Wednesday, December 02, 2015

Rumahtangga dan cinta, perceraian dan benci


1. Apa yang menjadi pemangkin kepada keutuhan rumahtangga selain cinta ialah 'sikap' dan 'kekuatan dalaman' suami dan isteri yang terbentuk sejak sebelum bernikah.

Saya ulangi, tumbesarannya sejak sebelum bernikah!

a) Isteri yang dibesarkan oleh ibubapa sebagai anak gadis yang tidak 'dimanjakan' secara salah, terbiasa hidup sukar atau kuat peribadinya, rajin bekerja dan bersedia untuk taat dan mengikuti ibubapanya walau apa jua keadaan, akan menyambung 'sikap' tersebut apabila menjadi seorang isteri.
Dia akan ikut sahaja suaminya, hidup mati, tenggelam dan timbul bersama suami. 

b) Manakala suami yang membesar sebagai lelaki yang bertanggungjawab, dididik oleh ibubapa sebagai anak yang terbiasa menolong ibubapa, memikul tanggungjawab, berdikari atau bekerja keras akan terbiasa menjadi seorang suami yang baik apabila bernikah. 

Lelaki seperti ini akan menjadi suami penyayang, tidak menggunakan kekerasan, memahami dan boleh diharap untuk menjadi tempat pergantungan isteri. 

Kerana itu disebut dalam sebuah hadith ;

لَا حَلِيمَ إِلَّا ذُو عَثْرَةٍ وَلَا حَكِيمَ إِلَّا ذُو تَجْرِبَةٍ
'Tiada yang memiliki ketabahan atau kebaikan peribadi kecuali seseorang yang telah mengalami ujian dan tiada yang memiliki kebijaksanaan kecuali orang yang telah memiliki pengalaman.' 

[Riwayat al-Bukhari di dalam Al-Adab al-Mufrad, Al-Tirmidzi dan Ibn Hibban] 

2. Perceraian berlaku kerana banyak sebab, ada yang kerana faktor kewangan, suami dan isteri tiada persefahaman, ada yang kerana sikap tidak bertanggungjawab pasangan atau disebabkan kerana ujian dan gangguan pihak luar. 

a) Perceraian ialah takdir, namun sebelum menyalahkan takdir kebanyakan pasangan bercerai ialah kerana 'TIDAK SABAR' dan kesabaran ialah faktor dalaman bukan luaran. Tidak sabar hidup susah, tidak sabar dengan kerenah, tidak sabar dengan itu dan ini. 

Bagi yang sabar, boleh sahaja meneruskan hidup rumahtangga. Bagi yang tidak sabar maka perceraian ialah jalan keluar. 

Musuh sabar ialah marah (اَلْغَضَبُ), kerananya manusia bermusuh dan bercerai-berai. Islam menyuruh kita mengawal marah, kerana ianya nafsu dan sifat yang tidak baik. 

Diriwayatkan ada hadith menyebut ;

لاَ تَغْضَبْ وَلَكَ الْجَنَّةُ.
'Jangan kamu marah maka bagimu syurga.' 

[Riwayat al-Tabarani]

b) Keputusan dibuat ketika keadaan tidak tenang. Ramai pihak, apabila bergaduh dan berselisih suka mengambil jalan pintas, cepat dan tergopoh-gapah dalam membuat keputusan. 

Allah SWT berfirman;

وَكَانَ الْإِنْسَانُ عَجُولًا
"Dan manusia bersifat tergesa-gesa." (al-Isra:11)

Islam tidak mengajar kita terus melompat kepada perceraian dalam mencari penyelesaian kepada kedua-dua belah pihak. Cuba perhatikan dalam al-Quran, mula-mula disuruh pisahkan tempat tidur, memukul jika perlu, mencari hakim dari kedua-dua belah pihak dan barulah berpisah jika tiada jalan damai. 

Kemudian perhatikan, selepas bercerai ada tempoh eddah supaya masing-masing dapat rujuk kembali jika perselisihan sudah pulih. 

3. Cinta dan benci silih berganti dalam hidup ini, bagaikan iman yang turun naik dan setiap manusia tidak dapat menjamin kebahagiaan hidupnya sendiri. Namun kita boleh berusaha untuk bahagia dengan menguatkan faktor dalaman yang menjadi tanggungjawab kita untuk membersihkannya. 

Iaitu faktor hati. 

Ya semuanya soal hati!

Sabda Rasulullah salallahualaihiwassalam ;

ألا إن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله وإذا فسدت فسد الجسد كله, ألا وهي القلب
'Ketahuilah, sesungguhnya di dalam jasad ini ada segumpal daging, apabila ia (segumpal daging) baik, maka baiklah seluruh jasadnya, dan apabila ia (segumpal daging) buruk, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah, segumpal daging tersebut adalah hati....'

[Riwayat al-Bukhari]


No comments: