Friday, March 01, 2013

Amalan sedekah al-Fatihah kepada orang yang mati


1. Membaca doa dan bersedekah untuk si mati InsyaAllah sampai, menurut jumhur ulama' dan sebahagian fuqaha menganggap perkara ini merupakan ijma.'

2. Di dalam hadith Muslim, terdapat sunnah mendoakan dan memberi salam kepada ahli kubur apabila melalui kawasan perkuburan dengan membaca :
السلام عليكم أهل الديار من المؤمنين والمسلمين وإنا إن شاء الله للاحقون أسأل الله لنا ولكم العافية
'Salam sejahtera ke atas kamu wahai ahli kubur, dari kalangan mukminin dan muslimin, InsyaAllah kami akan menyusul kalian, Aku berdoa kepada Allah supaya memberi keselamatan kepada kami dan kamu. [riwayat Muslim]

3. Walaubagaimanapun, perbuatan membaca al-fatihah kepada si mati atau menyedekahkan pahala bacaannya kepada si mati tidak pernah diajarkan oleh Nabi salallahualaihiwassalam dan bukan merupakan amalan para sahabat dan kaum salaf.

Tidak diriwayatkan walau satu hadith, cerita atau apa jua kisah bahawa baginda SAW dan para sahabat pernah melakukan amalan sedekah al-fatihah kepada orang mati dikalangan mereka.

Isunya bukan soal sampai tak sampai, tetapi soal tak pernah dibuat oleh Nabi SAW dan ianya masalah ibadah serta tidak boleh melakukan sesuatu yang Nabi SAW tidak buat.

4. Sedekah ialah memberikan sesuatu yang sudah kita miliki, adapun pahala bacaan al-fatihah belum tentu dimiliki oleh kita kerana boleh jadi saja ianya ditolak oleh Allah SWT kerana tidak ikhlas, tidak betul tajwid atau salah sebutan bacaan sehingga maknanya lari.

Lalu jika pahala al-fatihah itu pun belum dijamin dapat, bagaimana mahu diberikan kepada orang lain ? Kalau sedekah harta dan sesuatu milik kita maka hal tersebut sudah jelas dan sememangnya diterima oleh syarak.

5. Sunnah mengajar kita supaya membaca 'إنا لله وإنا إليه راجعون ' apabila mendengar berita kematian atau musibah dan kemudian mendoakan si mati jika dia orang yang beriman dengan membaca doa yang baik-baik seperti contohnya doa : اللهم اغفر له وأعقبنا عقبى صالحة ' Ya Allah, ampunilah dia dan gantikanlah bagi kami dengan ganti yang baik. [Riwayat Abu Daud] atau membaca doa yang masyhur dibaca ketika solat jenazah :
اللهم اغفرله وارحمه وعافه واعف عنه

6. Tiap amalan yang kelihatan baik tetapi tidak dilakukan oleh Rasul dan para sahabat pastinya tertolak atau tidak benar sebab jika ianya perkara baik sudah pasti mereka akan mendahului kita. Ini berdasarkan kata-kata Huzaifah al-Yaman RA yang menyebut :
كل عبادة لم يتعبدها أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم فلا تعبدوها
'Setiap ibadah yang tidak dilakukan oleh para sahabat Rasulullah Salallahualaihiwassalam maka janganlah kamu melakukannya.

7. Namun, jika ada yang tetap mahu berkeras melakukan amalan membaca surah al-fatihah dan menyedekahkannya kepada orang mati maka janganlah dicela atau dimusuhi mereka sebaliknya menjaga ukhuwah dan persaudaraan se-Islam itu adalah lebih utama dan lebih mulia. Daripada Jabir RA menyebut, bahawa Nabi Sallahualaihiwassalam bersabda : إِنَّ الشَّيْطَانَ قَدْ أَيِسَ أَنْ يَعْبُدَهُ الْمُصَلُّونَ فِي جَزِيرَةِ الْعَرَبِ ، وَلَكِنْ فِي التَّحْرِيشِ بَيْنَهُمْ Sesungguhnya syaitan telah berputus asa untuk disembah di jazirah Arab tetapi dia akan berusaha menanamkan bibit permusuhan dikalangan manusia. [riwayat Muslim no. 2812]

WA

No comments: