayainya itu mungkin tersilap atau salah. Syak
tidak diterima oleh agama kerana syak ialah berpunca daripada kejahilan dan
kekeliruan. Agama ini menolak sebarang bentuk hukum dan pendapat yang lahir
daripada syak tetapi masih boleh
menerima dzon.
Contoh yang mudah yang dapat kita perhatikan ialah sebuah kaedah
fiqh yang menyebut :
اليقين لا يزول بالشك
Maksudnya
: “Keyakinan itu tidak dapat dihilangkan oleh sekadar syak.”
Kaedah
ini digunakan oleh para fuqaha dengan mengambil pelajaran dari hadith Abu
Hurairah ra yang dikeluarkan oleh Imam Muslim berkenaan masalah kentut. Baginda
salalahualaihiwassalam bersabda : “Jika seseorang daripada kamu mendapati ada
sesuatu pada perutnya dan meragui apakah keluar (kentut) atau tidak maka
janganlah dia keluar daripada masjid (meninggalkan solat) sehingga dia
mendengar bunyi atau mendapati ada angin (yang keluar).”
Islam
tidak dibina oleh syak dan keraguan yang ada dalam diri manusia. Oleh yang
demikian dari kaedah di atas jika seseorang itu telah pasti bahawa dia
berwudhuk kemudian merasa syak apakah wudhuknya itu telah batal atau tidak maka
di dalam agama kita berpegang kepada kaedah bahawa syak itu adalah tidak
bernilai dan wudhuknya dianggap masih ada dan kekal sehingga dengan yakin ada
bukti bahawa ia telah terbatal.
Syak datang dari syaitan yang
menanamkan kepada manusia rasa takut, sangsi dan keraguan dari menerima dan
meyakini kebenaran. Syak juga dikenal dengan nama was-was iaitu sejenis
penyakit yang dicipta oleh syaitan bagi melalaikan manusia yang berada di atas
jalan kebenaran sehingga dia tersesat dan keluar meninggalkan keyakinan lalu
mengikuti kesesatan. Ramai sekali orang yang apabila melakukan perkara kebaikan
maka dia merasa was-was dan sangsi serta syak apakah perbuatannya itu benar sehingga akhirnya dia pun keluar
dari kebenaran dan berada di atas jalan kebathilan lalu syaitan pun gembira dan
menanamkan keyakinan bahawa itulah jalan yang benar. Selalu terjadi dalam
memilih keputusan hidup, solat istikharah yang dibuat oleh manusia tetapi ilham
atau jawapannya pula datang daripada syaitan.
Betulkan aqidah terlebih dahulu
jika tidak semua hidup tidak akan betul, aqidah sahih mengajar kita keredhaan
Allah SWT itu bukan diukur oleh kesenangan harta dan kemudahan dunia atau
ketenangan hati tanpa gangguan sebaliknya apa yang menepati ajaran Al-Quran dan
As-sunnah !
Allah
SWT mengajar kita melalui firman-Nya : “Katakanlah: "Aku berlindung kepada Tuhan (yang memelihara dan
menguasai) manusia. Raja manusia, Sembahan manusia, Dari kejahatan (bisikan)
syaitan yang bersembunyi, yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia, dari (syaitan
golongan) jin dan manusia.” (An-Nass : 1-6)
Waham pula ialah keliru, kata para
ulama pengertian waham ialah :
“الوهم وهو
إدراك الشيء مع احتمال ضد راجح”
Maksudnya pengetahuan yang saling
berbelah bagi dengan kebenaran atau kekeliruan yang menyebabkan seseorang itu
gagal mengenal yang mana satu adalah kekenaran dan yang mana satu pula ialah
kesesatan. Waham ini ditolak oleh Islam dan kedudukan orang yang waham ini amat
kasihan dan menyedihkan kerana mereka tidak dapat langsung membezakan antara
yang benar dan yang salah kerana terkeliru dan terpedaya oleh kesesatan
sehingga dia merasa sangsi dan mempunyai jumlkah ragu-ragu yang sama banyak
dengan kepercayaannya terhadap kebenaran.
