Tuesday, September 23, 2014

Buah hati bernikah dengan orang lain

Ada orang bertanya,

Salam ustaz, buat hati saya telah menjadi isteri orang. Sedangkan itulah gadis yang paling saya harapkan untuk menjadi isteri saya.

Saya amat mencintainya.

Sekarang saya merasa sangat kecewa dan buntu, kerana hati saya sudah tawar pada orang lain dan hilang semangat hidup.

Aljawab,

1. Bersegeralah mengambil wudhuk dan menunaikan solat kepada Allah. Hadapkan diri kepada Tuhan untuk memohon kesabaran dan kekuatan daripada solat.

Allah SWT berfirman;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اسْتَعِينُواْ بِالصَّبْرِ وَالصَّلاَةِ إِنَّ اللّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

“Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar.” [Al-Baqarah: 153]

2. Syaitan akan berusaha menjadikan kita lemah dan syirik kepada Allah. Menganggap hidup sudah tiada erti kerana yang dicintai sudah menjadi milik insan lain.

Lalu hidup kita, dunia dan akhirat pun menjadi musnah. Jangan begitu!

Ketahuilah bahawa wanita dan gadis itu bukannya hanya ada satu. Ada berjuta dan berbagai-bagai yang lebih indah dan lebih cantik, lebih baik dan lebih solehah.

Bukankah Allah itu Maha Kuasa? Dia mampu menjadikan insan yang lebih lawa, lebih mempesona dan lebih membahagiakan kita daripada yang sudah dikahwini oleh orang lain itu.

Bacalah;

إنا لله وإنا إليه راجعون، اللهم أجرني في مصيبتي وأخلف لي خيرا منها

' Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali, Ya Allah, berilah pahala kepadaku atas musibah yang menimpa diriku dan gantikanlah untukku dengan sesuatu yang lebih baik daripadanya.'

Kerana disebut dalam hadith yang sahih barangsiapa yang membacanya selepas ditimpa sesuatu musibah maka Allah akan memberikannya pahala atas musibah yang menimpanya dan mengantikannya dengan sesuatu yang lebih baik. [Lihat hadith dalam riwayat Muslim]

3. Kita patut bersyukur dan bersangka baik kepada Allah kerana tidak diberi apa yang kita minta.

Boleh jadi pada gadis yang kita sangka baik itu, solehah itu, yang lawa dan cantik jelita itu tersimpan pelbagai keburukan dan kejahatan.

Siapa tahu dia ada kurap dan panau dalam baju? Siapa sangka dia ada penyakit dalam jiwa dan suka ketawa ditengah malam? Kita hanya pernah melihat dari luaran sedang Allah sahaja yang mengetahui segala yang tertutup dan tersembunyi.

4. Hati kita ini lemah, mudah tergoda dengan sedikit keindahan dunia sehingga kita lupa akan keindahan dan keabadian akhirat.

Mintalah kepada Allah, diperkukuhkan hati dan diteguhkan Iman. Hanya dengan Iman dan taqwa sahaja yang akan menyelamatkan kita dari kebinasaan dan kehancuran.

5. Kita semua manusia, ada hati dan perasaan. Tidak mengapa sesekali kecewa dan derita. Jadikanlah ia sebagai pengalaman bermakna dalam hidup dan belajarlah daripadanya agar kita lebih memahami kehidupan.

Jangan merosakkan diri dengan rokok, melayan blues dan mendengar lagu yang melayan perasaan. Tetapi isikan waktu dengan perkara yang bermakna dan memberi kekuatan kepada jiwa seperti membaca alquran, buku, menuntut ilmu dan mencari pengalaman.

Akhir kata dari saya,

Selamat menempuh ujian dalam sekolah kehidupan!

1 comment:

shahrizanadhamiri said...

salam, nk tanya tentang point 3 ..
kenapa kalau ada kurap / panau ? adakah ia menunjukkan yg gadis itu bukan seorang yg baik ?