Monday, September 24, 2012

What we see and don't

Kita perlu berhati-hati dalam berkata-kata atau pun meletakkan sesuatu status pada facebook kerana boleh jadi apa yang kita pandang sebagai ringan dan kecil itu sebenarnya merupakan perkara yang berat dan besar dosanya di sisi Allah SWT.

Di dalam sebuah hadith ada menyebut :

حدثنا قتيبة بن سعيد حدثنا بكر يعني ابن مضر عن ابن الهاد عن محمد بن إبراهيم عن عيسى بن طلحة عن أبي هريرة أنه سمع رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول إن العبد ليتكلم بالكلمة ينزل بها في النار أبعد ما بين المشرق والمغرب

Yang bermaksud : "Sesungguhnya ada hamba yang mengatakan sesuatu kalimah yang tanpa disedarinya menyebabkan dia terjerumus ke dalam neraka sejauh timur dan barat. [riwayat Muslim no.5303]

Namun adakalanya perkara yang sebaliknya juga berlaku apabila kita menyangka sesuatu amalan atau perkataan yang baik itu sebagai ringan dan kecil serta tidak berharga namun ianya besar di sisi Allah SWT. Oleh yang demikian banyakkanlah berzikir, menyampaikan ilmu, tazkirah, hadith atau peringatan yang baik moga-moga ianya membawa kebaikan dan membantu kita dihari akhirat.

Mungkin apa yang ditulis kerana mencari redha Allah itu amat sedikit manusia yang menyukainya namun sebaliknya di langit sana ianya disukai oleh Allah dan para malaikat yang tidak terkira jumlahnya !

Monday, September 10, 2012

Tidak akan mencapai syurga kecuali dengan kesabaran



Imam Al-Awza'ie meriwayatkan daripada Abdullah bin Muhammad yang berkata, "Aku telah keluar untuk menjalankan tugas melakukan kawalan dan rondaan di sekitar kawasan pantai semasa operasi jihad di Areesh Misr . Apabila aku sampai di persisiran pantai tersebut maka aku mendapati ada sebuah khemah yang terletak di tengah-tengah kawasan persisiran pantai yang terbuka itu. Di dalamnya ada seorang lelaki tua yang tidak mempunyai kaki dan tangan serta dia juga mengalami kesukaran untuk melihat dan mendengar. Tidak ada suatu pun daripada anggota badannya yang bermanfaat atau boleh digunakan olehnya kecuali lidahnya yang sentiasa basah dengan zikir sambil menyebut, 'اللَّهُمَّ أَوْزِعْنِي أَن أحمدك حمدا أكافىء بِهِ شُكْرَ نِعْمَتِكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ بِهَا عَلَيَّ وَفَضَّلْتَنِي على كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْتَ تَفْضِيلا ' Ya Allah, berikanlah aku rezeki untuk memuji-Mu dengan pujian yang mencukupi untuk aku mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau kurniakan kepada-Ku dan yang Engkau telah lebihkan aku di atas kebanyakkan daripada makhluk yang engkau ciptakan.  

Lalu berkatalah Abdullah, : "Demi Allah, aku pasti akan pergi kepada lelaki ini dan bertanya kepadanya tentang ucapan yang telah dilafazkan olehnya itu. Apakah ianya kerana kefahaman atau pengetahuan atau disebabkan oleh motivasi kerana sesuatu yang menyebabkan dia mengucapkan ucapan seperti itu.

Lalu aku pun menghampiri lelaki tersebut dan memberi salam kepadanya seraya bertanya : Aku mendengar kamu berdoa dan berkata, 'Ya Allah, berikanlah aku rezeki untuk memuji-Mu dengan pujian yang mencukupi untuk aku mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau kurniakan kepada-Ku dan yang Engkau telah lebihkan aku di atas kebanyakkan daripada makhluk yang engkau ciptakan.' Jadi aku ingin tahu apakah nikmat yang telah Allah berikan kepada kamu sehingga kamu memuji Allah sedemikian itu dan apakah yang menyebabkan kamu merasa Dia (Allah) telah memilihmu di atas segala makhluk yang lain sehingga kamu merasa patut untuk memujiNya seperti itu ? 

Maka lelaki itu pun menjawab. : "Tidakkah kamu melihat apa yang telah Allah SWT lakukan? Demi Allah jika Dia mengirimkan api dari langit yang membakar aku atau mengarahkan gunung untuk menghempap aku atau pun lautan agar melemaskan aku dan juga bumi untuk menenggelamkan aku maka nescayalah aku akan binasa. Maka kerana itulah aku merasa adalah amat patut untuk aku berterima kasih dan bersyukur kepada tuhan-Ku di atas segala rahmatNya dengan lidah yang telah dia kurniakan kepadaku ini."
Kemudian orang itu pun berkata lagi, "Oleh kerana kamu sudah datang kepadaku maka aku ingin meminta bantuan dari kamu memandangkan kamu pun mengetahui keadaanku yang tidak mampu untuk membawa manfaat atau mudharat kepada diriku sendiri. Aku mempunyai seorang anak lelaki yang muda yang selalu datang kepadaku di waktu solat untuk membantukan dalam berwuduk dan juga apabila aku lapar maka dialah yang membawakan aku makanan dan menyuapkan aku begitu juga apabila aku dahaga maka dialah yang memberi aku minum. Namun sudah tiga hari dia tidak datang kepadaku dan aku bermohon kepadamu agar dapat mencarinya bagi pihakku dan semoga Allah merahmati kamu.

Aku pun berkata, : "Demi Allah, tidak ada makhluk yang menunaikan hasrat seorang hamba Allah yang besar pahalanya seperti menunaikan keperluan hajat orang seperti kamu. Maka aku pun keluar lalu mencari anak muda tersebut dan tidak jauh daripada tempat tersebut maka aku pun menjumpai sebuah bukit pasir yang padanya terdapat anak muda yang dicari olehku itu sudah mati dimakan oleh binatang buas. Maka aku pun membaca istirjaa' 'Innalillahiwa inna ilaihirajiun' dan aku pun berkata kepada diriku sendiri bagaimanakah aku akan sanggup kembali dan menghadapi lelaki tersebut dengan wajah yang lembut? Sambil aku berjalan kembali kepada orang tua tersebut maka aku pun teringatkan kepada kisah Nabi Ayubb dan apabila aku sampai kepadanya maka aku pun berkata kepadanya, : "Apakah engkau lebih mulia di sisi Allah SWT atau pun nabi Allah Ayubb as ? Maka dia pun menjawab, : "Sudah tentu Nabi Ayubb." Lalu aku pun bertanya kepadanya lagi. Apakah kamu mengetahui apa yang dilakukan oleh Allah SWT kepada nabi Ayubb? Tidakkah dia diuji dengan kekayaan, keluarga dan anak-anak ? Lelaki itu pun menjawab, : Ya. Kemudian aku pun berkata lagi, Bagaimanakah Allah mendapati nabi Ayubb setelah diuji ? Dia pun menjawab, : "Nabi Ayubb bersabar dan bersyukur serta memuji Allah."

Maka aku pun berkata kepadanya, "Budak lelaki yang disuruh oleh kamu untuk aku mencarinya itu telah mati kerana dimakan oleh binatang buas dan mayatnya aku jumpai di belakang bukit pasir yang berhampiran. Semoga Allah meningkatkan ganjarannya kepada kamu dan menambahkan kesabarannya kepada kamu. Lelaki yang diuji itu pun berkata : "Segala puji bagi Allah yang tidak menciptakan makhluk dari zuriatku yang melanggar arahanNya kerana jika tidak sudah pastilah dia akan diseksa oleh api neraka. Lelaki itu pun membaca kalimah istirjaa' (innalillahi wa inna ilaihirajiun)  sambil menarik nafas yang panjang lalu meninggal dunia. 
Aku pun berkata sesungguhnya daripada Allahlah kita datang dan kepada-Nya kita kembali. Aku merasa kesedihan yang besar tentang lelaki ini yang telah meninggal dunia dan jika aku biarkan dia maka sudah pasti mayatnya akan dimakan oleh binatang buas dan jika aku tetap berada di situ maka tidak pula aku dapat membawa apa-apa manfaat atau mudharat. Sementara aku duduk di situ menunggu dan menangis maka datanglah empat orang lelaki melalui kawasan tersebut dan bertanya kepadaku apa yang berlaku.

Maka aku pun menceritakan kisah yang telah terjadi dan mereka pun meminta aku membuka wajah lelaki itu kepada mereka. Sebaik sahaja aku membuka penutup wajah lelaki itu maka pemuda-pemuda yang berempat tadi pun segera melutut dan mencium kening matanya dan tangannya seraya berkata, : "Wahai bapa kami sesungguhnya telah lama mata engkau ini tunduk dari melihat apa yang diharamkan oleh Allah dan semoga Allah menerima kamu, wahai bapa kami telah sekian lama tubuh engkau ini sujud kepada Allah sedang manusia lainnya sedang tidur.
Maka aku pun bertanya kepada mereka tentang siapakah lelaki ini? Maka mereka pun berkata, : "Inilah Abu Qilabah al-Jurmi yang merupakan sahabat kepada Ibn Abbas ra. Dia sangat mencintai Allah dan rasulullah Salallahualaihiwassalam. Maka kami pun memandikan dan menanam jenazahnya. Setelah itu semua orang pun beredar dan pulang. Apabila tiba waktu malam maka aku pun meletakkan kepalaku dan tidur lalu bermimpi bertemu dengan lelaki tersebut di dalam taman antara tamna-taman syurga sambil memakai jubah daripada jubah-jubah ahli syurga serta membawa firman Allah SWT :  "Salam sejahtera ke atas kamu di atas segala kesabaran kamu, alangkah baiknya tempat kembali itu." [Ar-Radd : 24]

Aku pun berkata, "Bukankah kamu ini sahabatku dahulu? Maka dia pun menjawab, Ya. Kemudian aku bertanya bagaimana kamu mendapat semua anugerah ini ? Maka dia pun menjawab. Sesungguhnya di sisi Allah terdapat tingkatan yang tidak dapat dicapai melainkan dengan bersabar di atas bala ujian, bersyukur di atas kesenangan dan takut kepada Allah azzawajalla di dalam keadaan sunyi dan terang. 

[Petikan daripada IslamQa, sumber daripada Kitab at-thiqaat oleh Ibn Hibban]

Monday, September 03, 2012

Fitnah oleh pendakwah yang berwajah jelita/kacak !

Pada zaman Nabi SAW dan sahabat, orang yang berwajah cantik dan kacak disuruh menutup kecantikan mereka atau mengelak daripada menjadi fitnah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud : "Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka." Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak akan di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. " [Al-Ahzab :59]
Tetapi kita pada hari ini terbalik apabila artis yang kacak/jelita, berwajah comel lagi genit disuruh menjadi pengacara dan pendakwah di TV dan pentas awam termasuk yang berjenama agama. Sedangkan baginda nabi SAW sudah berpesan : "Barangsiapa yang mengadakan perkara baru dalam agama ini yang bukan dari kami maka ianya tertolak." [riwayat Al-Bukhari]

 
Maka pada hari ini kita mendapati penuh gambar-gambar lelaki kacak dan wanita cantik di mana-mana bersama tazkirahdan nasihat agama sedangkan hal itu amat bercanggah dengan sunnah dan ruh syariat Islam. Sabda Nabi SAW :"والعَيْنُ تَزْنِي وَزِنَاها النَّظر" Mata itu juga berzina dan zinanya ialah dengan memandang. [Al-Bukhari] Menutup aurat bukan bermakna diri si gadis cantik itu berhak ditayangkan, senyumannya,cara duduknya, lentik mata dan manjanya dirakam oleh jurugambar kemudian dijadikan poster di mana-mana.

Kata Al-Imam Ibn Taimiyyah ra dalam Majmuk Al-fatawa,
)والله سبحانه قد أمر فى كتابه بغض البصر وهو نوعان : غض البصر عن العورة . وغضه عن محل الشهوة . فالأول كغض الرجل بصره عن عورة غيره . وأما النوع الثاني من النظر كالنظر إلى الزينة الباطنة من المرأة الأجنبية ، فهذا أشد من الأول ، كما أن الخمر أشد من الميتة والدم ولحم الخنزير ، وعلى صاحبها الحد ... لأن هذه المحرمات لا تشتهيها النفوس كما تشتهى الخمر(
[Allah SWT telah memerintahkan dalam kitabNya dengan perintah supaya menundukkan pandangan dan ianya terbahagi kepada dua bahagian iaitu menundukkan pandangan daripada memandang aurat dan juga menundukkan pandangan dari melihat sesuatu yang menimbulkan ransangan syahwat. Adapun yang pertama merujuk kepada perbuatan seorang lelaki yang mengelak dari memandang aurat orang lain manakala perbuatan yang kedua ialah mengelak dari memandang perhiasan/kecantikan yang tersembunyi terdapat pada wanita yang ajnabi dan hal ini adalah lebih berat/dahsyat dari yang pertama. Seumpama beratnya arak daripada bangkai dan daging khinzir yang pelakunya berhak dikenakan hadd. Ini kerana keharaman yang lain tidaklah menggoda seperti godaan arak]

Menurut riwayat sejarah, Khalifah Umar ra pernah mengusir Nasr bin Al-Hajjaj dari Madinah kerana ketampanannya mengugat/menjadi fitnah kepada wanita. Hal ini disebutkan oleh Imam Al-Alusi dengan katanya 'كما صح أن عمر بن الخطاب رضي الله عنه غرب نصر بن حجاج إلى البصرة بسبب أنه لجماله افتتن بعض النساء به ' Telah sahih daripada Umar al-khattab ra yang mengusir Nasr bin Al-Hajjaj ke Basrah disebabkan oleh ketampanannya yang menjadi fitnah kepada sebahagian wanita. [Ruh al-Ma'ani]

Walaupun ada ahli ilmu yang menolak riwayat ini namun banyak dalil-dalil yang lain dapat menjadi hujah bahawa tidak wajar budaya hedonisme/materialistik bertopengkan agama ini dibiarkan berterusan membius dan menggoda anak-anak muda Islam dengan khayalan palsu dan melalaikan.

Sesungguhnya dakwah ialah medan yang suci mengajak manusia kepada Allah SWT, maka ianya tidak wajar menjadi medan untuk manusia mengejar populariti , mempamerkan kecantikan dan kekacakkan yang menjadi fitnah dan racun kepada jiwa anak-anak muda. 

Wallahua'laam.