Friday, August 31, 2012

Kemerdekaan menurut pandangan Islam


Kemerdekaan mempunyai makna yang banyak jika dirujuk daripada pelbagai buku dan tulisan namun secara umumnya ia bermaksud bebas daripada penjajahan dan penindasan serta memiliki hak untuk membuat keputusan sendiri. Daripada sudut pandang Islam pula kemerdekaan ialah kebebasan bagi seorang manusia untuk tunduk dan beribadah kepada tuhan-Nya tanpa halangan dan memenuhi keperluan fitrahnya serta membuat pilihan ke atas dirinya sendiri tanpa paksaan atau tekanan daripada sesiapa. Ini kerana di sisi Islam, seorang Muslim itu percaya bahawa secara fitrahnya kita semua adalah makhluk Allah SWT yang dijadikan untuk beribadah kepada-Nya sejak dilahirkan dan sepatutnya tidak patut dihalang oleh sesiapa pun untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dan memenuhi keperluan fitrah duniawi kita seperti mencari nafkah, memiliki keluarga dan hak-hak dalam kehidupan seperti keadilan dan keamanan tanpa diganggu-gugat oleh sesiapa pun. 

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud, “Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”[Ar-Rum:30] 

Kata Al-Imam Ibn Katsir dalam tafsirnya mengenai ayat ini ialah manusia secara asalnya dijadikan oleh Allah SWT untuk beribadah kepada-Nya dan setiap daripada peribadi manusia itu sudah pun diprogramkan atau dibentuk secara fitrah dan naluri untuk beribadah serta berkhidmat kepada agama dan tuhan-Nya sehinggalah datangnya Iblis dan syaitan yang menghasut manusia supaya menyeleweng dari fitrah dan kebenaran lalu mengikut hawa nafsu mereka. 

Diriwayatkan daripada Iyadh bin Himar ra yang mengatakan bahawa rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda yang bermaksud, “Allah berfirman, ‘Sesungguhnya Aku menciptakan para hamba-Ku dalam keadaan yang lurus (hanif) lalu datanglah syaitan kepada mereka dan menyesatkan mereka daripada agama mereka serta mengharamkan apa yang aku halalkan bagi mereka.’ [Hadith riwayat Muslim no. 2865]

Di dalam bahasa arab, kemerdekaan itu disebut sebagai ‘استقلال’ iaitu bersendiri dalam memiliki ketinggian, berdikari dan bangkitan daripada penindasan atau melepaskan diri daripada sesuatu ikatan. Kata Ibn Manzur di dalam Lisan Al-Arab bahawa استقلال’juga bermaksud ‘الارتفاع’ iaitu ketinggian dan memiliki sifat berdikari seperti burung-burung yang disebut oleh Allah SWT di dalam Al-Quran melalui firman-Nya, “Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dimudahkan untuk terbang diangkasa secara bebas. Tidak ada yang menahannya selain daripada Allah. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang beriman.”[Al-Nahl:79]
 
Sebagai seorang Muslim, kita diwajibkan beriman kepada Al-Quran dan as-sunnah serta mengambil pengajaran dan merujuk kepada dua sumber utama ini di dalam menilai sesuatu masalah atau perkara. Oleh yang demikian apabila kita merujuk kepada Al-Quran dan as-sunnah maka kita akan mendapati bahawa Allah SWt telah menjadikan kita sebagai hamba-hamba-Nya di atas muka bumi ini dengan tujuan untuk beribadah kepada-Nya dan bukanlah kita diciptakan secara sia-sia atau suka-suka. 

Sehubungan dengan itu, Allah SWT telah memberikan kita akal dan segala nikmat pancaindera serta sifat-sifat kemanusiaan yang dinamakan sebagai fitrah untuk membantu kita menunaikan kewajipan beribadah kepada-Nya. Hal ini diceritakan oleh Al-Quran yang menyebut, “Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab: "Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi." [Al-A’raaf:172]

Kata para ulama’ berkenaan ayat di atas ialah setiap manusia itu sebenarnya telah mengambil perjanjian disisi Allah SWT sewaktu berada di alam ruh atau dalam kandungan rahim ibu mereka untuk beribadah dan menyembah Allah SWT sebelum dilahirkan ke muka bumi ini. Namun apabila manusia itu dilahirkan maka mereka pun lupa dan lalai akan janji tersebut dan mengambil syaitan pula sebagai kawan dan teman-teman mereka sekalipun Allah SWT sudah berpesan bahawa syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kita semua.

Pada hari ini kemerdekaan disambut secara meluas dan rasmi di pelbagai Negara termasuk Negara umat Islam bagi memperingati hari kejayaan orang-orang terdahulu yang telah berusaha gigih berjuang dan berkorban untuk mendapatkan hak dan kebebasan membuat keputusan sendiri tanpa dipaksa oleh sesiapa. Kejayaan tersebut ialah merupakan sebuah kejayaan dan kemenangan yang manis serta indah untuk diraikan oleh generasi seterusnya secara bangga apabila mereka menyedari bahawa nikmat keamanan dan kejayaan Negara pada hari ini adalah merupakan hasil titik peluh dan pengorbanan darah datuk-nenek moyang mereka dahulu. 

Ini kerana kemerdekaan dibeberapa buah tempat seperti ditanah arab misalnya hanya diperolehi setelah melalui proses yang amat payah seperti terpaksa berperang dan berjihad melawan penjajah dan bangsa asing bertahun-tahun lamanya. Banyak nyawa terkorban dan ramai pula wira yang muncul sebagai pembela dan pahlawan yang jasanya dapat dikenang sepanjang zaman atas keberaniannya mempertahankan tanahair secara berprinsip dan bermaruah yang dapat dibanggakan oleh keturunannya dan generasi muda selepasnya. 

Antara tokoh kemerdekaan di tanah arab yang masih dikenang sehingga ke hari ini ialah seperti Syeikh Omar al-Mukhtar yang merupakan tokoh pejuang Libya yang berjihad menentang Itali dan kemudian dihukum gantung pada 16 September 1931.  Semangat beliau masih dirasai sampai ke hari ini apabila revolusi ditanah arab yang berlaku baru-baru ini juga turut mengangkat sepanduk dan poster gambar beliau sebagai ikutan dan teladan mereka. 

Namun ada pula Negara dan wilayah tertentu yang mendapat kemerdekaan secara tidak bermaruah dan memalukan seperti sanggup merayu dan mengampu pihak penjajah serta memberikan pelbagai hasil bumi kepada mereka sehingga mendapat kepercayaan daripada penjajah. Maka Negara seperti ini dilihat kurang meriah sambutannya akibat gagal menghasilkan semangat atau motivasi perjuangan kepada rakyat dan generasi muda mereka sehingga bahkan sebaliknya lebih membawa kesan negatif kepada anak-anak bagsa apabila mereka menjadi begitu kagum dan taksub kepada budaya penjajah dan cara hidup barat. 

Hakikatnya kemerdekaan sebenar di sisi Islam ialah apabila kita berjaya menewaskan hawa nafsu dan musuh-musuh Allah yang menghalangi manusia daripada menyembah Allah dan memenuhi fitrah sebagai hamba-Nya. Hal ini bertepatan dengan kata-kata panglima perang Islam terkenal, seorang sahabat nabi salallahualaihiwassalam yang bernama Rab’ie bin ‘Amir di hadapan angkatan tentera Parsi: “Allah yang membangkitkan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dari pengabdian sesama hamba menuju kepada pengabdian terhadap Allah, daripada kesempitan dunia kepada keluasannya (dunia dan akhirat) daripada kekejaman (penyelewengan) agama-agama yang ada kepada keadilan Islam.” [Lihat dalam Al-Bidayah Wan Nihayah oleh Ibn Katsir]

Sejarah membuktikan bahawa kekejaman banyak berlaku sebelum kedatangan Islam apabila kaum wanita ditindas, orang ramai ditekan dan dizalimi oleh pemerintah yang zalim serta masyarakat hidup dalam keadaan kegelapan akibat wujud agama-agama dan kepercayaan yang tidak memenuhi fitrah seperti mengorbankan anak perempuan atau orang tertentu untuk menghiburkan para dewa-dewi agar sungai dan tanaman mereka tidak kering, paderi atau ahli agama tidak boleh bernikah, orang cerdik-pandai tidak boleh mengkaji sains dan memiliki kebebasan berfikir dan sebagainya yang akhirnya berjaya dihapuskan apabila Islam menguasai dunia. Bukankah tamadun Islam datang kepada kita dengan membawa seribu satu macam penciptaan dan inovasi serta penemuan sains dan kemodenan ?

Agama Islam memberikan kebebasan kepada manusia membuat pilihan dan mengajar kita agar bertanggungjawab dan memikul sendiri akibat daripada sesuatu keputusan yang dipilih oleh diri kita. Ini dibuktikan dengan firman Allah SWT yang bermaksud, “Tidak ada paksaan dalam (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat.”[Al-Baqarah:256]

Islam ditegakkan dengan hujah dan dakwah yang jelas sehingga manusia dapat membuat pilihan mereka sendiri dengan akal yang waras dan terbuka. Jihad pula hanya dilakukan sebagai usaha untuk membela keadilan dan mempertahankan umat Islam yang ditindas dan dizalimi oleh musuh-musuh Islam yang tidak redha kepada agama Allah SWT dan merasa sakit hati dengan kemuliaan dan kesempurnaan syariat Islam seperti firman-Nya, “Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justeru) menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang kafir itu membencinya. Dia-lah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama yang lain sekalipun orang-orang musyrik itu merasa benci.”[As-soff:8-9]

Manusia apabila tiada agama maka yang menyelamatkan mereka buat sementara waktu ialah nilai kemanusiaan atau disebut sebagai fitrah tanpanya maka akan habislah kita semua dibaham oleh sifat kebinatangan dan undang-undang rimba yang kuat berkuasa dan yang lemah menjadi mangsa.
Tanpa agama hanya kemanusiaanlah yang berupaya menyelamatkan kita buat sementara waktu. Kerana itu apabila datangnya Islam maka ramailah orang berbondong-bondong memeluk Islam kerana mereka mendapati bahawa pada ajaran agama ini terdapat nilai kemanusiaan dan keadilan yang mampu memenuhi keperluan fitrah manusia.

Tidakkah kita masih ingat bagaimana berlakunya peristiwa penaklukan kota Mekah apabila baginda salallahualahiwassalam langsung tidak berdendam dan membalas kejahatan penduduknya yang pernah mengusir baginda dan umat Islam suatu ketika dahulu sebaliknya nabi salallahualaihiwassalam memaafkan mereka dan menenangkan penduduk Mekah bahawa hak dan keselamatan mereka akan terjamin.

Firman Allah swt :  “Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan  dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.” [An-Nashr:1-3]

Malangnya pada hari ini walaupun kita telah dipermudahkan oleh Allah SWT untuk menjadi Muslim melalui ibubapa kita namun kita masih gagal untuk memahami isi kandungan Al-Quran dan tidak boleh mengetahui maksudnya kerana tidak bersungguh-sungguh mahu mempelajari dan memahami syariat Islam. 

Sedangkan baginda salallahualaihiwassalam telah bersabda: “Al-Quran itu hujah bagi kamu dan hujah ke atas kamu.”[ Hadis Sahih, riwayat Muslim no.223] Tanpa panduan al-Quran dan as-sunnah maka kita pun menjadi seperti manusia yang awal sebelum Islam apabila golongan yang kuat terus menindas yang lemah tanpa mempedulikan balasan dan akibat pada hari akhirat. 

Hari ini pada setiap tahun kita menyambut kemerdekaan dengan mengadakan pelbagai acara dan perhimpunan bagi meraikan dan mengingati sejarah kebebasan tanahair kita daripada cengkaman penjajah. Namun hal itu semua adalah tidak bererti selagi mana umat Islam tidak mengangkat Al-Quran dan as-sunnah untuk diletakkan pada kedudukan yang sepatutnya iaitu sebagai dustur(perlembagaan) dan juga rujukan yang utama kerana Allah SWT telah berfirman : Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidaklah beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerimanya dengan sepenuhnya.”[An-Nisa:65]

Selain daripada itu umat Islam juga wajib berusaha menegakkan keadilan dan melaksanakan amanah yang diperintahkan oleh Allah SWT terhadap manusia dengan memenuhi hak-hak masyarakat dan rakyat seperti membantu golongan yang susah, menolong orang yang tertindas dan menghukum mereka yang bersalah serta melakukan kejahatan. Firman Allah SWT :” Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika mereka kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran.”[An-Nisa:135]

Tanpa keadilan dan pembelaan terhadap orang susah dan golongan yang tertindas maka kemerdekaan hanyalah sebuah penipuan atau permainan sorak yang tidak mempunyai apa-apa erti atau makna di sisi agama. Ini kerana perbezaan diantara orang-orang Islam dan bukan Islam pada zaman dahulu dari sudut penaklukan dan pembukaan wilayah-wilayah baru ialah kedatangan Islam membawa keadilan, tamadun, perkembangan ilmu dan keamanan berbeza dengan penjajah-penjajah yang bukan daripada golongan Islam yang menawan dan membunuh penduduk asal sesuatu tempat lalu menjarah hasil bumi dan kekayaan sumber alam yang terdapat disitu untuk dibawa balik ke Negara asal mereka seperti yang pernah berlaku di Afrika dan pelbagai tempat.

Tanpa mendokong isi kandungan dan ajaran Al-Quran serta menunaikan tuntutan sunnah nabi sallallahualaihiwassalam di dalam kehidupan sebagai seorang Muslim maka kemerdekaan adalah tiada erti dan hanya membawa pembaziran dan penghinaan kepada agama. Tambahan pula pada hari ini Negara-negara umat Islam menduduki antara tangga yang tertinggi dalam indeks rasuah seluruh dunia dan penuh dengan penyelewengan kuasa, penindasan dan korupsi berbanding Negara-negara bukan Islam yang lain sedangkan perbuatan rasuah itu amatlah dicela oleh Islam berbanding agama-agama lain apabila rasulullah salallahualaihiwassalam sendiri melaknat pemberi dan penerima rasuah. [Hadith riwayat Tirmidzi] 

Kesimpulannya Islam menuntut umatnya supaya berusaha memerdekakan diri  mereka daripada pengaruh syaitan dan juga hawa nafsu serta kembali bebas dan menguasai akal fikiran dan jiwa mereka daripada penjajahan kuffar serta budaya hidup musuh-musuh Allah. Tidak ada gunanya jika kita meraikan sambutan hari kemerdekaan daripada cengkaman penjajahan di dalam Negara kita tetapi pada masa yang sama baju, pakaian, seluar dan juga penampilan kita sendiri pun tidak ada bezanya dengan apa yang dipakai oleh pihak penjajah. Daripada Abdullah bin Umar ra, bahawa nabi Salallahualaihiwassalam bersabda : “Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum maka dia termasuk daripada kalangan mereka.” [riwayat Ahmad dan Abu Daud]

Islam tidaklah melarang kita memakai pakaian yang cantik dan baik serta menutup aurat dan tidak pula berdosa memakai pakaian yang diperbuat oleh bangsa penjajah cumanya apa yang dimaksudkan oleh hadith nabi salallahualaihiwassalam ialah menyelisihi mereka di dalam cara hidup, budaya dan cara berfikir mereka yang berlandaskan kesenangan duniawi semata-mata. Namun itulah yang sedang menjadi bebanan pada umat Islam hari ini apabila anak-anak muda kita mula menjadikan bangsa penjajah sebagai idola mereka dan menuruti gaya hidup bebas dan tanpa panduan atau pedoman seolah-olah jika dipandang dari sudut zahir dan luaran mereka bukan lagi seorang Islam. 

Maka kemerdekaan perlulah disambut dengan menurut panduan Islam dan membezakan diri kita daripada pihak penjajah serta golongan yang menyalahi Islam serta kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Ini kerana Amirul Mukminin Umar al-Khattab ra, pernah berpesan : “Kita dahulunya adalah kaum yang hina tetapi Allah telah memuliakan kita dengan agama Islam, maka sekiranya kita mencari kemuliaan selain daripada apa yang telah Allah muliakan kita dengannya maka kita pasti akan dihina oleh Allah.” [riwayat Hakim di dalam Al-Mustadrak] 

1 comment:

PEMINAT BISKUT said...

ALHAMDULILLAH,
T.KASIH KEPADA USTAZ EMRAN , DIATAS PERINGATAN.