Monday, September 02, 2013

Masalah kaum muslimah dan pendakwahnya

Kaum muslimah pada generasi hari ini yang disebut sebagai generasi X-Y-Z, generasi FB dan internet yang banyak mengalami masalah dalam 'komitmen' hidup seperti perkahwinan, keibuan dan rumahtangga. Hal ini boleh diketahui melalui laporan yang datang dari pelbagai sumber yang menyebut tentang sikap mereka yang manja, cepat lemah semangat, mudah panik, tidak berani keluar dari zon selesa dan kuat pergantungan kepada orang lain atau tidak pandai berdikari.

Mereka juga terkenal sebagai golongan yang cepat putus asa, mudah berubah fikiran dan kurang adab atau kurang budi-bicara dan lemah kemahiran komunikasi dengan pihak yang lebih tua, berbeza dengan mereka (baik pendapat, idea atau situasi) atau lawan jantina. Golongan ini juga didapati mudah dan cepat atau dalam bahasa lain gopoh membuat kesimpulan, keputusan dan rumusan tentang sesuatu dalam hidup sehingga menyebabkan mereka mengalami banyak masalah semasa.

Malangnya, dalam keadaan begitu kaum muslimah hari ini, mereka tidak mendapat ubat dan rawatan yang betul dari pendakwah-pendakwah semasa.

1. Meletakkan batu asas atau dasar yang betul dalam program atau dakwah

Perubahan kaum muslimah di tanahair pada hari ini dari negatif atau kurang beragama -----> kepada kehidupan beragama tidak bermula atau tertegak di atas asas yang betul dan hal ini kurang diambil berat oleh para pendakwah dan pihak organisasi dakwah.

= Sebab seseorang itu mendapat hidayah boleh jadi apa sahaja. Seketul najis pun boleh menjadi sebab hidayah. Itu tiada masalah tetapi meletakkan asas dan dasar dalam dakwah untuk membawa perubahan kepada manusia itu kena melalui asas yang betul.
= Perubahan diri dan jalan mendekati agama mesti atas asas yang benar dan sahih seperti yang diseru oleh hadith Nabi Salallahualaihiwassalam,

لاَ تُقْبَلُ صَلاَةٌ بِغَيْرِ طُهُورٍ وَلاَ صَدَقَةٌ مِنْ غُلُوْلٍ
Tidak akan diterima solat tanpa bersuci dan tidak akan diterima sedekah dari (hasil) ghulul (khianat). [Riwayat Muslim] Wudhuk dan niat ialah asas bagi solat dan harta yang baik ialah asas kepada penerimaan sedekah.

Kaum muslimah yang comel, gedik dan suka tayang muka buat tutorial pakai hijab di yotube pun kalau nak pakai tudung kena bermula dengan asas yang betul iaitu demi ketaatan kepada Allah, demi patuh perintah, demi syarak agar tak dibakar api neraka kerana percaya akhirat.

Kalau pakai tudung sebab ia nampak lawa, comel macam Wardina, Diana Amir, Heliza maka tiada pahala dari Allah, bahkan akibatnya merosakkan.

Contohnya : (Baca dengan minda 'High class')

- Memakai 'tudung' atau menutup 'aurat' kerana tertarik pada arus untuk kelihatan cantik dan terpengaruh dengan artis comel yang 'berhijrah'.

- Dakwah kepada kaum muslimah dipromosikan dengan gaya 'gedik' seperti latar belakang warna 'pink', manja dan penuh kejiwangan. Novel-novel Islamik-cintan, penceramah yang belum pernah basuh berak anak dan buat susu ditengah malam, flash-mob yang konon mesej Islamik dan seumpamanya.

- Dakwah seharusnya bermula dengan asas yang betul untuk melahirkan kesedaran dan peluang agar manusia dapat dekat dengan hidayah Allah melalui al-Quran dan as-sunnah. Perhatikan ucapan Nabi Salalallahualaihiwassalam terhadap seorang anak muda yang masih kecil bernama Ibn Abbas RA dengan sabdanya ;
يَا غُلَامُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ
Wahai, anak kecil! Sesunguhnya aku akan mengajarkan kepadamu beberapa kalimat; jagalah Allah, nescaya Allah akan menjagamu; jagalah Allah, nescaya engkau akan mendapatkan Dia selalu di hadapanmu; apabila engkau minta, mintalah kepada Allah dan apabila engkau minta pertolongan, mintalah pertolongan kepada-Nya. [Riwayat al-Tirmidzi].

Ramai kaum muda, pendakwah yang berfikiran singkat dan bersikap "Machiavellian" (matlamat menghalalkan cara) akan berkata : 'Apa salahnya, yang penting mesej atau info sampai, atau mereka akan kata, biarlah asalkan mereka (perempuan) berubah ke arah lebih baik.'

Aljawab,

Kata Ibn Mas'ud RA, Sesungguhnya Rasululluh salallahualaihiwassalam telah memberitakan kepada kami:

أَنَّ قَوْمًا يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ لاَ يُجَاوِزُ تَرَاقِيَهُمْ

“Bahawa ada sekelompok orang, mereka membaca al-Qur'an, namun al-Qur’an itu tidak melewati kerongkong mereka.' [Riwayat Ahmad dan al-Tirmidzi]

Anak gadis yang gedik dan mempunyai pelbagai penyakit sosial ini apabila tidak dirawat dengan 'prosedur' yang betul kemudian para pendakwah pula buat program Islamik ala-ala gedik seperti seminar atau konvensyen muslimah yang gedik dan sebagainya untuk tarik minat anak gadis ini maka mereka (gadis) seterusnya akan 'terus set' di minda mereka tentang Islam dengan versi yang salah.

Anda mungkin berkata, kami hanya buat program adapun ilmu dan pengisian lain maka itu tanggungjawab muslimah tersebut untuk cari sendiri. Anda pun tahu bahawa antara masalah utama generasi muda hari ini ialah 'SPOON-FEEDING' dan mahu semuanya disuap ke mulut mereka. Lalu anak gadis ini akan dewasa, kahwin dan kemudian jadi pendakwah macam anda pula dan meneruskan ' vicious circle' (putar balik yang tak kemana) ini.

Anda mungkin akan petik ayat saya, 'Tak penting bagaimana kita bermula tetapi yang penting ialah bagaimana kita akan berakhir.'

Benar, bermula kenal Islam di program gedik santai...belajar agama dengan ustazah yang anti-poligami dan penulis novel cinta, ikut usrah dan program Islamik syok sendiri dan hasilnya berakhir sebagai syuhadak di medan jihad seperti Syria dan Palestin dengan kempen boikot kurma Iran atau boikot McDonold. Atau nikah dengan lelaki jambu ala-ala bapuk yang berambut panjang tetapi melahirkan anak seperti Salahuddin al-Ayubi ???

Allah SWT berfirman:
أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ لَا يَسْتَوُونَ عِنْدَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
'Apakah (orang-orang) yang memberi minuman orang-orang yang mengerjakan haji dan mengurus Masjidilharam kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta bejihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.' [At-Taubah:19]

Sunnatullah mesti diikut kalau mahu pengakhiran yang baik !

2. Mengisi maklumat, dakwah dan info kepada anak gadis mengikut 'keutamaan' dan keperluan

Contohnya :

- Apakah faedahnya bercerita kepada kaum muslimah tentang kisah Rabiatul Adawiyah sekiranya isteri-isteri Nabi Salallahualaihiwassalam dan sejarah para sahabat wanita pun tidak diketahui oleh anak-anak gadis muslimah ?

- Bercerita soal kebebasan wanita dan hak-hak wanita sedangkan hukum Allah dan hak Allah yang menyebabkan mereka semua dapat hak tersebut tidak diajar ?

Cakap banyak konon gadis boleh letak syarat itu ini sebelum kahwin agar suami tak kahwin lagi dan sebagainya , sedangkan si gadis itu masih buat amalan syirik, kepala otaknya penuh najis jahiliyyah yang jika berlaku perang jihad maka mereka layak dijadikan tawanan dan gundik atau hamba abdi lalu dijual di pasar-pasar.

Hak Allah belum tertunai seperti aqidah, tauhid, hukum syarak, ketaatan kepada sunnah dan kewajipan sebagai muslimah untuk taat dan patuh pada kitab Allah.

Kata Syeikh Sulaymaan al-'Alwaan, pakar hadith daripada Arab Saudi.

التوحيد إذا لم يمارسه المسلمون عملياً في حياتهم لم تثمر كلماتهم ولا كتاباتهم ولا تصوراتهم ولم يحصل لهم التمكين

'Tauhid apabila tidak dilatih dan diamalkan oleh kaum muslimin dalam hidup mereka maka ianya tidak akan membuahkan hasil pada ucapan, penulisan dan pandangan mereka dan mereka tidak akan mencapai kekuatan.'

Bina dahulu kepatuhan sebelum kamu wahai ustazah dan pendakwah nak bercakap soal kebebasan dan hak-hak muslimah !

3. Gila angka dan jumlah peserta, lebih dari ghairah mahu menghasilkan kefahaman dan kekuatan ummah

Para pendakwah banyak sungguh yang gila angka dan jumlah peserta sebab nak memastikan program balik modal atau memberi keuntungan berbanding nak melahirkan peserta yang faham dan memberi kekuatan pada ummah. Malu mereka kalau peserta sedikit dan tak jumlahnya tidak ramai.

Sedangkan dakwah nabi salallahualaihiwassalam bermula dengan bilangan yang sedikit. Allah pula berfirman,

كَمْ مِنْ فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ

"Berapa banyak yang terjadi bahawa golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar." [al Baqarah : 249].

Kalian buat satu program hadith, panggil Maulana Asri dan Dr. Asri buat kuliah tentang fiqh muslimah, aurat, keibuan dan jemput Dr. Zaharuddin Abd Rahman cerita soal tanggungjawab isteri terhadap suami lebih baik dan menyelesaikan banyak masalah rumahtangga, kes sosial dari sekadar buat program syok sendiri yang menyebabkan kalian hanya berbangga dengan penyertaan ramai wanita dari seluruh negara tetapi memberi impak buruk dan kesan negatif kepada manusia.

Banyak lagi nak cerita tetapi cukuplah disini dahulu sebagai luahan bicara...

Saturday, August 31, 2013

Menikahlah kerana agama agar kau tidak menderita

Diriwayatkan oleh Imam Yahya bin Yahya al-Naisaburi rahimahullah yang berkata bahawa beliau pernah bersama dengan Imam Sufyan bin Uyainah Rahimahullah apabila ada seorang lelaki yang datang dan mengadu kepada Imam Sufyan berkenaan masalah rumahtangganya.

Kata lelaki itu, isterinya sering menghinanya dan membencinya.

Lalu Imam Sufyan pun berkata ; لعلك رغبت إليها لتزداد بذلك عزا
'Boleh jadi kamu menikahinya kerana mahu meninggikan status kedudukanmu ?

Lelaki itu pun menjawab benar wahai Abu Muhammad (kuniyah Imam Sufyan).

Maka Imam Sufyan pun berkata ;
من ذهب إلى العز ابتلي بالذل، ومن ذهب إلى المال ابتلي بالفقر، ومن ذهب إلى الدين يجمع الله له العز والمال مع الدين
'Barangsiapa yang menikahi kerana mencari kedudukan yang mulia maka dia akan diuji dengan kehinaan, barangsiapa yang bernikah kerana harta maka dia akan ditimpa kefakiran, dan barangsiapa yang menikah kerana agama maka Allah akan menghimpunkan baginya kedudukan dan harta bersama dengan agama.'

Kemudian Imam Sufyan pun menceritakan,

Kami mempunyai 4 orang adik-beradik. Iaitu Muhammad, Imran, Ibrahim, dan diriku. Abang yang paling tua ialah Muhammad dan Imran pula yang paling muda manakala aku pula ditengah-tengah. Apabila Muhammad mahu bernikah maka dia ingin mencari kedudukan lalu dia pun menikahi seorang wanita yang berkedudukan lalu Allah pun mengujinya dengan kehinaan. Imran pula menginginkan harta maka dia pun menikahi wanita yang kaya lalu Allah membalasnya dengan kefakiran. Semua hartanya diambil tanpa ditinggalkan sedikit pun.

Aku memerhatikan keadaan mereka lalu satu hari Ma'mar bin Rasyad datang kepada kami dan aku pun meminta nasihatnya sambil menceritakan kisah yang dihadapi oleh saudara-saudaraku. Maka beliau pun mengingatkan aku dengan hadith Yah'ya bin Ja'dah dan hadith A'isyah RA. Adapun hadith Yahya bin ja'dah meriwayatkan bahawa Nabi Salallahualaihiwassalam bersabda ;
تنكح المرأة على أربع: دينها، وحسبها، ومالها، وجمالها، فعليك بذات الدين تربت يداك
'Dinikahi wanita itu kerana empat perkara iaitu kerana agamanya, kedudukannya, hartanya dan kerana kecantikannya. hendaklah engkau memilih yang beragama nescaya engkau akan beruntung.' [riwayat Al-Bukhari]

Sedang hadith A'isyah pula menyebut ;
أعظم النساء بركة أيسرهن مؤنة
'Wanita yang paling berkah ialah yang paling murah belanja untuk menikahinya.' [Riwayat al-Nasaie]

Justeru aku pun memilih untuk menikahi wanita yang beragama dan yang murah belanjanya menurut sunnah rasulullah salallahualaihiwassalam.

Maka Allah pun memberikan aku kedudukan, kekayaan dan juga agama.

[Tahzib al-Kamal, Al-Mizzi]

Friday, August 23, 2013

Belajar al-Quran cara salaf

Ramai orang mendakwa mengikut al-Quran dan al-sunnah, tetapi amalan mereka menunjukkan sebaliknya. Mungkin penyelesaian kepada masalah ini ialah kembali kepada cara salaf dalam mempelajari Al-Quran dan mengikuti teladan mereka.

Abu Abd Rahman al-Sulami rahimahullah berkata ;

كان أصحابنا يقرئونا ويعلمونا ويخبرونا أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يقرئ أحدهم عشر آيات فما يجاوزها حتى يتعلم العمل فيها قال : وقالوا علمنا القرآن والعمل جميعا

Mereka (para sahabat) yang mengajarkan kami Al-Quran telah memberitahu kami bahawa Nabi Salallahualaihiwassalam mengajarkan mereka 10 ayat dari al-Quran dan mereka tidaklah menambah ayat yang baru sehingga mereka belajar untuk beramal dengannya. Lalu mereka pun berkata ; 'Kami belajar al-Quran dan beramal dengannya secara serentak.' [Muqadimah Tafsir Ibn Taimiyyah, riwayat ini disahihkan oleh Syeikh Ahmad Syakir rahimahullah]

# Abu Abd Rahman Al-Sulami merupakan seorang tabien, Imam dan ahli Qura di Kuffah. Beliau belajar al-Quran daripada sahabat besar seperti Uthman RA, Ali RA, Zaid RA dan Ubay RA serta Ibn Mas'ud RA. Beliau meninggal dunia pada zaman awal pemerintahan Hajjaj.

Friday, August 16, 2013

Langkah seterusnya untuk rakyat Mesir


Pada pendapat saya, sudah sampai masanya para ulama' sunnah dan para pemimpin Islam di Mesir membuat keputusan segera apakah mereka akan meneruskan perjuangan untuk menjatuhkan thaghut Mesir (pemerintah tentera) atau bersurai dan kembali pulang ke rumah untuk mengelakkan pertumpahan darah yang berterusan.

Jika mereka mahu meneruskan perjuangan menjatuhkan thaghut Mesir, maka jalannya bukanlah lagi dengan duduk di medan Rabaah sebaliknya mereka harus tekad mengangkat senjata lalu berperang dengan tentera yang zalim itu sehingga beroleh kemenangan atau mereka semua syahid.

Syair Arab menyebut ;
إذا لم تستطع شيئا فدعه *** وجاوزه إلى ما تستطيع
'Apabila engkau tidak sanggup mengusahakan sesuatu
Maka tinggalkanlah ia lalu berpindahlah melakukan sesuatu yang engkau sanggup.'

Sejarah, waqi' dan nass membuktikan bahawa apa jua kebenaran yang hendak diperjuangkan tidak akan dicapai dengan duduk membantah (protes) sahaja. Rakyat Libya menjatuhkan Muammar Gaddafi dengan perang dan begitu juga dengan mana-mana kuasa tentera hanya dapat dijatuhkan dengan kuasa yang sama. Bani Umayyah tertegak dengan perang menghapuskan lawan-lawan politik, bani Abbasiyyah pun terbina dengan perang mengalahkan kuasa Umayyah.

Allah SWT berfirman ;

أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا وَإِنَّ اللهَ عَلَى نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ

"Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnaya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya Allah, benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu". [Al Hajj : 39].

Amerika Syarikat menyedari hal ini, justeru demi menjatuhkan Saddam Hussain maka mereka menggunakan ketenteraan bersama NATO dan negara bersekutu. Campur tangan untuk mengguling dan menyekat kekuasaan Taliban di Afghanistan juga dilakukan dengan tentera bukan dengan tunjuk perasaan dan duduk di medan perhimpunan.

Nyawa umat Islam terus tumpah, justeru tindakan segera perlu diambil oleh para pemimpin gerakan Islam dan ulama' Mesir untuk menimbang langkah seterusnya. Apakah jihad atau bersurai, apakah berjuang sehingga syariah kembali ke Mesir atau bersurai menanti pilihanraya baru untuk bertanding dan menaikkan semula calon-calon pemimpin yang berwibawa.

Kita mendoakan kebaikan kepada semua umat Islam di sana dan diseluruh dunia yang tertindas kerana kita semua hakikatnya bersaudara !

Wednesday, August 14, 2013

Melihat muslimah dengan mata hati


Apabila kita memandang seorang perempuan dengan mata hati, maka kita tidak akan melihat kepada cantiknya, suara halusnya, manjanya, gediknya, lenggang-lengguknya. Kita juga tidak akan memandang kepada gebu kulitnya, timbul atau nipis bahagian dadanya, tinggi atau rendah badannya atau segala kualiti keperempuanan yang terdapat pada dirinya yang menggoda nafsu kelakian kita.

Tidak, bukan itu yang akan kita lihat.

Sebaliknya fitrah bersih kelakian kita yang merupakan seorang ketua, sang pembela, penjaga, seorang pemimpin akan mengarahkan pandangan kita kepada melihat kualiti seorang pengikut yang terdapat dalam diri perempuan itu.

1. Apakah dia boleh menjadi wanita yang taat ?
2. Apakah dia punya potensi yang boleh dimajukan dan dimanfaatkan ?
3.Apakah dia memerlukan pertolongan kita dan sedang berada dalam kesusahan ?

Seorang lelaki sejati apabila memandang wanita, dia akan dapat melihat kelemahan mereka lalu tampil untuk membantunya seperti yang dilakukan oleh Nabi Musa Alaihissalam takala memandang dua orang perempuan (anak gadis Nabi Syuaib) sedang menghambat ternakan mereka maka dia pun bertanya dengan berkata :

قَالَ مَا خَطْبُكُمَا ۖ قَالَتَا لَا نَسْقِي حَتَّىٰ يُصْدِرَ الرِّعَاءُ ۖ وَأَبُونَا شَيْخٌ كَبِيرٌ
Musa berkata: "Apakah maksudmu (dengan berbuat begitu)?" Kedua wanita itu pun menjawab: "Kami tidak dapat meminumkan (ternakan kami), sebelum pengembala-pengembala itu pergi (dengan ternakannya), sedang bapak kami adalah orang tua yang telah lanjut umurnya." [Al-Qassos: 23]

فَسَقَىٰ لَهُمَا ثُمَّ تَوَلَّىٰ إِلَى الظِّلِّ
Maka Musa pun memberi minum ternakan itu untuk (menolong) keduanya, kemudian dia pun kembali ke tempat yang teduh. [al-Qassos:24]

Lelaki sejati tidak akan mengambil kesempatan atas kelemahan kaum perempuan dan perempuan yang sejati pula tidak akan lupa daratan atau tidak akan lupa untuk membalas budi atas pertolongan lelaki. Hal ini dilakukan oleh anak gadis Nabi Syuaib yang berkata kepada bapanya ;

قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ
Salah seorang dari kedua wanita itu berkata: "Wahai bapakku ambillah dia bekerja dengan kita, kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu dapat ambil untuk bekerja (dengan kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya." [Al-Qassos :26]

Allah mengajar kita fitrah yang asal, fitrah yang bersih bahawa lelaki itu sifatnya ialah pelindung kaum perempuan. Mereka apabila melihat seorang gadis yang yatim dan kesunyian, maka dia ingin mengahwininya agar dapat memberi perlindungan dan menjadi teman, melihat janda yang dalam kesulitan maka dia ingin nikahi agar dapat berkongsi kesusahan, melihat gadis yang muda dan mentah maka dia ingin bimbing dan bantu menunjuk jalan dalam kehidupan.

Kerana itu dalam sejarah, bukan sekali kita lihat lelaki-lelaki hebat yang menikahi wanita kerana faktor kasihan, ingin membelanya, ingin melindunginya dan kerana mahu menolongnya.

Mereka itulah sebaik-baik lelaki yang patut dijadikan pasangan dan seburuk-buruk wanita yang dicela pula ialah yang tidak reti bersyukur kepada pasangan dan gagal membalas budi baik sang pembelanya dan pemeliharanya dengan sikap yang sepatutnya !

Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda ;

أُرِيْتُ النَّارَ، فَإِذَا أَكْثَرُ أَهْلِهَا النِّسَاءُ، يَكْفُرْنَ. قِيْلَ: أَيَكْفُرْنَ بِاللهِ؟ يَكْفُرْنَ الْعَشِيْرَ، وَيَكْفُرْنَ اْلإِحْسَانَ، لَوْ أَحْسَنْتَ إِلَى إِحْدَاهُنَّ الدَّهْرَ، ثُمَّ رَأَتْ مِنْكَ شَيْئاً، قَالَتْ: مَا رَأَيْتُ مِنْكَ خَيْرًا قَطُّ.
'Diperlihatkan Neraka kepadaku dan aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita, kerana mereka itu kufur.” Para sahabat bertanya: “Apakah disebabkan kufurnya mereka kepada Allah?” Rasulullah menjawab: “Tidak, mereka kufur kepada suaminya dan mereka kufur kepada kebaikan dilakukannya (tak reti bersyukur). Seandainya seorang suami dari kalian berbuat kebaikan kepada isterinya selama setahun, kemudian isterinya melihat sesuatu yang buruk pada diri suaminya, maka dia pun akan mengatakan, ‘Aku tidak pernah melihat kebaikan ada pada dirimu sedikit pun.’ [riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

Monday, August 12, 2013

Poligami, halal dan haramnya tidak bergantung kepada apa kata orang

Agama ini tidak dibina berdasarkan perasaan dan sentimen emosi individu sebaliknya syarak dibentuk oleh Allah SWT untuk memperbaiki dan meluruskan kehidupan manusia agar tertegak hak dan keadilan sejagat.

Kaedah fiqh menyebut,

الدين مبني على المصالح في جلبها والدرء للقبائح

'Ad-deen dibangunkan di atas maslahat, untuk mendapatkan maslahatnya dan menolak mudharat.'

Maksudnya, Islam didatangkan untuk menjaga maslahat dan memenuhi hak serta mengajar manusia bagaimana cara untuk hidup yang sepatutnya menurut kehendak Tuhan dan bukan menurut kehendak nafsu manusia.

Firman Allah SWT ;
لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنْزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ
'Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka Al Kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan.' [Al-Hadid:25]

Justeru sentimen perasaan emosi wanita apabila dimadukan seperti rasa diduakan, dikhianati atau tidak dihargai oleh suami bukan isu sejagat yang Islam datang untuk selesaikan, sebaliknya isu ramai perempuan yang tidak terbela, isu anak-anak tidak berbapa, isu andartu, isu kelahiran dan kekeluargaan serta pelbagai lagi hal yang mempengaruhi keseimbangan sosial dan masyarakat.

Sama macam kes hudud, soal kena potong tangan...darah memancut, emosi orang yang memandangnya terganggu (mentally traumatized) atau tidak berperikemanusiaan dan barbaric bak kata pejuang hak asasi barat...Bukan itu fokusnya...Hudud didatangkan oleh syariat Islam untuk mencegah kemudharatan jenayah ,mencegah kecurian, agar hak orang ramai terpelihara dan jenayah berkurangan. Itulah targetnya....

Melihat potensi dan aspek yang lebih besar dan sejagat...

Persis hukum arak dan judi, bukan padanya tiada kebaikan langsung tetapi ia diharamkan justeru kerana mudharatnya lebih besar.

Firman Allah SWT;
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا
"Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya adalah lebih besar dari manfaatnya" [Al-Baqarah: 219]

Orang perempuan ditetapkan oleh Allah SWT untuk datang haid, mengandung atau menopause, lalu ketika itu emosinya tidak stabil sebab faktor hormon. Jadi apakah ucapan mereka kala hormon tak stabil itu dapat mempengaruhi hukum syarak ? Poligami jadi haram sebab ustazah atau wanita yang hormonnya tak stabil menangis, rasa dizalimi, rasa dikhinati ? Kemudian apabila si suami bagi banglo sebijik, bagi kad kredit untuk shopping dan beri cukup 'nafkah' dan hormonnya pun sudah stabil lalu dia 'happy' dan suka maka poligami jadi halal balik ? Jadi tak menindas dan sebagainya ?

Subhanallah.

Syarak tidak berdiri atas perasaan wanita sebaliknya atas faktor maslahat sejagat. Lihat kes zihar yang berlaku dalam al-Quran apabila Khaulah binti Hakim RA yang mengadu kepada rasulullah Salallahualaihiwassalam, bahawa suaminya menzihar beliau. Tanpa wahyu baginda hanya mendiamkan diri dan tetap mengatakan Khaulah telah diceraikan walau Khaulah berulang-ulang merayu dan menerangkan situasinya kepada baginda. Begitu juga dalam kes fitnah kepada Aisyah RA yang dituduh berzina, walaupun Aisyah RA dilanda serangan emosi yang teruk namun baginda mendiamkan diri dan tidak memujuk Aisyah selagi tidak turun wahyu yang membersihkan Aisyah RA.

