Friday, June 21, 2013

Pelajaran dakwah, 'Jadilah diri sendiri yang hebat'

Pelajaran hidup daripada dakwah seorang pendakwah yang hebat

Apabila melihat tokoh tertentu yang mempunyai sejarah hidup yang hebat, pencapaian yang luar biasa maka sudah tentu sebagai orang biasa maka kita pun merasa teringin untuk menjadi seperti dirinya. Fenomena ini wujud dimana-mana sehingga melahirkan pengikut, taasub dan golongan pengkagum kepada kehidupan dan peribadi seorang tokoh.

Perkara seperti ini adalah menyalahi ajaran yang dibawa oleh sekolah kehidupan yang pernah dibangunkan oleh baginda salallahualaihiwassalam dan sahabatnya.

1. Sekolah kehidupan mengajar kita bahawa kehidupan setiap orang adalah berbeza dan kita perlu merasa bahagia dan redha dengan apa yang diberikan oleh Allah Ta'ala kepada kita.

Diriwayatkan ada hadith dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah Salallahualaihiwassalam menyebut 'وَارْضَ بِما قَسَمَ الله لَكَ تَكُنْ أَغْنَى النّاسِ' 'Dan redhalah dengan pembahagian Allah (apa yang diberikan) kepadaMu maka nescaya engkau akan menjadi orang yang paling kaya.' [riwayat al-Tirmidzi]

Kejayaan seseorang juga adalah berbeza, bagi seorang penulis ialah menghasilkan buku, bagi seorang petani ialah mengusahakan tanamannya sehingga berhasil, bagi seorang peniaga ialah memajukan bisnesnya. Jika semua orang ingin menjadi penulis buku dan tidak ada yang mahu menjadi petani, peniaga dan pengusaha maka semua orang akan kelaparan.

2. Pendakwah yang sebenar ialah orang yang mengajar manusia untuk redha dan bergembira dengan apa yang dimilikinya, mengajar mereka untuk memanfaatkan pemberian Allah kepada mereka untuk beramal bagi menghadapi hari kemudian.

Lihat Rasulullah salallahualaihiwassalam, baginda tidak mengubah kedudukan Bilal, keluarga Yasir yang terdiri daripada Ammar dan Sumaiyah yang merupakan golongan hamba menjadi bangsawan tetapi baginda mengajar mereka erti syukur, redha dengan kehidupan yang diberi dan bersiap sedia dengan akhirat yang akan dihadapi dikemudian hari.

3. Dakwah yang benar tidak menjadikan kita mahu menjadi seperti orang lain tetapi dakwah yang benar menjadikan diri kita sebagai lebih baik daripada sebelumnya.

Jarang kita dengar atau baca dalam hadith baginda menyuruh para sahabat supaya menjadi seperti Abu Bakar RA, jadilah seperti Umar RA tetapi baginda sebaliknya menyebut :
وما أمرتكم به فأتوا منه ما استطعتم
'Dan apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu maka penuhilah ia semampu kamu.' [riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Begitu juga al-Quran menyuruh supaya berlumba-lumba melakukan kebaikan.

4. Di antara keburukan dan bid'ah paling buruk daripada sikap mengkagumi tokoh ialah kita membanding-bandingkan kehidupan kita dengannya, menetapkan peraturan dan ketetapan yang tidak disuruh oleh agama seperti jika seseorang tokoh itu sukakan sesuatu maka kita pun memaksa diri kita untuk menyukainya, jika dia membencinya maka kita pun ikut membencinya.

Di dalam hadith Ibn Abbas RA bahawa Khalid bersama Rasulullah salallahualaihiwassalam dihidangkan daging Dhab panggang lalu baginda menolaknya. Maka Khalid bertanya apakah ia haram ? Lalu baginda bersabda :
لا، ولكن لا يكون بأرض قومي فأجدني أعافه
'Tidak, tetapi haiwan ini tidak ada dikampung halaman kaumku lalu aku tidak mempunyai selera untuk memakannya.' [riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Para sahabat tidak pula ikut mengharamkan atau merasa jijik atau meninggalkan makan dhab semata-mata kerana tokoh idola mereka tidak lalu untuk memakannya. Kerana mereka mengerti ini bukan agama tetapi personaliti yang berbeza !

No comments: