Tuesday, July 12, 2005

Fiqh Syafie Dari Tinjauan Sunnah

Masalah Pembahagian Air Mutlak dan Musta’mal
Apakah Air Musta’mal boleh digunakan untuk bersuci ?

Sesungguhnya Allah swt telah menyebut "Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan." (Surah Al-Isra : 36).

Menurut mazhab Syafie, air mutlak ialah air yang suci dan dapat menyucikan serta disebut air yang mengangkat hadas dan menghilangkan najis (kafayatul Akhyar m/s 14).

Air mutlak ialah air yang kekal atas sifat-sifat asalnya yang diciptakan Allah tanpa berubah disebabkan oleh sesuatu atau bercampur dengan sesuatu (Fiqh Manhaji Ala Mazhab Imam Syafie m/s 31).

Sumber air mutlak itu ialah seperti air hujan, air laut, air sungai, air telaga(mata air) , air tasik dan salji.

“Dan diturunkan kepada kamu dari langit air (hujan) yang menyucikan kamu” (Al-Anfaal : 11).

Air mutlak disepakati oleh semua ahli ilmu dan ijmak ulamak bahawa ianya suci pada zahir dan dapat menyucikan seperti contohnya air laut disebut oleh baginda nabi salallahualaihiwasalam:

“ Ianya (air laut) itu suci airnya dan halal bangkainya (binatang yang dari laut)” (Hadith sahih riwayat Abu Daud no.83, tirmidzi, nasaie dll).

Walaubagaimanapun pada air musta’mal (air yang telah digunakan) maka ianya terdapat masalah dan khilaf dikalangan ulama’.

Pada mazhab Syafie, air ini disebut sebagai suci tetapi tidak menyucikan (kafayatul akhyar m/s 16).

Ianya ialah air yang sedikit dan telah digunakan untuk bersuci atau air yang telah bercampur dengan sesuatu yang bersih namun sukar untuk memisahkannya kembali dengan air setelah bercampur (Fiqh Manhaji Ala Mazhab Imam Syafie m/s 33).

Hukum air musta’mal pada mazhab syafie ialah suci namun tidak menyucikan. Hujah mereka ialah pada hadith Abu Hurairah ra dari nabi salallahualaihiwasalam yang bersabda : “Janganlah kamu mandi dalam air yang tidak bergerak (bertakung)” (hadith sahih riwayat Muslim no. 283).

Mereka (mazhab syafie) berhujah bahawa larangan dari mandi di tempat yang bertakung kerana air yang telah digunakan untuk mandi akan bercampur dengan air yang ada lalu menjadikannya tidak lagi suci maka kerana itulah baginda menghalang dari mandi di tempat tersebut kerana jika bukan dari hal itu lalu mengapa dilarang berbuat demikian ?

Jawapan :

Sesungguhnya air musta’mal itu hukumnya sama seperti air mutlak iaitu suci lagi menyucikan dan pendapat inilah yang paling rajih dan didukung oleh banyak dalil dan hujah.

Mengenai dalil yang digunakan oleh mazhab syafie bahawa hadith Abu Hurairah yang menyebut larangan mandi dalam air yang bertakung itu sebenarnya tidak tepat untuk menjadi hujah batalnya bersuci dengan air musta’mal disebabkan hadith tersebut masih bersambung dengan tambahan dari Maula Hisyam bin Zuhrah apabila dia bertanya selepas itu kepada Abu Hurairah ra : Apa yang harus dibuat wahai Abu Hurairah ? (yakni jika tidak boleh mandi dalam air yang bertakung) Maka dijawab oleh Abu Hurairah ra dengan katanya diambilnya dengan berkali-kali (untuk digunakan) (hadith sahih riwayat Muslim no. 283).

Dengan apakah akan diambil air itu ? Jawabnya para sahabat sudah menjadi kebiasaan mereka mengambil air dengan menceduk mengunakan tangan mereka. Seperti dari hadith Ibn Umar ra yang menyebut : “Kami berwudhuk di zaman rasulullah baik lelaki dan wanita dari satu bekas yang sama dengan kami mencelup di dalamnya akan tangan kami” (hadith sahih riwayat Abu Daud no. 79).

Bahkan di antara ulamak yang membolehkan penggunaan air musta’mal dan menganggap air musta’mal sama hukumnya dengan air mutlak ialah Ali ibn Abi talib ra, Ibn umar ra dan Abi Umamah ra, dan sebahagian besar dari para salaf serta dipegang oleh mazhab Maliki dan merupakan sebahagian dari riwayat dari Imam Syafie sendiri dan Imam Ahmad serta merupakan pegangan mazhab Ibn hazm dan Ibn Munzir dan dirajihkan oleh Syeikh Islam ibn Taimiyyah (Al-Mughni m/s 31 Jilid 1, Al-Muhalla m/s 183 Jilid 1, Majmuk Fatawa m/s 519 Jilid 20).

Pendapat mengenai bolehnya mengunakan air mus’tamal untuk berwudhuk dan bersuci ialah berdasarkan banyak hujah dan dalil seperti dari hadith Ar-Rabi’ binti Muadz dalam mensifatkan wudhuk rasulullah salallahualaihiwasalam dengan menyebut “ Dan baginda menyapu kepalanya dengan baki air yang terdapat di tangan baginda” (hadith hasan riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Sesungguhnya para ulama salaf berhujah bahawa air yang telah digunakan untuk berwudhuk atau air yang telah terkena badan manusia bukanlah najis dan tidaklah menjejaskan kesucian air tersebut ini berdalilkan dari hadith Abu Hurairah ra yang menyebut bahawa nabi salallahualaihiwasalam bertemu dengannya di jalan di Madinah dan ketika itu dia sedang dalam junub maka segera dia mengelak dari bertemu nabi dan mandi terlebih dahulu setelah itu segera mendatangi nabi maka ditanya oleh baginda : “ Di manakah engkau wahai Abu Hurairah ?” maka dia menjawab sesungguhnya aku ini tadinya junub maka aku benci untuk bertemu engkau dalam keadaan aku tidak suci maka dijawab oleh baginda : “ Maha Suci Allah sesungguhnya orang yang beriman itu tidak najis” (Hadith sahih diriwayatkan oleh jamaah).

Berkata Ibn Munzir dalam Al-Ausath m/s 288 Jilid 1 bahawa telah ijmak ahli ilmu dan ulamak salaf seperti Ali Ibn thalib ra, Ibn Umar ra dan Abi Umamah ra dan Atho serta Hasan dan Makhul dan Nakhaie’ bahawa mereka menyatakan apabila seseorang itu terlupa menyapu kepalanya ketika berwudhuk dan jika mendapati pada janggutnya air lebihan wudhuk maka mencukupi dengan menyapu kepalanya dengan air itu.

Sesungguhnya bercampurnya air mutlak itu dengan sesuatu yang suci yang sekalipun tidak dapat dipisahkan tidaklah menghalang kita untuk bersuci dengannya ini disebabkan oleh wujudnya dalil dari hadith Umm Hani ra bahawa “ Sesungguhnya rasulullah salallahualaihiwasalam mandi dengan Maimunah bersama dalam satu bekas yang pada airnya bercampur dengan tepung” (hadith Sahih diriwayatkan oleh An-Nasaie no. 240 dan Ibn Majah no.378).

Jika air yang sudah bercampur dengan tepung masih digunakan oleh rasulullah untuk mandi maka apakah kita dapat mengatakan air yang hanya bercampur dengan air yang sudah digunakan untuk wudhuknya manusia yang beriman yang jelas disebut oleh rasulullah bahawa orang yang beriman itu bukan najis maka sebagai najis ?

Demikianlah juga dari Umm Athiyah ra bahawa masuknya rasulullah salallahualaihiwasalam bertemu mereka ketika meninggalnya anak perempuan baginda Zainab sambil bersabda : “ Mandikanlah dia 3 kali atau 5 kali atau lebih dari itu menurut pendapat kalian dengan air sidr dan jadikanlah pada akhirnya dengan kapur atau sesuatu darinya dan jika telah selesai beritahulah aku” (Hadith sahih riwayat Bukhari no.1253 dan Muslim no. 939).

Sesungguhnya mayat itu tidaklah dapat dimandikan melainkan dengan apa yang menyucikannya jadi apabila rasulullah menyuruh dicampurkan air mandi jenazah anak perempuannya itu dengan kapur dan sidr bermakna bercampurnya air mutlak itu dengan sesuatu yang bersih tidaklah dapat merosak atau merubah hukumnya.


Benarlah sabda baginda rasulullah salallahualaihiwasalam : “Sesungguhnya air itu suci dan tidaklah menajiskannya sesuatu pun” (hadith hasan riwayat Abu Daud no. 266 dan tirmidzi no. 66).

Kesimpulannya :

Pengunaan air musta’mal ialah harus untuk bersuci dan hukumnya sama seperti air mutlak. Oleh yang demikian pendapat syafieyah dalam masalah air mutlak dan air musta’mal tertolak dan tidak dapat diterima kerana ianya bercanggah dengan dalil dan hujah yang sahih.

Pertama, pendapat mazhab syafie tertolak dalam masalah air musta’mal kerana ianya mengalakkan pembaziran air. Sedangkan pembaziran itu ialah haram.

Firman Allah swt

Sesungguhnya orang-orang yang suka membazir itu ialah saudara syaitan dan syaitan itu amat engkar kepada tuhannya” (Al-Isra : 27).


Sedangkan telah datang banyak dalil dan hujah kepada kita bagaimana rasulullah dan para sahabat cukup berjimat dalam mengunakan air dan bersuci.

Dikeluarkan oleh Abu Daud dari hadith Habib Al-Ansori yang mendengar dari Ibad ibn Tamim dari neneknya iaitu Umm Umarah ra dari nabi salallahualaihiwasalam yang berwudhuk dengan bekas air yang sekadar jumlah 1/3 Mudd (hadith sahih riwayat Abu Daud).

Bekas sebesar satu mudd ialah ibarat seperti gelas minuman atau besar sedikit yang sering digunakan di Malaysia yang sekaligus menunjukkan betapa sedikitnya air yang digunakan oleh rasulullah dalam berwudhuk.

Tanpa menjadikan air musta’mal itu sebagai sesuatu yang harus maka mustahil air yang sedkit itu dapat mencukupi. Lalu apakah sunnah rasulullah dalam berjimat dan mengelakkan pembaziran ini dapat kita lupakan dan abaikan hanya kerana negara kita banyak air sehingga sampai mengeksport ke Singapura ?

Rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda :
“Sesungguhnya akan datang kepada umatku satu golongan yang akan berlebih-lebihan dalam bersuci (membazir) dan berlebih-lebihan dalam berdoa” (Hadith sahih riwayat Abu Daud no. 96).

Wallahualam

No comments: