Thursday, December 09, 2010

Hijrah Rasulullah bukan sebuah pelarian


Peristiwa hijrah berlaku dalam sejarah Islam pada malam 27 Safar tahun ke 14 kenabian apabila rasulullah salallahualaihiwassalam meninggalkan rumahnya menuju ke rumah sahabatnya Abu Bakar As-siddiq dan keluar bersama-sama melalui pintu belakang sebelum terbitnya fajar.

Orang ramai yang membaca kisah sejarah pasti akan memahami bahawa penghijrahan nabi Muhammad adalah berlaku dengan arahan wahyu Allah swt. Ini sememangnya benar dan dibuktikan melalui riwayat dari Abdullah bin Ady ibn Al-Hamra` Az-Zuhry, yang diberitakan daripadanya, bahawa dia mendengar Nabi salallahualaihiwassalam sewaktu baginda berada di al-Hazwirah di pasar Makkah yang sabdanya : “Demi Allah, sesungguhnya engkau (Makkah) adalah bumi Allah yang terbaik, dan aku mencintai bumi Allah kerana Allah , jika tidak kerana aku diperintahkan untuk berhijrah, nescaya aku tidak akan keluar dari bumi ini.” (Hadis riwayat Ahmad)

Manakala dalam Al-Quran, Allah swt telah menjelaskan kelebihan berhijrah di jalan-Nya dengan berfirman yang bermaksud : “Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, niscaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezki yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (An-Nisa : 100)

Wahyu pun berlangsung dengan usaha dan perancangan

Sekalipun nabi Muhammad salallahualaihiwassalam diperintahkan untuk berhijrah menuju ke Madinah oleh Allah swt melalui wahyu namun perjalanan tersebut tetap perlu ditempuhi oleh baginda dengan perancangan menggunakan kebijaksanaan dan bekalan persediaan perjalanan.

Allah tidak menyediakan pengawal peribadi bertaraf lima bintang atau kenderaan mewah dengan kelajuan supersonik untuk membawa nabi salallahualaihiwassalam keluar daripada kota Makkah semata-mata kerana hijrah nabi ini adalah suruhan Allah swt. Sekalipun wahyu kamu tetap perlu berusaha sendiri melaksanakannya dan memenuhi perintah Allah swt tanpa berlengah-lengah dan mengharap bantuan dari Allah sebelum kamu berusaha.

Allah memerhati, dia bersama kita setiap masa tetapi apakah itu bermakna ujian dan dugaan hidup di atas dunia ini semuanya tidak bermakna ? Tidak, bahkan ujian dan kesusahan itulah pra-syarat kita untuk mendapatkan pertolongan Allah dan rahmat daripada-Nya.

Lihat sahaja tindakan baginda memaklumi Abu Bakar yang merupakan sahabatnya akan peristiwa hijrah di waktu tengahari secara sulit, mendatangi beliau dengan menutup wajah, mengupah Abdullah bin Uraiqith sebagai penunjuk jalan, ancaman bunuh dalam perjalanan dan ujian di dalam gua Tsur serta pelbagai lagi kisah-kisah menakjubkan dalam peristiwa Hijrah menunjukkan kepada kita bahawa perlaksanaan perintah wahyu itu adalah tanggungjawab kita sebagai hamba Allah swt dan perlu dilakukan dengan kudrat dan kemampuan kita yang maksima.

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) Maka Sesungguhnya Allah telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang Dia dan salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu Dia berkata kepada temannya: "Janganlah kamu berduka cita, Sesungguhnya Allah beserta kita." Maka Allah menurunkan keterangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya, dan Al-Quran menjadikan orang-orang kafir Itulah yang rendah. dan kalimat Allah Itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah : 40)

Hijrah bukanlah satu pelarian

Penempatan nabi salallahualaihiwassalam apakah di Makkah atau di Madinah bukanlah suatu masalah besar buat Allah swt untuk menurunkan pertolongan, bantuan atau mempamerkan kekuatan dan kebesaran-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang derhaka.

Allah boleh sahaja membantu nabi dan dakwah baginda apakah di Madinah atau di Makkah.

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah adalah Pelindungnya (Muhammad) dan (begitu pula) Jibril dan orang-orang mukmin yang baik; dan selain dari itu malaikat-malaikat adalah penolongnya pula.” (At-tahrim : 4)

Hijrah bukanlah sebuah pelarian kerana Agama Islam selamanya tetap kekal izzah dan mulia sebagai agama dan ajaran daripada Allah swt dan rasul yang memikul tugas amanah menyampaikan ajaran ini bukanlah seorang yang lemah atau rendah kedudukannya di kalangan manusia sehingga perlu berlari, bersembunyi atau menjadi pelarian di atas tanah tumpah darahnya sendiri.

Tetapi hijrah mempunyai mesej dan hikmah yang tersembunyi.

Undur bukanlah bermakna kalah.

Bersembunyi dan merahsiakan dakwah bukanlah bermakna salah.

Islam ialah agama yang mengandungi mesej dan teladan buat manusia sepanjang zaman. Pelbagai watak manusia “akan” dan “berhak” untuk mengambil pelajaran daripada kisah rasulullah dan mengamalkan isi kandungan Islam yang dibawa oleh Al-Quran dan As-sunnah nabawiyah.

Tidak semua manusia akan menjadi seperti Umar al-khattab yang berhijrah di tengah-tengah khayalak ramai dan mencabar sesiapa yang mahu menahannya daripada berhijrah. Tidak semua pula yang bernasib malang seperti Suhaib ar-rumi yang dirampas harta dan barangannya sewaktu hendak berhijrah ke Madinah.

Demikianlah nasib dan watak manusia berbeza-beza, latar belakang dan kemampuan mereka tidak sama justeru itu Islam datang membawa satu standard dan pengajaran yang bersifat umum dan menyeluruh, universal dan global yang sesuai diikuti oleh umat manusia sepanjang zaman tanpa terikat oleh usia dan batas masa serta waktu dan keadaan zaman.

Menyingkap Mesej Hijrah

Hijrah merupakan satu titik perubahan baru dalam dakwah Islamiyah dan mengajar banyak perkara kepada umat Islam dan juga kepada peribadi rasulullah salallahualaihiwassalam. Kali ini tugas nubuwwah tidak lagi hanya berlangsung dan berselindung di rumah Al-Arqam bin Abil Arqam tetapi di kota-kota dan akan didengari ke seluruh pelusuk dunia.

Kota Madinah dipilih untuk mendapatkan kehormatan dan menjadi pusat penyebaran dakwah Islam tersebut.

Pengajaran pertama daripada Hijrah ialah Dakwah Islam itu harus berjalan menuju ke puncak dan ditinggikan oleh pengorbanan-pengorbanan manusia yang beriman kepada Allah swt sehingga suara agama dan seruan Allah untuk seluruh manusia beriman dan bertauhid kepada-Nya didengari oleh seluruh isi alam.

Hijrah mengajar nabi bahawa Allah telah memprogamkan Islam untuk tidak membuang masa melayani kerenah kufar dan menanti sesuatu yang tidak pasti kerana “Masa” bagi seseorang manusia itu amatlah penting dan ianya perlu dilaburkan sepenuhnya ke jalan Allah swt dan melakukan apa yang lebih menguntungkan agama dan membawa kepada bekalan akhirat dari menanti sesuatu yang tidak pasti seperti menanti orang-orang yang kafir itu menjadi beriman.

Rasulullah tidak disuruh menunggu di Makkah,tidak disuruh terus berdakwah sehingga kaumnya menjadi beriman dan selama penantian itu maka baginda haruslah tetap tunduk kepada pemerintahan dan kekuasaan jahiliyyah dan syirik yang berleluasa di atas bumi Makkah.

Tidak sama sekali.

Islam tidak akan mengiktiraf jalan pemikiran dan jalan kehidupan seperti itu kerana kemuliaan agama Allah dan kemuliaan Islam serta seruan dakwahnya lebih merelakan nyawa seorang rasul dikorbankan daripada menjadi santapan dan tunduk kepada pemerintahan dan kekuasaan taghut dan syirik.

Ramai rasul-rasul dan nabi yang telah terbunuh dalam dakwah mereka tetapi belum ada rasul dan nabi yang pernah bernaung di bawah bendera syirik dan kebathilan serta tetap meneruskan dakwah mereka seperti biasa seolah-olah tidak terganggu dan tergugat oleh syirik dan kebathilan.

Islam dan sifatnya bukan sebegitu.

Allah swt telah mewajibkan kepada setiap orang yang beriman untuk memandang akhirat dan menyakini ganjaran pahala dan pulangan yang dijanjikan oleh Allah sebagai galang -ganti pengorbanan mereka di atas dunia. Hal ini semacam panduan di dalam membuat apa-apa keputusan dan tindakan untuk kita lebih memandang kepada akhirat daripada keuntungan dunia.

Hal itulah yang menjadikan para sahabat nabi sanggup mengambil risiko mengikuti nabi berhijrah ke Madinah yang merupakan tempat yang asing bagi mereka dengan terpaksa meninggalkan kehidupan dan “comfort zone” mereka sekaligus menyebabkan mereka berada dalam keadaan yang benar-benar teruji oleh peristiwa hijrah.

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keridhaan Allah; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya.” (Al-baqarah : 207)

Hijrah menjadi kayu ukur untuk menguji siapakan yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul dan siapakah pula yang tidak beriman dan hanya memeluk Islam dengan separuh hati dan tidak sanggup meninggalkan kehidupan bathil dan syiriknya yang sudah selesa atau meninggalkan kaum kerabat dan ahli keluarga serta harta bendanya.

Hanya mereka yang yakin dengan masa depan di tangan Islam sahajalah akan sanggup membuat pelaburan dan pertaruhan masa depan dan kehidupan mereka untuk dakwah dan perjuangan Islam.

Allah Maha cepat pembalasannya dan sangat segera serta Maha menepati janji.

Kesusahan yang kita hadapi di saat ini, ketahuilah bahawa ianya bukanlah penamat bagi segala-galanya. Masih ada ruang dan peluang untuk kita berubah dan berhijrah kepada kebaikan sekiranya itu yang kita mahukan.

Tidak penting bila kita bermula tetapi apa yang penting ialah bagaimana kita akan berakhir.

Salam Hijrah 1432

2 comments:

Mohamadazhan.com said...

salam maal hijrah ust, moga dirahmati :)

ANNAS said...

Hari ini kaum Muslimin berada dalam situasi di mana aturan-aturan kafir sedang diterapkan. Maka realitas tanah-tanah Muslim saat ini adalah sebagaimana Rasulullah Saw. di Makkah sebelum Negara Islam didirikan di Madinah. Oleh karena itu, dalam rangka bekerja untuk pendirian Negara Islam, kita perlu mengikuti contoh yang terbangun di dalam Sirah. Dalam memeriksa periode Mekkah, hingga pendirian Negara Islam di Madinah, kita melihat bahwa RasulAllah Saw. melalui beberapa tahap spesifik dan jelas dan mengerjakan beberapa aksi spesifik dalam tahap-tahap itu