Thursday, September 14, 2006

Al-Wala dan Bara : Konsep Asasi Manhaj Ahlul Sunnah Wal Jamaah

Wala dan Bara' : Konsep asasi manhaj Ahlul Sunnah Wal Jamaah

Pemahaman dan jalan Ahlul Sunnah Wal Jamaah dalam beragama dihasilkan dari dua sikap dan sifat di atas. Al-Wala iaitu ketaatan kepada kitab dan sunnah serta menuruti jalan orang yang beriman dan Al-bara' pula bermaksud pelepasan dan membebaskan diri dari golongan yang menyalahi kitab Allah dan sunnah rasul-Nya serta menyisihkan diri dari menuruti golongan yang menyalahi jalan orang yang beriman.

"Barangsiapa yang menentang rasul sesudah jelas kebenaran baginya dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang yang beriman maka kami membiarkan dia berleluasa dengan kesesatan yang dialaminya itu dan kami masukkan dia ke dalam neraka jahanam yang seburuk-buruk tempat kembali" (An-Nisa : 115).

Maka berkata Al-Imam Syirazi dalam kitabnya bahawa ayat di atas memerintahkan kita kepada menuruti "jalan orang yang beriman" dan larangan menyalahi mereka serta mengikuti jalan orang yang beriman itu ialah wajib (Al-Luma' Fi Usul Fiqh m/s : 180).

Jalan orang yang beriman di dalam ayat ini merujuk kepada sebaik-baik golongan manusia yang beriman iaitu mereka yang beriman di zaman rasul dan hidup di bawah pertunjuk Allah dan di zaman penurunan wahyu iaitu para sahabat ra dan kemudian para anak-anak mereka dan seterusnya cucu mereka yang disebut sebaik-baik golongan.

" Golongan yang terdahulu daripada Muhajirin dan Ansor dan golongan yang mengikuti mereka dengan ehsan maka telah redhalah Allah kepada mereka dan mereka pun merasa redha dengan Allah" (At-taubah : 100).

"Muhammad itu rasul Allah dan golongan yang bersamanya bersikap keras terhadap kuffar dan berkasih sayang di antara mereka dan kelihatan dari mereka beruku' dan bersujud dan mereka mencari fadhilat dari Allah dan redha-Nya" (Al-fath : 29).

Diriwayatkan oleh Ibn Umar ra yang bermaksud " Akan datang kepada umatku perkara seperti yang pernah menimpa kaum bani Israel , selangkah demi selangkah sehingga akan berlaku dikalangan mereka yang berzina dengan ibunya secara terang-terangan. Sehingga ada umatku akan melakukan sedemikian. Sesungguhnya umat bani Israel berpecah kepada 72 golongan dan akan berpecah umatku kepada 73 golongan dan kesemuanya di neraka kecuali satu golongan. Maka bertanyalah para sahabat ra kepada baginda akan siapakah golongan yang satu itu wahai rasulullah ? Maka jawab baginda " Golongan yang aku berada di dalamnya dan para sahabatku ." (Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi no.26 Jilid 5, Hakim no.218 Jilid 1).


Nabi Salallahualaihiwasalam bersabda melalui riwayat Aisyah ra : " Sebaik-baik kurun manusia ialah kurun aku berada di dalamnya dan kemudian kurun kedua (Sahabat) dan kurun ketiga (Tabi'ien)" (Hadith Sahih, riwayat Muslim no.1965 Jilid 2, Abu Daud no. 44 Jilid 50)

Persoalan Wala

Ketaatan umat Islam haruslah menumpu kepada mentaati Allah dan rasul dan apa-apa yang datang daripada kedua-duanya. Ahlul Sunnah Wal jamaah menetap diri mereka di atas "jalan orang yang beriman" yang diperincikan daripada kitab dan sunnah sebagai "jalan salaf soleh" dan mereka yang menetap diri bersama rasulullah dan para sahabat.

Persoalan Bara' (melepaskan diri)

Permasalahan melepaskan diri dan mengasingkan diri daripada "jalan yang bukan dari jalan orang yang beriman" merupakan hal yang sering dilupakan dan di abaikan oleh para muslim dan muslimah yang mengaku diri mereka sebagai salafi atau mengaku sebagai orang yang beriman.

Dimaksudkan jalan yang bukan dari jalan orang yang beriman ialah tidak hanya terhad kepada jalan orang kafir dan kuffar tetapi bermaksud semua jalan termasuk jalan kezaliman, jalan kemusnahan dan kehancuran, jalan kefasikkan, jalan kejahilan dan pelbagai lagi jalan selama ianya bukan dari jalan orang yang beriman.

"Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah)" (Al An'am : 116).


Adapun jalan orang yang beriman itu hanyalah satu iaitu apa yang dilalui oleh rasulullah dan sahabatnya serta yang mengikuti mereka dengan ehsan dan taqwa.

" Jika Allah kehendaki nescaya dapat Dia menjadikan semua manusia itu umat yang satu tetapi mereka itu (dijadikan) berselisih kecuali ORANG YANG DIKASIHI OLEH TUHAN-MU" (Surah hud : 118).

Maksud golongan yang dikasihi oleh tuhan-mu itu menandakan memang adanya golongan yang satu iaitu golongan yang beriman dan yang menetap diri di atas jalan orang yang beriman dan mereka itulah yang dikasihi oleh Allah swt.

Tujuan saya menulis keterangan ini ialah kerana ramai orang salafi di Malaysia mendakwa mereka ialah salafi dan mendakwa mengikuti jalan salaf soleh tetapi tidak menuruti kaedah asasi dan penting ini iaitu menyalahi dan menyisih diri dari jalan-jalan yang bukan dari jalan orang yang beriman.

Sikap mendakwa diri sebagai salafi tetapi masih bergaul dan bercampur dengan golongan-golongan yang tidak menuruti jalan orang –orang yang beriman ialah satu kesalahan dan mengakibatkan kecelaruan dan penyelewengan dari manhaj salaf soleh .

Amatlah dirisaukan balasan ke atas mereka ini di akhirat seperti disebut dalam hadith baginda dari riwayat Abdullah ibn Mas'ud bahawa baginda salallahualaihiwasalam pernah bersabda yang bermaksud " Aku bersama kamu di telaga Al-Hau'd ketika para malaikat menghambat sekumpulan dari umat aku dan aku mengenali mereka dari umat aku, maka aku berkata kepada tuhan (Allah) Wahai tuhan mereka itu umatku, maka dijawab Sesungguhnya engkau tidak mengetahui apa yang telah mereka perbuat selepas kematianmu .(Hadith Sahih disepakati Bukhari no. 6576 & Muslim no. 2257).

Di dalam hadith di atas, rasulullah menerangkan bagaimana konsep membebaskan diri dan penyisihan serta pengasingan di antara golongan yang mengikuti rasulullah dan mereka yang menyalahinya. Allah telah menjadikan golongan yang menyalahi jalan rasulullah sebagai terasing dan tidak dikumpulkan sekali bersama dengan orang yang beriman yang menuruti jalan mereka yang beriman.

…………………………………

Pengasingan diri ini berlaku apabila kita tidak dapat mengubah kemungkaran yang ada dan tidak dapat menjaga diri kita daripada kejahatan dan keburukkan yang tersebar memfitnah di waktu akhir zaman ini. Maka mengasingkan diri dari masyarakat yang rosak dan buruk akhlak ialah satu kewajipan apabila kekuatan untuk mengubahnya tidak dimiliki.

Sesungguhnya Saad Ibn Abi Waqas ra berkata ketika berlakunya Fitnah pembunuhan Khalifah Usman ibn Affan ra : Aku bersaksi bahawa rasulullah pernah bersabda : " Sesungguhnya akan berlaku fitnah (pada umat ini) dan mereka yang duduk adalah lebih baik dari berdiri dan golongan yang berdiri ialah lebih baik dari mereka yang berjalan dan mereka yang berjalan ialah lebih baik dari golongan yang berlari" Lalu ditanyakan kepada baginda apakah pesananmu jika datang seorang masuk ke rumahku dan mengacungkan tangannya untuk membunuh aku ? Lalu baginda menjawab : " Jadilah seperti anak Adam (iaitu Habil yang dibunuh tanpa membalas)" dan juga dalam hadith seperti ini dari riwayat Abu Hurairah, Khabab ibn Arat , Abi Bakrah dan Ibn Mas'ud dan lain-lain.

(hadith sahih riwayat Tirmidzi no. 2194 dan lain-lain).

Dimaksudkan dengan tidak membalas ialah supaya tidak menambahkan lagi penyebaran fitnah dan juga dimaksudkan duduk lebih baik dari berdiri ialah menjauhi kekacauan dan kerosakan yang berlaku.

Fudhail bin 'Iyadh berkata : "Barangsiapa mencintai ahli bid'ah nescaya Allah akan menggugurkan amalnya dan mengeluarkan cahaya Islam dari hatinya. Barangsiapa menikahkan anak perempuannya dengan ahli bid'ah maka dia telah memutuskan silaturahminya. Barangsiapa duduk dengan ahli bid'ah maka dia tidak akan diberi hikmah. Dan kalau Allah mengetahui bahawa seseorang telah memiliki rasa benci kepada ahli bid'ah maka saya berharap semoga Allah mengampuni dosa-dosanya." Ucapan Said bin Jubair radliyallahu 'anhu : "Kalau seandainya anakku berteman dengan perompak yang sunni maka lebih aku sukai daripada dia berteman dengan ahli ibadah yang mubtadi' (ahli bid'ah)." (Lihat kitab Ilmu Ushulil Bida' halaman 218).

Benarlah seperti kata Sufyan As-Sauri bahawa " Bid'ah lebih disukai oleh Iblis dari maksiat kerana maksiat manusia akan bertaubat darinya sedang bid'ah manusia akan merasa tidak bersalah dan berterusan melakukannya.". (Sila lihat Hilyatul Auliya oleh Abu Nu'aim m/s 26 Jilid 7).


bersambung...

No comments: