Wednesday, May 29, 2013

Keadilan Islam membawa rahmat dan hidayah

Semasa zaman pemerintahan Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib RA, beliau iaitu Ali pada suatu hari ternampak baju besi miliknya yang hilang telah berada pada seorang lelaki Kristian. Ali RA cuba meminta semula baju besinya tetapi ditolak oleh lelaki itu lalu Ali RA pun membawa kes tersebut ke mahkamah dan meminta hakim Syuraih memutuskan kes tersebut.

Ali RA berkata, ‘Baju besi ini ialah milikku dan aku tidak pernah menjualnya atau memberikan ia kepada sesiapa.’

Hakim Syuraih pun berkata kepada lelaki Kristian tersebut, ‘Apakah jawapan engkau terhadap dakwaan Amirul Mukminin tersebut?

Lelaki Kristian itu pula berkata, ‘Baju besi ini ialah milikku dan aku tidaklah berniat untuk menuduh Amirul Mukminin menipu.’

Hakim Syuraih kemudian berkata kepada Ali RA, ‘Apakah Amirul Mukminin mempunyai bukti tentang dakwaan tersebut?

Ali bin Abi Talib RA pun kemudian ketawa kerana tersedar akan kesilapannya yang tidak mempunyai bukti lalu berkata, ‘ Engkau benar wahai Syuraih, aku tidak mempunyai bukti.’

Lalu Hakim Syuraih pun memutuskan baju besi itu menjadi milik lelaki Kristian tadi.

Lelaki Kristian itu kemudian membawa baju besi itu dan pergi daripada tempat tersebut namun kemudian datang semula lalu berkata, ‘Pada pendapat aku ini ialah keputusan yang dibuat berdasarkan ajaran para Nabi dan Amirul Mukminin walaupun membawa kes ini kepada hakim lantikan beliau namun hakim itu tetap memutuskan kes menyalahi beliau.

Maka Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad itu ialah rasul Allah. Demi Allah, baju besi itu ialah milik engkau wahai Amirul Mukminin kerana aku mengutipnya ketika ia terjatuh dari barang-barang engkau sewaktu engkau dalam perjalanan ke peperangan Siffin.

Ali RA pun berkata , ‘ Kini engkau telah memeluk Islam maka baju besi itu adalah milikmu.’ Lalu beliau pun mendudukkan lelaki Kristian itu di atas kudanya.

Kata al-Sha’bi, yang menjadi perawi kisah ini beliau telah dimaklumkan bahawa lelaki Kristian itu setelah memeluk Islam telah ikut berperang dibawah pasukan Ali bin Abi Talib RA dan memerangi golongan Khawarij di Nahrawan .

[Rujukan : Kitab al-Bidayah wa Al-Nihayah, Imam Ibn Katsir]

1. Hakim Syuraih ialah Syuraih bin Al-Haris bin Qais rahimahullah merupakan salah seorang tabien yang faqih dan diangkat menjadi qadhi atau hakim oleh Khalifah Umar Al-Khattab RA.

2. Perawi kisah ini ialah al-Sha'bi atau namanya A'mir bin Syarahil ialah salah seorang tabien yang lahir pada zaman Umar al-Khattab RA.

3. Khalifah Ali bin Abi Talib RA sekalipun merupakan menantu nabi, sahabat dan Khalifah namun beliau tidak menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan baju besinya tetapi menggunakan saluran undang-undang yang memutuskan hukum berdasarkan syariah Islam.

4. Lelaki Kristian itu walaupun seorang yang kafir dan bukan Islam namun haknya tetap dipelihara oleh Islam dan tidak ditindas atau diletupkan dengan C4 sehingga berkecai oleh dua orang polis yang tiada motif membunuh.

No comments: