Setiap kebaikan yang ingin kita lakukan adalah terbina dengan meninggalkan keburukan. Dengan berzikir mengingati Allah bermaksud kita akan meninggalkan kelalaian dan kealpaan. Dengan bertauhid bermaksud kita akan meninggalkan syirik dan kekufuran. Dengan mendirikan solat bermaksud kita akan meninggalkan perbuatan keji dan mungkar, dengan berpuasa bermaksud kita akan meninggalkan hawa nafsu dan syahwat.
Maka istighfar dan taubat juga terbina di atas meninggalkan maksiat dan kemungkaran. Justeru apabila seseorang itu bermaksud hendak mendirikan al-sunnah, mengajak kepada mengikuti al-kitab dan al-sunnah maka ianya tidak akan tertegak tanpa seruan untuk mengajak meninggalkan bid'ah dan kebathilan yang bercanggah dengan al-haq dan jalan menuju Allah.
Islam tanpa al-baraa'ah atau pemisahan daripada kebathilan ialah Islam yang palsu atau seruan yang keliru.
Sedang Allah SWT telah berfiman;
فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى
“Barangsiapa yang kufur terhadap thaghut dan beriman kepada Allah, maka dia itu telah berpegang teguh kepada simpulan tali yang sangat kukuh.” (Al Baqarah: 256)
Begitu juga Nabi Ibrahim AS telah meninggalkan teladan dengan menyebut;
وَأَعْتَزِلُكُمْ وَمَا تَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ
“Dan aku tinggalkan kamu dan apa yang kamu seru selain Allah” (Maryam: 48)
Inilah Iman yang diajarkan oleh Allah dan Rasul-Nya melalui seruan supaya mencintai dan membenci kerana Allah (الحب و البغض في الله).
No comments:
Post a Comment