Monday, May 14, 2012

Kisah Umar ra dileteri isterinya tidak sahih !


Disebutkan dalam banyak buku, ceramah dan tulisan berkenaan keperluan suami bersabar terhadap isteri dengan mengambil dalil daripada kisah Amirul Mukminin Umar ra yang masyhur yang membiarkan dirinya dileteri oleh isterinya sedangkan ianya palsu dan menyalahi sunnah. 

Kisah ini berasal dari Kitab Tanbihul Ghafilin bi Ahaditsi Sayyidil Anbiya’ wal Mursalin yang ditulis oleh Imam Abu Laits As-Samarqandi ra (meninggal 373 Hijrah)

حُكِيَ أَنَّ رَجُلًا جَاءَ إلَى عُمَرَ يَشْكُو إلَيْهِ خُلُقَ زَوْجَتِهِ فَوَقَفَ بِبَابِهِ يَنْتَظِرُهُ فَسَمِعَ امْرَأَتَهُ تَسْتَطِيلُ عَلَيْهِ بِلِسَانِهَا وَهُوَ سَاكِتٌ لَا يَرُدُّ عَلَيْهَا فَانْصَرَفَ الرَّجُلُ قَائِلًا إذَا كَانَ هَذَا حَالَ أَمِيرِ الْمُؤْمِنِينَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ فَكَيْفَ حَالِي فَخَرَجَ عُمَرُ فَرَآهُ مُوَلِّيًا فَنَادَاهُ مَا حَاجَتُك يَا أَخِي فَقَالَ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ أَشْكُو إلَيْك خُلُقَ زَوْجَتِي وَاسْتِطَالَتَهَا عَلَيَّ فَسَمِعْتُ زَوْجَتَكَ كَذَلِكَ فَرَجَعْت وَقُلْت إذَا كَانَ هَذَا حَالَ أَمِيرِ الْمُؤْمِنِينَ مَعَ زَوْجَتِهِ فَكَيْفَ حَالِي فَقَالَ لَهُ عُمَرُ إنَّمَا تَحَمَّلْتُهَا لِحُقُوقٍ لَهَا عَلَيَّ إنَّهَا طَبَّاخَةٌ لِطَعَامِي خَبَّازَةٌ لِخُبْزِي غَسَّالَةٌ لِثِيَابِي رَضَّاعَةٌ لِوَلَدِي وَلَيْسَ ذَلِكَ بِوَاجِبٍ عَلَيْهَا وَيَسْكُنُ قَلْبِي بِهَا عَنْ الْحَرَامِ فَأَنَا أَتَحَمَّلُهَا لِذَلِكَ فَقَالَ الرَّجُلُ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ وَكَذَلِكَ زَوْجَتِي قَالَ فَتَحَمَّلْهَا يَا أَخِي فَإِنَّمَا هِيَ مُدَّةٌ يَسِيرَةٌ

Ringkasnya ia berkenaan seorang lelaki yang datang mahu mengadu tentang hal ehwal isterinya kepada Umar ra lalu apabila sampai di hadapan rumah Umar maka dia mendapati Umar sendiri pun menghadapi masalah yang sama. Apabila dia hendak pulang kerana tidak jadi mengadu maka Umar pun memanggilnya dan terjadilah bicara yang masyhur di atas iaitu Umar ra bersabar dengan isterinya kerana terhutang budi pada sang isteri yang telah memenuhi keperluannya, makan-minumnya dan menyusukan anak-anaknya. Lalu lelaki itu pun berkata demikianlah isterinya juga dan bermaksud mahu bersabar sahaja terhadap perangai buruk isteri masing-masing.

Pertamanya riwayat di atas adalah palsu dan tidak sahih disandarkan kepada  Khalifah Umar al-khattab ra. Kisah ini disebutkan tanpa sanad dan asal yang boleh dijadikan sebagai hujah. Statusnya adalah sekadar hikayat cerita dan tidak boleh dibuat modal ceramah kerana menyalahi etika yang diajarkan sunnah yang mengalakkan isteri menjaga hati suami dan beradab dihadapan mereka.

Berhubung kitab Tanbihul Ghafilin ini, ianya banyak meriwayatkan kisah-kisah yang dhaif lagi palsu seperti yang dinukilkan daripada Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah ra dan Imam Adz-zahabi ra.

Keduanya kisah ini bertentangan dengan pelajaran dari kisah Nabi Allah Ibrahim as yang menyuruh nabi Ismail as menceraikan isterinya yang buruk akhlak.  Seterusnya dalam riwayat yang sahih menyebutkan bahawa Saidina Umar ra pernah memarahi isterinya dan mengingkari perbuatan isterinya yang berleter dan menjawab kepadanya. 

وَكُنَّا مَعْشَرَ قُرَيْشٍ نَغْلِبُ النِّسَاءَ ، فَلَمَّا قَدِمْنَا عَلَى الْأَنْصَارِ إِذَا قَوْمٌ تَغْلِبُهُمْ نِسَاؤُهُمْ فَطَفِقَ نِسَاؤُنَا يَأْخُذْنَ مِنْ أَدَبِ نِسَاءِ الْأَنْصَارِ ، فَصَخِبْتُ عَلَى امْرَأَتِي فَرَاجَعَتْنِي فَأَنْكَرْتُ أَنْ تُرَاجِعَنِي ، قَالَتْ : وَلِمَ تُنْكِرُ أَنْ أُرَاجِعَكَ فَوَاللَّهِ إِنَّ أَزْوَاجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيُرَاجِعْنَهُ وَإِنَّ إِحْدَاهُنَّ لَتَهْجُرُهُ الْيَوْمَ حَتَّى اللَّيْلِ ، فَأَفْزَعَنِي ذَلِكَ ، وَقُلْتُ لَهَا : قَدْ خَابَ مَنْ فَعَلَ ذَلِكِ مِنْهُنَّ رقم الحديث: 4913/4819

Apabila isterinya mempertahankan tindakannya dengan berkata para isteri rasulullah pun meninggi suara terhadap baginda maka Umar ra pun menjawab : "Sungguh rugi orang yang melakukan perkara tersebut di kalangan mereka.” (Hadis riwayat Bukhari no. 4913 dan Muslim no. 1479)

Kemudiannya Umar ra pergi memarahi anaknya Hafsah (isteri rasulullah) dan menegur mereka !

Meleteri suami dan menyakitkan hatinya ialah haram. 

Thursday, May 10, 2012

Gadis idamannya, dinikahi oleh sahabat karib !


Keimanan itu adalah terletak di dalam hati dan kita tak mungkin mengetahuinya melainkan dari ciri-ciri yang digambarkan oleh wahyu dan sunnah rasulullah. Salah satu di antara ciri-ciri itu ialah mencintai dan membenci kerana Allah SWT.

Sabda nabi SAW : “Sesiapa yang mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah dan menolak kerana Allah, maka sesungguhnya telah sempurnalah imannya.” (hadith riwayat Abu Daud)

Teladan ini ditunjukkan kepada kita oleh para sahabat nabi SAW yang merupakan sebaik-baik umat dan merupakan generasi Al-Quran yang terpilih. Antaranya apa yang diriwayatkan berkenaan kisah sahabat yang bernama Salman Al-Farisi radiallahuanhu.


حَدَّثَنَا سُلَيْمَانُ بْنُ أَحْمَدَ ، حَدَّثَنَا مُعَاذُ بْنُ الْمُثَنَّى ، حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ سَوَّارٍ ، حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ سَلَمَةَ ، حَدَّثَنَا ثَابِتٌ الْبُنَانِيُّ ، أَنَّ أَبَا الدَّرْدَاءِ ، ذَهَبَ مَعَ سَلْمَانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَخْطُبُ عَلَيْهِ امْرَأَةً مِنْ بَنِي لَيْثٍ ، فَدَخَلَ فَذَكَرَ فَضْلَ سَلْمَانَ وَسَابِقَتَهُ وَإِسْلامَهُ ، وَذَكَرَ أَنَّهُ يَخْطُبُ إِلَيْهِمْ فَتَاتَهُمْ فُلانَةً ، فَقَالُوا : أَمَّا سَلْمَانُ فَلا نُزَوِّجُهُ ، وَلَكِنَّا نُزَوِّجُكَ ، فَتَزَوَّجَهَا ثُمَّ خَرَجَ ، فَقَالَ : إِنَّهُ قَدْ كَانَ شَيْءٌ ، وَإِنِّي أَسْتَحِي أَنْ أَذْكُرَهُ لَكَ ، قَالَ : وَمَا ذَاكَ ؟ فَأَخْبَرَهُ أَبُو الدَّرْدَاءِ بِالْخَبَرِ ، فَقَالَ سَلْمَانُ : " أَنَا أَحَقُّ أَنْ أَسْتَحِي مِنْكَ أَنْ أَخْطُبَهَا ، وَكَانَ اللَّهُ تَعَالَى قَدْ قَضَاهَا لَكَ " .( رقم الحديث: 657)

Beliau (Salman Al-Farisi ra) pernah berhasrat untuk meminang seorang anak gadis dari Bani Laits maka Salman pun mengutuskan seorang sahabat yang lain bernama Abu Darda ra untuk menjadi wakilnya dan bertemu dengan pihak perempuan. Takala berada dengan pihak perempuan maka Abu Darda ra pun berusaha sedaya upaya menceritakan kelebihan Salman dan kebaikannya dalam Islam. Malangnya pinangan Salman itu tetap ditolak oleh pihak perempuan  namun mereka kemudian menawarkan pula Abu Darda untuk menikah dengan gadis tersebut.  Maka bernikahlah Abu Darda ra dan kemudian keluar menuju kepada Salman dalam keadaan malu kepadanya.

Maka Salman pun bertanya kepada Abu Darda ra apa yang telah berlaku. Lalu Abu Darda pun menceritakan kesemuanya kepada Salman dan berkatalah Salman dengan tenang sambil berusaha memujuk sahabatnya Abu Darda yang berasa malu kepadanya dengan berkata, sepatutnya akulah yang berasa malu terhadap kamu kerana aku telah meminang perempuan itu sedangkan Allah ta’ala telah menyediakannya untuk engkau.

Dalam riwayat yang lain menyebutkan bahawa Salman ra bahkan menghadiahkan kepada Abu Darda ra mahar yang dikumpulkan olehnya sebelum ini kepada Abu Darda ra sebagai hadiah perkahwinan sahabatnya.

Kisah ini dinukilkan dari Kitab Hilyah Al-Awliya’ wa tabaqat Al-Asfiya’ karya Imam Abi Nuaim rahimahullah.

Salman ra menunjukkan contoh yang indah kepada kita bahawa ukhuwah itu adalah lebih bernilai dari harta mahupun wanita. Kerana ianya didasari oleh Iman dan taqwa kepada Allah SWT.

Tiada dendam, tiada cemburu mahupun dengki terhadap sahabat yang berhasil menikahi gadis yang diidamkan-idamkan. Ini kerana mereka menyedari bahawa dunia ini hanyalah sementara dan merupakan ujian kepada orang yang beriman. 

Segala puji hanyalah bagi Allah SWT