Makna Al-Azimah (العزيمة) menurut bahasa ialah niat atau tujuan yang datang dalam bentuk pasti seperti yang disebutkan di dalam Al-Qur’an :
وَلَقَدْ عَهِدْنَا إِلَى آدَمَ مِنْ قَبْلُ فَنَسِيَ وَلَمْ نَجِدْ لَهُ عَزْماً
“Dan sesungguhnya telah Kami perintahkan kepada Adam dahulu, tetapi dia lupa (akan perintah itu), dan tidaklah Kami dapati padanya akan kemahuan yang kuat.” (Surah Thaha : 115).
Dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah tidaklah berlaku pada Adam itu akan kemahuan dan niat yang kukuh untuk menderhakai perintah tuhan-Nya sebaliknya kerana lupa dan dilalaikan.
Maksud Al-Azimah di dalam istilah syarak ialah nama bagi perkara yang diperintahkan oleh syarak atau perkara yang harus dilakukan dalam bentuk umum. Secara asalnya Al-Azimah bermakna segala perkara yang terdapat di dalam Al-Qur’an dan sunnah akan perintah untuk melakukannya yang mendapat kemuliaan.
Hal ini menjadikan Al-Azimah ialah apa yang seharusnya menjadi pilihan dan diperbuatkan oleh manusia sekalipun padanya terdapat kesusahan dan kelonggoran dan diberikan pilihan untuk tidak melakukannya pada keadaan-keadaan tertentu dan memilih untuk melakukan hal yang diperintahkan sewaktu diberi kelonggaran untuk meninggalkannya di sebut sebagai perkara Al-Azimah.
Contoh Al-Azimah ialah seperti keputusan Abu Zar Al-Ghifari ra yang mengiklankan keIslamannya kepada orang kafir Mekah sewaktu zaman awal Islam sehingga membawa dirinya kepada disiksa oleh mereka dan dipukul seperti di dalam hadith sehingga diselamatkan oleh Abbas ra berkali-kali. (lihat kisahnya di dalam Sahih Bukhari no. 3861 melalui riwayat Ibn Abbas ra dan juga di dalam Sahih Muslim serta Mustadrak Hakim).
Pilihan Abu Zar ra untuk melaungkan keIslamannya kepada musyrikin Mekah ialah satu perbuatan Azimah (yang utama dilakukan bagi yang mampu) untuk mengkhabarkan keimanan kepada golongan kafir dan mendakwahkan mereka kepada Islam sewaktu beberapa sahabat yang lain mendiamkan diri serta menyembunyikan KeIslaman mereka yang juga dibolehkan sebagai kelonggaran daripada Allah swt sewaktu umat Islam masih lemah.
Pengertian Al-Rukhsoh (الرخصة) pula daripada sudut bahasa bermakna apa yang dipermudahkan dan menyenangkan.
Di sudut istilah ianya bermaksud perkara yang diharuskan oleh syarak melakukannya setelah datangnya kesusahan dan kepayahan pada hukum yang asal atau disebabkan oleh darurat (perkara yang membahayakan manusia) sebagai keringanan kepada mukallaf (golongan yang dipertanggungjawabkan mengerjakan suruhan syarak) dan menolak kesusahan.
Kaedah fiqhiyah sendiri menyebut “ Kesusahan itu akan mendatangkan kemudahan” dan “ Mudharat itu membolehkan apa yang dilarang” (lihat Al-Wajiz fi Qawaaid fiqhiyah m/s 67 oleh Dr. Abd Karim Zaidan).
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
“ Dan tidaklah kami menjadikan deen ini kepada kamu sebagai sesuatu yang menyusahkan” (Al-Hajj : 78).
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
“ Allah mengehendaki kesenangan kepada kamu dan tidak mengingini kesusahan menimpa kamu” (Al-Baqarah : 185).
Prinsip Islam dalam menghadapi golongan yang sakit ialah tidak membebankan mereka dan menyusahkan mereka sehingga terpaksa menghadapi mudharat untuk beribadah. Oleh yang demikian maka dalam pelaksanaan beberapa ibadah mereka diberikan kelonggaran seperti :
وا وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيداً طَيِّباً
“ Barangsiapa yang sakit dikalangan kamu atau bermusafir atau berhadas atau menyentuh perempuan dan tidak mendapati air maka bertayamumlah dengan tanah yang bersih.” (An-Nisa : 43).
Puasa sebagai contohnya merupakan kewajipan yang fardhu ain kepada setiap muslim apabila tibanya bulan ramadhan namun demi kelonggaran kepada golongan sakit atau dalam kesusahan mereka dibenarkan membuka puasa dan tidak puasa pada bulan tersebut namun mereka tetap perlu berpuasa pada waktu lain dengan mengantikan puasa yang telah mereka tinggalkan.
فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضاً أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ اً
“ Barangsiapa yang sakit dikalangan kamu atau berada dalam musafir maka bolehlah dia mengantikan puasanya pada hari-hari yang lain.” (Al-Baqarah : 184).
Jenis Al-Rukhsoh di sisi ulama disebutkan terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu rukhsoh sewaktu berhadapan dalam hal yang darurat iaitu mengharuskan perkara yang diharamkan misalnya seperti membolehkan mengucapkan perkataan kekufuran apabila dipaksa melakukan hal yang demikian tetapi hati tetap di dalam iman seperti peristiwa Ammar ibn Yassir ra dan boleh dilihat di dalam Surah An-Nahl ayat 106.
Adapun seterusnya ialah rukhsoh meninggalkan hal yang wajib seperti meninggalkan puasa sewaktu bulan ramadhan disebabkan keuzuran atau kerana musafir demi mengelakkan kesusahan dan kepayahan. Juga disebut sebagai rukhsoh sewaktu berhadapan di antara dua perkara yang halal dan harus tetapi meninggalkan perintah yang asal untuk melakukan perintah baru yang lebih ringan seperti melakukan solat qasar dan jamak sewaktu musafir sebagai rukhsoh dengan meninggalkan hukum asal iaitu bersolat penuh di waktu yang ditetapkan.
Hukum beramal dengan Al-Azimah dan Al-Rukhsoh adalah dinilai berdasarkan situasi dan keadaan tertentu yang tidak sama pada setiap seorang. Setiap Mukallaf dibolehkan memilih untuk melakukan hal yang diberikan kelonggaran (rukhsoh) atau mahu melakukan perkara yang Al-Azimah (menetap diri pada hukum asal) pada perkara dan situasi yang membolehkan dibuat pilihan seperti apakah hendak mengerjakan solat jamak atau tidak disebabkan kerana mahu mengikuti jemaah di masjid.
Oleh yang demikian tidak wajar berlaku pergaduhan di kalangan pelajar agama dan juga setiap muslim di dalam situasi rukhsoh dan azimah yang dibolehkan kepada kita untuk membuat pilihan dan tidak terikat kepada sesuatu perbuatan yang sama.
وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَآمَنَ مَنْ فِي الْأَرْضِ كُلُّهُمْ جَمِيعاً أَفَأَنْتَ تُكْرِهُ النَّاسَ حَتَّى يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ
“ Dan Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka Apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya ?.” (Surah Yunus : 99).
Demikianlah yang patut berlaku kepada umat Islam untuk bertasamuh (berlapang dada) di antara satu sama lain di dalam hal yang furu’ (cabang). Misalnya apabila seseorang melakukan musafir maka menjadi keharusan kepadanya apakah hendak berbuka puasa atau mahu menetap diri berpuasa kerana merasakan sukar mahu mengantikan kembali puasa tersebut disebabkan beliau misalnya seorang yang sibuk dan tidak lapang kecuali pada bulan Ramadhan tersebut.
Maka janganlah sesiapa memaksa dan mencemuh serta memperendahkan keputusan orang yang lain disebabkan dalil dan hujah dari kitab dan sunnah menunjukkan keadaan yang membolehkan kita membuat pilihan dalam hal tersebut.
Manakala dalam hal tertentu juga Rukhsoh adakalanya menjadi wajib dan melaksanakannya itu sudah menjadi kemestian yang tidak boleh dielakkan sebab kerana terdapat dalil dan hujah kepada hal yang demikian seperti Rukhsoh memakan bangkai disebabkan mudharat dan di ancam kematian sekiranya tidak melakukan hal tersebut yang mana umat Islam di larang membiarkan dirinya berada di dalam kehancuran seperti firman Allah swt :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ وَلا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيماً
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang bathil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan redha di antara kamu. dan janganlah kamu membunuh dirimu, Sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu.” (Surah An-Nisa : 29)
وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ وَأَحْسِنُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
“Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” (Surah Al-Baqarah : 195)
Kesimpulannya hendaklah memahami nash dan dalil di dalam kitab dan sunnah dengan penuh kemahiran berkait usul dan dasar-dasar penggunaannya sebelum dengan mudah memetik mana-mana hukum dan pengajaran yang dirasakan sesuai lalu membuat tafsiran sendiri tanpa kemahiran ilmu disebabkan hal yang demikian boleh menyebabkan fitnah kepada umat Islam.
Segala puji hanyalah bagi Allah swt
No comments:
Post a Comment