Thursday, January 15, 2015

Adab dan panduan mencegah kemungkaran

Menurut Imam Ibn Qayyim rahimahullah, mencegah kemungkaran itu mempunyai hukum yang berbeza. 

Kata beliau ;

فإنكار المنكر له أربع درجات :
الأولى : أن يزول ويخلفه ضده .
الثانية : أن يقل وإن لم يزل بجملته .
الثالثة : أن يخلفه ما هو مثله .
الرابعة : أن يخلفه ما هو شر منه .

فالدرجتان الأوليان مشروعتان والثالثة موضع اجتهاد ، والرابعة محرمة

Mengingkari kemungkaran memiliki empat peringkat ;

Pertama: Apabila kemungkaran tersebut dapat hilang dan digantikan dengan lawannya (perkara yang baik)

Kedua: Apabila kemungkaran itu berkurangan sekalipun tidak hilang seluruhnya,.

Ketiga: Apabila kemungkaran itu bertukar dengan kemungkaran yang sama sepertinya.

Keempat: Apabila kemungkaran itu kemudian berganti dengan kejahatan yang lebih dahsyat daripada asalnya.

Perbuatan mencegah kemungkaran pada peringkat pertama dan kedua itu adalah disyariatkan, adapun pada peringkat ketiga ianya termasuk hal ijtihad (memerlukan pertimbangan) dan peringkat keempat pula hukumnya ialah haram.

Kemudian beliau (Ibn Qayyim) mengatakan ;

وسمعت شيخ الإسلام ابن تيمية قدس الله روحه ونور ضريحه يقول: مررت أنا وبعض أصحابي في زمن التتار بقوم منهم يشربون الخمر، فأنكر عليهم من كان معي فأنكرت عليه، وقلت له: إنما حرم الله الخمر لأنها تصد عن ذكر الله وعن الصلاة، وهؤلاء يصدهم
 الخمر عن قتل النفوس وسبئ الذرية وأخذ الأموال فدعهم

Aku pernah mendengar Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah -semoga Allah mensucikan ruhnya dan menerangi kuburnya- yang pernah berkata: 'Aku dan bersama para sahabatku pada zaman penaklukan pasukan Tatar, pernah melalui pasukan tenteranya yang asyik meminum khamr (arak), maka rakanku pun mengingkari perbuatan mereka (tentera tatar itu). Namun aku justeru menegurnya (rakanku itu) sambil berkata : “Sesungguhnya Allah mengharamkan khamr kerana menghalangi manusia daripada mengingati Allah dan mengingati solat namun mereka (askar tatar) itu apabila meminum khamr (arak) maka mereka akan terhalang daripada membunuh nyawa, menawan anak-anak dan merompak harta orang, jadi biarkan sahaja mereka.

[ I'lam al-Muqi'in 'an Rabb al-'Aalamin, Ibn Qayyim]

# Itulah fiqh' (kefahaman) yang mendalam terhadap usul syariat, hendaklah para pendakwah dan kita semua meneladani sikap serta keilmuan para ulama silam !

Sunday, January 11, 2015

Berubat dengan surah al-Fatihah

Telah masyhur dikalangan ahli ilmu akan keharusan berubat dengan surah al-Fatihah. Bahkan sabit dari hadith Abu Said al-Khudri RA yang pernah merawat ketua sebuah puak arab Badwi di pendalaman yang terkena gigitan binatang berbisa dengan hanya membaca surah al-Fatihah. 

Lebih menarik, pengalaman berubat dengan surah al-fatihah ini diceritakan oleh Imam Ibn Qayyim rahimahullah sendiri yang mengisahkan tentang dirinya ;

لقد مر بي وقت في مكـــــة سقمت فيه ،
ولا أجد طبيباً ولا دواء فكنت أعالج نفسي بالفاتحة ،
فأرى لها تأثيراً عجيباً ،
آخذ شربة من مـــــــاء زمـــــــزم
وأقرؤها عليها مراراً ثم أشربه فوجدت بذلك البرء التام ،
ثم صرت أعتمد ذلك عند كثير من الأوجاع
فأنتفع به غاية الانتفاع ،
فكنت أصف ذلك لمن يشتكي ألماً
فكان كثير منهم يبرأ سريعاً

Aku pernah melalui satu tempoh yang cukup lama di Mekah ketika aku menderita suatu penyakit. Ketika itu aku tidak dapat menemui seorang doktor atau ubat pun yang boleh menyembuhkan sakitku. Maka akupun mengubati diriku dengan surah Al-Fatihah dan aku kemudian menyaksikan kesannya yang luar biasa.

Aku juga meminum air zam-zam yang aku bacakan surah Fatihah kepadanya berkali–kali lalu aku pun meminumnya.

Kemudian aku mendapati diriku beroleh kesembuhan yang sempurna.

Setelah itu aku pun terus berpegang kepada pengalaman itu untuk merawat pelbagai penyakit yang aku alami.

Dan aku telah mendapatkan manfaat yang cukup berfaedah.

Dan aku juga menganjurkan kepada setiap orang yang mengadu kepadaku tentang suatu penyakit untuk mengubatinya dengan Al-Fatihah. Dan sangat banyak di antara mereka yang memperolehi kesembuhan dalam waktu yang singkat.'

[Zad al-Ma'ad fi Hadyi Khair al-'Ibad, Ibn Qayyim]

Thursday, January 08, 2015

Sistem pendidikan anak yang perlu diubah

Sebagai bapa, saya berharap sistem pendidikan di negara kita dapat ditukar dan diubah-suai demi kemaslahatan ummah.

Sistem peperiksaan yang sedia ada tidak menyerlahkan potensi sebenar pelajar dan hanya berfungsi menghasilkan mesin berbanding insan yang kamil.

# Peperiksaan hari ini ibarat menyuruh kucing, monyet, ikan dan penyu supaya memanjat pokok.

-Lalu sesiapa yang dapat memanjatnya akan dianggap hero, wira dan orang yang bijaksana sedangkan ianya ternyata berat sebelah dan tidak menepati potensi sebenar setiap orang. Ikan kemahirannya di dalam air Penyu kebolehannya hidup lama kucing walau dapat memanjat namun menangkap tikus ialah potensinya

-Untunglah kera dan monyet sedang yang lain tersia-sia bakat semulajadinya.

Justeru adalah dicadangkan supaya;

1. Pendidikan untuk kanak-kanak berusia seawal 6 sehingga12 tahun adalah bermotifkan untuk mencungkil bakat semula-jadi dan mengenali potensi anak-anak.

Berteraskan polisi ;

"Setiap anak-anak adalah istimewa"

* Bukannya menghukum, mengadili atau menentukan nasib mereka sebagai pandai, bodoh, tiada harapan dengan hanya sekadar 'result' peperiksaan UPSR dan peperiksaan awal dan akhir tahun. Bahkan ada sekolah yang menganggap pelajar kurang cemerlang dalam akademik atau subjek tertentu sebagai sampah dan bebanan kerana menjejaskan status dan rekod sekolah.

Sedangkan mungkin budak itu tidak pandai dalam subjek akademik, tetapi kepandaian sebenarnya adalah pada seni dan kemahiran lain. Mungkin dia genius dalam bidang rekaan fesyen, juruukir, pelukis terbilang, sastera dan seumpamanya.

Jika dipaksa 'Shakespeare' menjadi ahli matematik, dunia tidak akan mengenal karya-karya seninya. Jika disuruh 'Albert Einstein' menjadi ahli sastera dan penyanyi akan tiadalah sumbangan fiziknya.
Namun sistem pendidikan kita telah membunuh bakat, potensi kanak-kanak yang mungkin tersimpan pelbagai kebolehan semula-jadi ciptaan Tuhan.

Sekolah Rendah sepatutnya ialah institusi mencungkil bakat, bukan penentu cerdik pandai tetapi pusat meneroka potensi anak-anak sehingga dapat membantu ibubapa membuat pilihan yang baik terhadap bidang pendidikan lanjutan yang sepatutnya diambil oleh kanak-kanak tersebut.

2. Sistem pendidikan sekolah menengah pula adalah merupakan pendidikan yang diberi dengan menurut kesesuaian bakat atau potensi yang paling menonjol yang dimiliki oleh seseorang kanak-kanak.

Jika 'Sekolah Rendah' berperanan mencungkil bakat dan meneroka potensi anak-anak, sekolah 'Menengah' pula berperanan menjadi pusat asuhan bakat dan membina kemahiran hidup yang lain serta melengkapkan anak-anak dengan kebolehan-kebolehan sampingan yang membantunya menonjolkan bakat sebenarnya atau potensinya yang paling utama.

Polisi sekolah menengah sepatutnya ialah ;

Perkembangkan bakat dan potensi anak-anak ke tahap maksimum

Contohnya, jika bakat anak-anak ialah pada Matematik, maka di sekolah Menengah, disamping memperkembangkan bakat dan potensi anak-anak itu dalam bidang matematik maka kita juga turut memberi mereka kemahiran-kemahiran lain yang dapat meng'optimum'kan potensinya. Pasangan yang sesuai bagi matematik mungkin ialah bidang bahasa, supaya dia boleh berkomunikasi dengan baik untuk mengembangkan kepakarannya dalam matematik atau kepandaian IT dan komputer.

3. Seterusnya ialah pusat pengajian tinggi seperti universiti dan kolej-kolej yang berperanan melengkapkan anak-anak atau pelajar dengan keperluan dunia pekerjaan dan memberikan persediaan kepada mereka untuk menghadapi cabaran dalam bidang yang akan diceburi.

Jika anak tersebut sejak kecil di sekolah rendah telah dikenal pasti akan bakatnya adalah dalam bidang lukisan misalnya. Kemudian di sekolah menengah dia diasuh dan dikembangkan kemahiran serta bakatnya disamping melengkapkan dirinya dengan kemahiran-kemahiran lain yang membantu menonjolkan bakat melukisnya ke tahap maksimum.

Kini di universiti, dia akan mempelajari keperluan dunia semasa dan cabaran-cabaran yang perlu ditempuhinya untuk menjadi seorang pelukis yang terkemuka di dunia.

Dengan itu, sistem pendidikan yang dilaksanakan akan dapat menghasilkan tenaga sumber insan yang optimum dan bermanfaat kepada ummah. Setiap pelajar adalah berguna, memiliki peranan dan tujuan masing-masing serta bukannya 'drop out' atau 'gagal' seperti penilaian masyarakat hari ini.

Hari ini jika anak-anak gagal UPSR, dianggap pelajar lemah dan tidak bijak. Gagal PMR atau PT 3 dianggap kurang berkemampuan dan tidak cerdik. Gagal SPM atau mendapat keputusan yang tidak memberangsangkan maka akan dianggap tidak layak masuk universiti dan menjadi orang yang berjaya.

Anak-anak ini pun menjadi 'mat rempit', penagih dadah sedangkan bakat-bakat mereka sebenarnya mungkin ada yang berkebolehan menjadi pelukis terkenal dunia, petani yang berjaya, peniaga yang kaya-raya, pereka atau juru tukang yang mahir dan terkenal serta pelbagai lagi.

Hanya kerana mereka bukan monyet yang boleh memanjat pokok, masyarakat pun menghukum mereka sebagai gagal dengan sistem pendidikan yang ada sekarang!

--------------------
Anak-anak semuanya adalah istimewa, jangan bazirkan sumber manusia dengan menjadikan mereka 'monyet' sedangkan mereka itu sebenarnya mungkin adalah ikan yang hebat di lautan dalam, burung yang terbang tinggi di angkasa raya dan harimau yang gagah di dalam hutan belantara !

TUKAR !