Nikmat Iman dan Islam merupakan anugerah Allah kepada hambanya yang dipilih berdasar kehendaknya. Hanya dengan Iman dan Islam yang akan dapat menyelamatkan seseorang daripada azab api neraka dan dengan Iman serta Islam jualah maka seseorang itu boleh berpeluang ke syurga yang indah dan mengecapi nikmat kekal abadi.
Sebagaimana firman Allah swt dalam Al-Quran :
Maksudnya :
" Dan sebelumnya kamu tidak pun mengetahui apakah itu Al- Kitab (Al-Quran) dan tidak juga mengetahui apakah itu Iman. Tetapi kamilah yang menjadikan Al-Quran itu cahaya dan pertunjuk kepada sesiapa yang kami kehendaki dari kalangan hamba kami." - As-Syura : 52.
Membincangkan perkara Aqidah seperti perihal Iman merupakan satu perbincangan yang mulia dan amat penting. Aqidah merupakan perkara dasar dan menjadi pokok serta usul kepada agama Islam. Bahkan seawal-awal perkara yang wajib diketahui bagi setiap mukallaf sebelum solat dan lain-lain kewajipan fiqhiyah ialah perkara aqidah dan mengucapkan syahadah. Maka tidak hairanlah mengapa Imam Abu Hanifah ra mengelarkan Aqidah perihalnya sebagai “Fiqh Akbar.”[1]
Sebagaimana disebut oleh Imam Abd Izz dalam kitabnya Syarah Aqidah Tahawiyah menyebutkan bahawa hendaklah setiap muslim itu berada di dalam aqidah yang sahih dan tetap meninggalkan dunia dengan aqidah yang sahih juga sebagaimana sabda baginda salallahualaihiwasalam (yang bermaksud) : “ Barangsiapa yang mati dalam keadaan mengetahui bahawa tiada tuhan selain Allah ( memiliki aqidah yang benar) maka sesungguhnya dia akan masuk syurga.”[2]
Sesungguhnya memahami masalah Iman dan mempelajarinya tidaklah sama seperti mempelajari ilmu-ilmu lain seperti Feqah sekalipun ianya turut melibatkan soal halal dan haram namun perkara berkait masalah keimanan bahkan lebih bahaya kerana ia melibatkan soal benar atau sesat dan membawa akibat syurga atau neraka.
Memiliki Aqidah yang sahih dan benar mestilah dengan cara dan jalan ilmu pengetahuan serta menuruti apa-apa yang sudah jelas dan sabit yang telah diputuskan oleh para ulama’ salaf soleh terdahulu yang mengetahui kebenaran Islam daripada tafsiran rasulullah.
Iman merupakan perkara yang sudah disepakati oleh para ulama’ Ahlul Sunnah Wal Jamaah dan para Imam salaf soleh sebagai termasuk dalam bab “Tauqifiyah” (iaitu perkara-perkara yang tidak diistinbatkannya melainkan dengan wujudnya dalil syarak yang qatie seperti Al-Quran dan As-Sunnah). Dalil syarak bermaksud Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih yang menjadi rujukan kepada sebarang permasalahan utama dalam hal agama yang melibat perihal Iktiqadiyah (kepercayaan) .[3]
Oleh yang demikian para ulama’ bersepakat mengatakan sumber Aqidah Islam termasuk rujukan berkenaan dengan masalah Iman ialah hanya Al-Quran dan As-Sunnah sahihah semata-mata dan diberhentikan setakat itu tanpa memperpanjangkan sesuatu hal yang tiada dalil daripada keduanya. Kerana itu ia dinamakan perkara tauqifiyah iaitu yang bermaksud berhenti.[4]
Dengan itu, setiap perkara yang tidak disebut dalam Al-Quran dan As-Sunnah maka ianya tidaklah menjadi rujukan dan sumber kepada Aqidah bahkan ditolak sebagai hujah dan menjadi dasar atau prinsip dalam ilmu aqidah atau sebagai hujah di dalam permasalahan Iman.
Maksudnya :
“ Dan tiadalah pertunjuk melainkan dengan pertunjuk Allah dan kepadanya aku bertawakkal dan kepadanya aku kembali.” -Surah Hud :88.
Al-Quran sebagai sumber rujukan utama perkara Keimanan
Para ulama mengambil dasar perkara Aqidah dan isi pokok Keimanan daripada Al-Quran dan hal ini merupakan kewajipan asas ke atas setiap Muslim. Ini jelas berdasarkan firman Allah swt :
Maksudnya :
“(Dan ingatlah) Akan datang hari (ketika) Kami bangkitkan pada tiap-tiap umat seorang saksi atas mereka dari mereka sendiri dan Kami datangkan kamu (Muhammad) menjadi saksi ke atas seluruh umat manusia dan Kami turunkan kepadamu Al-Kitab (Al Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan kabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri.” - Surah An-Nahl : 89.
Ibnu Mas’ud radiallahuanhu berkata : “ Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa seluruh ilmu pengetahuan dan segalanya telah diterangkan oleh Al-Quran.” [5]
Baginda nabi salallahualaihiwasalam pernah memperingatkan umatnya akan kehujahan dengan Al-Quran melalui sabdanya yang bermaksud : “Al-Quran itu hujah bagi kamu dan hujah ke atas kamu.”[6]
Maksudnya :
“Katakanlah (wahai Muhammad) al-Quran itu diturunkan oleh Ruhul Qudus (Jibril) daripada Tuhanmu dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat untuk meneguhkan iman orang yang beriman dan untuk menjadi hidayah petunjuk serta berita yang menggembirakan bagi orang Islam. Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui bahawa mereka yang musyrik itu berkata: Sebenarnya dia diajar oleh seorang manusia. (Padahal) bahasa orang yang mereka sandarkan tuduhan kepadanya itu ialah bahasa asing sedangkan al-Quran ini berbahasa Arab yang fasih nyata.”- Surah an-Nahl : 102-103.
Para ulama’ menyebutkan bahawa dalam perkara Iman tidak boleh wujud perkara-perkara ijtihad dan pendapat akal, kerana perkara Keimanan merupakan soal ghaib dan tidak dapat dilihat dengan pancaindera sebaliknya Iman merupakan iktiqad kepercayaan yang melibatkan dalil syara semata-mata.[7]
Malahan apabila membincangkan soal Aqidah Islam dan perihal berkait masalah Iman ini maka hanya Allah swt sahaja yang mengetahui akan kebenaran tanpa selain-Nya. Oleh itu adalah sewajarnya setiap hamba menyembah-Nya dengan panduan dan pertunjuk yang diberi.
Sehinggakan para rasul juga tidak terkecuali daripada termasuk di kalangan mereka yang tidak mengetahui perihal ghaib.
Maksudnya :
“Katakanlah : aku tidak mengatakan kepadamu, bahawa perbendaharaan Allah ada padaku, dan tidak (pula) aku mengetahui yang ghaib dan tidak (pula) aku mengatakan kepadamu bahawa aku seorang malaikat. aku tidak mengikuti kecuali apa yang diwahyukan kepadaku. Katakanlah: "Apakah sama orang yang buta dengan yang melihat?" Maka Apakah kamu tidak memikirkan(nya)?." -Surah Al-An’am : 50.
Telah menjadi pedoman dan pegangan ulama’ salaf soleh dalam masalah aqidah dengan berpada kepada dalil Al-Quran dan As-Sunnah serta meninggalkan akal dan pendapat waras serta logik di dalam memahami perkara Keimanan dan mengistinbatkan maksud dasar aqidah dari dalil-dalil syara’ baik Al-Quran dan As-Sunnah mengikut teladan salaf soleh semata-mata.
Marilah kita mengambil iktibar dari kalam Imam Ibn Taimiyyah ra yang diriwayatkan pernah berkata : “Sesungguhnya iktiqad (kepercayaan dan pegangan agama) tidaklah diambilnya dari aku atau sesiapa yang lebih hebat dari diriku sebaliknya ambillah dari Allah dan dari rasul-Nya dan apa yang dihimpunkan oleh ulama salaf dan jika ianya dari Al-Qur’an wajiblah kita beriktiqad dengannya begitulah juga apa yang sabit jelas datang dari hadis yang sahih seperti Bukhari dan Muslim.”[8]
As-Sunnah sebagai rujukan kedua di dalam Masalah Iman
Apa yang disebut dan dijelaskan di dalam Al-Quran dan As-sunnah maka dipegang pada berdasarkan kaedah dan pertunjuk salaf dan diimani. Sesungguhnya akal tidaklah dapat mengetahui perkara –perkara ghaib bahkan juga tidak mengetahui akan keadaan Allah dan bagaimanakah cara untuk beriman kepada Allah dengan yang sepatutnya.
Al-Imam As-Syafie rahimahullah berkata : "Setiap apa yang datang daripada As-sunnah merupakan penjelasan kepada Al-Quran. Maka setiap orang yang menerima Al-Quran maka wajib kepadanya untuk menerima sunnah rasulullah, kerana Allah telah mewajibkan kepada hamba-Nya untuk mentaati rasul-Nya dan mematuhi hukum-hukumnya yang diputuskan olehnya. Orang yang menerima apa yang datang dari rasulullah salallahualaihiwasalam bermakna dia telah menerima apa yang datang daripada Allah swt kerana Allah telah mewajibkan kepada kita untuk mentaatinya."[9]
Pengertian hadis di dalam Islam ialah “Setiap sesuatu yang disandarkan kepada nabi Muhammad salallahualaihiwasalam baik berupa perkataan, perbuatan, pernyataan atau sifat.”[10]
Maka apabila disebut perkataan hadis yang menjadi maksud kita ialah hadis yang sahih kerana hadis itu membawa maksud perkataan dan ucapan nabi salallahualaihiwasalam dan hanya hadis yang sahih ini sahaja yang diyakini datang daripada nabi.
Pengertian hadis sahih ialah hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang adil, kuat ingatannya serta sanadnya bersambung dan tidak pula ada kecacatan (Illat) juga kejanggalan (Syaz) pada hadis.[11]
Oleh yang demikian, apabila sesebuah hadis sahih itu sampai kepada kita maka beriman dan menerima hadis tersebut ialah wajib. Ini kerana peranan hadis atau sunnah rasulullah itu ialah sebagai penerang dan penjelas isi kandungan Al-Quran.
Seperti firman Allah swt :
Maksudnya :
“Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan di kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah dan membersihkan mereka, serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) Sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata.” -Surah Ali Imran :164.
Peranan Rasulullah ialah mengajarkan isi kandungan Al-Quran kepada umat baginda dan setelah kewafatan baginda yang sampai dan tinggal kepada kita ialah Hadis baginda dan teladan serta para sahabat baginda yang menjadi rujukan kita di dalam beragama.
Firman Allah Subhanahu waTa’ala:
Maksudnya :
“Dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka.”-Surah An-Nahl :44.
Lihatlah bagaimana Allah swt menggunakan kalimah “ûÎiüt7çFÏ9” yang bermaksud “untuk menerangkan dan mengajarkan manusia tentang apa yang diturunkan oleh Allah dan memelihara perintah Allah serta mengikutinya.” [12]
Inilah bukti kukuh peranan rasul ialah untuk menerangkan isi kandungan Al-Quran dan hadis baginda yang mengandungi penerangan-penerangan terhadap agama ini perlu dijadikan hujah dan panduan di dalam beragama. Allah memerintahkan kita mengikut hadis rasulullah dan mengikuti pertunjuk baginda di dalam beragama sebagaimana disebut oleh baginda salallahualaihiwasalam sendiri :
Maksudnya :
“Bukankah aku ini diberikan Al-Quran kepadaku dan sesuatu yang menyerupainya (iaitu Sunnah).” [13]
Inilah jalan dan pertunjuk yang sahih dalam beribadah iaitu menetap pada pertunjuk sunnah yang dibawa dari Al-Qur’an dan ajaran rasul kepada umat-Nya iaitu para sahabat ra dan dipelihara oleh ummah melalui ilmu dan manhaj yang dikenali sebagai salafus soleh.
Ilmu manusia adalah sangat terhad dan tidak wajar bagi kita untuk mengatakan sesuatu di dalam masalah Iman tanpa ilmu pengetahuan atau dengan ketiadaan pertunjuk salaf. Sungguh manusia selamanya tidak akan mampu dengan fikirannya dan akalnya yang terbatas untuk mengetahui hakikat dan perihal aqidah melainkan apa yang ditunjukkan oleh Allah swt . Demikianlah para ulama salaf soleh berpegang dan menetapkan aqidah dan kepercayaan berdasarkan dalil yang sahih sebagaimana berkatanya Imam As-Syafie rahimahullah : “ Aku beriman dengan Allah atas apa yang di datangkan oleh Al-Quran dan As-sunnah dan aku beriman kepada rasul atas apa yang dibawanya iaitu sunnah.”[14]
Sesungguhnya perkara keimanan yang merupakan asas agama tidaklah diambil dari mana-mana pendapat imam , bahkan tidak pula dari ijtihad mana-mana ulama’ atau manusia sebaliknya Iman di ambil secara langsung dan khusus dari sumber asli Islam iaitu wahyu dari Allah swt dan juga panduan serta hidayah rasul-Nya iaitu sunnah yang tidaklah rasul itu berbicara melainkan dari wahyu juga.
Maksudnya :
“Dan Tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).” – Surah An-Najm : 3-4.
Ijmak sebagai Pegangan di dalam Perkara Keimanan
Pada sudut bahasa Al-Ijmak bermaksud kesepakatan (berhimpun) di atas sesuatu dan juga bermaksud keazaman pada sesuatu perkara dan keputusan teguh padanya dan para ulama berselisih dalam menetapkan makna Ijmak menurut Istilah namun menurut Imam Ibnu Munzir rahimahullah bahawa sebahagian besar di kalangan ulama, ramai yang mengatakan bahawa Ijmak itu ialah apa yang disepakati oleh keseluruhan ulama dalam sesuatu pendapat dan tiada yang menyelisihi pendapat tersebut walaupun seorang dan jika terdapat yang menyelisihinya maka ia bukanlah merupakan ijmak dan definisi ini dipegang oleh Al-Imam Ibnu Jarir At-Tabari.
Juga ada yang mengatakan seperti yang disebut oleh Imam Al-Ghazalie ra bahawa Ijmak itu ialah apa yang disepakati oleh umat Muhammad salallahualaihiwasalam khasnya pada perkara yang berkait soal keagamaan. [15]
Imam As-Syirazi rahimahullah pula mengatakan bahawa Ijmak bermaksud kesepakatan ulama pada sesuatu zaman terhadap hukum yang baru yakni yang tiada disebut secara jelas dan terang di dalam Al-Qur’an dan sunnah.[16]
Ijmak Salaf di dalam Aqidah ialah Hujah
Kesepakatan para salaf di dalam masalah Aqidah seperti berkait permasalahan Iman menjadi hujah dan ikutan kepada Ahlul Sunnah Wal Jamaah. Ini berdalilkan kepada pertunjuk Kitab dan As-Sunnah sendiri.
Maksudnya :
“Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan dia berleluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan dia ke dalam jahannam, dan jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali.” – Surah An-Nisa : 115.
Al-Imam Baidhawi rahimahullah berkata ayat di atas menunjukan kehujahan Ijmak dan larangan menyalahinya dan dalil di dalam ayat ini ialah wujudnya ancaman kepada mereka yang menyalahi jalan orang-orang yang beriman dan ulama usul menjadikan ayat ini sebagai hujah bahawa menetap di atas jalan dan pegangan orang-orang yang beriman yang mencapai tahap Ijmak itu sebagai wajib.” [17]
Kefahaman salaf dan kesepakatan mereka di dalam agama ialah hujah ini berdasarkan hadis riwayat Aisyah radiallahuanha bahawa baginda rasulullah pernah bersabda yang bermaksud : “ Sebaik-baik kurun manusia ialah kurun aku berada di dalamnya dan kemudian kurun kedua (Sahabat) dan kurun ketiga (Tabi’in). “[18]
Begitu juga seperti yang disampaikan oleh Sufyan bin Uyainah rahimahullah dengan berkata aku mendengar Asim berbicara kepada Abu Al-Aliyah dengan katanya “Tetaplah kamu kepada perkara yang awal-awal dipegang dan diperintahkan (oleh para sahabat) sebelum terjadi khilafnya ummat”. Dan telah berkata juga Imam Al-Auza’ie “Bersabarlah di atas sunnah dan berhentilah pada apa yang golongan terdahulu telah berhenti padanya (yakni pada perkara yang para sahabat berhenti dari melakukannya) dan berkatalah dengan apa yang dikatakan oleh mereka (para sahabat) dan berpadalah dengan apa yang mereka merasa cukup (sebagai panduan mereka) dan tempuhilah jalan salaf soleh.”[19]
Allah swt menyuruh kita tidak bersikap memandai-mandai di dalam urusan agama khususnya di dalam persoalan ghaib dan berkait masalah Iman.
Maksudnya :
“Ataukah kamu hanya mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?" -Surah Al-Baqarah : 80.
Bahkan pernah diriwayatkan bahawa Khalifah Abu Bakar radiallahuanhu pernah ditanya akan maksud ayat وفاكهة و أبا di dalam surah Abasa ayat 31 iaitu apakah dimaksudkan dengan أبا lalu beliau pun berkata : “Di langit manakah akan aku berlindung dan di bumi manakah akan aku berpijak jika aku berani mengatakan sesuatu tentang kitab Allah akan apa yang aku tidak ketahui.”[20]
Begitulah juga dengan kalam dari Imam Ahmad ra : “Kami beriman kepada Allah melalui Al-Quran dan As-Sunnah tanpa membagaimanakan atau memperumpamakan dan kami beriman dengan segala apa yang datang dari rasul (sunnah).”[21]
Inilah prinsip ulama salaf dalam mengambil sumber aqidah seperti kalam Imam Ibnu Taimiyyah rahimahullah : “ Tidaklah aku menghimpunkan di dalam kitabku melainkan aqidah salaf soleh dan bukanlah juga hanya dari Aqidah Imam Ahmad sahaja dan bahkan Imam Ahmad itu sendiri pun hanya menyampaikan ilmu yang datang dari nabi salallahualaihiwasalam dan andai sekiranya apa yang disampaikan oleh Imam Ahmad itu ialah dari dirinya sendiri maka nescayalah kami tidak akan menerimanya.”[22]
Demikianlah pegangan aqidah yang benar yang dipegang oleh para ulama salaf soleh . Sesungguhnya aqidah mereka diambil dari sumber yang sahih iaitu Al-Qur’an dan sunnah. Persoalan Iman bukanlah termasuk masalah feqah yang mana mazhab atau pegangan ijtihad dapat dibuat oleh mana-mana ulama dan mana-mana orang boleh memilih pendapat yang disukainya untuk dipegang sebaliknya masalah Iman ialah salah satu dasar dalam agama yang jelas dan kukuh tanpa goyah yang di ambil dari asas Islam iaitu kitab dan sunnah.[23]
Maksudnya :
“Pada hari ini telah aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah aku cukupkan kepada kamu nikmat-Ku, dan telah aku-redhai Islam itu sebagai agama kepada kamu.“ -Surah Al-Maidah : 3.
[1] Lihat : Syarah Aqidah Thahawiyah ms. 124.
[2] Hadis sahih, riwayat Muslim no.43 dan Ahmad, Jilid 1, ms.69.
[3] Lihat : Aqidah Tauhid, ms. 8.
[4] Lihat : Lisanul Arab Jilid 9, ms. 380.
[5] Lihat : Tafsir Al-Quran Al-Azim, oleh Ibnu Katsir rahimahullah Jilid 2, ms. 768.
[6] Hadis sahih, riwayat Muslim no.223.
[7] Lihat : Syarah Aqidah Tahawiyah ms. 32
[8] Hikayah Manazir Fi Wasitiyyah Jilid 3, ms. 161, Muqadimah Syarah Aqidah Wasitiyyah.
[9] Lihat : Kitab Ar-Risalah, ms. 32.
[10] Lihat : Mustolah Al-Hadis Wa Rijal, tulisan Syeikh Prof. Dr. Hasan Muhammad Maqbuli Al-Ahdal ms.11.
[11] Ibid.
[12] Tafsir Al-Quran Al-Azim, oleh Ibnu Katsir, Jilid 2, ms. 754.
[13] Hadis Sahih, riwayat Abu Daud no. 4604, lihat dalam Sahih Jami’ no. 2643.
[14] Lihat : Syarah Lumatul Iktiqad oleh Ibn Qudamah ms. 25.
[15] Lihat : Kitab Al-Mustasfa Jilid 1, ms.173.
[16] Lihat : Al-Luma’ Fi Usul Fiqh ms. 179.
[17] Lihat : Raudhotun Nazir, Jilid 1, ms. 335.
[18] Hadis sahih riwayat Muslim, Jilid 2, no. 1965 dan Abu Daud, Jilid 5, no. 44.
[19] Riwayat Abu Nu’aim dalam Hilyatul Auliya Jilid 6, ms.143.
[20] Lihat : Syarah Aqidah Thahawiyah Jilid 1, ms. 295.
[21] Riwayat dari Abu Ya’la dalam Ibthal Ta’wilat lil Akhbar As-Sifat Jilid 1, ms. 44.
[22] Lihat : Muqadimah Syarah Aqidah Wasitiyyah, Majmuk Fatawa Jilid 3, ms. 159.
[23] Lihat : Syarah Aqidah Thahawiyah, Jilid 1, ms. 33.
No comments:
Post a Comment