Tuesday, October 30, 2012

Nabi SAW melayani isteri-isteri baginda di waktu malam


Ibu orang yang beriman, Aisyah ra meriwayatkan :

حَدَّثَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ نِسَاءَهُ حَدِيثًا ، فَقَالَتِ امْرَأَةٌ مِنْهُنَّ : يَا رَسُولَ اللَّهِ هَذَا حَدِيثُ خُرَافَةَ . قَالَ : " أَتَدْرِينَ مَا خُرَافَةُ ؟ كَانَ رَجُلا مِنْ عَاذِرَةَ أَسَرَتْهُ الْجِنُّ فَمَكَثَ فِيهِمْ دَهْرًا ، ثُمَّ رَدُّوهُ إِلَى الإِنْسِ ، فَكَانَ يُحَدِّثُ النَّاسَ بِمَا رَأَى فِيهِمْ مِنَ الأَعَاجِيبِ ، فَقَالَ النَّاسُ : حَدِيثُ خُرَافَةَ  

Pada suatu malam, ketika Rasullah salallahualaihiwassalam bercerita kepada isteri-isteri baginda tentang suatu kisah maka mereka semua pun berteriak dengan kagum dan salah seorang dari mereka itu pun berkata,:  "Cerita itu hanyalah cerita khurafat". Maka baginda pun bertanya, : "Tahukah kalian apakah itu khurafat ? Sesungguhnya ada seorang lelaki dari suku A'zirah (satu suku di Yaman) yang ditawan oleh bangsa jin sehingga dia tinggal bersama mereka dalam waktu yang lama. Kemudian para jin itu mengembalikannya ke dunia manusia sehingga dia menceritakan kepada orang-orang tentang keanehan-keanehan yang telah dilihat olehnya di dalam di dunia jin. Maka orang-orang kemudiannya pun mula berkata,: "Itu ialah cerita Khurafat". [riwayat Ahmad dan Tirmidzi]


1.Hadith ini menjelaskan tentang baginda rasulullah salallahualaihiwassalam melayani isteri-isteri baginda dengan bercerita kepadamereka di waktu malam bagi melayani dan menghiburkan mereka. Adalah patut menjadi contoh kepada kaum lelaki di kalangan muslimin untuk menghiburkan para isteri dengan bercerita kepada mereka dan mengajar mereka perkara-perkara tentang kejadian yang berlaku di dunia sebagai ganti kepada televisyen yang penuh dengan cerita-cerita buruk.

2. Isteri-isteri rasulullah salallahualaihiwassalam biasa berkumpul beramai-ramai bersama nabi di waktu malam atau selepas insyak kerana rumah masing-masing berdekatan dan mereka selalu merasa senang berhampiran dengan suami mereka. Poligami di tanah Melayu kebanyakkannya penuh dengan sangkaan buruk dan persepsi negatif serta dilakukan dengan cara yang jahil dan gagal mengikuti sunnah nabi salallahualaihiwassalam.

Friday, October 19, 2012

Menjauhkan diri daripada orang yang melakukan 5 perkara !

Kita boleh mengambil manfaat dan duduk berkawan dengan sesiapa pun sehinggalah dia melakukan 5 perkara iaitu :

1. Pertama, mempermainkan/menghina agama sebagaimana perintah Allah ( فَلا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ ) Janganlah kamu duduk dengan mereka [An-Nisa:140]

2. Kedua ialah orang yang menipu, kerana dibimbangi kita akan turut terpengaruh den
gan penipuannya sehingga menyebabkan berlakunya perkara yang tak diingini. Lagipun nabi SAW telah bersabda ( كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع) Cukuplah seseorang itu dianggap sebagai berdusta jika dia menyampaikan semua yang dia dengar [riwayat Muslim] Dibimbangi dengan mendengar cerita-cerita dari orang yang suka menipu sedikit sebanyak maka kita akan turut terpengaruh atau menyampaikannya kepada orang lain sesuatu yang tidak benar dan boleh membawa musibah kepada agama.

3. Ketiga, apabila ada orang yang mengumpat tentang orang lain maka hendaklah kita meninggalkan majlis tersebut kerana keberkatannya sudah hilang. Ini kerana orang yang mengumpat itu sentiasa dilaknat oleh Allah SWT seperti firmanNya, "Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela." [Al-Humazah:1] Hendaklah kita menjauhkan diri daripada bergaul atau bersama dengan orang-orang yang suka mengumpat dan mencela.

4. Keempat, apabila wujud perdebatan atau pertengkaran dikalangan orang yang jahil. Sebagaimana firman Allah SWT : "Dan apabila mereka mendengar perkataan yang tidak bermanfaat, mereka berpaling daripadanya dan mereka berkata: "Bagi kami amal-amal kami dan bagimu amal-amalmu, kesejahteraan atas dirimu, kami tidak ingin bergaul dengan orang-orang jahil." [Al-Qasos :55]

5. Kelima ialah apabila ada orang mengajar tentang sesuatu yang menyelisihi sunnah. Berkata Fudhail bin Iyad ra, ' لا تجلس مع صاحب بدعة ؛ فإني أخاف أن تنزل عليك اللعنة 'Jangan duduk dengan pembuat bid'ah kerana aku khuatir kamu akan ditimpa laknat. [Kitab al-Shari’ah oleh al-Aajirri]

Thursday, October 11, 2012

50 Soal Jawab Ringkas Berkenaan Tauhid

Makluman, kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan naskah 50 Soal Jawab Ringkas Berkenaan Tauhid, sila hubungi Cik Nurzehan 03-42604213/016-2381559. Harganya RM 10, tetapi jika memerlukan bahan ini untuk urusan dakwah maka ianya boleh diberi percuma dengan syarat kos kiriman ditanggung sendiri. Maklumat lanjut sila hubungi nombor yang tertera.

Kafir kerana perbuatan dosa di sisi ASWJ

Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah golongan yang berpegang kepada al-Quran dan As-sunnah tetapi perlu diingat bahawa al-Quran dan as-sunnah itu sendiri memberi banyak tafsiran dan pendapat yang perlu diperhatikan antara yang diterima dan ditolak. Justeru itu, ahli sunnah wal jamaah itu sendiri ialah kumpulan yang di dalamnya ada orang-orang yang berselisih pendapat seperti kumpulan yang menyokong sahabat nabi Khalifah Ali ra dan kumpulan yang menyokong sahabat nabi Muawiyah ra serta mereka yang tidak terlibat dengan kedua-duanya. Mereka semua ialah ahli sunnah cuma berbeza dalam memahami kitab Allah dan sunnah rasulullah serta berbeza pada mengamalkannya dalam situasi semasa. 

Salah satu daripada kaedah yang didakwa sebagai pokok pegangan ahli sunnah wal jamaah ialah tidak mengkafirkan orang yang berbuat dosa. Tetapi benarkah kaedah ini dan apakah ianya disepakati sebagai kaedah disisi ahli sunnah ? Al-jawab kaedah ini diterima sebagai satu pegangan umum bahawa seseorang itu tidak dikafirkan kerana dosa-dosa maksiat seperti mencuri, berzina dan melakukan maksiat kepada Allah. Tetapi masih ada dosa yang boleh menyebabkan seseorang itu menjadi kafir.

Contohnya hadith nabi salallahualaihiwassalam yang menyebut : ( أن رجلا قال: يا رسول الله أيُّ الذنب أعظم؟ قال: أنْ تجعلَ للهِ نداً وهو خلقك)
 Ada seorang lelaki datang kepada rasulullah salallahualaihiwassalam dan bertanya, : Wahai rasulullah, dosa apakah yang paling besar ? Lalu dijawab oleh baginda : Kamu mengadakan sekutu bagi Allah sedangkan Dia telah menciptakan kamu. [riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

Hadith di atas jelas-jelas menyebut bahawa syirik itu termasuk dosa dan menjadi salah satu dosa yang besar maka apakah seseorang itu tidak dikafirkan kerana perbuatan syirik ?

Jadi kaedah bahawa seseorang itu tidak dikafirkan kerana perbuatan dosa tidak selalunya tepat. Ianya kaedah yang diterima tetapi pemahamannya perlu jelas bahawa bukan bermakna seseorang itu boleh berbuat dosa secara senang hati dan juga melakukan syirik kerana syirik termasuk dosa yang membuatkan seseorang itu menjadi kafir !

Ramai orang hari ini menggunakan kaedah-kaedah ahli sunnah secara bermudah-mudahan tanpa mengetahui akan maksud dan syarahannya. Lebih malang mereka menerapkan maksud-maksud yang menyalahi nash-nash serta mendakwanya sebagai ijmak (kesepakatan) para ulama sedangkan ianya adalah suatu yang sukar dicapai atau terjadi melainkan oleh urusan yang qat'ie (putus) kerana itu al-Imam Ahmad ra menyebut : (من ادّعى الإجماع فهو كذّاب، ما يُدريه لعلَّ النّاس قد اختلفوا ولم ينته إليه) Barangsiapa yang mengaku dengan sesuatu ijmak maka dia adalah pendusta. Boleh jadi para manusia (ulama) itu berselisih namun tidak sampai kepadanya (pengetahuannya). [Al-Ihkam fi usul al-Ahkam, Ibn. Hazm]

WA.