Sunday, January 26, 2014

Siapa yang ingin masuk ke syurga ?



Ada seorang Ustaz sedang berceramah kepada sekumpulan pelajarnya.

Saat tengah berceramah, tiba-tiba sang Ustaz pun bertanya kepada murid-muridnya, siapakah di antara kamu semua yang ingin masuk ke syurga ?

Semua murid pun menjawab : Sayaaa....kuat dan bersemangat jawapannya.

Kemudian sang Ustaz bertanya lagi : Siapakah di antara kamu semua yang mencintai Allah ?

Semua muridnya itu pun menjawab lagi : Sayaaa...Lebih kuat dan lebih bersemangat dari tadi.

Lalu kemudian sang Ustaz pun berkata sebagai reaksi kepada jawapan mereka : Jadi siapakah di antara kamu semua yang ingin mati pada hari ini ?

Langsung diam dan senyap bilik kuliah tersebut....Tiada lagi orang yang menjawab mengatakan saya atau sebagainya....

Ya, kematian itu sangat dibenci tetapi bukankah jika kita benar-benar sangat mencintai Allah maka kita akan berasa rindu dan ingin segera bertemu dengan-Nya ?

Bukankah jika kita tidak mati maka kita tidak akan dapat pergi ke syurga ?

Semua diam, tidak menjawab kerana tidak ada sesiapa yang bersedia atau mahu mati sedang nikmat dunia masih terasa sedap dalam hatinya....

Daripada Ibu orang yang beriman Aisyah RA, bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda;

مَنْ أَحَبَّ لِقَاءَ اللهِ أَحَبَّ لِقَائَهُ، وَمَنْ كَرِهَ لِقَاءَ اللهِ كَرِهَ اللهُ لِقَائَهُ، فَقُلْتُ: يَانَبِيَ الله! أَكَرَهِيَةُ المَوْتِ، فَكُلُّنَا: نَكْرَهُ المَوْتَ؟ فَقَالَ: لَيْسَ كَذَلِكَ، وَلَكِنِ المُؤْمِنُ إِذَا بُشِّرَ بِرَحْمَةِ اللهِ وَرِضِوَانِهِ وَجَنَّتِهِ أَحَبَّ لِقَاءَ اللهِ، وَإِنَّ كَافِرَ إِذَا بُشِّرَ بِعَذَابِ اللهِ وَسُخْطِهِ كَرِهَ لِقَاءَ اللهِ وَكَرِهَ اللهُ لِقَائَهُ

"Barangsiapa yang suka untuk bertemu dengan Allah, maka Allah pun suka untuk bertemu dengannya. Dan barangsiapa yang tidak suka untuk bertemu dengan Allah, maka Allah pun benci untuk bertemu dengannya.” ‘Aisyah pun bertanya,”Wahai Nabi Allah! Apakah (yang dimaksud) adalah benci kematian? Bukankah kita semua tidak menyukai kematian?” Baginda pun menjawab,: ”Bukan seperti itu. akan tetapi, seorang mukmin, apabila diberi khabar gembira tentang rahmat dan redha Allah serta janji Syurga-Nya, maka dia pun akan suka untuk bertemu dengan Allah. Sementara, orang kafir, apabila diberi khabar tentang azab Allah dan kemurkaan-Nya, maka dia pun akan merasa benci untuk bertemu Allah, dan Allah pun akan benci untuk bertemu dengannya.” [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Saturday, January 18, 2014

Punca kita ditimpa fitnah dan berpecah

Imam Ibn Taimiyyah rahimahullah menyebutkan jawapannya dengan berkata;

فإذا ترك الناس الجهاد في سبيل الله فقد يبتليهم بأن يوقع بينهم العداوة حتى تقع
بينهم الفتنة كما هو الواقع ، فإن الناس إذا اشتغلوا بالجهاد في سبيل الله ؛
جمع الله قلوبهم وألف بينهم

'Apabila manusia meninggalkan jihad di jalan Allah, maka Allah pun akan menimpakan bala kepada mereka dengan terjadinya permusuhan di antara mereka sehingga berlakunya fitnah sesama mereka seperti yang terjadi pada keadaan sekarang.

Sesungguhnya jika manusia sibuk berjihad di jalan Allah nescaya Allah akan menyatukan hati-hati mereka dan menjadikan mereka saling berlemah-lembut antara satu sama lain.'

[Majmuk al-Fatawa, Ibn Taimiyyah]

Saturday, January 11, 2014

Kehidupan ini ialah peluang dari Allah


Ramai orang tidak menyedari bahawa hidup ini ialah peluang daripada Allah SWT kepada mereka untuk beramal, menikmati rezeki dan rahmat-Nya.

Begitu indah dunia namun mereka hanya memandang tempat yang buruk, begitu banyak nikmat Allah yang diberi namun mereka hanya melihat pada ujian yang sedikit. Begitu ramai orang yang mengasihi mereka namun mereka hanya melihat kepada sedikit yang membenci, betapa banyak kebaikan yang dilakukan oleh orang lain namun mereka hanya melihat pada keburukannya.

Mereka hidup tetapi jiwa mereka sebenarnya mati, mereka melihat tetapi sebenarnya mata mereka buta, mereka mendengar tetapi sebenarnya pendengaran mereka pekak.

Mereka disesatkan oleh perasaan dan emosi mereka yang dikemudi oleh syaitan agar menyemarakkan benci bukan sayang, agar mencela bukan menasihati, agar marah bukan sabar, agar mencari salah orang bukan menutupi aibnya.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda;
إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا أَخْطَأَ خَطِيئَةً نُكِتَتْ فِى قَلْبِهِ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ فَإِذَا هُوَ نَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ وَتَابَ سُقِلَ قَلْبُهُ وَإِنْ عَادَ زِيدَ فِيهَا حَتَّى تَعْلُوَ قَلْبَهُ
'Seorang hamba apabila melakukan kesalahan atau dosa maka dititikkan di dalam hatinya akan satu titik hitam, apabila dia beristighfar dan bertaubat maka ditanggalkan titik hitam itu dari hatinya. Namun apabila dia mengulanginya semula maka dikembalikan titik hitam itu sehingga ia memenuhi hatinya.' [Riwayat al-Tirmidzi]

Kasihan, mereka menderita dalam diam, mereka sakit dalam sihat kerana yang parah bukan jasad tetapi hati mereka yang bernanah dan berulat. Sungguh jika tidak dirawat akan binasalah dunia dan akhirat!

Allah berfirman;

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُمْ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ

“Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Yunus: 57)

Ya, ubat penyakit dalam dada itu ialah al-Quran dan alsunnah, jika dia membacanya, memahaminya dan beramal dengannya. Berzikir mengingati Allah dan beristighfar diatas segala dosa, sambil berpuasa dan menambah ilmu agama.

Barulah dia akan merasai erti betapa indahnya kehidupan ini!

Sunday, January 05, 2014

Panduan keluar rumah menurut sunnah


Disebut di dalam hadith bahawa baginda salallahualaihiwassalam bersabda ;

إِذَا خَرَجَ الرَّجُلُ مِنْ بَيْتِهِ فَقَالَ: “بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ، لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ” قَالَ: « يُقَالُ حِينَئِذٍ: هُدِيتَ وَكُفِيتَ وَوُقِيتَ. فَتَتَنَحَّى لَهُ الشَّيَاطِينُ، فَيَقُولُ لَهُ شَيْطَانٌ آخَرُ: كَيْفَ لَكَ بِرَجُلٍ قَدْ هُدِىَ وَكُفِىَ وَوُقِىَ

"Barangsiapa yang ketika keluar rumah membaca (zikir):

Bismillahi tawakkaltu ‘alallahi, walaa haula wala quwwata illa billah (Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada-Nya, dan tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan-Nya), maka malaikat akan berkata kepadanya: “(sungguh) kamu telah diberi petunjuk (oleh Allah Ta’ala), dicukupkan (dalam segala keperluanmu) dan dijaga (dari semua keburukan)”, sehingga syaitan pun tidak dapat mendekatinya, dan syaitan pun berkata kepada temannya yang lain: Bagaimana (mungkin) kamu dapat (mencelakakan) seseorang yang telah diberi petunjuk, dicukupkan dan dijaga (oleh Allah Ta’ala)?”

[Riwayat Abu Daud dan al-Tirmidzi]

Doa yang tidak tertolak


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA ;

ثلاث دعوات مستجابات لا شك فيهن: دعوة المظلوم، ودعوة المسافر، ودعوة الوالد على ولده

'Tiga golongan yang doa mereka mustajab tanpa syak padanya iaitu doa mereka yang dizalimi, doa orang yang bermusafir dan doa ibubapa kepada anaknya.' [riwayat Ahmad, Abu Daud dan Al-Tirmidzi]

1. Doa orang yang dizalimi, tidak ada hijab antara mereka dengan Allah, cumanya si zalim merasa aman kerana kadang2 Allah menangguhkan hukuman dan balasan untuk menambah azab dan membalas pada waktu yang paling menyakitkan.

2. Doa orang yang bermusafir, dengan syarat dia meninggalkan perkara yang haram, makanan yang haram dan perkara yang berkait dengan segala larangan Allah.

3. Doa ibubapa yang beriman kepada Allah sentiasa makbul, doa mereka kepada anak-anak pasti akan diterima dan ditunaikan oleh Allah SWT selama ibubapa menjaga hak-hak Allah.

Seseorang bertanya kepada Saad bin Abi Waqqas RA, bagaimana dia boleh menjadi seorang yang makbul doanya di antara para sahabat Rasulullah salallahualaihiwassalam ?

Lalu dijawab oleh Saad RA dengan mengatakan ;
ما رفعت إلى فمي لقمة إلا وأنا عالم من أين مجيئها
'Tidaklah Aku mengangkat sesuatu untuk disuap ke dalam mulutku kecuali aku mengetahui daripada mana ia datang (sumbernya dari hasil yang halal).' [Jami al-Ulum Wal Hikam] 
Gunakanlah doa sebagai senjata !