Friday, April 22, 2011

Sampaikanlah pada yang sudi menerima



Ramai beranggapan bahawa dakwah ini ialah satu perkara yang memaksa dan menekan. Barangkali jika ada yang tidak menerima seruan dan ajakan yang disampaikan maka dia (pendakwah) akan menangis kesedihan dan merasa kesusahan.

Ya, benar dia perlu melakukan muhasabah dan koreksi pembetulan cara dan isi dakwah yang telah disampaikan tetapi jangan sekali-kali memaksa diri ke jalan buntu dan berkeras pada hal yang sudah disediakan jalan dan panduan.

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali dia ingin membersihkan dirinya (dari dosa), atau Dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya? Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, Maka kamu melayaninya. Padahal tidak ada (celaan) atasmu kalau Dia tidak membersihkan diri (menjadi beriman).” (Abasa : 1-7)

Kadang-kadang kita berasa kecewa kerana yang mendengar seruan dakwah kita ialah orang buta, orang lemah seperti kanak-kanak manja yang sukakan ribena dan lelaki dewasa yang tiada pekerjaan tetap dan tidak mempunyai apa-apa jawatan dan kuasa. Tetapi itulah mereka yang dipandang mulia dan dikehendaki oleh Allah untuk kita sampaikan dakwah kepada-Nya.

Siapa sangka rupa-rupanya Allah mengutuskan kita adalah untuk mereka yang susah, fakir dan lemah tak berdaya bukannya kepada si kaya, gagah dan mereka yang sombong bergaya.

Sabda Rasulullah salallahualaihiwassalam : “Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang yang lemah di kalangan kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Ilmu adalah rezeki, dakwah dan hidayah juga adalah rezeki. Maka sedarkah kita bahawa rezeki-rezeki ini diberikan kerana adanya orang yang lemah di kalangan kita bukan kerana orang yang kuat dan gagah perkasa.

Sedangkan di sisi kita, kita mahukan lelaki-lelaki kaya, mak-mak datin yang suka menyumbang dan professor-professor serta pensyarah dan ahli politik berpangkat besar untuk tampil menyokong dan menaungi dakwah kita. Berkeras kita ceramah dan mengajar, berkejar kita ke tempat mereka menyampaikan isi kandungan Islam tetapi di sisi Allah amalan kita adalah sia-sia dan tidak memberi dosa jika kita tidak datang ke tempat mereka untuk mengajar sekalipun.

Sampaikanlah pada yang sudi, itulah maksud Allah swt.

Islam itu dicari dan didatangi. Demikian sifatnya agar ianya lebih dihargai dan dimuliakan.

Kata kuncinya ialah kehendak diri

Lihatlah firman Allah swt kepada Firaun yang bermaksud : “Pergilah kamu kepada Fir'aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas, dan katakanlah (kepada Fir'aun): "Adakah kamu berkeinginan untuk membersihkan diri (dari kesesatan). Dan kamu akan kupimpin ke jalan Tuhanmu agar supaya kamu takut kepada-Nya? Lalu Musa memperlihatkan kepadanya mukjizat yang besar, Tetapi Fir´aun mendustakan dan mendurhakai. (An-Naazi’aat : 17-21)

Keinginan dan kehendak seseorang itu adalah kunci kepada hidayah dan pertunjuk daripada Allah swt dan kunci utama kepada dakwah dan seruan agama. Kalau hendak maka akan ada seribu daya tetapi jika tidak hendak maka lemahlah jiwa dengan seribu dalil dan alasan yang akan digunakan.

Kuasa kehendak dan keinginan

Daripada Ibn Abbas ra, bahawa rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah swt menulis kebaikan dan kejahatan dan menjelaskannya dengan berkata : “Barangsiapa yang berhasrat (berkehendak) untuk melakukan sesuatu amalan kebaikan tetapi belum melakukannya maka ditulis oleh Allah sebagai telah melakukan satu kebaikan yang sempurna di sisinya. Dan jika dia berkehendak melakukannya dan kemudian melaksanakan pula kehendaknya itu maka Allah menulis baginya 10 kebaikan dengan digandakan tujuh ratus kali ganda dan sehingga kepada berkali-kali ganda. (Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim)

Musa alaihissalam walaupun seorang Rasul dan mempunyai mukjizat tetapi baginda hanya mampu memimpin dan mengajar Firaun jika lelaki itu mempunyai kehendak dan keinginan untuk menyucikan jiwanya.

Jika tidak maka tiada gunanya.

Kerana itulah tindakan Abdullah bin Ummi Makhtum yang datang mengunjungi Nabi Muhammad Salallahualaihiwassalam di saat-saat baginda sedang sibuk menerangkan tentang Islam kepada pembesar-pembesar Quraisy telah dipuji oleh Allah swt.
Apa ada pada kuasa kerana Allah yang memiliki kuasa.

Apa ada pada kekayaan kerana Allah yang memiliki kekayaan

Yang Allah mahukan dari hamba-hamba-Nya ialah kehendak dan kesungguhan…

Kerana itu kita melihat dalam sejarah Islam para sahabat semuanya beriman dengan penuh kesedaran dan kesungguhan untuk mencari kebenaran dan nilai erti sebuah kehidupan.

Betapa banyak peluang yang kita selalu abaikan, potensi besar yang selalu kita lalai untuk memberi perhatian lantaran asyik terkenang kemasyhuran dan kegemilangan pujian dan kata-kata sokongan. Seorang pendakwah yang ditolak kata-katanya di kota tidak harus berputus asa. Boleh jadi dakwahnya adalah untuk penduduk kampung atau rumah-rumah setinggan yang masih sudi mendengar kuliahnya.

Jika diluar sudah tidak mahu menerima maka boleh jadi dakwah dan ilmunya ialah untuk mereka yang berada di dalam rumahnya. Positiflah dan janganlah terlalu jumud dan terikat dengan pandangan-pandangan manusia yang selalu menyesatkan.

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang berada di atas muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).” (Al-An’am : 116)

Ikutilah sunnah nabi dalam berdakwah, apabila seruan baginda sudah ditolak di dalam Mekah maka baginda pun segera keluar menuju ke Thaif untuk menyampaikan Islam di sana. Ramai yang dijumpai oleh rasulullah dan mereka semua diseru kepada agama yang lurus. Namun tidak seorang pun dari pemimpin bani Tsaqif (kabilah di Tha’if) yang memeluk Islam bahkan baginda dibaling dengan batu sehingga luka berdarah.

Ketika Malaikat bertanya nabi apakah mahu membalas perbuatan penduduk Tha’if tersebut ? Maka jawab baginda : “Bahkan aku berharap Allah akan mengeluarkan dari tulang sulbi mereka keturunan yang akan menyembah Allah semata-mata dan tidak disekutukanNya dengan apa-apa pun.” (Riwayat Bukhari)

Jadi rugilah penduduk Mekah dan penduduk kota Tha’if yang terlepas peluang mendapat hidayah di tangan rasulullah dan mendapat kemuliaan Islam sebagai kota hidayah dan pertunjuk yang diredhai Allah. Sebaliknya dakwah baginda nabi salallahualaihiwassalam kemudian diterima oleh penduduk Yatsrib dan jadilah mereka sebagai penduduk kota yang bercahaya dan diberkati oleh Allah swt dengan kedatangan Islam dan kedatangan rasulullah salallahualaihiwassalam yang memilih Madinah (Kota Yatsrib) sebagai tempat tinggal kekal baginda sehinggalah wafat.

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Mereka itulah orang-orang yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Luqman : 5)


P/s :

Ditujukan buat mereka yang berada dalam kesedihan kerana dakwah dan seruannya tidak bersambut dan dialu-alukan.

No comments: