Wednesday, February 23, 2011

Kenduri Kahwin Orang Sunnah yang menyalahi sunnah

Ramai anak-anak muda Islam yang berhasrat untuk bernikah merasa ghairah dengan impian masing-masing untuk mengadakan kenduri kahwin mereka mengikut ajaran sunnah. Malangnya mereka sendiri terkeliru dan tidak tahu bagaimanakah bentuk kenduri kahwin yang mengikut sunnah nabi salallahualaihiwassalam.

Ada yang berkata kenduri kahwin mengikut sunnah itu ialah dengan mendapat restu ibubapa, ada yang berkata kenduri kahwin sunnah itu pula adalah dengan mengadakan jamuan kambing kerana nabi suruh mengadakan walimah (kenduri nikah) walaupun dengan seekor kambing.

Rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda yang bermaksud : “ Adakanlah Walimah (kenduri kahwin) sekalipun dengan seekor kambing.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kambing bukan ukuran sunnah

Walimah atau kenduri kahwin dianjurkan oleh Islam untuk dilaksanakan sebagai tanda kesyukuran oleh pihak pengantin kerana telah diberikan oleh Allah swt dengan rezeki pernikahan. Maka penganjuran walimah (kenduri nikah) ini dilakukan semata-mata sebagai tanda kesyukuran kepada Allah swt dan untuk berkongsi nikmat kebahagiaan dan kegembiraan dengan orang-orang lain.

Apabila disebut sebagai tanda kesyukuran, maka ianya tidak pernah dihadkan oleh Allah swt dan juga oleh rasulullah akan batas-batas nilai kendurinya tetapi sebaliknya diberikan kemudahan kepada umat Islam untuk mengadakan majlis kesyukuran nikah atau disebut sebagai walimah dan kenduri nikah ini menurut kemampuan diri mereka sendiri.

Allah swt berfirman : “Kami tiada membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya.” (Al-Mukminun : 62)

Rasulullah salallahualaihiwassalam sendiri pernah mengadakan majlis kesyukuran atau kenduri kahwin dengan hanya menjamu kurma yang telah dibuang bijinya dan dicampur susu atau gandum kepada para sahabat radiallahuanhum sempena perkahwinan baginda dengan Shofiyah binti Huyai bin Akhtab.

Oleh yang demikian, suka sekali saya katakan bahawa Sunnah yang pertama bagi kenduri kahwin ialah “Menzahirkan Kesyukuran kepada Allah swt” melalui jamuan makan kepada orang ramai dan memiliki rasa berterima kasih serta menghargai nikmat perkahwinan yang telah diberikan sebagai amanah Allah swt untuk saling bantu-membantu di atas taqwa bagi melayari bahtera rumahtangga.

Syukur tidak bernilai jika ada perbuatan kufur

Macam mana anda boleh mengatakan bahawa jamuan pernikahan ini sebagai syukur dan menzahirkan rasa terima kasih kepada Allah swt apabila keluarga pengantin lelaki dan keluarga pengantin perempuan sejak dari awal-awal lagi kufur kepada Allah swt dan tidak menghargai nikmat ukhuwah dan perkenalan anak-anak mereka dengan meletakkan harga maskahwin dan belanja hantaran nikah yang begitu tinggi kerana beranggapan status dan kedudukan anak-anak mereka perlu diberi perhatian dengan menjadikan hantaran mahal dan belanja nikah sejajar dengan kedudukan.

Siapa anda berbanding Nabi ? Siapa anak gadis anda berbanding anak-anak rasulullah ? Sedang Fatimah kekasih hati rasulullah pun bernikah dengan belanja sekadar hasil gadaian dari baju besi !

Syukurlah kepada Allah swt kerana telah menyelamatkan anak-anak anda daripada dosa zina, syukurlah kepada Allah swt kerana telah menemukan jodoh kepada anak-anak gadis anda dengan lelaki yang sudi menikahi dan menjaganya. Buktikanlah tanda syukur dengan mempermudahkan nikah mereka dan mengurangkan belanja perkahwinan mereka agar tidak sampai kepada membebankan bakal pengantin lelaki dan keluarga pasangan.

Rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda : “Sebaik-baik pemberian mahar adalah yang paling memudahkan.” (Hadis riwayat Hakim)

Manakala dalam hadis yang lain menyebut tentang betapa Islam mengalakkan mempermudahkan urusan agama seperti kenduri kahwin dan sebagainya agar ianya dapat dilaksanakan sekadar menurut kemampuan manusia sehingga tidak perlu dan tidak patut urusan teknikal seperti ini menjadi sebab-sebab halangan pernikahan.

Maka zahirkanlah kesyukuran wahai ibubapa dengan memudahkan urusan mengadakan kenduri perkahwinan ini sekadar kemampuan pihak yang menganjurkannya kerana itulah sunnah rasulullah salallahualaihiwassalam.

Jauhilah pembaziran dan kemewahan yang tidak perlu kerana sesungguhnya seburuk-buruk belanja pernikahan ialah pada jalan kemasyhuran dan kebesaran yang membawa kepada kemurkaan tuhan.

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan dan janganlah kamu berbelanja secara boros terhadap hartamu. Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat engkar kepada Tuhannya.” (Al-Isra : 27)

Sabda rasulullah salallahualaihiwassalam : “ Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sifat sombong sekalipun hanya sebesar zarah.” (hadis riwayat Muslim)

Usahlah bersombong dan berbongkak dengan majlis keraian dan sambutan pernikahan yang meriah dan gemilang kerana kebahagiaan anak-anak dan mereka yang bernikah bergantung kepada keredhaan Allah swt bukannya kepada kegemilangan majlis tersebut.

Yang kebulur tidak dijemput yang kenyang dan gemuk itu pula yang diajak datang

Sudah jadi budaya orang zaman sekarang apabila mereka berasa mulia dengan kedatangan orang-orang kaya dan pembesar-pembesar manusia di dalam majlis mereka sekalipun dikalangan muda-mudi yang bernama sunnah.

Sedangkan baginda rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda : “Janganlah bersahabat kecuali dengan orang-orang yang beriman dan janganlah memakan hidangan kamu kecuali orang yang bertaqwa.” (hadis riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)

Jemputlah orang yang bertaqwa, anak-anak orang susah dan janda serta fakir miskin untuk mendatangi hidangan jamuan pernikahan kerana itulah sunnah dan bukannya menjemput mereka sebagai tetamu sampingan anda tetapi sebaliknya kepada merekalah jamuan pernikahan itu sepatutnya diadakan.

Firman Allah swt yang bermaksud : “Tahukah kamu (orang-orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim, Dan tidak menganjurkan memberi Makan orang miskin.” (Al-Ma’un : 1-3)

Sabda rasulullah salallahualaihiwassalam lagi : “Seburuk-buruk makanan yang dijamu ialah hidangan dalam majlis kenduri perkahwinan apabila orang-orang kaya dijemput dan orang-orang miskin tidak dijemput.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ingatlah selalu dalam Islam VVIP bagi umat ini ialah orang yang bertaqwa, orang alim dan anak-anak yatim serta fakir miskin dan mereka yang berada di dalam kesusahan.

Mereka inilah VVIP dan orang besar yang perlu diberi perhatian kerana rezeki dan pertolongan Allah swt kepada anda sebenarnya bergantung kepada mereka.

Sabda rasulullah salallahualaihiwassalam : “Tidaklah Kamu diberikan pertolongan dan rezeki oleh Allah melainkan kerana bantuan kamu kepada orang-orang yang lemah di sisi kamu.” (hadis riwayat Bukhari)

Anak-anak yatim itu bukan tetamu sampingan tetapi merekalah tetamu utama dan ini ialah Sunnah dalam mengadakan jamuan pernikahan.

Apabila prinsip-prinsip Sunnah di atas telah terpelihara seperti menjaga kebajikan orang-orang susah, mencapai maksud kesyukuran melalui kenduri perkahwinan yang diadakan maka janganlah pula anda yang menganjurkannya kemudian mencemari majlis untuk mensyukuri nikmat Allah swt tersebut dengan maksiat.

Warna-warni kenduri perkahwinan di Malaysia

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu.” (Al-Ahzab : 33)

Kain satin yang licin sehingga mengundang mata-mata liar untuk memandang, baju kurung dan kain sampin yang dipakai sebagai hiasan kemegahan semuanya bukanlah membawa kepada kesyukuran dan kegembiraan yang dibenarkan. Dipersilakan buat pengantin untuk mengadakan jamuan dengan menjemput artis nasyid untuk menghiburkan tetamu, atau permainan akrobatik, wayang kulit, ceramah agama sebagai pengisian majlis, silakan kerana ianya bukan bid’ah yang dilarang bahkan termasuk adab dan akhlak pihak penganjur majlis untuk menghiburkan tetamu.

Adakanlah syair dan pertandingan berbalas pantun, ya silakan kerana tiada kesalahan.

Tetapi pakaian anda yang berkilau-kilauan, sendat kain satin dan baju kurung yang cantik mempesonakan itu sudah bukan sahaja menjadi bid’ah yang tercela bahkan termasuk tabarruj yang diharamkan.

Asingkanlah tempat duduk lelaki dan wanita dalam majlis kerana Allah swt berpesan kepada kita supaya saling menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan. Jauhilah ikhtilat (percampuran bebas) lelaki dan wanita yang sering wujud dalam majlis-majlis perkahwinan. Malulah kerana sesungguhnya malu itu sebahagian daripada Iman.

Kenapa kau tabarruj wahai pengantin ?

Allah swt berfirman : “Wahai anak Adam, Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. dan pakaian takwa Itulah yang paling baik. yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, Mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (Al-A’raaf : 26)

Raja sehari bukan daripada adat dan amalan umat Islam bahkan bukan sekali dalam amalan rasulullah salallahualaihiwassalam. Pada hari perkahwinan dan hari jamuan pernikahan bukan engkau yang makan dan dilihat oleh orang ramai atau bersanding dan didatangi oleh orang kebanyakkan tetamu lelaki dan perempuan.

Bukan engkau yang makan tetapi harus orang yang susah itu yang makan dan engkau wahai pengantin seharusnya tunggu dan tidak makan kerana melayani mereka. Itulah sunnah dan keraian sebagai tanda kesyukuran.

Pengantin jadi pelayan dan melayani tetamu kerana itulah sunnah walimah pernikahan.

Sahl bin Saad ra memberitahu bahawa Abu Usaid as-Sa’idi mengundang rasulullah ke majlis jamuan pernikahan beliau dan ketika itu isterinya yang menjadi pengantin perempuan itulah yang sibuk melayani tetamu dan keperluan mereka.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Beza sunnah dan bid’ah ialah apabila pengantin yang melahap sakan, makan dengan hidangan mewah yang berbeza dari tetamu yang lain sementara orang ramai berdiri meraikan mereka konon-kononnya merekalah raja seharian.

Itulah pembuat bid’ah di kalangan orang-orang Sunnah, mentah akal dan lemah pemikiran dalam memahami sunnah beragama dan bukanlah mereka pemuda dan pemikul amanah ummat, sekali tergoda oleh pakaian yang smart habis jatuh kredebiliti dan ketegasan beragama kepada adat dan khurafat.

Kesimpulannya, sukalah sekali saya rumuskan. Yang sudah itu sudahlah, yang akan datang maka perbaikilah. Masih ada masa untuk kita semua insaf dan bertaubat sebelum ajal datang menghambat.

Lurus katakan lurus, yang bengkok katakan bengkok. Jelaskanlah yang sunnah daripada yang bid’ah agar kelak perkahwinan anda dapat membawa berkat dan semoga rumahtangga anda aman dan selamat.

Segala puji hanyalah bagi Allah swt.

14 comments:

Meera said...

Assalamualaykum ustaz, Afwan, nk beri sedikit pendapat, Perkahwinan yang sekali sahaja seumur hidup, mungkin akan kedengaran umpatan saudara mara ataupun pihak menantu kalau buat kenduri biasa2.. Tak ke nampak macam kita tak meraikan? Bedasarkan pengalaman sebelum ni buat kenduri abg sedara 'Ikut Sunnah' dapat kritikan hebat..

Ustaz Emran said...

Wa'alaikumussalam,

1- Tiada jaminan perkahwinan kita sekali seumur hidup, sekarang ini zaman manusia semakin banyak bercerai adalah....mungkin sebab tidak berkat atau tidak diredhai ?? Perlu muhasabah mengapa terjadi begitu salah satunya mungkin kerana tidak ikut sunnah.

2- Yang mengumput dan mengata bukan mereka yang keluar duit belanja....biar pilah mereka nak kata apa...lainlah kalau mereka tumpang sekaki keluarkan belanja dan harta untuk buat majlis kenduri...so ada can kita nak layan cakap2 depa :)

3-Ikut sunnah memang kena kritik tetapi Allah redha....manakala buat bid;ah dan kenduri tak ikut sunnah manusia memang suka...tetapi Allah murka...perkahwinan tak bahagia juga...

raikanlah agama melebihi kata-kata manusia kerana suara datang dan pergi tetapi kebenaran kekal selama-lamanya.


Wassalam.

Mohamad Fakhruddin Abdul Ghani said...

Tahniah! Sharing yang menarik.

Pernah saya terdengar sepasang pengantin yang mereka hanya jamu bihun saja. Simple, tapi bermakna.

Tetapi, sudah menjadi 'mulut' manusia. Suka sangat mengata. Bila orang melakukan sunnah, ada sahaja yang kata majlis 'musnah.'

Islam mengajar proses walimah secara sederhana yang meliputi syariat, bukan untuk mengukuhkan adat, tidak pula kental dengan tradisi barat. Selamat beramal untuk menuju akhirat!

Mariah Binti Abd Rahim said...

salam ustaz..

setuju dengan post ustaz kali ini. memang itulah yang diharapkan pada majlis kenduri kahwin saya nanti.

Bukan kemegahan yang dicari, tetapi keberkatan. maka, tidak perlu bermewahan pada majlis yang pasti hanya akan memeningkan kepala.. :)

Peluncur Islam said...

jazakallah ustaz....

Abu Zubair said...

Assalamua'laikum.

Minta izin nak copy checklist ustaz tu nak masukkan kat Facebook untuk disebarkan.

JazakAllah.

Unknown said...

Tak susah Ustaz untuk mengutuk, lebih susah untuk memahami insan lain dan bersangka baik pada mereka. Dan seorang Ustaz yang 'melabel' wanita yang tak bertudung sebagai hina, saya tak heran, kerana Ustaz hanyalah seorang manusia yg hati penuh dgn keinginan menjadi insan yg lebih baik. Tapi apakah Ustaz menjadi lebih baik di sisi Allah dengan merendahkan saya atas kesalahan saya? Ustaz memandang hina manusia yang melakukan kesalahan YANG USTAZ NAMPAK, yang Ustaz tak nampak itulah yg Ustaz puji. Itulah sifat kemanusiaan Ustaz, yang ustaz sendiri mungkin tak perasan. Kutuklah saya sesuka hati Ustaz, saya tetap akan cinta pada Allah dan Rasulnya, kecintaan saya pada mereka ialah kerana Allah dan Rasulnya sangat memahami dan tidak pula pernah meremehkan wanita sebagai mana Ustaz meremehkan wanita. Barangkali selepas ni saya mesti menyimpan gambar perempuan lain yg menutup tudung, mengguna kan Quran dan Hadis meng condemn ustaz atas semua buruk sangka Ustaz dan melael blog saya sebagai PANDANGAN SEORANG USTAZAH. Ustaz or ustazah adalah sama seperti makhluk Allah yg lain, jgn lah terlalu yakin dgn menilai hamba Allah lain atas kesalahan mereka akan mengangkat hujah dan pendapat Ustaz ke tahap yg lebih mulia. Ustaz, saya nak mengadu pada Allah tentang seorang Ustaz yang meremehkan wanita, dan suka mengutuk mengikut perasaannya dan kemudian melabelkan perkara yg sama terhadap wanita. Tak saya mulia kerana tudung, dan saya takkan pernah merasa mulia sekalipun saya bertudung. Kutuklah apa Ustaz nak, tapi ingat, jika buruk sangka Ustaz tu salah, bersedialah untuk di nilai di akhirat, yang pastinya saya dah maafkan smua buruk sangka Ustaz, tetapi Allah ialah hakim yang maha bijaksana, tak betul kita kerana kita post ayat Quran dan Hadis, kalau kita tak mengikut peribadi baginda. Syiah pun kata dirinya Islam sebenar, Pengikut Sunnah pun kata mereka Islam sebenar, Taleban pun kata mereka Islam sebenar, kemudian mereka berbunuh2an. Semua manusia merasa mereka betul kerana mereka berhujah dgn Quran dan Hadis, tetapi ingatlah Ustaz, itu tak semestinya betul, jika tak mencontohi cara tutur kata baginda Rasul.

Ustaz Emran said...

Tidak menutup aurat adalah berdosa....membuat dosa dan engkar arahan Allah macam mana nak dapat kasih sayangnya ?

Kalau sayang Allah buktikan dengan menutup aurat dan mengikuti perintahnya.

Allah bukan teddy bear yang dibuat bantal peluk.

Unknown said...

Dosa saya banyak Ustaz, sayalah hamba yang berdosa, yang ustaz nampak tu, itu yg ustaz baru nampak, belum lagi yang ustaz belum nampak, dosa yg Ustaz tegur tu yang saya tahu, belum lagi dosa yang saya tak tahu. Saya hamba yang engkar, saya daif dan banyak kelemahan dan saya akan dihukum oleh Allah. Yang saya ada hanyalah cinta kepada Allah dan Rasulnya, sekalipun saya seekor anjing, ataupun hinanya saya di mata Ustaz, ketahuilah saya cinta Allah dan Rasulnya. Mungkin Ustaz meragui cinta saya pada Allah dan Rasulnya,dan ingin mengutuk saya sepuas hati, saya terima, sebab saya tahu, Ustaz tak boleh lihat isi hati saya. Kalau Ustaz dapat tengok isi hati saya, dan isi hati manusia yang lain, mungkin Ustaz akan lebih berlembut hati dalam tutur kata melalui fb untuk menegur dan membimbing saya dan mereka yg tersalah jalan. Bukan pulak menghina, apatah lagi mengufurkan mereka seperti post Ustaz di atas. Semoga di hari mendatang Ustaz akan lebih berbesar hati, menulis blog ini dgn penuh kasih sayang, sebagaimana pengasihnya baginda Rasul. Saya bukan robot, kadangkala saya harap saya ialah robot, kerana bila saya kata saya cinta Allah dan Rasulnya, ertinya saya akan mengikut segala suruhan dan menjauhi segala larangannya, tapi saya manusia yg daif dan lemah, yg mencinta Tuhan dan Rasulnya dalam masa yang sama engkar kepada Tuhannya. Semoga Tuhan mengampunkan saya di kala manusia tak mampu mengampunkan saya.

Unknown said...

saya tersedak membaca komen ustaz melalui lama facebook, mata saya mula berair kerana saya demi Allah tidak pernah mendoakan ustaz mendapat azab. Kenapa pulak saya mengharapkan sesuatu yang buruk berlaku pada Ustaz padahal Ustaz mencintai Allah dan Rasulnya? Saya terima tuduhan Ustaz dan ketahuilah, saya tak akan mendoakan keburukan pada mereka yg cinta pada Allah dan Rasulnya. Semoga Ustaz akan sentiasa dipelihara oleh Allah dan mendapat kasih sayang atas usaha baik Ustaz. Terima Kasih

Mengharap RedhaMu said...

As'salam ya ikhwan...memang benar...ini semua dek kerana mereka itu mengikut hawa nafsu. Jika nafsu menguasai diri maka yang baik hanya dipandagan mata yang tidak mereka tolak ketepi. Tindakkan luar batas agama ssemakin banyak diikuti. Bila akad nikah syaitan menangis....bila walimah syaitan bergembira. Inilah reality dunia kini. Dek kerana "kata orang" semua dituruti. Ikut adat lebih diutamakan dari ikut sunnah. Alangkah baik juga bila walimah itu sekadar doa selamat. Tidak lah bayak menghabiskan duit. Lagi satu hal plak....duit hantaran....nak beribu2, bila tak da duit pi pinjam banklah, kawan2 lah, syarikatlah. Buat loan sana sini kan kasi susah orang. Islam itu mudah, yang menyukarkan adalah umat yang tidak mengahyati islam yang indah itu. Maaf lah bg siapa yang terasa. Tp bg saya inilah reality dunia.
p.s Sy adalah penentang adat dalam perkahwinan.

Le Chevalier said...

Salam ustaz,

artikel ini sangat menyentuh jiwa dan memberi ilmu kpd saya.

terima kasih.

Unknown said...

Assalamualaikum....Ramai manusia terpenjara dengan "apa nanti kata2 orang" :)

Dasar Pendosa said...

SubhanAllah, mari betulkan keadaan!!!