Saturday, November 16, 2013

Penyelewengan dalam dakwah (siri 1)

Dakwah ialah seruan mengajak manusia kepada Allah SWT. Ianya adalah ibadah dan mempunyai rukun dan syarat pelaksanaannya seperti ibadah yang lain macam jihad, zakat dan sebagainya. Tanpa mematuhi syarat dan rukun dalam dakwah maka akan berlaku penyimpangan dan mudharat kepada dakwah dan memberi kesan buruk kepada ummah.

Contoh penyelewengan dalam jalan dakwah ialah seperti berikut ;

1. Dakwah tidak menyeru kepada asas dan usul al-deen, tetapi kepada perkara seperti tahsiniyat dan furu'iyah dalam agama. Akibatnya orang ramai jahil tentang aqidah, tentang syirik tetapi sibuk hendak berpurdah, berjubah dan berdebat soal wajib atau tidak pakai 'stokin' kaki, hukum muzik dll.

2. Dakwah yang disampaikan tidak teguh di atas prinsip al-sunnah dan bercampur-aduk dengan perkara syubhat. Hal ini berlaku apabila demi mahu menarik orang ramai, maka pendakwah sanggup menggunakan saluran hiburan, lagu, cerita palsu, perempuan cantik, lelaki kacak untuk menyampaikan mesej agama.

Kata Abdullah bin Umar RA,
كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَ إِنْ رَآهَا النَّاسُ حَسَنَةً
'Setiap bid’ah adalah kesesatan walaupun manusia memandangnya sebagai kebaikan.' [Syarh Usul Iktiqad, Al-La'lika'ie]

Walaupun mesej sampai, namun ianya tidak mencapai keredhaan Allah kerana menyalahi al-sunnah. Matlamat dakwah bukanlah untuk semata-mata menyampaikan mesej kerana jika demikian orang kafir pun boleh menjadi pendakwah tetapi tujuannya ialah menyampaikan mesej dengan betul maka sebab itu Islam dibawa oleh rasul yang mulia, sahabat yang adil dan ulama' yang siqah memikul riwayat2 yang sahih, dhabit, dan dipercayai.

Akibatnya umat Islam menerima Islam yang bercampur aduk, tajuk taqwa tetapi penceramahnya ustazah/pendakwah/selebriti yang jelita. Tajuk tentang cinta nabi tetapi diselangi lagu dan muzik yang membuatkan badan ingin menari.

3. Pendakwah tidak berdisiplin dan sambil lewa dalam perkara yang melibatkan kebenaran, fakta, keadilan dan amanah serta hukum halal dan haram kerana menganggap apa yang penting ialah mesej dakwah dan berjaya menarik orang ramai kepada seruan dakwah.

Allah Ta’ala berfirman:
فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَن تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
“Hendaklah berwaspada orang-orang yang menyelisihi perintahnya (perintah Allah dan rasul) untuk merasa bimbang bahawa mereka akan ditimpa oleh fitnah atau azab yang pedih." [An-Nur: 63]

Maka hasilnya berlaku percampuran lelaki dan perempuan, suburnya cinta sebelum nikah dikalangan pendakwah muda dan orang dakwah, salah ambil ikutan dengan mengambil tokoh idola seperti Rabiatul Adawiyah yang ceritanya tidak dapat dipastikan kesahihan, cerita2 wali, percaya kepada sejarah palsu, penyelewengan duit amanah orang ramai dan tabung Memali atau khianat harta anak yatim, pendakwah bercinta dengan isteri orang lain, dakwah menghasilkan generasi yang tidak peduli soal adab dan akhlak yang penting ialah niat mereka baik.

4. Terpedaya oleh jumlah dan peserta yang menghadiri program dan majlis-majlis penyampaian dakwah yang diadakan. Sesungguhnya yang hadir dalam perjanjian baiah al-aqobah yang pertama tidak ramai tetapi hasilnya membawa kepada kejayaan dakwah di Madinah. Sedang jumlah pasukan tentera Islam ketika perang Hunain ramai tetapi ianya membawa musibah dan penyesalan.

إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنْكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُمْ مُدْبِرِينَ
"Diwaktu kamu menjadi bongkak kerana banyaknya jumlah (mu), maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikitpun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari kebelakang dengan bercerai-berai. " [at-Taubah: 25]

Bersambung...

No comments: