Sunday, April 17, 2011

Panduan dan Tips membeli buku-buku agama


Saya pernah ditanya oleh beberapa orang ikhwah mengenai panduan dan tips untuk membeli buku-buku agama atau kitab maka di sini saya ingin berkongsi sekadar mampu apakah perkara yang sewajarnya perlu diperhatikan oleh kita semua apabila hendak membeli buku-buku khasnya berkenaan isu agama.

1.Matlamat dan tujuan pembelian

Ramai orang membeli buku atau kitab-kitab agama tanpa tujuan atau tidak mengikut keperluan yang bersesuaian dengan dirinya lalu kitab-kitab itu pun akan tersadai di rumah atau menjadi bahan makanan anai-anai setelah sekian lama terperap di dalam rak atau almari.

Jangan begitu !


Sebaliknya anda harus terlebih dahulu memiliki matlamat atau tujuan yang jelas sebelum membeli buku. Tidak salah jika anda seorang ustaz atau guru agama yang kebetulan berjalan di kedai-kedai buku atau berkunjung ke pesta buku yang diadakan di mana-mana lalu tertarik kepada buku yang dijual dan ingin membelinya secara langsung.


Tidak salah apabila anda mengetahui dengan pasti bahawa anda memang memerlukannya. Buku memanglah bukan bahan makanan yang ada tarikh luputnya tetapi selain dapat mengelak daripada kerugian, berfikir sebelum beli dapat membuatkan anda terselamat daripada penyesalan kerana terpaksa membeli dua atau tiga buah buku yang mempunyai tajuk yang serupa kerana faktor kualiti, kelemahan percetakan dan pelbagai lagi sebab-sebab yang boleh berlaku jika tidak berhati-hati.


2.Belilah buku mengikut keperluan


Ilmu dalam Islam ada tangganya yang perlu di daki. Seseorang itu tidak boleh menjadi alim sebelum belajar dan begitu juga seseorang itu tidak sesuai mempelajari bidang hadis sebelum menguasai ilmu bahasa arab. Oleh itu jika ke kedai buku, belilah buku-buku yang sesuai dibaca untuk anda dan keluarga. Buku asas-asas agama, buku panduan keluarga, buku asas ilmu hadis dan bahasa atau buku-buku pengetahuan am Islam yang membantu anda mendekatkan diri kepada Allah swt.


Jauhilah membeli buku-buku kritis dan sensasi semata-mata kerana ianya popular dan hangat diperbahaskan. Sebuah kaedah fiqh ada menyebut bahawa “Barangsiapa yang ingin mendapatkan sesuatu sebelum tiba masanya maka dia akan dilarang daripada memiliki apa yang dimahukannya itu.”


Nasihat saya belilah buku mengikut kemampuan ilmu dan tahap kebolehan anda sebelum terjebak dalam jenayah ilmu dan perangkap syaitan yang merbahaya. Ilmu boleh menjadi racun apabila ianya tidak ditapis oleh neraca kebijaksanaan dan kemahiran. Pelajarilah ilmu daripada para ulama dan berguru sekalipun tidak salah menuntut ilmu daripada buku.


Buku adalah catitan fakta atau boleh sahaja menjadi bahan pemutar belit cerita. Pembaca akan terdedah kepada ilmu yang berada di dalamnya atau kedustaan dan kepalsuan yang tercatat bersama dengannya. Menapis ilmu dan informasi itulah yang sukar jika tiada guru dan rujukan yang mampu memandu dan menyuluh jalan.


3. Ilmu itu bertambah dengan bertahap


Tidak salah membeli buku-buku baru yang berguna untuk membuka minda dan mata serta menambah ilmu baru dan pengetahuan sekeluarga. Tetapi biarlah ianya bertahap dan tidak terus secara langsung mengugat jiwa dan minda tanpa persediaan mental dan emosi yang kukuh untuk menelan segala isi dan menghadamkan isu perbincangan secara bijaksana dan teliti. Belilah buku-buku secara bertahap seperti mana proses ilmu itu juga berjalan secara bertahap.


Mula-mula beli buku-buku asas hadis dan pengenalan, setelah terbiasa dan mula memahami isunya barulah melompat ke lebih tinggi mempelajari berkenaan isu-isu dan ilmu mustolahah hadis dan membaca kitab-kitab hadis yang asas. Jangan terus melompat membaca Kitab Fathul Bari atau sahihnya iaitu Jami As-Sahih (Sahih bukhari) sedangkan susunan hadis-hadis ringkas oleh Imam Nawawi seperti hadis empat puluh dan kitab Riyadus Solihin pun belum mampu anda habiskan.


4. Bertanya ustaz atau orang yang lebih tahu tentang buku


Tidak semua buku dan isinya sama sekalipun tajuk di muka hadapan seakan-akan sama atau sememangnya sama. Diolah dan digubah oleh sang penulis maka isinya pasti akan berbeza. Sifat solat nabi misalnya sekalipun tajuk seolah-olah sama semuanya tetapi kini sudah berbagai-bagai versi dan jenis buku bercerita tentang solat mengikut nabi. Ada dalil hadis semuanya, ditahqiq semuanya tetapi kenapa berlainan fakta dan versi ?


Itulah yang dinamakan buku ialah catitan ilmu dan informasi. Ianya sebuah hidangan yang dimasak oleh sang penulis dengan ramuan dan resepi masing-masing. Bertindak bijaklah dengan mengambil menu yang bersesuaian dengan kemampuan, keperluan dan yang mampu memberi lebih banyak kemanfaatan. Tanyalah orang yang mengetahui jika kamu tidak tahu.


5. Mengenal pengarang dan penulisnya


Buku adalah hasil tulisan seseorang yang dikenali sebagai penulis, penyusun atau penterjemah. Dikatakan penulis apabila dia yang menulis buku tersebut secara sendiri atau dituliskan bagi pihak dirinya dengan ilmu dan informasi yang berasal daripada dirinya sendiri. Dialah sumber ilmu yang terkandung dalam buku tersebut.


Maka mengenali siapakah sumber ilmu kita dan apakah pegangannya, manhajnya dan mengenali latar belakangnya membantu kita memahami sedikit sebanyak method atau cara penulisan serta idea dan informasi yang disampaikan di dalam bukunya.


Penyusun ialah orang yang tidak menulis bahan-bahan asal tetapi bertindak sebagai tukang susun dan atur dengan mengambil pelbagai sumber-sumber asas dan asal yang sedia ada atau sudah ditulis oleh orang lain lalu menyusunnya ke dalam sebuah buku baru dan memberi tajuk baru atau meringkaskannya kepada topik tertentu yang dikehendakinya sahaja.


Manakala penterjemah ialah seorang tukang terjemah daripada bahasa asal buku itu seperti kitab arab dari bahasa arab kepada bahasa Melayu dengan memberikan penjelasan dan makna-makna tambahan agar pembaca dapat memahami tajuk yang disampaikan oleh pengarang asal.


Mengenali penulis (pengarang), penyusun serta penterjemah adalah penting dan memilih buku juga bergantung kepada pemilihan mereka bertiga di atas kerana sudah pasti kelemahan dan kredebiliti seseorang itu mempengaruhi kekukuhan fakta dan ketepatan ilmu dan isi di dalam buku yang dihasilkan. Ilmu itu ialah agama maka lihatlah daripada siapa kamu mengambil agama !


6. Tahqiq, syarah dan taklid


Belilah buku yang mempunyai edisi tahqiq (penyemakan) terhadap dalil-dalil yang ada di dalamnya jika ianya sebuah buku asas dan ringkas tentang ilmu agama. Tahqiq bermaksud kajian dan semakan terhadap isi-isi kitab agar tiada kesalahan dan melakukan sebarang pembetulan. Biasanya tahqiq diperlukan pada menilai dalil-dalil dalam sesuatu buku apakah hadis-hadisnya sahih, lemah dan boleh dibuat hujah atau sebaliknya.


Manakala bagi buku-buku berat dan besar yang mengandungi perkara pokok ajaran Islam, isu halal dan haram serta melibatkan hukum-hukum penting adalah diwajibkan kepada mereka yang mampu untuk mendapatkan buku-buku tersebut dalam bentuk telah siap di syarahkan oleh para ulama. Syarah bermaksud “menerangkan atau menjelaskan maksudnya yang tersirat dan tersurat.” Kitab hadis Sahih Bukhari misalnya, sahih Muslim dan lain-lain yang seumpama dengannya adalah memerlukan kepada syarahan oleh para ulama di dalam memahami isi kandungannya.


Belilah buku-buku agama yang penting dan induk sebagai rujukan dengan disertakan oleh syarahan daripada pelbagai ulama Islam yang berkaliber dan berpengalaman luas moga-moga ianya membantu kita memahami isi-isi kitab dengan jelas.


Taklid berlaku apabila kita sebagai pembaca menerima bulat-bulat tidak hanya isi kandungan buku yang ditulis oleh penulisnya. Tetapi menerima tahqiq kepada dalil-dalil di dalamnya (seperti hadis di dalam buku itu sahih atau tidak) semuanya kita taklid sahaja semata-mata tanpa mengetahui pun apakah semakan dan status dalil-dalil di dalamnya benar-benar seperti yang didakwa ?


Taklid bermaksud memasang ikatan di tengkuk yang bermakna kita mengikut pendapat seseorang tanpa ilmu dan hujah. Itulah level dan peringkat orang awam seperti kita yang membaca buku-buku agama dalam keadaan tiada kemampuan untuk memeriksa status dalilnya, kaedah penulisannya dan menyemak pula apakah sumber rujukan dan dasar-dasar penulisannya. Syarahan sesebuah buku atau kitab oleh para ulama pun boleh jadi dibuat mengikut kefahaman atau mengikut aliran pendapat yang dipegang oleh seseorang ulama.


Sebuah kitab yang satu boleh memiliki pelbagai versi syarahan yang saling berbeza antara satu sama lain kerana orang (ulama) yang mensyarahkannya ialah berlainan pendapat , mazhab atau berbeza gaya dan cara mereka. Itu belum lagi kerana faktor tahap keilmuan yang berbeza !


Pengajarannya ialah janganlah tunjuk alim atau mendakwa sudah mengetahui banyak benda jika kita hanya mendapatkan ilmu dan informasi tersebut hanya dengan buku atau dari sekadar membaca.


7. Pilih percetakan yang tidak mengawal kualiti dan kebebasan isi penulisan


Ada sesetengah syarikat percetakan melakukan beberapa kesalahan dan jenayah ilmu apabila bertindak melakukan edit atau ubahsuai buku dan isi kandungannya tanpa melalui cara dan proses yang betul sehingga menghilangkan keaslian ilmu dan naskah penulisan atau mengubah fakta dan pendirian seseorang penulis yang telah menyebut pendapat dan fatwanya di dalam buku atau kitab yang dicetak.


Kalau nama tajuk buku sesebuah kitab terjemahan pun sudah diubahsuai demi menarik minat pembaca dan pembeli sekalipun perbuatan tersebut sangat-sangatlah tidak beretika masakan isi kandungan dalamannya tidak mampu diubah suai mengikut citarasa dan hajat pembaca ?


8. Bacalah buku yang dibeli dan jangan membuang masa membeli buku baru sehingga selesai membaca buku yang lama


Tiada nasihat yang sesuai untuk saya sampaikan kecuali menaqalkan sebuah kisah berdasarkan hadis Ibnu Mas’ud ra : “Sesungguhnya para sahabat ra jika belajar 10 ayat dari Al-Quran, maka tidaklah mereka meneruskan dengan ayat yang lainnya melainkan mereka terlebih dahulu telah mengetahui maknanya dan beramal dengannya.” (Sila lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Katsir Jilid 1, ms. 15,).


Baca dan amalkanlah terlebih dahulu ilmu yang sudah ada sebelum menambah dan membaca buku tentang ilmu yang baru. Pengetahuan ialah bebanan dan ianya akan dipersoalkan sejauh manakah anda telah beramal dan menyampaikannya.


Wallahu’alam

3 comments:

ainhany said...

salam ustaz,

buguis nii peringatan buat diri dlam mencari sumber bacaaan. Boleh buat iktibar dan guide line untuk ronda2 kat pwtc nanti..
Kelemahan saya selama ni ialah...bila saya tengok buku, baca kulit dan tebuk2 baca kt dalam...setuju terus bayar..:)

Terima Kasih dan bertuah juga rasanya t'jumpa ustaz kat majlis ilmu di masjid negeri tempuhari.Subhanallah.

hero said...

alhamdulillah terima kasih atas perkongsian tips2 membeli buku ni ustaz.. ni pertama kali saya jumpa.. syukron jazakAllah ustaz!

Syuk said...

Selepas membaca artikel ini, akal saya menyimpulkan bahawa alangkah beruntungnya orang yang memahami Bahasa Arab. Buku yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu telah menjadi sumber sekunder atau tertier bagi kita. Ia mungkin terdedah kepada makna dan maksud yang kurang tepat.