Perasaan kita, adalah tanggungjawab kita untuk mengurusnya dan jika kita gagal maka itu adalah kesalahan kita bukannya syarak dan bukan hukum poligami, bukan hukum agama sebaliknya salah kita sendiri yang gagal mendidik nafsu dan jiwa kita untuk tunduk patuh kepada agama Allah SWT.

Pesan Allah SWT :
وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَى فَيُضِلَّكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ
"Dan jangan lah kamu mengikuti hawa nafsu sehingga kamu tersesat dari jalan Allah." [Shaad: 26]

Malangnya hari ini syarak ditolak kerana bercanggah dengan kepentingan kita dan kerana tidak disukai oleh emosi dan perasaan kita dan sungguh ianya akan dihisab dan dipersoalkan oleh Allah SWT !

Wednesday, August 07, 2013

Sunnah-sunnah Hari Raya (Eid fitri)

Mengikuti sunnah ialah kewajipan bagi mereka yang beriman dan menyelisihinya ialah kesesatan dan keburukan. Berikut ialah sunnah-sunnah hari raya Eid Fitri yang dianjurkan kepada setiap orang yang beriman untuk mengikutinya.

1. Bertakbir sebanyak-banyaknya bermula dari terbenamnya matahari Ramadhan yang terakhir (malam raya) sehinggalah selepas solat sunat hari raya. Firman Allah SWT ;
ولتكملوا العدة ولتكبروا الله على ما هداكم ولعلكم تشكرون
"Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur." [Al-Baqarah:185]

Riwayat daripada Zuhri menyebut bahawa para sahabat bertakbir apabila keluar dari rumah menuju ke tempat solat lalu berhenti bertakbir apabila selesai solat. [Riwayat Ibn Abi Syaibah]

Lafaz takbirnya ; الله أكبر الله أكبر لا إله إلا الله ، الله أكبر ولله الحمد

2. Disunnahkan mandi sebelum solat hari raya berdasarkan riwayat daripada Ibn Umar RA ;
أنه كَانَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ إِلَى الْمُصَلَّى
'Bahawa beliau (Ibn Umar) mandi pada hari raya eid fitri sebelum menuju ke tempat solat.' [riwayat Malik di dalam al-Muwatha]

Termasuk sunnah dalam mempersiapkan diri ke tempat solat hari raya ialah dengan mencabut bulu ketiak, mencukur kemaluan, memotong kuku dan memakai minyak wangi bagi lelaki.

3. Memakai pakaian yang cantik dan terbaik yang dimiliki. (Tidak disyaratkan BARU, tetapi yang disunnahkan ialah yang terbaik yang dimiliki)

Ibn Umar RA memakai pakaian yang terbaik yang dimilikinya pada hari raya. Di dalam sahih Ibn Khuzaimah menyebut bahawa baginda Nabi salallahualaihiwassalam memiliki jubah khusus yang dipakai baginda pada hari raya dan Jumaat.

4. Disunnahkan makan (melapik perut bukan melantak) sebelum menuju ke tempat solat. Ini berdasarkan riwayat Anas bin Malik RA,

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ
Adalah Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam tidak keluar pada pagi hari Raya sehinggalah makan beberapa biji tamar...[riwayat al-Bukhari dengan menyebut bahawa baginda memakannya dengan bilangan ganjil]

5. Menuju ke tempat solat dengan berjalan kaki jika mampu. Diriwayatkan daripada Ibn Umar RA yang menyebut ;
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يخرج إلى العيد ماشيا ويرجع ماشيا
Adalah Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam keluar pada hari raya dalam keadaan berjalan kaki dan pulang ke rumah dalam keadaan berjalan kaki. [Riwayat Ibn Majah]

6. Pergi dan kembali dari tempat solat dengan jalan yang berbeza. Diriwayatkan dari Jabir bin Abdillah RA yang menyebut ;
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ
Adalah Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam, pada hari raya Baginda membezakan jalan (pergi dan pulang dari solat hari raya). [Riwayat Al-Bukhari]

7. Solat di padang atau di tanah lapang. Diriwayatkan daripada Abu Sa'id al-Khudri yang berkata : 'Adalah Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam keluar menuju ke tempat solat pada hari 'Eid al-Fitri dan 'Eid al-Adha di padang atau tanah lapang.' [riwayat al-Bukhari]

Hikmahnya ialah supaya solat dan khutbah dapat disaksikan oleh semua orang dan diikut serta oleh para wanita dan kanak-kanak baik yang haid atau yang suci.

8. Jika solat di masjid, disunnahkan untuk tidak duduk selagi belum menunaikan solat sunat tahiyatul masjid. Nabi salallahualaihiwassalam bersabda ;
إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمْ الْمَسْجِدَ فَلَا يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ
'Jika kamu masuk ke dalam masjid maka janganlah duduk sehingga solat dua rakaat.' [riwayat al-bukhari]

9. Disunnahkan keluar semua orang ke tempat solat baik lelaki dan wanita, yang haid mahupun yang suci, kanak-kanak atau orang tua untuk menunaikan solat hari raya bagi yang dapat solat dan sekadar menyaksikannya bagi yang tidak boleh solat berdasarkan hadith dari Ummu Athiyyah seperti yang diriwayatkan dalam sahih al-Bukhari.

Orang perempuan jangan duduk dirumah atau didapur, atau menonton TV sebaliknya hendaklah ikut kaum lelaki dan suami keluar solat atau menyaksikan orang solat. Hendaklah kaum perempuan keluar jika ada pakaian yang boleh dipakai berdasarkan riwayat yang menyebut ;
حَقٌّ عَلَى كُلِّ ذِيْ نِطَاقٍ الْخُرُوْجُ إِلَى الْعِدَيْنِ
'Menjadi hak bagi mereka yang ada pakaian untuk menutup badannya untuk keluar pada hari raya.' [Riwayat Ibn Abi Syaibah]

Cuma mereka tidak boleh bertabarruj dan memakai minyak wangi apabila keluar.

10. Mengucapkan ucapan tahniah dan mendoakan satu sama lain apabila berjumpa berdasarkan riwayat dari salaf yang menyebut perkataan ;

تَقَبَّلَ اللّهُ مِنَّا وَ مِنْكُم
'Semoga Allah menerima amalan dari kami dan dari kamu.' Namun menurut kata Imam Ibn Taimiyyah, disisi Imam Ahmad, ianya hanya sekadar harus dan tidak disyariatkan. Walau bagaimanapun amalan ini termasuk dalam sunnah umum apabila ziarah dan bertemu sesama muslim disamping mengucapkan salam, bersalam-salaman dan memberikan hadiah kepada orang yang diziarahi.

Adapun ucapan 'minta maaf zahir batin' tiada dalil atau sunnah dari amalan salaf atau menepati situasi hari raya namun tidak dilarang dan diharuskan mengucapkan apa saja, sebaik-baiknya mengucapkan doa seperti taqabalallah adalah lebih diutamakan.

11. Disunnahkan untuk bergembira pada hari raya dan bersyukur atas nikmat Allah SWT dan banyak memuji dan membesarkan Allah SWT. Terdapat banyak riwayat yang menyebutkan tentang keharusan nyanyian atau memukul gendang atau permainan pedang dizaman baginda Nabi salallahualaihiwassalam. Ianya tidak dilarang kerana meraikan kegembiraan orang ramai.

Makruh bersedih dan menziarahi kubur pada hari raya atau mengenang hal yang menyedihkan kerana hari raya disunnahkan bergembira. Justeru memberi duit raya atau bermain dan sebagainya yang tidak menyalahi batas hukum syarak adalah diharuskan.

12. Menziarahi sanak saudara, jiran tetangga, sesama kaum muslimin adalah diharuskan bagi mengeratkan ukhuwah dan silaturrahim namun amalan ini hendaklah berterusan kerana tidak ada dalil yang jelas mengkhususkan amalan ziarah pada hari raya sebaliknya dilakukan pada sebarang kesempatan waktu dan fadhilatnya besar iaitu, hadith rasulullah salallahualaihiwassalam yang menyebut ;
مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
'Barangsiapa yang suka diluaskan rezekinya dan dipanjangkan usianya maka hendaklah dia menyambung silaturahim.' [riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

Perbuatan menziarahi pada hari raya termasuk adat yang baik apabila semua orang bercuti dan dapat berjumpa dengan kenalan lama, keluarga yang jauh dan sebagainya.

P/s :

Saya sekeluarga mengucapkan selamat Hari Raya Eid al-Fitri kepada semua sahabat dan kenalan, semoga Allah menerima amalan kami dan kamu. Wassalam.