Monday, May 03, 2010

Perkahwinan Yang Ideal Menurut Al-Quran dan As-sunnah


Ketika saya ditanya oleh orang ramai berkenaan perkahwinan yang ideal di dalam Islam maka saya pun menjawab bahawa perkahwinan yang dituntut oleh agama ialah perkahwinan yang menjadi ibadah.

Perkahwinan itu ialah perintah Allah SWT bagi menyalurkan fitrah manusia ke jalan yang halal.

Maka selama perkahwinan itu adalah menjadi ibadah kepada Allah SWT, membuahkan pahala maka ianya adalah dikira ideal dan mencapai tuntutan dan perintah agama walau apa pun jua versi dan suasana perkahwinan itu.

Di dalam Al-Quran ada menceritakan perkahwinan versi Asiah isteri Firaun, isteri solehah bersama suami yang jahat.

Di dalam Al-quran ada menceritakan perkahwinan Nabi Allah Luth, isteri jahat bersama lelaki soleh.

Di dalam Al-Quran ada menceritakan perkahwinan Ibrahim, perkahwinan Ismail, perkahwinan Musa, perkahwinan Ayub ,perkahwinan rasulullah salallahualaihiwasalam dan para rasul selainnya.

Kita melihat pada perkahwinan mereka terdapat bermacam-macam ragam dan cerita yang mampu menumpahkan air mata dan bukanlah kisah fantasi bahagia khayalan yang jauh dari realiti.

Para rasul di utuskan daripada kalangan manusia dan Islam ialah agama yang paling memahami realiti manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Katakanlah: "Al Quran itu diturunkan oleh (Allah) yang mengetahui rahsia di langit dan di bumi. Sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan mereka berkata: "Mengapa rasul itu memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar? Mengapa tidak diturunkan kepadanya seorang malaikat agar malaikat itu memberikan peringatan bersama- sama dengan dia?” (Al-Furqan : 6-7)

“Dan Kami tidak mengutus rasul-rasul sebelummu, melainkan mereka sungguh memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar. Dan kami jadikan sebahagian kamu cubaan bagi sebahagian yang lain. Mahukah kamu bersabar?; dan adalah Tuhanmu maha Melihat.” (Al-Furqan : 20)

Banyak ayat yang menunjukkan maksud yang hampir serupa iaitu para rasul ialah manusia seperti kita dan yang membezakan mereka dan kita hanyalah kerana mereka itu diberi wahyu.

Wahyu iaitu Islam (Al-Quran dan As-sunnah) datang untuk memandu kehidupan manusia agar menuju ke jalan yang diredhai Allah SWT. Kedatangan wahyu juga untuk menyedarkan kepada manusia erti sebenar kehidupan mereka ini di dunia.

Allah SWT befirman : “ Dan tidaklah kami menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaku.” (Adz-Zariyat : 56)

Wahyu mengajarkan kita hidup ini singkat, kita akan dibangkitkan dan diberi pengadilan serta menyuruh kita beramal untuk akhirat.

Allah SWT befirman yang bermaksud : “Demikianlah Kami wahyukan kepadamu Al Quran dalam bahasa Arab, supaya kamu memberi peringatan kepada ummul Qura (penduduk Mekah) dan penduduk (negeri-negeri) sekelilingnya serta memberi peringatan (pula) tentang hari kiamat yang tidak ada keraguan padanya. Segolongan manusia akan masuk ke syurga, dan segolongan pula akan masuk ke dalam Jahannam.” (As-syura : 7)

Allah SWT berfirman : “Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sesungguhnya negeri akhirat itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?” (Al-An’am : 32)

Itulah tugas utama wahyu.

Mukjizat, keramat, segala macam lagi kelebihan yang diberikan kepada rasul itu hanyalah semata-mata bagi membantu mereka mencapai objektif utama wahyu iaitu menyedarkan manusia hidup ini singkat, wujudnya akhirat dan hari pembalasan, mengajarkan manusia cara yang sebenar menyembah Allah SWT dan menyedarkan manusia agar beramal sebanyak mungkin menghadapi hari akhirat serta jangan lalai oleh dunia dan terpedaya oleh syaitan.

Maka mukjizat itu sekadar membantu agar orang percaya mereka ini ialah rasul yang benar-benar diutuskan.

Kehidupan para rasul itu pula dijadikan contoh dan teladan untuk diikuti oleh manusia dan kehidupan mereka itu adalah persis seperti kehidupan manusia lainnya cuma yang membezakan mereka dan kita ialah kehidupan mereka itu dipandu oleh wahyu.

Maka kita yang mahu mengikuti teladan mereka itu pula harus tahu apa yang mahu di ikut, iaitu mengikuti wahyu dan apa yang dikehendaki wahyu.

Jangan tersalah ikut pula, lalu perlulah kita memiliki ilmu.

Jika tidak maka kita akan disesatkan oleh Iblis dan syaitan di dalam keadaan kita tetap menganggap diri kita sedang di dalam jalan kebaikan dan sedang mengikuti wahyu walhal hakikatnya kita sebenarnya sedang mengikuti syaitan.

Ini banyak terjadi kepada ramai orang yang menganggap mereka sedang mengikuti sunnah dan agama tetapi tidak pula perbuatan mereka itu menjadi ibadah kepada Allah SWT dan tidak pula diterima oleh Allah SWT.

Pada hari ini orang ramai membuka buku agama, merujuk kepada para ustaz, membaca tulisan karya-karya sunnah di dalam perkahwinan semuanya kerana mahu mencari bahagia dan gembira semata-mata. Mereka mahu tahu bagaimana kami dapat menyelesaikan masalah kami dengan agama. Kami mahu tahu bagaimana Sunnah mengajar kita melakukan hubungan seksual suami isteri. Kami mahu tahu pula bagaimanakah bentuk perkahwinan, ciri-ciri rumahtangga yang menjadi idaman sunnah ?

Lalu segeralah tampil pemuka-pemuka agama menulis dan mencatatkan isi-isi hadis dan ayat-ayat al-quran bagi menzahirkan bentuk-bentuk rumahtangga idaman, perkahwinan yang menurut sunnah, cara sunnah menjalani kehidupan rumahtangga dan sebagainya.

Sayang sekali segala apa yang ditulis akhirnya menjadi kosong.

Ianya menjadi kosong apabila apa yang ditulis hanyalah kekal sebagai pengetahuan tetapi tidak diamalkan kerana masyarakat tidak dapat mengamalkannya kerana peribadi yang mampu mengamalkan sunnah-sunnah perbuatan yang disebut oleh hadis-hadis di dalam buku-buku agama itu tidak lagi wujud masa kini atau jarang sekali orang yang memiliki peribadi seperti itu.

Kemudian ada pula muncul tokoh-tokoh agama menulis buku tentang praktikel rumahtangga menurut Islam maka kita lihat dia memaparkan pengalaman sebenarnya menjalani rumahtangga, diceritakan bagaimana dia melayani anak dan isteri dan buku-buku seperti ini berkembang pesat menjadi kegilaan orang ramai yang mahu meniru dan mencontohi tokoh mulia ini di dalam berumahtangga.

Diceritakan setiap hari dia membasuh pinggan, membersihkan tandas membantu isteri dan menjadi bapa yang mithali di dalam rumah lalu memetik ayat-ayat Al-quran dan hadis bagi menghiasi dan menjadi bukti sokongan perbuatannya. Jadilah dia tokoh ikutan ramai dan teladan masa kini rumahtangga islami.

Namun jika dijenguk ke dalam rumahnya maka kita tidaklah mendapati apa yang diucapkan seindah khabar yang terpapar di dalam tulisan.Bahkan para mailakat di langit tinggi pun sudah puas menyumpah dan mencelanya setiap hari.

Kehidupan ini bukanlah seindah mimpi, jadi usahlah berkhayal di siang hari.

Oleh itu adalah mengarut apabila seseorang itu beranggapan bahawa apabila mengikuti Al-Quran dan As-sunnah maka dia akan menjadi selamat daripada di uji dan akan menjalani kehidupan yang sempurna tanpa gangguan dan dugaan.

Lupakah kita Kisah Nabi Allah Ya’kub a.s misalnya yang diuji dengan anak-anaknya yang brpecah, diuji dengan kehilangan anaknya Yusof lalu menangis sehingga menjadi buta ? Tergugat hati dan jiwa kita jika kita membaca ayat-ayat Allah SWT dengan penuh tadabbur dan memikirkan pengajarannya bahawa kehidupan yang kita lalui ini bukanlah sebuah cerita fantasi.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.” (Yusof : 111)

Alam realiti tidak seindah mimpi.

Demikianlah ajaran Al-Quran yang mahu mengetuk kepala-kepala manusia yang masih dunggu dan leka mengimpikan kebahagiaan dunia yang sementara. Mereka ini disesatkan oleh Iblis dan kerana itu mereka bertanya-tanya tentang perkahwinan yang ideal daripada Al-Quran dan Asunnah yang pada anggapan mereka akan dapat diharapkan membawa bahagia, gembira dan kehidupan yang tiada susah dan derita di atas dunia ini.

Apakah mereka terlupa akan siapakah diri mereka ? Kenapa mereka datang ke atas muka bumi ini dan ke manakah mereka akan pergi selepas ini ?

Ternyata mereka terlupa.

Disebabkan itulah kita melihat buku-buku perkahwinan, tulisan berkait pernikahan dan hubungan suami isteri semuanya menjurus kepada tajuk “membawa bahagia” kerana itulah yang dicari oleh semua manusia yang telah dihanyutkan oleh Iblis ini iaitu untuk bahagia di dunia.

Ustaz, macam mana saya ingin rumahtangga saya lebih bahagia ?

Ustaz, tolong saya.. apa harus saya lakukan kerana rumahtangga kami tidak bahagia !

Ustaz kenapa suami saya tidak…

Ustaz, isteri saya gagal membahagiakan saya…

Saya merasa kasihan terhadap mereka yang bertanya kerana gagal memahami erti perkahwinan dan mengapa serta kenapa mereka hidup di atas muka bumi ini.

Punca kejahilan masyarakat ialah berpunca daripada kejahilan ulama dan pendakwah di dalam menerangkan maksud dan tuntutan sebenar agama.

Banyak buku-buku agama yang ditulis oleh ramai ilmuan cuba memaparkan sunnah-sunnah rumahtangga dan perkahwinan di dalam Islam mengikut acuan al-quran dan hadis. Malangnya seperti kata hukama, apabila seseorang itu hanya menguasai ilmu tekstual (digelar suhufiyun) maka kekallah ilmu itu di buku dan diteks-teks tulisan tanpa dapat diserap dan diamalkan kerana kejahilan mereka di dalam ilmu usul dan kaedah bagi menerapkan ilmu itu ke alam realiti bagi memenuhi perintah ilahi.

Boleh jadi kejahilan itu berlaku bagi mereka yang menulis buku dan boleh jadi kejahilan itu berlaku kepada mereka yang membaca apa yang ditulis.

Sebuah hadis tidak boleh difahami dengan lafaz zahir semata-mata dan sebuah hukum tidak boleh dihasilkan hanya melalui sebuah hadis atau sepotong ayat Al-quran.

Demikianlah juga menetapkan sesuatu sebagai sunnah dan tidak hanya dengan berdasarkan kefahaman singkat terhadap dalil-dalil syarak.

Salah Faham Maksud Sunnah

Sunnah menurut Imam Ibnu Rejab Al-Hambali ialah bermaksud : “ Jalan yang dilalui oleh Nabi salallahualaihiwasalam dan yang diikuti oleh para sahabatnya yang terselamat daripada syubhat dan syahwat.” (Kaysful Kurbah, ms 15)

Maksud sunnah ini pelbagai khasnya apabila dibaca mengikut tafsiran ulama bahasa, ulama hadis dan juga usul feqah. Namun keseluruhan pengertian berkenaan sunnah ini akan dapat bersepakat pada satu hal iaitu sunnah itu adalah merupakan wahyu. Mengikutinya mendapat pahala dan meninggalkannya serta menyalahinya akan mengundang dosa dan kesesatan.

Oleh yang demikian takrifan sunnah yang perlu diserapkan ke dalam minda umat Islam ialah apa yang disebutkan oleh Al-Imam Barbahari ra apabila beliau berkata : “Ketahuilah sesungguhnya Islam itu ialah As-sunnah dan As-sunnah itu ialah Islam dan tidaklah dapat menegakkan salah satu di antara keduanya secara bersendirian melainkan menegakkan dengan kedua-duanya serentak.” (Syarah as-sunnah, ms. 65)

Bagi mereka yang berilmu akan menyedari bahawa apabila merujuk kitab-kitab sunnah tulisan para salaf atau kitab yang padanya ada bertajuk sunnah karya ulama salaf maka apakah yang akan kita jumpai ?

Misalnya kitab As-sunnah oleh Imam Ahmad, Kitab As-sunnah oleh Imam Abdullah (Anak Imam Ahmad), Kitab As-sunnah Abu Bakar Al-khalal , Kitab Sorih As-sunnah oleh At-Tabari, Kitab As-sunnah Al-Muzni, Kitab As-sunnah oleh Ibn Abi A’sim, Kitab Syarh As-sunnah oleh Al-Baghawi, Kitab Syarh As-sunnah oleh Al-Barbahari, Kitab As-sunnah oleh Al-Muruzi, Kitab Usul As-Sunnah oleh Al-Humaidi dan lain-lain.

Jika kita lihat semua kitab ini ada berjudul Sunnah lalu apakah isinya ? Sekitar apakah perbincangannya ?

Jawapannya ialah Aqidah.

Kita tidak akan mendapati mereka berbincang soal sunnah itu lalu merujuk kepada persoalan memakai serban atau jubah sebaliknya apabila disebut kalimah sunnah itu ianya merujuk kepada Aqidah dan usul agama yang menjadi pegangan dan dasar Islam.

Sunnah menurut kefahaman Salaf ialah sesuatu yang bermaksud membawa tuntutan agama, merupakan sesuatu yang Allah kehendaki dan merupakan perkara yang perlu dilakukan bagi mencapai keredhaan Allah SWT. Dalam erti kata lain yang mudah ialah apa yang merupakan maqasid syarak (menjadi tujuan syarak) dan jika melakukannya bererti kita telah menunaikan perintah Allah, layak mendapat ganjaran pahala.

Oleh sebab kapasiti sunnah itu begitu besar maka sepotong dua hadis yang dibaca secara zahir tidak mampu dijadikan hujah untuk mengatakan sesuatu perbuatan itu ianya sunnah atau tidak.

Statusnya sama seperti anda mengatakan sesuatu itu halal dan haram.

Sunnah ialah apa yang halal dan baik serta disukai oleh Allah manakala lawannya iaitu bid’ah dan segala yang menyalahi sunnah sebagai dosa dan haram dan dibenci oleh Alah SWT.

Maka hendaklah difahami bahawa menyimpulkan sesuatu itu sebagai sunnah atau tidak memerlukan kepada ilmu dan kefahaman yang kukuh terhadap Kitab Allah SWT dan Hadis rasulullah salallahualaihiwasalam.

Tingginya darjat mereka yang berilmu ini ialah kerana mereka sukar disesatkan oleh Iblis dan syaitan kerana setiap lubang-lubang dan helah syaitan diketahui dan dapat dipatahkan oleh mereka.

Allah SWT befirman : “Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung-pelindung selain Allah adalah seperti labah-labah yang membuat rumah. Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah adalah rumah labah-labah kalau mereka mengetahui. Sesungguhnya Allah mengetahui apa saja yang mereka seru selain Allah. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.” (Al-Ankabut : 41-43)

Lalu apabila ada orang-orang berilmu yang turut disesatkan oleh syaitan, terpedaya oleh belitan iblis dan godaan dunia serta terperangkap di dalam perbahasan hadis dan agama yang tak berkesudahan kerana tidak mengetahui apa yang harus dilakukan, buntu yang mana satukah yang benar maka pada ketika itu mungkin kita patut bermuhasabah kembali.

Perlu atau tidak kita menilai semula definisi tentang siapakah orang yang berilmu ? Khuatir selama ini kita tersilap menilai dan memberi gelar “alim” kepada orang yang tidak berhak. Baginda rasulullah SAW bersabda lagi : “ Janganlah kamu berteman kecuali dengan orang yang beriman dan janganlah memakan hidangan kamu kecuali orang yang bertaqwa.” (hadis riwayat Abu daud dan Tirmidzi)

Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah SWT ialah orang yang bertaqwa.

Wallahu’alam.

5 comments:

Zikir Din said...

masyaallah, artikel yang mengetuk minda..
mudah-mudahan ustaz terus semangat menulis untuk menyedarkan seluruh umat Islam termasuk yang bergelar ustaz..

http://satuummah.blogspot.com

Ustaz Emran said...

jazakallahukhair, terima kasih di atas sokongan dan doa.

Semoga Allah merahmati saudara dan saya.

NanoTermosAirAjaib said...

saya tak puas membaca tulisan uztaz. saya harap ustaz akan terus menulis mengenai kebahagian rumahtangga ini.. kerana masalah inilah yg sedang saya hadapi bersama isteri sekarang...yang telah beberapa kali memohon cerai atas alasan tidak bahagia

Ustaz Emran said...

InsyaAllah, saya akan usahakan apa yang terdaya.

Unknown said...

Salam ustaz.bku mencri pasgan hidup tu ustz ad jual ke?mcm mane ye nk dapatkan, syukran:)