Sekurang-kurangnya
orang yang syak masih memberatkan kebenaran dan menaruh sokongan kepada
kebaikan cumanya hatinya masih ragu-ragu dan sangsi akibat kejahilan manakala
orang yang waham pula adalah lebih teruk dari itu apabila mereka tidak dapat
menilai yang manakah benar dan yang manakah salah kerana bagi mereka
kedua-duanya berpotensi sama banyak.
Golongan
neutral atau yang tidak berpendirian selalunya dikaitkan dengan kedudukan waham
dan secara lazimnya seseorang itu pun menjadi neutral atau tidak berpendirian
adalah disebabkan dia waham atau keliru dalam mengenal kebenaran sehingga
akhirnya dia hanya duduk saja dan tidak mahu membuat keputusan atau
berpendirian. Di dalam sejarah Islam ada satu kaum yang seperti ini yang
digelar sebagai Murjiah. Mereka tidak menghukum orang yang sesat dan tidak
mewajibkan manusia beramal sebaliknya hanya menyerahkan urusan itu kepada Allah
dan tidak menekankan soal amal dalam syarat-syarat keimanan kepada Allah SWT
dan keperluan berusaha untuk Islam di dalam agama kerana khuatir dan takut
tersalah dalam tindakan mereka.
Allah SWT kerap mencela golongan
yang waham ini di dalam Al-Quran dengan dengan firman-Nya : “Dan
tidaklah sama orang yang buta dengan orang yang melihat, dan tidaklah (pula
sama) orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal saleh dengan orang-orang
yang durhaka. Sedikit sekali kamu mengambil pelajaran. (Al-Mukmin : 58)
Dan firman-Nya
lagi : “Tidaklah sama antara seorang mukmin yang duduk (yang tidak ikut
berperang) yang tidak mempunyai 'uzur dengan orang-orang yang berjihad di jalan
Allah dengan harta mereka dan jiwanya (An-Nisa : 95)
Dan firman-Nya
: “Maka apakah orang yang dijadikan (syaitan) menganggap baik pekerjaannya yang
buruk itu lalu dia meyakini pekerjaan itu baik, sama dengan orang yang tidak
ditipu oleh syaitan ?” (Faathir : 8)
Serta
firman-Nya lagi : “Dan tidaklah sama orang yang buta dengan orang yang
melihat.” (Faathir : 19)
Juga pada
firman-Nya : “Tidaklah sama penghuni-penghuni neraka dengan penghuni-penghuni
jannah; penghuni-penghuni jannah itulah orang-orang yang beruntung. (Al-Hasyr :
20)
Jalan Islam dan kebenaran yang
dibawa oleh para rasul itu semuanya mempunyai musuh dan memerlukan seseorang
itu untuk berdiri teguh serta berpendirian utuh melawan kebathilan dan musuh.
Itulah yang disebutkan oleh Al-Imam Ibn Taimiyyah ra di dalam kitabnya
berkenaan al-Furqan baina auliya ar-rahman wa auliya asy-syaitan yang bermaksud
pembeza di antara wali-wali rahman (Allah) dan wali-wali syaitan. Manusia itu
kata beliau hanya terbahagi kepada dua golongan iaitu mereka yang menjadi
wali-wali Allah dan mengambil Allah sebagai pelindung dan golongan manusia yang
menjadi wali-wali syaitan dan menjadikan syaitan itu pula sebagai peneman dan
pendamping kepada diri mereka.
Jahil basith atau disebut jahil yang
ringkas adalah seumpama waham tetapi lebih rendah apabila dia tidak mengenal
kebenaran mahu pun mempertimbangkannya seperti golongan waham. Jahil basith bermaksud seseorang itu tidak
mengenal kebenaran secara keseluruhan tetapi sebahagian kecil atau juzuk-juzuk
tertentu dari agama ini dikenalnya mungkin dari hasil pembacaan atau mendengar
ucapan-ucapan orang. Apapun jahil itu tetap jahil cumanya berbeza pada jumlah
dan kuantitinya sahaja.
Orang yang
berada di tahap jahil basith atau ringkas ini, kadang-kadang mereka itu
menikmati kebenaran Islam itu sendiri.
Misalnya kaum wanita yang bertudung, jika ditanyakan kepada mereka
apakah hujah dan dalil-dalil dari al-kitab dan as-sunnah yang menyuruh dan
mewajibkan mereka bertudung nescaya ramai yang tidak mengetahuinya.
Itu tandanya jahil tetapi mereka tetap mengamalkan perintahnya
dengan memakai tudung hasil dari didikan orang tua, mengikut perbuatan
rakan-rakan dan merasakan ada kelebihan dan kebaikan memakai tudung seperti
dapat melindungi diri dan juga membuatkan penampilan mereka kelihatan lebih
cantik. Mereka ini tidak mengenal kebenaran atau apakah yang dimaksudkan oleh
perintah syarak dan sebagainya cuma mereka dapat menikmati hasilnya dan merasai
faedah-faedah daripada agama itu sendiri.
Ramai orang seperti ini dan mereka memang cukup suka kepada agama
kerana dapat memberikan ketenangan, keseronokan dan juga memberikan kepada
mereka pengisian-pengisian hidup yang dapat menutupi ruang-ruang kosong atau
vakum di dalam hati mereka.
Bukankah kerap-kali kita mendengar ucapan dari
mulut mereka supaya orang ramai jangan meninggalkan solat ? Jika ditanya
kenapa, lalu dijawab kerana solat dapat membuatkan hati menjadi tenang dan jika
kita meninggalkan solat ianya akan menyebabkan kehidupan kita akan menjadi
tidak tenteram dan tidak diberkati.
Mereka tidak
faham tentang solat dan tidak pula tahu akan kewajipan-kewajipan serta dalil
dari al-quran dan as-sunnah dan tidak pernah tahu bagaimanakah bentuknya solat
para rasul dan sahabat serta apakah fungsi dan peranan solat itu yang
sebenar-benarnya. Mereka itu jahil tetapi kejahilan itu adalah dapat diubati
dengan ilmu dan dakwah yang sahih melalui pendekatan yang betul.
Hal ini pernah berlaku di zaman nabi salallahualaihiwassalam kepada
sebahagian sahabat yang baru memeluk Islam seperti seorang lelaki yang bernama
Muawiyah bin Al-Hakim as-Salmi ra yang berkata : “Pada suatu ketika, aku pernah bersolat bersama Rasulullah salallahualaihiwassalam
lalu tiba-tiba seorang dari ahli jamaah terbersin, maka aku pun mengucapkan
“Yarhamukallah!” namun semua ahli jamaah menjeling kepadaku, lalu aku pun
merasa kesal dan berkata kenapa kamu semua memandang aku ?” Maka ramailah ahli
jamaah yang memukul peha mereka dengan tangan. Setelah itu barulah aku mengerti
bahawa mereka mahu menyuruh aku supaya diam, kemudian aku pun diam.” Apabila
Rasulullah salallahualaihiwassalam selesai mengerjakan solat baginda tidak
berkata apa-apa kepadaku. Demi bapa dan ibuku, tidak pernah aku berjumpa orang
yang paling baik cara mengajarnya selain daripada Rasulullah. Demi Allah, baginda
tidak memarahi, memukul atau mencelaku. Baginda hanya bersabda “Sesungguhnya semasa mengerjakan solat tidak
dibenarkan sama sekali untuk bercakap kerana solat itu merupakan tasbih, takbir
serta bacaan ayat-ayat al-Quran.”
Jahil mutawasith pula
ialah jahil pertengahan, ianya berada ditengah-tengah di antara jahil basih
yang ringkas dan jahil murakkab yang berat. Jahil mutawasith ialah seperti
jahil yang ringkas tetapi lebih berat apabila seseorang itu bukan sahaja tidak
mengenal kebenaran tetapi dia juga tidak mengamalkannya atau mungkin tidak
pernah mendengar tentangnya sama sekali. Golongan ini selalunya dilahirkan
dalam keadaan yang tidak bernasib baik apabila mereka terselindung daripada
mendapatkan kebenaran dan hanyut dalam kesesatan dengan sangat dalam dan berat
untuk keluar daripadanya.
Jika jahil ringkas ialah perempuan bertudung yang tidak mengetahui
tentang hujah dan dalil-dalil memakai tudung maka jahil pertengahan pula ialah
perempuan yang tidak pernah menutup aurat dan tidak pula memakai tudung sejak
kecil sehingga dia merasa pelik dan janggal melihat orang-orang perempuan yang
lain memakai tudung dan menutup tubuh mereka. Dia kerap kali tertanya-tanya
kenapaka orang-orang semua memakai tudung ? Apakah mereka tidak berasa panas
dan rimas menutup pakaian di atas badan mereka yang cantik itu ? Kenapakah
tubuh yang cantik itu tidak ditayangkan kepada orang-orang lelaki agar dapat
dipuji dan dihargai ?
Inilah sikap mereka yang berada di peringkat jahil pertengahan, iaitu
mereka menjadi jauh daripada kebenaran dan agama Islam apabila bukan sahaja
tidak berada di dalam kawasan orang yang baik dan beriman tetapi berjauhan dari
mereka sehingga terselindung daripada pertunjuk dan rahmat Allah SWT. Salah satu punca yang menyebabkan mereka
menjadi jahil pertengahan dan berat ialah kerana keberadaan mereka bersama
dengan golongan yang sesat dan dimurkai oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT : “Dan apabila
kamu melihat orang-orang memperolok-olokkan ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah
mereka sehingga mereka membicarakan pembicaraan yang lain. Dan jika syaitan
menjadikan kamu lupa (akan larangan ini), maka janganlah kamu duduk bersama
orang-orang yang zalim itu sesudah teringat (akan larangan itu).” (Al-An’am :
68)
Pergaulan dan faktor
persekitaran adalah amat penting dalam Islam kerana ianya mempengaruhi jiwa dan
tumbesaran seorang manusia dan sikap serta kelakuannya. Hal inilah yang
mendorong seseorang terjebak dan kekal dalam kejahilan kerana “circle of
friend” atau disebut rangkaian kawan-kawannya adalah orang yang sejahil dan
setaraf dengannya sehingga hari-harinya dipenuhi dengan perkara sia-sia dan
menjadi semakin jauh daripada cahaya dan kebenaran.
Di dalam sebuah hadith dari riwayat Abu Said al-Khudri ra,
bahawasanya nabi salallahualaihiwassalam pernah bersabda dengan berkata : “
Sesungguhnya pada umat sebelum kamu terdapat seorang lelaki yang pernah
membunuh 99 nyawa lalu dia bertanya kepada manusia agar ditunjukkan orang yang
paling alim yang berada di atas muka bumi maka dia pun diarahkan untuk bertemu
dengan seorang rahib. Maka dia pun mendatangi rahib tersebut dan bertanya
bahawa aku telah membunuh 99 manusia dan apakah ada taubat bagi perbuatanku itu
? Maka dijawab tidak oleh si rahib dan menyebabkan dia menjadi marah lalu
membunuh rahib tersebut sehingga mencukupkan jumlah pembunuhannya sebanyak
seratus orang. Kemudian dia bertanya lagi kepada orang ramai siapakah yang
paling alim di atas muka bumi ini maka ditunjukkan kepadanya kepada seorang
lelaki alim yang lain. Lalu dia pun bertanya bahawa dia telah membunuh seramai
seratus orang manusia maka apakah bagi perbuatannya itu ada taubat ? Lalu
lelaki ini pun menjawab ya dan memberikan syarat kepadanya supaya berhijrah ke
suatu kawasan yang penduduknya soleh dan menyembah Allah bersama-sama dengan
mereka dan dilarang dari kembali ke tempat asalnya yang dipenuhi oleh orang
yang derhaka kepada Allah. Maka bertolaklah lelaki tersebut sehingga apabila di
tengah-tengah perjalanan maka dia pun mati.
Jahil murakkab
ialah jahil yang paling bahaya dan berat berbanding semua kejahilan dan
peringkat. Kalimah murakkab bermaksud tingkatan atau susunan yang
berlapis-lapis dan hal ini mengambarkan keadaan si jahil itu yang mempunyai
jumlah kejahilan yang menebal dan berlapis-lapis sehingga tidak mudah untuk
diperbaiki dan dipulihkan. Selepas selapis masih ada lagi selapis kejahilan
yang perlu dihuraikan. Namun yang paling bahaya dari kejahilan murakkab ini
ialah kerana sikapnya yang menentang dan memusuhi kebenaran.
Firman Allah SWT tentang kejahilan yang berlapis-lapis dalam surah
An-Nur yang bermaksud : “Atau seperti gelap-gelita di lautan yang dalam, yang
diliputi oleh ombak, yang di atasnya ombak (pula), di atasnya (lagi) seperti
awan, gelap-gelita yang tindih-bertindih, apabila dia mengeluarkan tangannya
maka tidaklah dia dapat pula melihatnya, (dan) barangsiapa yang tidak diberikan
cahaya (petunjuk) oleh Allah maka tiadalah dia mempunyai cahaya walau
sedikitpun.” (An-Nur : 40)
Jika si jahil yang ringkas memakai tudung tetapi tidak mengetahui
hujah-hujah bertudung dan si jahil pertengahan pula tidak memakai tudung dan
tidak mengetahui hujah-hujahnya maka si jahil murakkab adalah yang paling teruk
di antara semua apabila dia bahkan menentang sebarang usaha memakai tudung dan berjuang
bersungguh-sungguh untuk memastikan manusia tidak pula memakai tudung.
Jahil murakkab
ialah kebathilan yang sudah tersusun rapi sehingga ianya menjadi sebuah
kebenaran dan keyakinan bagi manusia-manusia yang tersumbat di dalamnya. Mereka
berpendapat bahawa kebenaran itulah palsu dan penipuan, agama yang diturunkan
oleh Allah SWT itu adalah sebuah penindasan dan pencabulan hak manusia serta
merasakan bahawa Al-Quran dan as-sunnah yang dipegang oleh umat Islam itu
sebagai penghalang kemajuan dan kemodenan. Mereka merasakan diri mereka sebagai
bijak dan berprestij dari segi penampilan, gaya dan mutu keunggulan tetapi
sebenarnya mereka di sisi Allah SWT adalah sangat hina dan jelek lagi buruk.
Wanita-wanita
yang berada di dalam kategori jahil murakkab ini sangat menentang usaha menutup
aurat kerana menganggap ianya menghina kaum wanita dan menindas mereka. Mereka
suka dan bergembira melihat lelaki bertepuk tangan apabila mereka memakai
pakaian yang cantik dan menampakkan bentuk badan dan susuk tubuh mereka.
Sesekali mereka sengaja mengeluarkan sebahagian anggota sulit dari pakaian agar
kelihatan seksi demi memancing dan menggoda lelaki berhidung belang supaya
tunduk kepada kehendak mereka.
Hakikatnya mereka tidak lain hanyalah menjadi hamba nafsu kepada
orang-orang lelaki dan dipermainkan oleh Iblis dan ditipu oleh syaitan. Setelah
puas dipergunakan sebagai model, dan patung permainan lelaki maka mereka pun
akan dilupuskan. Malangnya kejahilan mereka itu bertingkat-tingkat. Seks bebas
dilabelkan sebagai hak peribadi, pakaian yang mendedahkan aurat dan menghinakan
maruah diri mereka sendiri digelarkan sebagai fesyen.
Itulah
ciri-ciri kejahilan murakkab apabila ianya mempunyai nama dan label-label
tersendiri yang menampakkan kejahilan itu sebagai berstatus dan memiliki
kedudukan tinggi disisi manusia. Meminum arak dianggap sebagai budaya, porno
dan gambar bogel pula dianggap sebagai seni. Acara tarian ballet, aksi wanita
berenang dan gimnastik yang tidak memberikan apa-apa faedah kepada negara itu
pula dipanggil sebagai sukan. Sedangkan semua yang mereka lakukan hanyalah demi
untuk memenuhi nafsu serakah dan syahwat mereka yang tidak pernah kehabisan.
Berkenaan dengan golongan yang berada di dalam kategori jahil
murakkab, mereka ini adalah syaitan-syaitan manusia yang perlu diperangi jika
mereka mempunyai kuasa dan berkedudukan yang boleh membahayakan kepentingan
Islam dan umatnya. Namun jika mereka tidak membahayakan Islam dan tidak
menzahirkan penentangan mereka maka hendaklah kumpulan mereka dijauhi dan
ditinggalkan.
Ini bertepatan firman Allah SWT : “Dan apabila mereka mendengar
perkataan yang tidak bermanfaat, mereka pun berpaling daripadanya dan mereka
berkata: "Bagi kami amal-amal kami dan bagimu amal-amalmu, kesejahteraan
atas dirimu, kami tidak ingin bergaul dengan orang-orang yang jahil."
(Al-Qassos : 55)