Saturday, February 19, 2011

Maulidur Rasul Antara Adat dan Agama


Sambutan Maulid nabi Salallahualaihiwassalam bukanlah suatu perkara yang digalakkan dalam Islam apabila ianya tidak pernah diperintahkan oleh nabi Salallahualaihiwassalam sendiri dan tidak pula pernah dilakukan oleh mana-mana kaum salaf yang terdahulu di kalangan para sahabat, tabieen dan tabi' tabien yang lebih berilmu dan lebih mencintai nabi salallahualaihiwassalam daripada kita.

Nabi salallahualaihiwassalam pernah bersabda (Yang bermaksud) : "Sebaik-baik umatku ialah yang hidup pada kurunku, kemudian diikuti zaman selepas itu dan kemudian zaman selepas itu." (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Mencontohi amalan salaf dalam beragama ialah sesuatu yang mulia dan dianjurkan oleh Islam walaubagaimanapun majlis memperingati nabi salallahualaihiwassalam dan mengadakan sambutan Maulidur Rasul bukanlah suatu bid'ah yang berdosa sekiranya perjalanan program dan majlis yang diadakan itu adalah bersih daripada perkara yang haram, sia-sia (lagha) dan dapat memberikan manfaat kepada umat Islam.

Kesimpulannya, apa yang paling utama ialah berbalik kepada pengisian program itu sendiri, niat dan tujuannya serta matlamat kita di dalam mengadakan Majlis sambutan Maulidur Rasul.

Jika yang mendapat manfaat daripada program ini hanyalah orang VVIP yang dirinya dihormati dan dimuliakan dalam majlis, mendapat liputan media dan berita, sekadar menunaikan tanggungjawab sosial dan memenuhi arahan atau menganjurkan Maulidur Rasul kerana adat dan ikutan maka tidak ada faedahnya program sebegini kepada umat Islam dan tidaklah beroleh pahala dan bukanlah ianya dikehendaki oleh agama.

Namun jika yang dimaksudkan oleh para pendakwah, ustaz dan pihak Masjid yang menganjurkan program Maulidur Rasul dengan tujuan untuk orang awam mendekati masjid,
menjadi insaf dan turut menyertai acara-acara agama seperti kuliah sirah, ceramah agama dan mendekatkan manusia kembali kepada Allah swt dan mencintai Rasulullah salallahualaihiwassalam maka tidak ada dosanya dan tidak ada salahnya penganjuran program-program atau majlis sambutan Maulidur Rasul seperti ini.

Islam tidaklah memandang kepada nama, luaran dan tempelan pada sesuatu amalan. Kerana itu sesuatu acara dan aktiviti seperti Maulidur rasul ini tidak menjadi bid'ah dan sesat hanya kerana namanya dan hanya kerana gambaran Maulidur rasul ini seolah-olah majlis menyambut kelahiran nabi yang tidak pernah dibuat oleh syarak lalu ianya dicela dan menjadi bid'ah yang haram.

Sebaliknya Islam memandang kepada isi dalamannya, apa pengisiannya dan apakah tujuan serta matlamat dari program, sambutan dan majlis seperti ini. Jika ianya menuruti syarak, membawa faedah kepada ummah dan dibuat kerana Allah swt dengan hati yang Ikhlas dan menuruti sunnah-sunnah nabi seperti mengadakan tazkirah, nasihat, ceramah ilmu maka ianya sama sahaja seperti aktiviti-aktiviti dan program kebaikan yang lain cuma namanya sahaja Maulidur rasul bersempena tarikh tertentu yang dipergunakan sebagai tarikan dan ransangan kepada orang ramai untuk turut serta mendekati usaha dakwah dan hal ini diperbolehkan.

Cumanya kita berpesan kepada umat Islam di Malaysia agar lebih berhati-hati dengan sambutan seperti ini dan hendaklah berusaha memperbaiki mutu penyampaian dakwah Islam dengan lebih berilmu, berkualiti dan lebih tekun. Misalnya tarikh kelahiran rasulullah bukanlah 12 Rabiul awal tetapi sebaliknya ialah pada tanggal 9 Rabiul Awwal, permulaan awal tahun gajah bersamaan 571 Masihi (Lihat Sirah Nabawiyah, Rahiiq Al-Makhtum,ms.45)

Kita menyeru umat Islam khasnya pihak berkuasa, masjid dan pengurusan agama lebih berkaliber dalam pengendalian program agar matlamat untuk mendekatkan manusia kepada agama dapat tercapai berbanding sekadar menjalankan Maulidur Rasul hanya sebagai siri sambutan tahunan dan program kerasmian serta keraian yang sia-sia dan tidak membawa makna. Jemputlah penceramah yang berkualiti, pendakwah yang jujur dan amanah dengan ilmu dan menyampaikan fakta yang benar tentang agama serta tidak hanya sekadar menghiburkan manusia dengan cerita keperibadian baginda nabi sebaliknya mampu mengajar masyarakat akan sunnah-sunnah rasulullah salallahualaihiwassalam yang sebenar.

Semoga Allah membantu kita dan memberikan Hidayah dan Petunjuk daripada-Nya.

1 comment:

Mengharap RedhaMu said...

As'salam ya ikhwan...tarikh 12@9 bukan menjadi ukuran yang besar yang penting didalam hati kita senantiasa mencintai baginda, ahli keluarganya serta para sahabatnya. Mg kasih kita sehingga akhir hayat. Insya'allah.
p.s perbezaan tarikh adalah perbezaan ulama terdahulu.