Sunday, September 24, 2006

Permasalahan & Jawapan Berkisar Ibadah dalam Bulan Ramadhan


Berikut ialah soal jawab di antara ustaz emran ahmad dan mereka yang bertanya kepada beliau melalui email .

Perlukah berniat setiap hari sebelum berpuasa di bulan Ramadhan dan bagaimanakah caranya ?

Jawapan :

Berniat sebelum memulakan sesuatu ibadah sudah menjadi syarat dalam kaedah fiqhiyah yang ditetapkan oleh para ulama dari keumuman perintah rasulullah yang bersabda : “ Sesungguhnya sesuatu amal perbuatan itu dengan niat dan apa yang dilakukan itu ialah dengan apa yang diniatkan…” (Hadith Sahih, Muttafaqun Alaih –Disepakati oleh Bukhari no. 41 & Muslim no.158).

Inilah yang menjadi dasar para fuqaha yang kemudiannya membangunkan kaedah usul iaitu al-umur bima qasidiha “setiap amal itu diukur dengan apa yang diniatkan” (lihat dalam al-wajiz fi syarh qawaid fiqhiyah oleh Dr Abd Karim Zaidan m/s 11). Demikianlah juga seperti yang disebutkan oleh Imam Nawawi ra dalam kitabnya “tidak sah berpuasa melainkan dengan niat dan keadaannya (tempat niat itu) ialah di hati..” (lihat dalam Raudhatun talibin m/s 350 jilid 2).

Mengenai niat untuk berpuasa di bulan Ramadhan, maka secara ringkas ana menjawab bahawa niat untuk berpuasa itu ialah wajib dan menjadi syarat sah puasa seperti yang disepakati oleh ulama dan disebut oleh Imam Abi Bakr Muhammad ibn Ibrahim ibn Munzir Al-Naisaburi dalam kitabnya Al-Ijmak bahawa termasuk perkara yang diijmak oleh ulama Islam ialah kewajipan berniat berpuasa pada setiap malam di bulan Ramadhan (lihat Al-Ijmak m/s 58).

Niat itu dilakukan dalam hati dan tidak menjadi kewajipan untuk menyebutnya dengan lisan dan sesungguhnya mengucapkan niat itu dengan lisan bukanlah dari sunnah dan pula bukan dari amalan salaf soleh sebaliknya bid’ah yang di ada-adakan jika dibuat bukan untuk tujuan mendidik anak-anak atau orang lain sekiranya untuk mendidik maka tidak mengapa.

Tidak perlu berniat “sahaja aku...” atau “bahawasanya aku…” atau apa-apa ayat yang formal dan mematuhi tatabahasa Melayu atau bahasa baku atau juga mematuhi perkataan tertentu…sebaliknya niat dilakukan secara lumrah dan fitrah dengan keyakinan, kesungguhan dan kejelasan untuk sesuatu perbuatan yang hendak dilakukan secara ikhlas kerana Allah di dalam hati tanpa menzahirkan.

Walalhualam.


Benarkah Bersugi atau bergosok gigi itu boleh mengurangkan pahala puasa dan merupakan perkara yang makruh sewaktu berpuasa ?

Jawapan :

Bersugi dan bersiwak ialah sunnah rasulullah dan menjadi kebaikan pada umat Muhammad salallahualaihiwasalam untuk menuruti sunnah baginda dan meninggalkan kata-kata bohong jahil para ustaz atau ustazah yang mencari makan dengan berceramah atau mencari makan dengan sedikit popular lalu mengeluar fatwa yang bukan-bukan tanpa ilmu.

Dalam kaedah feqah dan juga usul, sesuatu amalan sunnah secara umum seperti bersiwak tidak akan menjadi makruh melainkan wujud dalil khas yang mengkhususkan kemakruhannya pada bulan Ramadhan dengan ada dalil sabit yang jelas menunjukkan kelarangan dan keburukkannya.

Ada pun dalam hal ini para fuqaha mazhab syafie’iyah sahaja yang kebanyakkannya menjadi keliru dalam memahami hadith rasulullah dari riwayat Abu Hurairah ra yang menyebut mengenai fadhilat berpuasa iaitu antaranya “…mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi dan indah di sisi Allah dari bauan wangian kasturi” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 1904 dan Muslim no. 1151) .

Para ulama mazhab syafie’iyah iaitu pada zaman mutakalimin dan era percambahan mazhab memang terkenal dengan keterlaluan mereka dalam mengunakan akal dan logik dalam memahami sunnah tanpa memerhati kaedah tahdith dan mudah mengambil faham hadith secara logik akal tanpa meneliti riwayat dan pengamalan salaf soleh.

Dari hadith di atas, maka ramai ulama mengambil mudah memakruhkan perbuatan siwak atau bersugi hanya semata-mata mengunakan akal mereka dengan berfikir logik bahawa dengan bersugi dan bersiwak akan menghilangkan bau mulut puasa dan mengurangkan pahala dan ganjaran di sisi Allah sambil menambah bukankah bau mulut orang berpuasa itu sudah cukup wangi di sisi Allah ?

Hujah kita, maka sebagai mereka yang memahami ilmu dengan jalan pemahaman salaf soleh sudah cukup kita meninggalkan akal logik dalam memahami hadith atau sunnah setelah kita menemui riwayat yang sahih mengenai amalan salaf soleh akan mereka bersiwak dan tetap bersugi di bulan Ramadhan sewaktu mereka berpuasa.

Bahkan jika diperhati secara logik akal sekalipun maka hujah bersiwak adalah lebih kuat dan berat iaitu sabda baginda rasulullah : “Sekiranya bukan kerana aku hanya bimbang akan menyusahkan umat aku nescaya akan aku wajibkan mereka untuk bersiwak” dan pada jalan yang lain juga dari Abu Hurairah baginda menambah “setiap kali waktu berwudhuk” (hadith sahih riwayat Malik dalam Muwatha m/s 66, Bukhari no. 887 dan Muslim no. 252 dengan tambahan “setiap kali waktu solat” ).

Dibandingkan dengan kaedah fiqhiyah baik qiyas adna dan qawi sekalipun dan lain-lain uslub kita mendapati bahawa menjadikan alasan kurangnya bau mulut dengan hadith yang langsung jauh kaitannya dengan soal bau mulut itu hilang boleh mengurangkan pahala apabila hadith tersebut menceritakan bahawa bau mulut itu di sisi Allah sangatlah wangi namun apakah benar di sisi manusia ianya wangi juga kerana manusia dan Allah sangat berbeza penilaiannya ?

“ Mereka berkata ianya dari sisi Allah sedangkan ianya bukan dari sisi Allah dan mereka berkata dusta terhadap Allah..” (Ali-Imran : 78).

“Apa yang disisi Allah ialah lebih baik” (Ali-Imran : 198).

“ Dan tidaklah apa yang disisi Allah itu melainkan baik dan ianya kekal maka apakah kamu tidak memikirkan ?” (Al-Qasas : 60).

Sesungguhnya balasan mulut berbau wangi di sisi Allah bagi mereka yang berpuasa ialah balasan Allah yang hanya Allah sahaja berhak menentukannya dan mengetahui tentangnya bukan para ustaz memandai-mandai akan menambah atau berkurangnya pahala yang merupakan anugerah Allah dan termasuk soal ghaib.



Sesungguhnya wujud hadith yang dhaif dalam riwayat Abu Daud dan Tirmidzi yang menunjukkan bahawa baginda rasulullah bersiwak dalam bulan ramadhan sewaktu berpuasa. Sekalipun kita tidak mengambil dalil dan hujah dari hadith dhaif maka cukup kita berpegang pada kaedah asal bahawa kesunnahan siwak dan mengosak gigi mengunakan siwak lebih utama dipegang dari memakruhkannya sekadar mengikuti taqlid buta yang jelas lemah hujah dan tiada dalilnya.

Pesanan ana ialah hendaklah mereka yang mendengar jawapan ini pergi bersiwak di hadapan ustaz-ustaz dan ustazah yang memakruhkannya dan kemudian minta dalil dari mereka apakah hujah mereka menjadikan sunnah rasulullah sebagai tegahan ?

wallahulam


Apakah mandi selepas waktu tengahari itu makruh dan mengurangkan pahala puasa ?


Jawapan :

Ini merupakan soalan yang sama seperti bersiwak apabila ianya timbul dari ajaran sufi tasawuf yang menyeleweng dari sunnah rasulullah dan amalan salaf soleh. Iaitu apabila umat Islam baik para ustaz dan ustazah asyik mengira dan belajar bagaimana hendak mengukur pahala dengan mengunakan pembaris kentot mereka.

Buat demikian bertambah pahala sekian dan melakukan demikian berkurang pahala seolah-olah dia mempunyai alat pengukur pahala yang dimiliki oleh kartun Doraemon yang boleh mengukur kebaikan dan kejahatan dengan sesuatu alat.

Allahumusta’an…

Mandi dan membasahkan badan di bulan Ramadhan ialah harus dan tidak mengapa serta jika dilakukan mandi dan membasahkan kepala dan badan kerana letih dan penat serta untuk mengurangkan sedikit beban puasa maka hukumnya sunat kerana mengikuti sunnah rasulullah yang turut berbuat demikian.

Demikian apa yang diriwayatkan dari ramai sahabat baginda rasulullah mengenai perbuatan baginda yang diriwayatkan oleh Abi Bakr ibn Abd Rahman dari para sahabat rasulullah bahawa diberitahu kepadanya oleh seorang sahabat ra bahawa : “ Aku pernah melihat baginda rasulullah membasahkan kepalanya dengan air dan baginda dalam berpuasa mungkin kerana dahaga atau kerana panas” (hadith sahih riwayat Abu Daud no. 2365).


Wallahualam

1 comment:

Amal said...

alhamdulillah! sgt informatif. kalo ada kesempatan, saya nak tau apa hukum kalo ada sesetengah pendpt ckp bleh niat puasa utk sebulan terus. 1 lg, mungkin ustaz bleh ceritakan sket psl solat tarawih dgn approach yg plg sesuai utk buat solat tarawih ni.

jazakallah. semoga ustaz beroleh berkat di arab sana. insya-Allah!