Aku ingin menasihati anak-anak muda yang bergaduh soal jenama pakaian dan pemikiran yang ingin dipakainya. Ketahuilah perjalanan yang panjang pasti akan dapat menguji apakah baju dan pemikiran yang dipakai oleh kamu itu 'sesuai' dan 'mampu' untuk melindungi diri apabila sedang diuji oleh Allah swt.
Allah swt berfirman : “Katakanlah: “ Berjalanlah di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu. Kebanyakan dari mereka itu adalah orang-orang yang mempersekutukan (Allah)." (Ar-Rum : 42)
Takala bala bencana menimpa kamu seperti kematian orang yang tersayang, kehilangan barang dan kerugian harta serta diuji dengan ketakutan dan kesusahan. Maka pada ketika itu ‘baju’ yang dipakai oleh kalian akan dapat diuji kebolehannya untuk melihat apakah ianya mampu memelihara kamu daripada kesakitan atau hanya sekadar menambah penderitaan.
Demikianlah pula ‘ aliran pemikiran’ yang dipakaikan ke otak dan dimasukkan ke dalam sistem kewarasan minda anda. Apakah ianya mampu membuatkan jiwa dan diri anda kebal dan mampu bertahan daripada segala macam kesengsaraan serta sekaligus menukar kegagalan kepada kejayaan.
Aqidah yang benar ialah aqidah yang positif.
Aqidah yang mampu membuatkan kamu tahan lasak ketika diuji. Aqidah yang membuatkan kamu redha ketika kehilangan harta, tabah sewaktu menderita dan mampu menerima dan beriman kepada takdir apabila menghadapi kematian insan yang tercinta.
Aqidah yang sahih itu ialah aqidah yang menguatkan peribadi dan jasad kamu dengan kekuatan jiwa yang berupa sabar, syukur, redha dan amanah. Kamu masih mampu berterima kasih kepada Allah dan dapat mensyukuri nikmat-Nya walau di tengah-tengah kesibukkan dunia dan dilimpahi oleh nikmat serta diberikan rezeki yang seluas-luasnya di dunia.
Kamu masih berupaya untuk bersyukur kepada Allah Swt walau ditengah-tengah kesusahan atau ditengah-tengah kesenangan.
Aqidah yang sahih membuatkan kamu tidak lupa untuk tunduk dan sujud kepada Allah apabila tiba waktunya. Patuh kepada suruhannya dan berlaku lembut serta ehsan kepada hamba-hamba-Nya.
Itulah aqidah yang sahih yang membuatkan kamu sentiasa ingat dan takut kepada-Nya.
Aqidah yang mampu membawa manusia mengharungi segala ujian dan cabaran kehidupan di atas muka bumi. Itulah isi dan itulah inti pati ajaran Al-Quran dan As-sunnah.
Islam bukan agama zahiri tetapi penuh hikmah dan kaya dengan rahsia kehidupan yang perlu diselesaikan sepanjang zaman dan akan menghuraikan hikmahnya menurut kesesuaian manusia yang pelbagai keadaan.
Aqidah Islam yang dibawa oleh rasulullah bukanlah mengajarkan fakta semata-mata dan itu bukanlah fungsi utama Nabi salallahualaihiwassalam membawa dakwah.
Ayat Al-quran banyak membawakan cerita berkenaan umat-umat terdahulu tetapi tiada suatu pun di dalamnya yang membawakan butiran fakta secara tepat berkenaan lokasi, waktu dan watak yang terlibat secara terperinci. Ini kerana fokusnya ialah pada hikmah dan pengajaran bukan kepada fakta dan butiran.
Teruskanlah berjalan kerana sejuk, panas dan kesusahan di dalam perjalanan pasti akan membuatkan kamu tersedar daripada lamunan dan angan-angan. Baju berjenama mahal yang dipakai baru kan teruji oleh kesukaran perjalanan.
Benarkah bajumu itu tahan ? benarkah bajumu itu tulen dan berkualiti seperti yang dijamin ?
Kelak kita akan melihat apakah duri-duri dan onak ranjau di jalan akan mampu mengoyakkan bajumu atau ianya masih tetap utuh dan teguh melindungimu.
Kita akan melihat bersama-sama.
Allah swt berfirman yang bermaksud : "Dan Katakanlah: "Beramal-lah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan. " (At-Taubah : 105)
Baginda rasulullah salallahualaihiwasalam bersabda dengan Maksudnya: “Tidaklah menimpa Seorang muslim itu sesesuatu dari keletihan, penyakit, masalah (kebingungan), kesedihan (kerana kehilangan sesuatu), kesengsaraan dan duka cita sehinggakan (kepada) duri yang menusuknya (menyakitinya), kecuali Allah menghapuskan (mengampunkan) dengan semua itu akan dosa-dosanya.” (hadis riwayat Bukhari)
Demikianlah pula dengan pemikiran yang engkau pakaikan kepada minda dan kotak kewarasan dirimu. Apakah ianya sebuah pemikiran yang bertahan dan bersifat kesempurnaan atau ianya hanyalah merupakan mainan syaitan yang dipenuhi dengan pelbagai kekaburan.
Ramai orang mendakwa aliran pemikirannya itu ialah yang paling benar. Ianya sunnah dan ianya Al-Jamaah serta terjamin daripada kesesatan. Dikhuatiri itu hanyalah dakwaan yang sangat dangkal dan dipenuhi oleh kekaburan dan kepalsuan.
Ramai orang mendakwa bahawa mereka dijamin oleh tuhan sedangkan Allah berlepas diri daripada mereka. Lihatlah perangai mereka apabila diuji, perhatikan sikap mereka ketika menerima tekanan dan penindasan.
Apakah kalimah dan ucapan yang terkeluar daripada lisan mereka ?
Adakah ianya ucapan kembali kepada Allah yang berbunyi “InnaLillahi Wa inna Ilahirajiu’un” ? Atau ianya perkataan manusia biasa yang menyebut :”Alamak,” “Ni Apa hal ni “? “Nak buat macam mana ni.” ?
Pemikiran yang sahih dan benar daripada Allah serta yang dikehendaki oleh Allah swt akan dapat membuatkan seseorang itu bersabar dan berlaku adil walau kepada musuh dan pihak yang lemah dan berada di bawah kekuasaan dan kemampuan kita.
Pemikiran yang sahih itulah juga akan membuatkan manusia tidak berputus asa, tidak menyerah kalah dan tidak mudah terpedaya oleh dunia.
Ianya adalah bukan sekadar pemikiran yang disusun oleh ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis rasulullah semata-mata tetapi turut mengandungi makna-makna dan khasiat daripada kedua-duanya serta mampu menjadi akar yang utuh dalam kehidupan manusia sebagai peneguh dan penguat yang mampu menjulangkan amal sehingga ke langit tinggi.
Allah swt berfirman : “Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, Pohon itu memberikan buahnya pada Setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat.Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikitpun.” (Ibrahim : 24-26)
Itulah aqidah Islam dan itulah fahaman yang sahih daripada Al-Quran dan as-sunnah.
Ianya tidak memerlukan nama.
Bubuhlah ia dengan apa jenama baik wahabi, sufi mahupun salafi. Langsung semua penjenamaan ini tidak akan mempengaruhi apa-apa kepada peribadi yang jiwanya teguh dan utuh oleh khasiat daripada Al-Quran dan as-sunnah ini.
Nabi memanggil agama ini sebagai Islam, ad-dean, millah Ibrahim, al-hanif dan sirath al-mustaqim tetapi semuanya bersumber pada hakikat yang sama iaitu daripada Allah dan untuk membawa manusia kepada Allah Swt.
Panduannya tetap sama iaitu Al-Quran dan as-sunnah rasulullah.
Demikianlah manusia yang ada di atas muka bumi ini. Penilaian kita mungkin mengelarnya dengan pelbagai nama dan jenama tetapi di sisi Allah, cuma ada dua kelompok manusia sahaja iaitu apakah ahli syurga atau pun ahli neraka.
Wallahu’alam.
2 comments:
benar uztaz..org sekarang memang pentingkan branded semata2 utk tunjukkan pd org lain yg dia mampu..
di dunia mungkin..tapi if tidk dibekalkan utk akhirat..baju yg mahal pun dlm tanah hancur jugak
Alhamdulillah..artikel yg menginsafkan. Jazakallah .
Post a Comment