Monday, September 10, 2012

Tidak akan mencapai syurga kecuali dengan kesabaran



Imam Al-Awza'ie meriwayatkan daripada Abdullah bin Muhammad yang berkata, "Aku telah keluar untuk menjalankan tugas melakukan kawalan dan rondaan di sekitar kawasan pantai semasa operasi jihad di Areesh Misr . Apabila aku sampai di persisiran pantai tersebut maka aku mendapati ada sebuah khemah yang terletak di tengah-tengah kawasan persisiran pantai yang terbuka itu. Di dalamnya ada seorang lelaki tua yang tidak mempunyai kaki dan tangan serta dia juga mengalami kesukaran untuk melihat dan mendengar. Tidak ada suatu pun daripada anggota badannya yang bermanfaat atau boleh digunakan olehnya kecuali lidahnya yang sentiasa basah dengan zikir sambil menyebut, 'اللَّهُمَّ أَوْزِعْنِي أَن أحمدك حمدا أكافىء بِهِ شُكْرَ نِعْمَتِكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ بِهَا عَلَيَّ وَفَضَّلْتَنِي على كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْتَ تَفْضِيلا ' Ya Allah, berikanlah aku rezeki untuk memuji-Mu dengan pujian yang mencukupi untuk aku mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau kurniakan kepada-Ku dan yang Engkau telah lebihkan aku di atas kebanyakkan daripada makhluk yang engkau ciptakan.  

Lalu berkatalah Abdullah, : "Demi Allah, aku pasti akan pergi kepada lelaki ini dan bertanya kepadanya tentang ucapan yang telah dilafazkan olehnya itu. Apakah ianya kerana kefahaman atau pengetahuan atau disebabkan oleh motivasi kerana sesuatu yang menyebabkan dia mengucapkan ucapan seperti itu.

Lalu aku pun menghampiri lelaki tersebut dan memberi salam kepadanya seraya bertanya : Aku mendengar kamu berdoa dan berkata, 'Ya Allah, berikanlah aku rezeki untuk memuji-Mu dengan pujian yang mencukupi untuk aku mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau kurniakan kepada-Ku dan yang Engkau telah lebihkan aku di atas kebanyakkan daripada makhluk yang engkau ciptakan.' Jadi aku ingin tahu apakah nikmat yang telah Allah berikan kepada kamu sehingga kamu memuji Allah sedemikian itu dan apakah yang menyebabkan kamu merasa Dia (Allah) telah memilihmu di atas segala makhluk yang lain sehingga kamu merasa patut untuk memujiNya seperti itu ? 

Maka lelaki itu pun menjawab. : "Tidakkah kamu melihat apa yang telah Allah SWT lakukan? Demi Allah jika Dia mengirimkan api dari langit yang membakar aku atau mengarahkan gunung untuk menghempap aku atau pun lautan agar melemaskan aku dan juga bumi untuk menenggelamkan aku maka nescayalah aku akan binasa. Maka kerana itulah aku merasa adalah amat patut untuk aku berterima kasih dan bersyukur kepada tuhan-Ku di atas segala rahmatNya dengan lidah yang telah dia kurniakan kepadaku ini."
Kemudian orang itu pun berkata lagi, "Oleh kerana kamu sudah datang kepadaku maka aku ingin meminta bantuan dari kamu memandangkan kamu pun mengetahui keadaanku yang tidak mampu untuk membawa manfaat atau mudharat kepada diriku sendiri. Aku mempunyai seorang anak lelaki yang muda yang selalu datang kepadaku di waktu solat untuk membantukan dalam berwuduk dan juga apabila aku lapar maka dialah yang membawakan aku makanan dan menyuapkan aku begitu juga apabila aku dahaga maka dialah yang memberi aku minum. Namun sudah tiga hari dia tidak datang kepadaku dan aku bermohon kepadamu agar dapat mencarinya bagi pihakku dan semoga Allah merahmati kamu.

Aku pun berkata, : "Demi Allah, tidak ada makhluk yang menunaikan hasrat seorang hamba Allah yang besar pahalanya seperti menunaikan keperluan hajat orang seperti kamu. Maka aku pun keluar lalu mencari anak muda tersebut dan tidak jauh daripada tempat tersebut maka aku pun menjumpai sebuah bukit pasir yang padanya terdapat anak muda yang dicari olehku itu sudah mati dimakan oleh binatang buas. Maka aku pun membaca istirjaa' 'Innalillahiwa inna ilaihirajiun' dan aku pun berkata kepada diriku sendiri bagaimanakah aku akan sanggup kembali dan menghadapi lelaki tersebut dengan wajah yang lembut? Sambil aku berjalan kembali kepada orang tua tersebut maka aku pun teringatkan kepada kisah Nabi Ayubb dan apabila aku sampai kepadanya maka aku pun berkata kepadanya, : "Apakah engkau lebih mulia di sisi Allah SWT atau pun nabi Allah Ayubb as ? Maka dia pun menjawab, : "Sudah tentu Nabi Ayubb." Lalu aku pun bertanya kepadanya lagi. Apakah kamu mengetahui apa yang dilakukan oleh Allah SWT kepada nabi Ayubb? Tidakkah dia diuji dengan kekayaan, keluarga dan anak-anak ? Lelaki itu pun menjawab, : Ya. Kemudian aku pun berkata lagi, Bagaimanakah Allah mendapati nabi Ayubb setelah diuji ? Dia pun menjawab, : "Nabi Ayubb bersabar dan bersyukur serta memuji Allah."

Maka aku pun berkata kepadanya, "Budak lelaki yang disuruh oleh kamu untuk aku mencarinya itu telah mati kerana dimakan oleh binatang buas dan mayatnya aku jumpai di belakang bukit pasir yang berhampiran. Semoga Allah meningkatkan ganjarannya kepada kamu dan menambahkan kesabarannya kepada kamu. Lelaki yang diuji itu pun berkata : "Segala puji bagi Allah yang tidak menciptakan makhluk dari zuriatku yang melanggar arahanNya kerana jika tidak sudah pastilah dia akan diseksa oleh api neraka. Lelaki itu pun membaca kalimah istirjaa' (innalillahi wa inna ilaihirajiun)  sambil menarik nafas yang panjang lalu meninggal dunia. 
Aku pun berkata sesungguhnya daripada Allahlah kita datang dan kepada-Nya kita kembali. Aku merasa kesedihan yang besar tentang lelaki ini yang telah meninggal dunia dan jika aku biarkan dia maka sudah pasti mayatnya akan dimakan oleh binatang buas dan jika aku tetap berada di situ maka tidak pula aku dapat membawa apa-apa manfaat atau mudharat. Sementara aku duduk di situ menunggu dan menangis maka datanglah empat orang lelaki melalui kawasan tersebut dan bertanya kepadaku apa yang berlaku.

Maka aku pun menceritakan kisah yang telah terjadi dan mereka pun meminta aku membuka wajah lelaki itu kepada mereka. Sebaik sahaja aku membuka penutup wajah lelaki itu maka pemuda-pemuda yang berempat tadi pun segera melutut dan mencium kening matanya dan tangannya seraya berkata, : "Wahai bapa kami sesungguhnya telah lama mata engkau ini tunduk dari melihat apa yang diharamkan oleh Allah dan semoga Allah menerima kamu, wahai bapa kami telah sekian lama tubuh engkau ini sujud kepada Allah sedang manusia lainnya sedang tidur.
Maka aku pun bertanya kepada mereka tentang siapakah lelaki ini? Maka mereka pun berkata, : "Inilah Abu Qilabah al-Jurmi yang merupakan sahabat kepada Ibn Abbas ra. Dia sangat mencintai Allah dan rasulullah Salallahualaihiwassalam. Maka kami pun memandikan dan menanam jenazahnya. Setelah itu semua orang pun beredar dan pulang. Apabila tiba waktu malam maka aku pun meletakkan kepalaku dan tidur lalu bermimpi bertemu dengan lelaki tersebut di dalam taman antara tamna-taman syurga sambil memakai jubah daripada jubah-jubah ahli syurga serta membawa firman Allah SWT :  "Salam sejahtera ke atas kamu di atas segala kesabaran kamu, alangkah baiknya tempat kembali itu." [Ar-Radd : 24]

Aku pun berkata, "Bukankah kamu ini sahabatku dahulu? Maka dia pun menjawab, Ya. Kemudian aku bertanya bagaimana kamu mendapat semua anugerah ini ? Maka dia pun menjawab. Sesungguhnya di sisi Allah terdapat tingkatan yang tidak dapat dicapai melainkan dengan bersabar di atas bala ujian, bersyukur di atas kesenangan dan takut kepada Allah azzawajalla di dalam keadaan sunyi dan terang. 

[Petikan daripada IslamQa, sumber daripada Kitab at-thiqaat oleh Ibn Hibban]

No comments: