Sunday, May 24, 2009

Melakukan Amalan Soleh untuk Kepentingan Dunia ialah Syirik


Imam Muhammad Abd Wahab menyebutkan di dalam kitabnya bahawa adalah merupakan hal yang syirik apabila manusia melakukan amalan soleh demi mengharapkan kepentingan duniawi.

Firman Allah swt yang bermaksud : “Barangsiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka Balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan.” (Hud : 15-16)

Ramai di kalangan kita adakalanya apabila melakukan perkara kebaikan mahukan ganjaran baik secara disedari atau tidak disedari.

Apabila ada orang yang berilmu kebiasaannya mahukan dirinya dihargai, manakala orang yang beramal soleh dan rajin melakukan ibadah seringkali mengharapkan rezeki dan duniawi dipermudahkan kepadanya.

Selalu kita lihat, kebaikan yang dilakukan selalunya didalangi oleh hasrat mahukan keduniaan.

Ada yang mahukan jawatan, ada yang mahukan harta dan ada pula yang mahukan wanita.

Apakah tiada sesiapa mahu beribadah dan beramal soleh semata-mata mahukan rahmat dan keampunan Allah ?

Kalau ada, mengapa merungut apabila kebaikan dan amalan soleh yang dilakukan tidak dihargai ? Usah biarkan diri berkata : “Tengok, aku sudah berbuat baik tetapi apa yang aku dapat sebagai balasan ?” Sebaliknya lebih baik berkata, segala puji bagi Allah yang memudahkan aku berbuat baik moga-moga ianya menjadi bekal kepada aku di hari akhirat dan semoga amalku diterima sebagai ibadah kepada Allah swt.”

Marilah kita merenung sabda rasulullah yang diriwayatkan bersabda: “Celakalah hamba dinar, celakalah hamba dirham, celakalah hamba khamishah dan celakalah hamba khamilah (pakaian yang indah diperbuat daripada sutera dan cotton). Jika diberi dia senang, tetapi jika tidak diberi dia marah. Celakalah dia dan tersungkurlah. Apabila terkena duri semoga tidak dapat mencabutnya. Berbahagialah seorang hamba yang memacu kudanya (berjihad di jalan Allah), dengan kusut rambutnya dan berlumur debu kedua kakinya. Bila dia berada di pos penjagaan, dia akan tetap setia berada di pos penjagaan itu dan bila ditugaskan di garis belakang maka dia akan tetap setia berada di garis belakang itu. Jika dia meminta keizinan (untuk menemui raja atau penguasa) tidak diperkenankan, dan jika bertindak sebagai pemberi jaminan maka tidak diterima jaminannya .” (hadis sahih riwayat Bukhari)

Sunnah mengajarkan kita supaya mengharap hanya Allah dan berbuat sesuatu kerana disebabkan oleh perintah Allah bukan kerana mahu mendapatkan ganjaran dunia bahkan disebut di dalam hadis di atas bagaimana situasi seorang mukmin sejati yang merupakan hamba Allah yang mengandungi ciri-ciri berikut :

1. Bermatlamat dan berwawasan dengan menjadikan Allah sebagai matlamat dan akhirat sebagai tempat tujuan.

2. Seorang mukmin itu bekerja dan beramal di dunia sekadar demi menunaikan kewajipan ubudiyah kepada Allah swt dan tidak kisah apakah dia menjadi seorang Hero, Mufti, Panglima atau Cuma sekadar penjaga pos di garisan belakang selama dia mengetahui bahawa tugasnya ialah memenuhi perintah Allah maka dia lapang dan redha.

3. Seorang mukmin itu ialah mereka yang berjaya membebaskan hatinya daripada menjadi hamba dunia seperti hamba wang, hamba pangkat, hamba syahwat sebaliknya mereka hanyalah hamba Allah swt.

4. Berbahagialah orang yang beriman yang hatinya ikhlas walau dunia dan seisinya tidak mempedulikan keadaan dan situasi dirinya dan walau di mata orang ramai dia tidak dihargai tetapi Allah akan sama sekali tidak lalai dan tidak leka dari memberikan ganjaran pahala dan nikmat kepada hamba-hamba-Nya yang ikhlas memperjuangkan agamanya.


Fisabilillahinahyawanamut (pada jalan Allah kami hidup dan mati)

4 comments:

Anonymous said...

Ya Allah,ampunkanlah daku kerana sentiasa terlalai dengan nikmat dunia hingga terlupa kepada akhiratMu.

Unknown said...

Assalamualaikum ustaz,
adakah Esq itu seperti NLP(Neuro-linguistic programming)atau dalam bahasa arabnya (برمجة لغوية العصبية)

syeikh ana cakap nlp itu tak islamik..

boleh ustaz terangkan tak..

Ustaz Emran said...

Maafkan saya saudara, saya berpendapat elok soalan ini ditinggalkan sahaja dan kita tumpukan pd masalah yag berkaitan dengan diri kita sendiri seperti

a) persoalan ttg apakah matlamat hidup kita ?
b) Sudahkah kita menunaikan kewajipan sbg hamba Allah ?
c) apakah jln2 yg kita lalui dan akan lalui diyakini dpt membawa kpd Allah ?

saya rasa soalan2 spt ini yg perlu kita fikirkan dan cari jawapannya spt yg terdpt di dalam al-quran dan as-sunnah.

persoalan2 spt ini tidak memberikan manfaat pd kita bukankah nabi berpesan : "Sebaik-baik perkara bagi seorang muslim itu ialah meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat kepada dirinya." (hadis sahih)

Semoga Allah memberikan kebaikan kpd saudara dan saya.

Samsol said...

Saya tersentak dengan artikel ini dan cuba untuk membaiki mutu ibadah saya kepada Allah. InsyaAllah