Sunday, May 20, 2007

Beramal Kepada Apa Yang Memanfaatkan Kita Di Akhirat


Disebutkan oleh Al-Imam Tirmidzi (Namanya Muhammad bin Isa At-Tirmidzi, yang meninggal pada 279 Hijrah) di dalam kitabnya Al-Jami’ Min Sunan Anil Rasulullah Salallahualaihiwasalam wa Ma’rifatil Sohih Wal Ma’lul wa Ma’ alaihil Amal yang masyhur dengan nama Sunan Tirmidzi akan hadith berikut.

Diberitakan kepada kami oleh Ahmad bin Nasr An Naisaburi dan selainnya yang bukan seorang (bermakna ramai) yang mereka berkata telah diberitakan kepada kami Abu Mushar, daripada Ismail bin Abdullah bin Sama’ah, daripada Al-Auzaie, daripada Qurrah, daripada Zuhri, daripada Abi Salamah, daripada Abi Hurairah ra, yang berkata telah bersabda rasulullah salallahualaihiwasalam :

من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه

Maksudnya :
“Merupakan sebaik perkara keIslaman seseorang itu ialah meninggalkan apa yang tidak memanfaatkan dirinya.”

Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi di dalam sunannya pada bab zahid, no. 2317 dan Ibn Majah no. 3978 pada bab Fitan serta juga diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam Muwathonya dengan riwayat lain dari Qutaibah kepada Az-Zuhri yang lebih sahih dari isnad yang di atas di dalam kitabnya bab husnul khuluq dengan disebutkan oleh Imam Zarqani bahawa isnadnya hasan dan mungkin sahih.

Di dalam mensyarahkan hadith di atas, kita sebagai muslim perlu memahami bahawa setiap pesanan rasulullah itu pastilah membawa kebaikan dan memberikan ganjaran pahala jika di ikuti setelah ternyata hadith atau pesanan itu dapat dibuktikan berasal daripada baginda rasulullah salallahualaihiwasalam melalui ilmu kajian hadith.

Pengertian hadith ialah perintah supaya meninggalkan apa yang tidak memanfaatkan bagi seseorang itu di dalam bahagian dunia atau akhirat. Makna memanfaatkan seseorang di dalam bahagian dunia itu pula ialah apabila sesuatu amalan duniawi yang dilakukan boleh menjadi saham dan menjadi bekalan di akhirat sebagai matlamat dan tempat tujuan manusia yang terakhir.

Adapun bagi amalan duniawi yang dilakukan tetapi tidak membawa manfaat kepada akhirat maka ianya bermaksud amalan yang tidak memberikan kemanfaatan. Disebabkan dunia yang singkat waktunya segala amalan dan perbuatan seharusnya wajar memberikan pulangan dan ganjaran bermanfaat kepada akhirat sekiranya tidak apa yang dilakukan hanyalah merugikan masa.

Perintah meninggalkan apa yang tidak bermanfaat kepada urusan bekalan kita di akhirat baik pada hal duniawi yang membolehkan dibuat bekal seperti mencari nafkah dan menguasahakan bidang tanah atau sumber rezeki sebagai usaha membolehkan amal ibadat dapat dilakukan dan dipertingkatkan atau hal yang khusus ibadat seperti solat dan puasa yang dilakukan semata-mata kerana Allah swt dan demi bekalan akhirat merupakan sebaik-baik perintah dan jika diamalkan menjadi sebaik perkara keISlaman bagi seorang muslim.

Perkara yang tidak membawa manfaat bagi seseorang muslim itu tersangatlah banyak berkait dan terpulang kepada setiap individu masing-masing yang lebih mengetahui apa yang tidak dan dapat pula membawa manfaat kepada dirinya.

Namun perbuatan seperti membahayakan diri sendiri dan orang yang lain seperti misalnya menghisap dadah, menghisap rokok, melakukan amalan maksiat dan dosa seperti bercinta-cintan dan terlibat dalam pergaulan bebas maksiat, melakukan syirik dan kebathilan kepada Allah swt misalnya berdukun dan percaya kepada bomoh yang tidak memberikan apa-apa manfaat, serta lain-lain semuanya ini perlulah dijauhi agar dapat menumpukan usaha kita kepada apa yang memberikan kebaikan di dunia dan di akhirat.

Di dalam memelihara diri kita supaya tetap istiqamah di dalam hal yang bermanfaat maka perlulah dipelajari ilmu usul dan juga mengetahui aulawiyat dalam beramal untuk Islam supaya tidak membuang masa dan waktu yang berharga pada menjadi sesuatu yang tidak begitu penting sedangkan kita sewajarnya perlu melakukan urusan yang maha penting.


Segala Puji hanyalah bagi Allah swt

No comments: