Tuesday, September 26, 2006

Permasalahan Solat Terawih dan Penyelesaian Muktamad Kepada Perselisahan dan Kejahilan


Asalamualaikum,

Alhamdulillah ana dapat menyinggah diri ke cc dan rupanya banyak juga soalan sekitar bulan Ramadhan yang ditanyakan kepada ana dan sebagai menjawab apa yang ana rasakan penting maka ana ringkaskan sedapat mungkin dan insyaAllah akan disusun dan diringkas atau diedit oleh ikhwah yg lain.


Menjawab Mengenai Perihal Solat Terawih

Persoalan solat terawih sudah menjadi perdebatan dan perselisihan sekian lama akibat kerana kejahilan umat Islam dan kelemahan dalam pengkajian dan pemahaman. Hal ini mendasar dan menjadi parah apabila wujud kaum jahat yang mengambil kesempatan dalam khilaf untuk meneruskan amalan bid'ah dan bathil mereka.

Sesungguhnya solat terawih dilakukan oleh para salaf soleh dengan mengikuti PERTUNJUK rasulullah dan amalan ibadah itu setiap satu pun tidak bebas dari mesti melalui pertunjuk sunnah dan panduan yang dibawa oleh rasulullah.

Melalui riwayat Malik bin Humairis ra menyebut bahawa baginda Rasulullah Salallahulaihiwasalam pernah bersabda : “ Solatlah kamu seperti mana kamu melihat aku bersolat” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no. 631 dan Ahmad no. 53 Jilid 5 ).

Atas keumuman hadith di atas yang mencakupi segala jenis solat maka termasuklah solat terawih ini mesti dilakukan menurut pertunjuk rasulullah dan sunnah yang sahih yang sampai kepada kita melalui riwayat yang sahih dan diketahui oleh para ulama pemegang amanah ilmu bukannya para habib dan guru yang jahil hadith dan tidak dapat pun menentukan kesahihan sesuatu hadith lalu menutup kejahilannya dengan mengatakan ianya khilaf dan perbezaan pendapat.

Apakah solat terawih dilakukan secara berjemaah ?

Jawapan ana ialah ya, bahkan ianya sunnah dilakukan di masjid dan juga sunnah dilakukan di rumah. Oleh yang demikian ianya satu kemudahan kepada setiap Umat Islam untuk memilih antara melakukannya di masjid secara berjemaah atau menunaikannya secara sendirian di rumah atau berjemaah bersama kaum keluarga di rumah.
Ini disebabkan wujud dalil bagi keharusan kedua-duanya.


Perbuatan melakukan solat terawih secara berjemaah ialah satu sunnah yang sunat dilaksanakan dari melakukannya secara bersendirian sekalipun secara umum bahawa solat sunat itu dilakukan secara sendiri dan dilaksanakan pula di rumah yang lebih utama dari dilakukan di masjid.

Namun apabila wujud dalil yang menyatakan dilakukannya secara berjemaah dan di masjid sebagai utama maka keutamaannya menjadi satu kekhususan yang khas pada ibadah seperti solat kerana hendaklah kita mematuhi kaedah asas yang terletak dalam hadith Malik bin Humairis ra menyebut bahawa baginda Rasulullah Salallahulaihiwasalam pernah bersabda :
“ Solatlah kamu seperti mana kamu melihat aku bersolat” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no. 631 dan Ahmad no. 53 Jilid 5 ).

Solat Terawih ialah sunnah dan ibadah yang hukumnya sunat muakad yang sangat dituntut baik kepada lelaki dan perempuan dan termasuk satu perkara yang sudah jelas dalam agama (lihat Hasyiah Al-Abidin m/s 352 Jilid 1, Al-Majmuk lil nawawi m/s 31 Jilid 4).

Diriwayatkan dari hadith tsalabah ibn Abi malik yang berkata telah keluar rasulullah pada suatu malam dalam bulan Ramadhan dan melihat manusia melakukan solat di sudut masjid lalu bertanya : “Apa yang diperbuat oleh mereka ini ?” maka dijawab oleh mereka yang ada dengan berkata : “Wahai rasulullah, mereka ini tidak semua menghafaz al-qur’an dan Ubai ibn Ka’ab membaca al-qur’an lalu mereka ikut beliau bersolat bersamanya” lalu bersabda baginda rasulullah : “Sesungguhnya telah benar mereka” dan tidaklah baginda melarang perbuatan mereka (riwayat Baihaqi no. 495 Jilid 2 dengan sanadnya mursal hasan).


Berkata Syeikh Albani ra bahawa sanad hadith ini mencapai kesambungan dalam riwayat yang lain dari riwayat Abu Hurairah ra dan padanya mempunyai ta’ba’ah dan syawahid yang dikeluarkan oleh Ibn nasr dalam kitab Qiyam ramadhan m/s 90 dan Abu Daud no. 217 Jilid 1 dan Baihaqi).

Bahkan dalam hadith yang lebih jelas bahawa baginda rasulullah telah bersolat berjemaah bersama sahabat di bulan ramadhan menunaikan terawih bersama dan hadith ini banyak riwayatnya dan cukup kita ambil dari riwayat Aisyah ra bahawa baginda rasulullah solat di masjid maka bersolatlah sahabat bersama baginda lalu pada malam seterusnya maka ramailah bertambah mengikuti solat berjemaah bersama baginda sehinggalah pada malam keempat dan setengah riwayat mengatakan malam ketiga apabila baginda tidak lagi keluar kepada oaring ramai yang menanti masjid dan apabila telah siang maka bersabdalah baginda rasulullah : “Sesungguhnya telah aku melihat apa yang kamu perbuat dan tidaklah yang melarang aku dari keluar kepada kalian (solat berjemaah bersama kamu) melainkan aku bimbang akan difardhukan hal ini (solat berjemaah) kepada kamu semua” dan demikianlah sehingga wafat rasulullah dalam urusan tersebut berjalan seperti di atas (hadith sahih riwayat Bukhari no. 1129 dan Muslim no 761 dan lain-lain).


Perbuatan baginda yang membimbangi akan difardhukan solat berjemaah dan terawih tersebut hanyalah sebagai ihtiyat (berhati-hati) demi memudahkan umat baginda dan sekaligus menunjukkan baginda sendiri tidak tahu apakah Allah akan memfardhukan sesuatu atau tidak melainkan dengan wahyu sekaligus menolak mereka yang memandai-mandai.

Maka apabila setelah kewafatan baginda dan telah terputus wahyu dan sempurna syariat maka tiada apa yang perlu dibimbangi lagi untuk menunaikan solat terawih secara berjemaah dan tidak perlu dirisaukan bahawa akan difardhukan setelah wafatnya baginda rasulullah kekasih Allah yang mulia.

Demikianlah yang menjadi hujah bagi para sahabat dan bangkitnya Amirul Mukminin Umar ibn Khattab ra yang mengarahkan supaya dikumpulkan manusia di masjid menunaikan solat terawih secara berjemaah dengan satu imam dengan tidak lebih dari 11 rakaat berdasarkan riwayat yang sahih.

Adapun mengapa dikumpulkan supaya diadakan solat berjemaah di masjid pada zaman Umar ra ialah kerana bukan disebabkan tidak wujud jemaah terawih pada zaman rasulullah dan Abu Bakar ra sebaliknya seperti dalam pelbagai riwayat yang sahih bahawa wujud jemaah namun mereka bersolat bersendiri-sendiri di masjid dan ada pelbagai jemaah.

Ini dibuktikan dari riwayat Aisyah ra yang mengatakan bahawa orang ramai bersolat di masjid rasulullah pada malam Ramadhan dengan berasing-asing (sendiri-sendiri) atau berjemaah bersama dengan lelaki yang memiliki (menghafaz) al-qur’an…(Hadith sahih riwayat Muslim no. 188 Jilid 2).

Misalnya bagi yang tidak dapat menghafaz al-Qur’an akan mengikuti imam yang menghafaz al-qur’an dan bagi yang menghafaz maka mereka bersolat sendiri.

Demikianlah mengapa usaha Umar ra hanyalah menyatukan jemaah dari pelbagai jemaah dan bersolat sendiri dengan bersolat secara satu jemaah dengan imam yang satu lalu mendirikan solat terawih dengan tidak lebih 11 rakaat.


Adapun mereka yang berselisih dan mengatakan itu dan ini hanyalah kerana mereka jahil hadith, tidak banyak mengetahui hadith hanya satu dua dan kemudian menjadi habib atau ulama.

Benarlah kata Umar ibn Khattab ra: “Hati-hatilah dan jauhilah oleh kalian orang-orang yang menggunakan ra`yunya (akal) Kerana sesungguhnya mereka adalah musuh-musuh As-Sunnah, mereka dilemahkan oleh hadith-hadith, hingga tidak mampu menghafalnya, Akhirnya mereka berbicara dengan ra`yu mereka, maka mereka tersesat dan menyesatkan (orang lain)” (Diriwayatkan oleh Ad-Daruquthni ra dalam Sunan dan Al-Lalikai ra dalam Syarhu Ushul I’tiqad Ahlis Sunnah wal Jama’ah).

Oleh yang demikian hendaklah umat Islam berlapang dada dalam hal ini apabila datang hujah dan ilmu keyakinan hendaklah diterima. Tidak wajar umat Islam yang berukhuwah dan berkasih sayang sesama sendiri di bawah ukhuwah aqidah Islamiyah berpecah dan berselisih pada kejahilan sebaliknya hendaklah mereka merujuk kepada alim ulama dan ahli ilmu.

Oleh itu siapa yang ingin mengerjakan solat sunat terawih di masjid maka baginya pahala dan sunnah dan juga siapa yang hendak menunaikan sendirian di rumah tanpa mengikut jemaah di masjid maka baginya sunnah dan dibolehkan dengan syarat menunaikan solat fardhu Insyak terlebih dahulu di masjid kemudian barulah pulang menunaikan terawih di rumah.

wallahualam.


Apa yang harus kita lakukan ? Apakah mengikut riwayat Umar ibn Khattab ra yang melakukan terawih 20 rakaat atau sunnah nabi salallahualaihiwasalam yang hanya melakukan 11 rakaat ?


Jawapan ana ialah sudah pasti kita mengikut sunnah rasulullah dan mengutamakannya dari yang lain dan menjadikan sunnah sebagai asas dalam amalan bermaksud sepatutnya para ulama dan guru agama tidak menjadikan kisah Umar al-khatab ra sebagai hujah untuk mendokong penegakkan kebathilan solat terawih 20 rakaat apabila sudahlah kisah ini masih dipertikaikan dan sanadnya lemah dan ditolak serta terdapat dalil sahih yang bercanggah dengannya.

" Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul.." (An-Nisa :50).

" Dan apa-apa yang diperintahkan (ditinggalkan ) oleh rasul maka ambillah (taatlah) dan apa-apa yang ditegahnya maka tinggalkanlah" (Al-Hasyr: 7).

Bahkan kaedah fiqhiyah menyebut “Tidak ada ijtihad pada perkara yang jelas ada dalil nash padanya” (lihat dalam Al-Wajiz fi syarh qawaid Fiqhiyah oleh Dr Abd Karim Zaidan m/s 31).

" Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul.." (An-Nisa :50).

" Dan apa-apa yang diperintahkan (ditinggalkan ) oleh rasul maka ambillah (taatlah) dan apa-apa yang ditegahnya maka tinggalkanlah" (Al-Hasyr: 7).

Sebenarnya kisah Umar ra melakukan solat terawih sebanyak 20 rakaat ialah dhaif dan lemah serta tidak benar di sisi ilmu sanad dan riwayat.

Permasalahan Umar ibn Khattab ra yang menghidupkan solat jemaah terawih di masjid di bulan ramadhan ialah lanjutan apa yang kita sebut di awal-awal tadi bahawa ini ialah akibat lanjutan dari kelakuan orang ramai yang bersolat secara sendirian dan berselerakkan seperti dalam riwayat Ummul Mukminah Aisyah ra dalam sahih muslim tanpa ada jemaah yang satu yang semua orang bersolat di dalamnya lalu demikianlah bermulanya kisah Umar ra.

Perlakuan umat Islam pada zaman Abu Bakar ra dan selepas kewafatan rasulullah berterusan bersolat berasingan iaitu ada yang berjemaah dan ada yang tidak maka apabila tiba zaman Umar ra lalu beliau menyatukan dalam satu jemaah dan menjadikan Ubai ibn Ka’ab ra sebagai Imam solat mencontohi pembenaran rasulullah dalam hadith yang sudah disebutkan.

Demikianlah pertama kalinya umat Islam bersatu dalam satu jemaah di bawa seorang Imam pada zaman Umar dalam solat terawih di bulan ramadhan (lihat sahih Fiqh Sunnah m/s 417 Jilid 1, Bukhari no. 924 dan Nasaie m/s 155 Jilid 4 dan lain-lain).


Oleh yang demikian, perbuatan Umar ra bukan satu bid’ah sebaliknya menghidupkan kembali sunnah pembenaran rasulullah dalam hadith yang disebutkan dalam Baihaqi di awal-awal bicara yang membenarkan perbuatan jemaah dalam solat dengan Ubai ibn Ka’ab sebagai Imam dan juga perbuatan rasulullah menjadi Imam solat terawih sehingga baginda meninggalkannya kerana bimbang takut dijadikan fardhu ke atas umatnya.

Setelah kewafatan rasulullah tiada masalah lagi untuk bersolat jemaah dan memang pun berlaku cumanya secara tidak tersusun dan berasingan lalu pada zaman Umar ra maka disatukan dan dikumpulkan semua umat Islam dalam satu jemaah demikianlah sunnah yang didirikan umar ibn Khattab ra.

Daripada Abd Rahman ibn Qadir berkata : telah keluar dia bersama Umar di waktu Ramadhan ke masjid lalu melihat orang ramai bersolat berasingan dan berselerakkan ada yang bersolat sendirian dan ada yang bersolat berjemaah lalu berkatalah Umar ra : “Sesungguhnya aku lihat sangat patut jika aku kumpulkan semua mereka ini dalam satu imam dan jemaah daripada jadi seperti ini” lalu beliau pun mengumpulkan orang ramai di belakang Ubai ibn Ka’ab ra lalu demikianlah pada malam seterusnya apabila keluar Umar ibn Khattab sekali lagi ke masjid dan melihat telah bersatu dalam sebuah jemaah dalam solat terawih di belakang Ubai ibn Ka’ab ra (riwayat sahih dalam Bukhari no. 2010 dan Malik dalam Muwatha no. 252 ).

Riwayat Yang Mengatakan berlakunya Terawih 20 Rakaat ialah lemah (dhaif) dan ditolak adapun yang sahih ialah Umar ibn Khattab ra turut melakukan 11 rakaat seperti solat rasulullah


Daripada apa yang diriwayatkan dari Ibn Abi Syaibah ra dari hadith ibn Abbas ra bahawa rasulullah salallahualaihiwasalam telah bersolat di bulan Ramadhan 20 rakaat bersama witir.

Hadith ini sangat lemah dan ditolak oleh hadith Aishah ra yang berada dalam kitab sahih dan sesungguhnya Aishah ra lebih mengetahui malam siang baginda dan ibadahnya dari orang lain dan diriwayatkan secara sahih baginda tidak pernah bersolat lebih dari 11 rakaat cumanya solat baginda itu panjang sehingga ke fajar.

Berkata Suyuti bahawa perawi hadith ini iaitu Ibrahim bin Usman ialah “matrukul hadith” dan berkata Baihaqi ianya dhaif dan juga Haistami dalam al-majmuk bahawa ianya dhaif dan sebenarnya ianya ialah dhaif jiddan seperti yang disebut oleh syeikh albani ra.

Dikatakan bahawa As-Sauri ra dan Ibn Mubarak ra dan As-Syafe ra dan golongan ashab ra’yi (ahli kalam) yang mengambil riwayat dari Umar ra dan Ali bahawa berlakunya 20 rakaat dan ini hujah lemah dan riwayatnya dipertikaikan.


Ini disebabkan wujud dalil yang sahih dari Umar ibn Khattab ra melalui riwayat Malik dalam Muwatha dari Muhammad ibn Yusof dari Saib ibn Yazid ra bahawa beliau berkata : “ Umar ra mengarahkan Ubai ibn Ka’ab dan Tamim Ad-Dari untuk mendirikan solat dengan 11 rakaat dan qari (imam) membaca dalam keadaan yang lambat-lambat sehingga kami ada yang terpaksa bertampung di atas tongkat kerana terlalu lama berdiri dan tidaklah kami beredar (selesai solat) melainkan sudah hampir fajar” ( Isnad sahih jiddan dalam Muwatha no. 115 Jilid 1).

Berkata Syeikh Albani ra, bahawa Muhammad ibn Yusof ialah guru Imam Malik dan seorang perawi yang siqah yang juga diambil riwayatnya oleh Syeikhan (Bukhari dan Muslim) dan Saib ibn Yazid ra ialah seorang sahabat yang berhaji bersama baginda rasulullah ketika itu beliau masih kecil.

Juga menuruti riwayat Imam Malik ini mengenai 11 rakaat solat ialah dari apa yang diriwayatkan oleh Yahya ibn Said al-Qathan di sisi Ibn Abi Syaibah dalam kitabnya “Al-Musonnaf” .

Menolak apa yang disebut oleh Ibn Abi Bar ra mengenai tidak ada yang menyebut 11 rakaat kecuali Malik ialah satu kesalahan yang jelas dan telah dijawab oleh Mubarakfuri dalam Tuhfatul Ahwazi syarah Sunan Tirmidzi m/s 74 Jilid 2 dan dijawab oleh Zarqani dalam syarah Muwatha m/s 25 Jilid 1).

Permasalahan timbul apabila Imam Syafie ra dan lain-lain ulama mengambil riwayat dari Abu Razak dari riwayat Muhammad ibn Yusof dengan jalan yang lain yang berbeza dengan riwayat sahih dari Malik apabila mengatakan berlakunya solat terawih dengan 20 rakaat.

Inilah punca pendalilan oleh pihak golongan yang mengatakan wujudnya dan berlakunya 20 rakaat solat terawih seperti yang juga disebut dalam Fathu Bari oleh Imam Ibn Hajar al-asqalani ra m/s 204 Jilid 4 dan disebut oleh Imam Abd razak dalam Musonnaf no. 7730.


Hal ini tertolak kerana riwayat Ab Razak ini wujud salah lafadz iaitu “20 rakaat” dan ini silap kerana bertembungnya riwayat yang siqah yang lebih utama dan awal darinya dengan menyebut 11 rakaat dan keduanya Imam Abd Razak ini bersendirian dalam meriwayatkan pada lafadz 20 rakaat ini . Juga tangga riwayat antara beliau dengan Muhammad ibn Yusof agak jauh berbanding yang diriwayatkan oleh Malik.

Juga beliau sekalipun seorang Imam dan hafidz serta siqah namun dianya buta ketika tuanya dan berubah penghafazan riwayatnya seperti yang disebut oleh hafidz ibn Hajar dalam “Al-taqrib” dari Imam Ibn Solah ra bahawa beliau (Abd razak) ialah yang bercampur riwayatnya (hadithnya bercampur aduk dan tertukar) pada akhir umurnya.

Juga berkata Imam Ahmad ibn Hanbal ra bahawa Imam Abd Razak ra telah buta pada akhir umurnya dan siapa yang mendengar darinya selepas kebutaannya maka tiadalah manfaat dan berkata Nasaie maka padanya pemerhatian melalui apa yang ditulis semasa akhir hayatnya.

Adapun riwayat dari Yazid ibn Khusoifah dari Saib ibn Yazid ra yang mengatakan wujud berlakunya solat 20 rakaat maka ianya ditolak oleh Imam Ahmad ibn Hanbal ra dengan mengatakan bahawa Ibn khusoifah (Yazid) ini ialah mungkar hadith ini ialah apa yang diriwayat dari Az-Zahabi dalam Al-Mizan dan riwayatnya syaz bertentangan dengan riwayat rawi yang lebih siqah disamping Ibn Khusoifah ini seorang yang bergoncong pada periwayatan bilangan rakaat tersebut ini kerana pada waktu lain beliau meriwayatkan 21 rakaat bukan lagi 20 rakaat kemudian dnegan isnad yang sahih kepada beliau pernah langsung berkata “aku merasakan” iaitu sebagai tanda ketidak pastian beliau dalam meriwayat.

Sebagai hujah lagi, Muhammad Ibn Yusof perawi yang siqah yang meriwayatkan 11 rakaat dan guru Imam Malik merupakan anak saudara perempuan kepada Saib ibn Yazid ra (sahabat) dan dekatnya hubungan beliau serta seorang yang lebih hafidz dan kuat ingatan maka riwayatnya mengenai bilangan rakaat terawih ini lebih diterima iaitu sebelas rakaat berbanding riwayat yang lain.

Juga hal ini menepati riwayat Aishah ra bahawa baginda rasulullah tidak pernah menunaikan solat sunat melebih 11 rakaat dan nescayalah Umar ibn Khattab ra yang merupakan sahabat ra dan dekat dengan baginda akan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan amalan baginda melainkan menuruti sunnah baginda iaitu 11 rakaat .

Adapun riwayat lain dari Ibn Abd Bar ra berkata diriwayatkan dari Haris ibn Abd Rahman ibn Abi Zibab dari Saib ibn Yazid ra bahawa berkata : bahawa solat diwaktu Umar ialah 23 rakaat (lihat dalam Umdatu Qari no. 5357).

Sanad ini dhaif dan Ibn Abi Zibab ini dhaif dari lemah hafalannya berkata Ibn Abi Hatim meriwayatkan darinya Al-darwardi hadith yang mungkar dan ditulis hadithnya namun bukanlah seorang yang kuat (bukan dapat dibuat hujah) berkata Abu Zar’ah ianya ialah la baksa bihi “tidak mengapa dia” (jarah yang lembut).

Demikian juga dhaif dalam riwayat yang lain termasuk dari Yazid ibn Ruman yang tidak pernah bertemu Umar dan riwayatnya mengenai Umar ditolak.

Juga pendhaifan mengenai apa yang diriwayatkan dari Imam Syafie ra dan Imam tirmidzi ra mengenai solat dua puluh rakaat dengan riwayat dhaif yang tidak diterima.

Juga tidak benar bahawa wujud para sahabat menunaikan solat terawih sebanyak 20 rakaat baik Ali ibn Abi thalib ra , Ubai ibn Ka’ab, Abdullah Ibn Mas’ud ra dan lain-lain

Demikianlah sebagai ringkasan dan cukuplah tanpa menyatakan riwayat dhaif tersebut.

Kesimpulannya ialah secara sahih mengenai solat baginda rasulullah melalui riwayat Aisyah ra yang menyebutkan bahawa rasulullah tidak pernah solat melebihi 11 rakaat dan demikian terdapat dalam sahih Bukhari dan Muslim.

Demikian juga dalam riwayat Anas bahawa baginda tidak pernah solat melebihi 13 rakaat dalam seumur hidup beliau dan demikianlah juga dalam riwayat Aisyah ra yang telah jelas menyebut sehingga wafat baginda tidak pernah solat melebihi 11 rakaat dengan sangat panjang dan baik solat baginda seperti dalam Bukhari.

Demikianlah setelah dibincangkan bahawa kebenaran itu ialah pada 11 rakaat dengan hujah yang jelas dan mudah. Iaitu memudahkan ibadah, meringankan dan bahkan sememangnya syariat Islam itu mudah dan ada pun bagi yang inginkan penambahan fadhilat maka lakukanlah dalam pertunjuk sunnah.

Islam menitik beratkan kualiti bukan kuantiti bilangan kerana itu dalam Al-Qur’an Allah swt menyebut :

“Berapa banyak kaum yang sedikit mengalahkan kaum yang banyak dengan izin Allah dan Allah bersama orang-orang yang sabar” (Al-Baqarah: 249).

“Jika ada dua puluh dikalangan kamu dua puluh orang yang sabar maka mereka mampu mengalahkan dua ratus orang” (Al-Anfaal : 65).

Bilangan rakaat bukan menjadi penentu kebaikan apatah lagi jika seperti masyarakat Melayu yang melakukan solat terawih dua puluh rakaat sekalipun dengan tidak memahami makna bacaan dalam Al-Qur’an tiada tadabbur, tiada kekusyukkan, tiada pemahaman dan pula dilakukan dengan laju dan segera bagai ayam mematuk bertih jagung lalu ada hati mahu berbahas soal dua puluh rakaat solat terawih ?

Sedangkan para salaf soleh melalui riwayat yang sahih menunaikan solat terawih hanya 11 rakaat termasuk witir sekalipun demikian sedikit bilangan rakaat namun solat mereka sangatlah panjang, lambat-lambat dengan penuh tadabbur dan sehingga sampai ke hampir waktu sahur.

wallahualam

Apakah Hukum Mereka yang Melakukan Solat Terawih Melebihi 11 dan 13 Rakaat ?

Jawapan ana ialah tidak berdosa melakukan solat terawih sebanyak 20 rakaat demi mengikut imam masjid yang dilantik rasmi dan menurutinya kerana menjaga perpaduan dan dirinya sendiri pun mampu pula untuk menunaikan solat sebanyak 20 rakaat maka dibolehkan.

Adapun dengan syarat hendaklah dirinya mengetahui bahawa sebaiknya melakukan hanya 11 rakaat atau 13 rakaat seperti sunnah rasulullah dan perbuatan salaf soleh melalui riwayat yang sahih.

Maka yang memahami hal ini jangan memburukkan golongan yang melakukan 20 rakaat kerana niat mereka itu ikhlas dan baik serta ianya tidak menyalahi syarak bahkan hanya termasuk dalam persoalan furu (cabang kecil) lalu hormatilah dan nasihati dengan baik, beri penerangan dan ilmu kepada mereka dan juga golongan yang melakukan 20 rakaat jangan pula memburukkan golongan yang hanya menunaikan 11 rakaat sebaliknya kenalah harus saling bertolak ansur dan memahami ilmu dengan dalil serta kefahaman.


wallahualam
Mekah Al-Mukarramah

1 comment:

Amal said...

this is so informative! jazak Allah khairan ust emran!