Sunday, September 24, 2006

Ramadhan : Ekspedisi Mulia Musafir Mengembara Mencari Redha Ilahi

Ramadhan : Ekspedisi Mulia Musafir Mengembara Mencari Redha Ilahi


Ustaz emran kini berada di Mekah kerana terpaksa mewakili Malaysia dalam mengikuti Kursus di bawah Rabitah Alam Islami maka penulisan beliau terpaksa di gantikan dengan penerbitan semula artikel-artikel lama yang boleh membawa manfaat.

Muqadimah

Kembali lagi dalam masa ini sebuah bulan mulia dan indah yang padanya turun segala rahmat dan kebaikan kepada orang yang beriman.

Masa yang detik tempohnya sebanyak sebulan bagi kiraan manusia yang dipenuhi hikmah dan kebaikan serta penuh rahmat dan pengampunan dan ujian bagi meninggikan darjat kedudukan mereka yang beriman.

Ramadhan ialah nama bagi sebuah bulan dalam bulan-bulan kiraan Islam dan sebuah kata nama dalam bahasa arab yang disebut oleh sesetengah pakar bahasa sebagai diambil dari kalimah
“رمض” (panas membakar ) dan hal ini lantaran kerana waktu ini manusia berpuasa menahan diri dari makan dan minum sehingga kepanasan tekak kerana kehausan manakala menurut riwayat dari Mujahid ra (murid ibn Abbas ra) mengatakan bahawa ramadhan ini ialah salah satu dari nama Allah swt dan tidaklah diguna untuk makhluk (lihat takrif ramadhan dalam lisanul arab oleh ibn manzur m/s 245 Jilid 4).


Ramadhan

Bulan ini merupakan satu bulan mulia dan waktu yang merupakan khusus untuk umat Islam melakukan ibadah puasa dengan menuruti perintah Allah yang menyebut :

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa sebagaimana telah ditetapkan kepada orang-orang sebelum kamu mudah-mudahan kamu menjadi bertaqwa” (Al-Baqarah : 183).

"Bulan Ramadhan yang pada bulan itu telah kami turunkan Al-Qur’an untuk memberi pertunjuk kepada manusia dan memberi penerangan dari hidayah serta pembeza hak dan kebathilan”

“Barangsiapa yang menghadapi bulan ramadhan maka hendaklah dirinya berpuasa” (Al-Baqarah : 185).


Sesungguhnya ramadhan merupakan bulan mulia yang menjadi salah satu dari waktu tertegaknya rukun Islam yang lima iaitu berpuasanya umat Islam pada bulan ini sebagai menunaikan kewajipan mereka kepada Allah yang Maha Esa.

Diriwayatkan dari Ibn Umar ra bahawa baginda rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda : “Terbinanya Islam itu di atas lima perkara iaitu bersyahadah bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad itu sebagai rasulullah dan mendirikan solat serta mengeluarkan zakat dan menunaikan haji serta puasa di bulan ramadhan” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 8 dan Muslim no. 16).

Bahkan bulan yang mulia ini juga diberi penghormatan oleh Allah swt dengan membersihkannya dari kewujudan dan kekotoran syaitan dan dosa seperti yang terdapat dalam hadith riwayat Abu Hurairah ra dari rasulullah yang bersabda : “Apabila tibanya bulan ramadhan maka dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta dibelenggu para syaitan” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 1899 dan Muslim no. 1079).

Juga baginda bersabda : “Barangsiapa yang berpuasa di bulan ramadhan dengan penuh keimanan dan berjaga-jaga serta keikhlasan maka diampunkan segala dosanya yang tedahulu” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 38 dan Ibn Majah no. 1641).


Sesungguhnya bulan ramadhan ini ialah sebuah ibadah yang agung dan mulia di sisi Allah swt. Juga pada bulan ini ganjaran pahala dan kebaikan menanti hamba yang beriman yang melalui bulan dan waktu ini dengan ibadah dan keimanan yang sahih kepada Allah swt.

Mereka yang berpuasa merupakan tetamu Allah swt yang akan dilayani dengan ganjaran dan kebaikan seperti yang disebut oleh rasulullah dalam hadith qudsi bahawa Allah berfirman : “Setiap amalan anak adam itu ialah ialah untuk dirinya sendiri kecuali puasa kerana puasa itu ialah untuk Aku (Allah) dan Akulah (Allah) yang akan memberinya ganjaran, dan puasa itu ialah pendinding..” (Hadith sahih riwayat Bukhari no. 1904 dan Muslim no. 1151).

Sesungguh para tetamu Allah di bulan ramadhan ini akan diberikan kelebihan di sisi Allah bukan hanya di dunia tetapi juga di akhirat bahkan baginda dalam sebuah hadith menyebut :
“ Sesungguhnya demi Yang jiwa Muhamamd itu di tangan-Nya bahawa bauan mulut mereka yang berpuasa itu di hari akhirat lebih harum di sisi Allah dari wangian misik dan bagi mereka yang berpuasa itu dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika menemui tuhannya..” (hadith sahih Bukhari no. 1904 dan Muslim no. 1151).

Bahkan tetamu Allah di bulan ramadhan akan diberikan ganjaran besar di sisi Allah sehingga disediakan kepada mereka sebuah pintu syurga yang khusus seperti dari riwayat Sahl ibn Said ra dari baginda nabi yang bersabda : “ Sesungguhnya di syurga itu terdapat pintu yang dinamakan ar-rayyan yang dikhususkan untuk golongan yang berpuasa dan pada hari kiamat tiada yang masuk melalui pintu itu melainkan hanya golongan yang berpuasa yang akan diseru mereka itu dengan ditanya : Siapakah golongan yang berpuasa ? Lalu mereka pun bangun dan memasuki pintu tersebut dan kemudiannya ditutup setelah mereka selesai melalui pintu tersebut dan tidaklah masuk selepas itu sesiapa pun” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 1896 dan Muslim no. 1152 ).



bersambung....


No comments: