Friday, May 28, 2010

Realiti dan fatamorgana, bagaimana Anda membezakannya ?


Allah menyebut di dalam Al-Quran berkenaan hidup dan mati itu hanyalah sebagai ujian kepada manusia.

“Maha Suci Allah yang di tangan-Nyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu, yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Al-Mulk : 1-2)

Menurut Al-Quran, kehidupan kita ini hanyalah fatamorgana, tiada apa yang realiti melainkan tipudaya belaka. Ini disebabkan di dalam kehidupan kita ini, bumi dan langit semuanya sudah diaturkan oleh Allah SWT, sudah disediakan dengan segala kemudahan dan kita diberikan pilihan.

Allah SWT memerhatikan kita, malaikat yang merupakan suruhan-Nya mengawasi dan mencatat segala amalan kita.

Kita menyangka sakit, sedih, sengsara,marah, kecewa, cinta dan gembira itu realiti kerana tubuh dan jasad kita menikmatinya.

Kita menyangka polis, tentera, kerajaan itu kuat dan berkuasa mengatur sistem pentadbiran manusia kerana kita merasai tekanan daripada mereka.

Kita menyangka manusia, doktor, guru, ibubapa inilah yang menolong kita, membuatkan kita berjaya dan memberi manfaat dan kebaikan kepada kita.

Tiada apa yang realiti di dalam dunia ini.

Definisi realiti pada diri kita adalah terlalu simple dan mudah.

Kita beranggapan realitinya sesuatu itu pada kita hanyalah disebabkan oleh apa yang diprogramkan oleh otak kita, apa yang didengari oleh telinga kita dan apa yang dilihat oleh mata kita.

Mata kita tidak ubah hanya sekadar kamera yang merakam cahaya, otak yang memberi definisi dan takrifan kepada apa yang dilihat. Otak yang membaca cahaya dan menafsirkannya.

Kita mendengar sesuatu bunyi, telinga cuma sekadar alat, otak yang memberi definisi bunyi dan menyatakan kepada kita apakah bunyian dan maksud bunyi yang kita dengar.
Kita sakit kerana saraf sakit kita memberi tindak balas kepada otak dan otak memberitahu kita maksud tekanan dan kesakitan itu serta menyebabkan tindakan daripada anggota badan kita.

Perasaan pula bagaimana ? Sedih, sakit, kecewa, marah, suka, derita ?

Ianya semua adalah permainan otak.

Otak kita pula bertindak balas menggunakan program yang kita masukkan ke dalam otak.

Ambil contoh berkenaan perhubungan manusia.

Jika program yang kita masukkan ialah sebuah program hubungan manusia versi barat, maka apabila seorang yang berlainan jantina dengan kita bersalaman dan mencium pipi kita, bagi otak menafsirkan hal tersebut adalah normal dan biasa.

Otak menafsirkan sedemikian kerana “Value”dan “nilai” atau disebut program yang bermain di dalam otak kita ialah sebuah program versi barat yang membuatkan otak kita memberi respon balas secara positif, kita pun akan membalas ciuman dan bersalaman dengan lawan jantina tanpa membangkitkan apa-apa perasaan dan rasa bersalah. Otak memberi respon menurut program yang kita masukkan ke dalamnya.
Jikalau kita mempunyai program versi timur dan versi Islam, maka otak akan memberi tindakbalas seperti kita mungkin mengelak, serba salah untuk bercium dan bersalaman berbeza jantina.

Kerana program yang berada di dalam otak kita ialah versi islam yang menyebabkan reaksi dan tindak balas kita berbeza.

Otak pun cuma sekadar alat.

Setelah anda baca apa yang saya tuliskan ini, cubalah fikirkan apakah sebenarnya yang merupakan realiti dan hakiki sebenar-benarnya ?

Perasaan marah kita tidak lebih daripada sekadar aktiviti otak dan tindakbalas fizikal akibat kita menggunakan program versi tertentu.

Bagi orang tertentu, jika ada lelaki bersalaman dan menari dengan isterinya adalah perkara biasa. Manakala bagi orang yang lain dia akan cemburu dan marah, bahkan boleh jadi dia akan membunuh orang yang menyentuh isterinya itu.

Jadi apakah yang realiti dalam kehidupan kita ?

Al-quran telah menjawabnya.

Realiti di dalam kehidupan ini cuma satu.

Iaitu amalan kita yang merupakan hasil tindak balas kita.

Tidak kisah apakah yang menimpa kita baik sedih, gembira, suka, duka itu semua
hanyalah sekadar fatamorgana yang tidak kekal dan berupa sekadar ujian atau di dalam bahasa lain bias kita sebut sebagai kesan tindakbalas.

Namun yang menjadi realiti dan penting ialah amalan.

Amalan kita itulah yang merupakan perkara yang realiti, pasti dan tidak boleh diubah.
Persis tenaga, ianya tidak boleh dimusnahkan tetapi boleh berubah menjadi pelbgai bentuk.

Manusia menghasilkan tenaga, tenaga yang dihasilkan itu tidak boleh dimusnahkan…

Amalan yang kita lakukan adalah kekal menjadi catatan para malaikat, tindak balas kita dan sebagainya itulah yang akan dilihat.

Amalan kita bagaimana terhasil ?

Daripada tindakbalas otak bukan ?

Otak berfungsi sebagai alat yang menafsirkan sesuatu dengan program yng kita masukkan ke dalamnya.

Maka nasihat saya, masukkanlah program yang betul ke dalam otak.

Program yang sahih memanglah Al-quran dan as-sunnah, tetapi sekadar program yang baik tidak berguna jika kita tidak tahu kaedah yang betul menggunakannya.

Semua komputer menggunakan windows tetapi tak ramai yang tahu memanfaatkannya .
Kata kunci bagi segala masalah ini ialah ilmu dan pengalaman.

Belajar untuk menjadi lebih baik bukan untuk tunjuk diri kita baik dan pandai.
Kesimpulannya, kita akan mengetahui bahawa kehidupan ini penuh dengan penipuan dan tipudaya pemikiran dan otak. Maka apakah kita akan terus menerus menikmati syahwat dan keseronokkan adrenaline struktur dalam tubuh kita yang bertindak balas dengan kelakuan buruk dan maksiat semata-mata untuk menikmati keseronokkan dunia yang cuma beberapa detik dan ketagihan syahwat dan duniawi yang cuma seketika ?

Usahlah tertipu maka bersegeralah beramalkebaikan dan mengumpul bekal amalan-amalan soleh kerana itulah sahaja realiti dan hakikat yang pasti.

Betulkanlah pemikiran dan program otak anda agar menyakini wujudnya hari pengadilan dan akhirat.

Mulakan mengumpul bekal yang membawa manfaat di akhirat.

Mati hanya sekali, jadikan ia di jalan Allah SWT

Kerana itulah pengakhiran yang pasti setiap orang akan melalui.

4 comments:

abuMuhammad said...

Salam,

Artikel yg membuka minda!!

Tahniah!!

Ustaz Emran said...

terima kasih,

ianya belum sempurna, tetapi terlalu sibuk untuk melengkapkannya, moga suatu hari ianya dapat disempurnakan.

hanya dapat menulis 40 % daripada kehendak asal.

abuMuhammad said...

Saya doakan agar dipermudahkan usaha Ustaz ini. Rasanya kalau dibelek artikel yg lama2, ada yg perlu disambung lagi ustaz.

wa.

Ummu Hanif said...

Mungkin yang Ustaz maksudkan sebagai otak ada sebahagiannya bermaksud minda/fikiran/hati...hal ini memang agak mengelirukan; samalah seperti jantung...untuk mudah faham,ada yang menamakan sebagai jantung fizikal dan jantung rohani...