Saturday, February 14, 2015

Apabila kita penat dengan ujian dunia

Seseorang bertanya kepada Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah (wafat 241 hijrah)

متى يجد العبد طعم الراحة ؟ قال: عند أول قدم يضعها في الجنة
Bilakah seseorang hamba itu akan dapat merasai saat kerehatan?

Maka beliau (Imam Ahmad) pun menjawab ; 'Ketika awal kakinya telah berada di dalam syurga.'

Ya, dunia ini memang medan ujian dan dugaan. Tiada kerehatan kecuali kerehatan di hari akhirat.
Allah SWT berfirman;

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً
"Yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu semua siapakah di antara kamu semua yang paling baik amalannya." [al-Mulk:2]

Kerana ujian jugalah kita beroleh pahala dan dapat masuk syurga.

Kata sebahagian salaf ;

لولا الابتلاءات لوردنا على الله مفاليس
Kalaulah tidak kerana ujian nescaya kita akan bertemu Allah dalam keadaan muflis.

Kita jangan terpedaya dengan kesenangan dunia dan hanya berusaha mencari kerehatan serta lalai dalam mengumpul bekal amalan, kemudian merasa marah dan benci pula apabila diuji.

Nabi salallahualaihiwassalam diriwayatkan bersabda ;

وإن اللَّه تعالى إذا أحب قوما ابتلاهم، فمن رضي فله الرضا، ومن سخط فله السخط"
Dan sesungguhnya Allah Ta'ala apabila mencintai suatu kaum akan menguji mereka. Barangsiapa yang redha maka baginya keredhaan Allah dan barangsiapa yang marah maka baginya kemurkaan Allah. [Riwayat al-Tirmidzi]

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah salallahualaihiwasallam bersabda ;

انظروا إلى من هو أسفل منكم ولا تنظروا إلى من هو فوقكم ، فهو أجدر أن لا تزدروا نعمة الله عليكم
Pandanglah orang yang berada di bawahmu (dalam kelebihan dunia) dan janganlah engkau memandang orang yang berada di atasmu. Dengan demikian, hal itu akan membuatmu tidak meremehkan nikmat Allah padamu. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kecewa kita mungkin tak seberat orang lain, duka kita mungkin tidak seteruk mereka yang telah kehilangan segala-galanya.

Berjalan memerhatikan alam, berfikir dan menenangkan diri mencari erti sebuah ujian dan kehidupan.

Bersedih itu fitrah, tetapi jangan biar berlanjutan lama....

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
“Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (Alam Nasyroh: 5)

Bersabarlah, kerana memang tiada cara lain lagi!

No comments: