Thursday, September 26, 2013

Apabila kita memandang kebesaran Allah, makhluk akan kelihatan kecil



Imam Izzuddin Abd Salam Rahimahullah pernah menziarahi Sultan Mesir sewaktu sambutan hari raya dan mendapati sang pemerintah tersebut dikelilingi oleh ramai askar yang berbaris hormat dengan pembesar yang memuliakannya. Apabila melihat perbuatan sultan yang menzahirkan kemegahan dengan kekuasaannya itu maka sang Imam pun merasa dia perlu menegur dan mengurangkan bongkak serta kesombongan sultan tersebut.

Lalu Imam Izzudin Abd Salam pun memanggil Sultan dengan hanya namanya sambil berkata ;

يا أيوب ما حجتك عند الله إذا قال لك: ألم أبوئ لك ملك مصر، ثم تبيح الخمور؟

'Wahai Ayyub, apakah hujah engkau dihadapan Allah apabila Dia akan bertanya engkau bukankah Aku telah memberikan engkau kekuasaan di Mesir namun engkau kemudian membenarkan arak ?

Sultan berkata :

هل جرى هذا

Adakah hal ini berlaku ?

Jawab Izzuddin Abd Salam ;

نعم الحانة الفلانية تباع فيها الخمور وغيرها من المنكرات وأنت تتقلب في نعمة هذه المملكة

Bahkan arak dijual di sekian-sekian tempat (sambil menyebut perbuatan mungkar yang berlaku) sementara engkau disini sibuk dengan kemewahan negara.

Sultan menjawab ;

أنا ما علمته، هذا من زمان
'Aku tidak melakukannya, ini semua dah berlaku sejak zaman dulu lagi.'

Balas Izzudin Abd Salam :

أأنت من الذين يقولون إنا وجدنا آباءنا على أمة
'Adakah engkau mahu tergolong dalam golongan yang mengatakan sesungguhnya kami mendapati hal ini pada bapa-bapa kami pada suatu agama ? (yakni sekadar mengikut ajaran nenek moyang terdahulu seperti alasan yang diperbuat oleh orang kafir musyrik apabila diajak kepada tauhid) - Seperti firman Allah dalam Az-Zukhruf :22.

فأصدر السلطان قراراً بإبطال تلك الحانة

Maka sultan pun kemudian mengarahkan supaya ditutup semua pusat-pusat maksiat tersebut.

Kemudian murid Izzudin Abd Salam pun bertanya kepada sang imam tidakkah engkau memiliki rasa takut dan gerun terhadap sultan ? (dengan segala kuasa, askar yang ramai dan pengikutnya)

Maka jawab Imam Izzuddin Abd Salam ;

والله يا بني استحضرت هيبة الله تعالى، فصار السلطان قدامي كالقط

'Demi Allah, wahai anakku, apabila aku merasai kebesaran Allah di dalam hatiku maka aku memandang sultan itu seperti anak kucing di kakiku !

[Tabaqat al-Shafi`iyyat al-Kubra, Al-Subki]

Monday, September 16, 2013

Pengaruh dan peranan seorang isteri terhadap keperibadian suami

Kita selalu mendengar bahawa dibelakang setiap lelaki yang hebat pasti akan ada wanita. Hakikatnya kenyataan ini sungguh benar dan memberi pengaruh yang besar terhadap kehidupan dan agama seseorang.

Imam Hasan al-Basri RA berkata,

وقفت على بزاز بمكة أشتري منه ثوباً، فجعل يمدح ويحلف، فتركته وقلت: لا ينبغي الشراء من مثله، واشتريت من غيره، ثم حججت بعد ذلك بسنتين، فوقفت عليه، فلم أسمعه يمدح ولا يحلف، فقلت له: ألست الرجل الذي وقفت عليه منذ سنوات؟ قال: نعم، قلت له: وأي شيء أخرجك إلى ما أرى؟ ما أراك تمدح ولا تحلف!

"Aku singgah pada bazar di Mekah dan aku ingin membeli pakaian disitu. Maka seorang peniaga kain di Mekkah yang ada disitu mulai memuji-muji barangnya dan bersumpah (akan kebaikan barangnya), lalu akupun meninggalkannya dan aku berkata tidak patut aku membeli dari orang seperti itu lalu aku pun membeli pakaian dari penjual yang lain. Kemudian aku menunaikan haji sekali lagi selepas dua tahun dan singgah lagi pada peniaga tersebut.

Kali ini aku aku tidak lagi mendengarnya memuji-muji barangnya dan tidak pula bersumpah-sumpah akan kelebihan barangannya.

Maka aku pun bertanya kepadanya: “Bukankah engkau dulu orang yang pernah aku jumpa beberapa tahun yang lalu?”,

Dia menjawab : “Ya benar”,

Aku bertanya lagi: “Apakah yang membuatkan kamu berubah seperti sekarang? Aku tidak lagi melihat kamu memuji-muji barang dan bersumpah.”

فقال: كانت لي امرأة إن جئتها بقليل نزرته، وإن جئتها بكثير قللته، فنظر الله إليّ فأماتها، فتزوجت امرأة بعدها، فإذا أردت الغدو إلى السوق أخذت بمجامع ثيابي ثم قالت: “يا فلان اتق الله ولا تطعمنا إلا طيباً، إن جئتنا بقليل كثرناه، وإن لم تأتنا بشيء أعناك بمغزلنا

"Maka dia pun berkata: “Dulu aku mempunyai isteri yang jika aku datang kepadanya dengan sedikit hasil rezeki, maka dia akan menghinanya dan jika aku datang kepadanya dengan membawa hasil rezeki yang banyak maka dia akan menganggapnya sedikit (mengatakan tak cukup lagi).

Kemudian Allah mematikan isteriku dan aku pun menikah lagi dengan seorang wanita selepasnya. Apabila aku hendak ke pasar maka dia memegang bajuku lalu berkata: “Wahai suamiku, bertaqwalah kepada Allah, jangan engkau beri aku makan melainkan dengan hasil yang baik (halal), jika engkau datang kepadaku dengan sedikit rezeki, maka aku akan menganggapnya banyak. Dan jika engkau tidak dapat apa-apa sekalipun maka aku akan membantumu memintal (kain)."

[Rujukan Kitab al-Mujaalasah wa Jawaahirul ‘Ilm]

Friday, September 13, 2013

Tiap bid'ah yang muncul akan mematikan sunnah

Dinaqalkan daripada Imam Al-Auzaie yang meriwayatkan daripada salah seorang tabien yang berkata ;

ما ابتدع قوم بدعة في دينهم إلا نزع الله من سنتهم مثلها ثم لا يعيدها عليهم إلى يوم القيامة

'Tidaklah suatu kaum melakukan bid'ah di dalam agama mereka kecuali Allah akan mencabut sunnah yang seumpamanya lalu tidak akan mengembalikannya lagi kepada mereka sehinggalah hari kiamat.'

[Riwayat Ad-Darimi]

Contohnya, apabila selesai membaca al-Quran, umum orang ramai kerap mengucapkan kata-kata seperti 'sadaqallahul 'Azim ' sedangkan ia bukanlah sunnah dan tidak dilakukan oleh baginda Nabi Salallahualaihiwassalam.

Manakala yang sunnah dan sepatutnya dibaca oleh kita setelah selesai membaca al-Quran ialah bacaan ;

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ،لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ
'Maha suci Engkau ya Allah dengan memuji-Mu. Tiada yang berhak disembah melainkan Engkau. Aku memohon ampun dan bertaubat kepada-Mu.' [Berdasarkan hadith Aisyah RA yang diriwayatkan oleh Al-Nasaie dan Al-Tabarani]

Imam al-Nasaie memberikan tajuk pada hadith ini dengan menyebut 'ما تُختم به تلاوة القرآن' Apa yang dengannya ditutup bacaan al-Quran.'

Namun kita meninggalkannya untuk sesuatu yang tidak ada dalil dan berdasarkan ikut-ikutan semata-mata. Begitulah dalam hal yang lain daripada agama ini apabila kita melakukan sesuatu penambahan maka ianya akan mengurangkan keberkatan dan menghilangkan kemuliaan Islam yang asal !

Sunnah salaf ialah menjauhi kemasyhuran

Diriwayatkan oleh Aasim bahawa jika ada lebih daripada empat orang datang mengelilingi Imam Abul Aaliyah maka beliau akan bangun dan beredar. Ketakutan para salaf terdahulu dari kemasyhuran ialah kerana mereka mengerti bahawa pujian, kekaguman dan kemasyhuran akan membinasakan keikhlasan dan amalan mereka disisi Allah SWT.

Berkata Imam Abdullah bin Mubarak,

قال لي سفيان: إياك والشهرةَ؛ فما أتيتُ أحدًا إلا وقد نهاني عن الشهرة

‘Sufyan telah berkata kepadaku, ‘Jauhilah kamu daripada menyukai kemasyhuran kerana tidaklah aku mendatangi seseorang (dari kalangan salaf) kecuali mereka berpesan dengan melarang aku daripada kemasyhuran.’

Tanpa ikhlas maka setiap amalan yang dilakukan adalah sia-sia seperti firman-Nya:

وَقَدِمْنَا إِلَى مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَنْثُورًا

"Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan." [al-Furqan: 23]

Monday, September 02, 2013

Masalah kaum muslimah dan pendakwahnya

Kaum muslimah pada generasi hari ini yang disebut sebagai generasi X-Y-Z, generasi FB dan internet yang banyak mengalami masalah dalam 'komitmen' hidup seperti perkahwinan, keibuan dan rumahtangga. Hal ini boleh diketahui melalui laporan yang datang dari pelbagai sumber yang menyebut tentang sikap mereka yang manja, cepat lemah semangat, mudah panik, tidak berani keluar dari zon selesa dan kuat pergantungan kepada orang lain atau tidak pandai berdikari.

Mereka juga terkenal sebagai golongan yang cepat putus asa, mudah berubah fikiran dan kurang adab atau kurang budi-bicara dan lemah kemahiran komunikasi dengan pihak yang lebih tua, berbeza dengan mereka (baik pendapat, idea atau situasi) atau lawan jantina. Golongan ini juga didapati mudah dan cepat atau dalam bahasa lain gopoh membuat kesimpulan, keputusan dan rumusan tentang sesuatu dalam hidup sehingga menyebabkan mereka mengalami banyak masalah semasa.

Malangnya, dalam keadaan begitu kaum muslimah hari ini, mereka tidak mendapat ubat dan rawatan yang betul dari pendakwah-pendakwah semasa.

1. Meletakkan batu asas atau dasar yang betul dalam program atau dakwah

Perubahan kaum muslimah di tanahair pada hari ini dari negatif atau kurang beragama -----> kepada kehidupan beragama tidak bermula atau tertegak di atas asas yang betul dan hal ini kurang diambil berat oleh para pendakwah dan pihak organisasi dakwah.

= Sebab seseorang itu mendapat hidayah boleh jadi apa sahaja. Seketul najis pun boleh menjadi sebab hidayah. Itu tiada masalah tetapi meletakkan asas dan dasar dalam dakwah untuk membawa perubahan kepada manusia itu kena melalui asas yang betul.
= Perubahan diri dan jalan mendekati agama mesti atas asas yang benar dan sahih seperti yang diseru oleh hadith Nabi Salallahualaihiwassalam,

لاَ تُقْبَلُ صَلاَةٌ بِغَيْرِ طُهُورٍ وَلاَ صَدَقَةٌ مِنْ غُلُوْلٍ
Tidak akan diterima solat tanpa bersuci dan tidak akan diterima sedekah dari (hasil) ghulul (khianat). [Riwayat Muslim] Wudhuk dan niat ialah asas bagi solat dan harta yang baik ialah asas kepada penerimaan sedekah.

Kaum muslimah yang comel, gedik dan suka tayang muka buat tutorial pakai hijab di yotube pun kalau nak pakai tudung kena bermula dengan asas yang betul iaitu demi ketaatan kepada Allah, demi patuh perintah, demi syarak agar tak dibakar api neraka kerana percaya akhirat.

Kalau pakai tudung sebab ia nampak lawa, comel macam Wardina, Diana Amir, Heliza maka tiada pahala dari Allah, bahkan akibatnya merosakkan.

Contohnya : (Baca dengan minda 'High class')

- Memakai 'tudung' atau menutup 'aurat' kerana tertarik pada arus untuk kelihatan cantik dan terpengaruh dengan artis comel yang 'berhijrah'.

- Dakwah kepada kaum muslimah dipromosikan dengan gaya 'gedik' seperti latar belakang warna 'pink', manja dan penuh kejiwangan. Novel-novel Islamik-cintan, penceramah yang belum pernah basuh berak anak dan buat susu ditengah malam, flash-mob yang konon mesej Islamik dan seumpamanya.

- Dakwah seharusnya bermula dengan asas yang betul untuk melahirkan kesedaran dan peluang agar manusia dapat dekat dengan hidayah Allah melalui al-Quran dan as-sunnah. Perhatikan ucapan Nabi Salalallahualaihiwassalam terhadap seorang anak muda yang masih kecil bernama Ibn Abbas RA dengan sabdanya ;
يَا غُلَامُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ
Wahai, anak kecil! Sesunguhnya aku akan mengajarkan kepadamu beberapa kalimat; jagalah Allah, nescaya Allah akan menjagamu; jagalah Allah, nescaya engkau akan mendapatkan Dia selalu di hadapanmu; apabila engkau minta, mintalah kepada Allah dan apabila engkau minta pertolongan, mintalah pertolongan kepada-Nya. [Riwayat al-Tirmidzi].

Ramai kaum muda, pendakwah yang berfikiran singkat dan bersikap "Machiavellian" (matlamat menghalalkan cara) akan berkata : 'Apa salahnya, yang penting mesej atau info sampai, atau mereka akan kata, biarlah asalkan mereka (perempuan) berubah ke arah lebih baik.'

Aljawab,

Kata Ibn Mas'ud RA, Sesungguhnya Rasululluh salallahualaihiwassalam telah memberitakan kepada kami:

أَنَّ قَوْمًا يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ لاَ يُجَاوِزُ تَرَاقِيَهُمْ

“Bahawa ada sekelompok orang, mereka membaca al-Qur'an, namun al-Qur’an itu tidak melewati kerongkong mereka.' [Riwayat Ahmad dan al-Tirmidzi]

Anak gadis yang gedik dan mempunyai pelbagai penyakit sosial ini apabila tidak dirawat dengan 'prosedur' yang betul kemudian para pendakwah pula buat program Islamik ala-ala gedik seperti seminar atau konvensyen muslimah yang gedik dan sebagainya untuk tarik minat anak gadis ini maka mereka (gadis) seterusnya akan 'terus set' di minda mereka tentang Islam dengan versi yang salah.

Anda mungkin berkata, kami hanya buat program adapun ilmu dan pengisian lain maka itu tanggungjawab muslimah tersebut untuk cari sendiri. Anda pun tahu bahawa antara masalah utama generasi muda hari ini ialah 'SPOON-FEEDING' dan mahu semuanya disuap ke mulut mereka. Lalu anak gadis ini akan dewasa, kahwin dan kemudian jadi pendakwah macam anda pula dan meneruskan ' vicious circle' (putar balik yang tak kemana) ini.

Anda mungkin akan petik ayat saya, 'Tak penting bagaimana kita bermula tetapi yang penting ialah bagaimana kita akan berakhir.'

Benar, bermula kenal Islam di program gedik santai...belajar agama dengan ustazah yang anti-poligami dan penulis novel cinta, ikut usrah dan program Islamik syok sendiri dan hasilnya berakhir sebagai syuhadak di medan jihad seperti Syria dan Palestin dengan kempen boikot kurma Iran atau boikot McDonold. Atau nikah dengan lelaki jambu ala-ala bapuk yang berambut panjang tetapi melahirkan anak seperti Salahuddin al-Ayubi ???

Allah SWT berfirman:
أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ لَا يَسْتَوُونَ عِنْدَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
'Apakah (orang-orang) yang memberi minuman orang-orang yang mengerjakan haji dan mengurus Masjidilharam kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta bejihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.' [At-Taubah:19]

Sunnatullah mesti diikut kalau mahu pengakhiran yang baik !

2. Mengisi maklumat, dakwah dan info kepada anak gadis mengikut 'keutamaan' dan keperluan

Contohnya :

- Apakah faedahnya bercerita kepada kaum muslimah tentang kisah Rabiatul Adawiyah sekiranya isteri-isteri Nabi Salallahualaihiwassalam dan sejarah para sahabat wanita pun tidak diketahui oleh anak-anak gadis muslimah ?

- Bercerita soal kebebasan wanita dan hak-hak wanita sedangkan hukum Allah dan hak Allah yang menyebabkan mereka semua dapat hak tersebut tidak diajar ?

Cakap banyak konon gadis boleh letak syarat itu ini sebelum kahwin agar suami tak kahwin lagi dan sebagainya , sedangkan si gadis itu masih buat amalan syirik, kepala otaknya penuh najis jahiliyyah yang jika berlaku perang jihad maka mereka layak dijadikan tawanan dan gundik atau hamba abdi lalu dijual di pasar-pasar.

Hak Allah belum tertunai seperti aqidah, tauhid, hukum syarak, ketaatan kepada sunnah dan kewajipan sebagai muslimah untuk taat dan patuh pada kitab Allah.

Kata Syeikh Sulaymaan al-'Alwaan, pakar hadith daripada Arab Saudi.

التوحيد إذا لم يمارسه المسلمون عملياً في حياتهم لم تثمر كلماتهم ولا كتاباتهم ولا تصوراتهم ولم يحصل لهم التمكين

'Tauhid apabila tidak dilatih dan diamalkan oleh kaum muslimin dalam hidup mereka maka ianya tidak akan membuahkan hasil pada ucapan, penulisan dan pandangan mereka dan mereka tidak akan mencapai kekuatan.'

Bina dahulu kepatuhan sebelum kamu wahai ustazah dan pendakwah nak bercakap soal kebebasan dan hak-hak muslimah !

3. Gila angka dan jumlah peserta, lebih dari ghairah mahu menghasilkan kefahaman dan kekuatan ummah

Para pendakwah banyak sungguh yang gila angka dan jumlah peserta sebab nak memastikan program balik modal atau memberi keuntungan berbanding nak melahirkan peserta yang faham dan memberi kekuatan pada ummah. Malu mereka kalau peserta sedikit dan tak jumlahnya tidak ramai.

Sedangkan dakwah nabi salallahualaihiwassalam bermula dengan bilangan yang sedikit. Allah pula berfirman,

كَمْ مِنْ فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ

"Berapa banyak yang terjadi bahawa golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar." [al Baqarah : 249].

Kalian buat satu program hadith, panggil Maulana Asri dan Dr. Asri buat kuliah tentang fiqh muslimah, aurat, keibuan dan jemput Dr. Zaharuddin Abd Rahman cerita soal tanggungjawab isteri terhadap suami lebih baik dan menyelesaikan banyak masalah rumahtangga, kes sosial dari sekadar buat program syok sendiri yang menyebabkan kalian hanya berbangga dengan penyertaan ramai wanita dari seluruh negara tetapi memberi impak buruk dan kesan negatif kepada manusia.

Banyak lagi nak cerita tetapi cukuplah disini dahulu sebagai luahan bicara...