Firman Allah SWT : “Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dilakukannya pada hari esok.” (Luqman : 34)
Dunia bukanlah terlalu luas sehingga mustahil untuk kita saling tidak bertemu muka dengan bekas kekasih lama.
Pejam celik masa berlalu pantas tetapi dunia semakin mengecil dan menyempit sehingga kadang-kadang kita terpaksa berjiran dengan bekas kekasih atau kawan lama yang terputus.
Ramai orang tidak tahu apa yang harus dilakukan jika bertemu dengan bekas kekasih, bekas tunang, bekas pakwe, atau bekas girlfriend yang suatu ketika dahulu begitu mesra dan akrab.
Makan sepinggan, minum secawan bahkan ada yang lebih daripada itu.
Apa yang harus dilakukan ?
Melarikan diri atau mengelak dari terus bertemu ? Mengelak dari bercakap atau bertentang mata ?
Bagaimana jika bekas kekasih lama itu rakan sekerja dan bersama-sama menghuni kawasan perumahan kondominium yang sama atau kebetulan menaiki bas atau lift yang sama ?
Baiklah, berikut ialah panduan untuk anda menghadapi bekas kekasih lama menurut panduan Islam setakat yang mampu saya catatkan.
1. Jangan takut menghadapi kesilapan lalu
Pertama sekali apabila ternampak kelibat bekas kekasih atau rakan lama yang pernah mempunyai hubungan rapat dan mesra dengan kita suatu ketika dahulu maka hendaklah kita jangan melarikan diri.
Ramai orang mengambil jalan mudah dengan melarikan diri dan mengelak dari dihantui rasa bersalah tetapi kemudiannya menderita akibat tekanan perasaan dan gangguan syaitan yang mempergunakan kisah-kisah lama untuk menghalang kita daripada maju ke depan dan menjadi hamba Allah SWT yang lebih baik.
Setiap orang pernah berbuat silap !
Tidak ada manusia yang bersih daripada kesilapan dan dosa kecuali rasul-rasul Allah SWT dan mereka sendiri sebagai manusia pun pernah berbuat silap dan ditegur oleh Allah SWT.
Bertaubatlah kepada Allah SWT atas dosa-dosa kita dan hadapilah ia dengan tabah dan berani serta yakin kepada rahmat dan kasih sayang Allah SWT !
Allah tidak akan mempersia-siakan taubat orang yang ikhlas mahu membersihkan diri kepadaNya !
Firman Allah SWT : “Sesungguhnya taubat di sisi Allah ialah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (An-Nisa : 17)
Oleh yang demikian apabila ternampak bekas kekasih atau melihatnya di suatu tempat, buat seperti biasa dan teruskan urusan anda tanpa perlu takut atau bimbang dan jauh sekali melarikan diri atau mengelak.
Serahkan kepada Allah SWT bahawa kejadian ini pasti ada hikmah dan teladannya. Seterusnya bacalah doa isti'azah (meminta perlindungan Allah SWT daripada syaitan) di dalam hati atau secara perlahan dengan menyebut :
اعوذباالله من الشيطان الرجيم
“ Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam.”Sesungguhnya meminta perlindungan daripada Allah terhadap segala keburukan dan kejahatan merupakan kewajipan kepada setiap muslim. Bahkan ianya termasuk perkara ibadah dan penghambaan seseorang kepada Allah dengan menjadikan Allah sebagai pelindung dan tempat memohon segala sesuatu.
2. Buktikan kita telah berubah dengan berani menampilkan diri
Tanda seseorang itu berubah ialah dia berani untuk menampilkan dirinya kepada orang lain dan tidak takut dengan celaan dan umpatan manusia kerana dia benar-benar mahu berubah dan tidak peduli dengan apa yang orang akan kata.
Kalau dahulu “free hair” , berambut “blonde” tetapi kini sudah bertudung dan berbaju kurung maka jangan malu menampilkan diri anda yang baru sekalipun mungkin akan mengundang kecaman dan celaan atau kritikan daripada mereka yang pernah rosak atau sezaman dengan diri anda yang dahulu.
Beranilah kerana benar !
Kita adalah peribadi yang baru dengan diri dan azam yang baru. Hadapi bekas kekasih jika dia berada di hadapan kita atau di sisi kita dengan penuh keyakinan bahawa dia sedang bertemu dengan seseorang yang telah bertaubat, telah berubah dan telah menjadi manusia yang menyerah diri kepada Allah SWT dan mahu menjadi seorang hamba yang berbakti kepada agamanya.
Daripada Abu Musa Abdullah bin Qais al-Ash’ari RA, daripada Nabi SAW sabdanya : “Sesungguhnya Allah Taala membentangkan tangan-Nya (sebagai kemurahan-Nya menerima taubat) pada waktu malam untuk menerima taubat orang yang telah melakukan dosa pada waktu siang, dan membentangkan tangannya (kemurahannya untuk menerima taubat) pada waktu siang untuk menerima taubat orang yang melakukan dosa pada waktu malam. Keadaan ini berterusan sehinggalah terbitnya matahari dari sebelah barat.” (hadith riwayat Muslim)
3. Tegur jika perlu dan tunjukkan akhlak yang baik
Jangan sombong atau mendiamkan diri tanpa keperluan jika keadaan memaksa atau mendorong kita untuk bercakap dan bertegur sapa dengannya. Anda boleh dan diizinkan oleh syarak untuk menegurnya dengan memberi salam yang baik dan bertanya sapa sekadar perlu.
Firman Allah SWT : “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.” (An-Nahl : 90)
Islam ialah agama yang mementingkan akhlak yang baik.
Buktikanlah diri anda sudah berubah dengan mempamerkan akhlak yang baik moga-moga jika dia telah berubah maka sebuah ukhuwah yang Islamik dan mulia dapat terhasil dan jika dia masih dalam perangai lama atau dalam kesesatan maka dia akan tersedar dan terpengaruh untuk turut berubah menjadi lebih baik dengan melihat akhlak kita.
4. Mendoakan bekas kekasih
Doa ialah suatu ibadah yang mulia dan mudah dilakukan. Ianya juga adalah sedekah yang paling mudah dibuat oleh seseorang. Jangan kedekut untuk berdoa dan mendoakan bekas kekasih agar dia mendapat kebaikan dan diberikan oleh Allah SWT dengan petunjuk atau hidayah seperti yang kita perolehi.
Firman Allah SWT : “Dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema'afkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Ali-Imran : 134)
Biarlah betapa pahit pun kenangan yang dilalui bersama-sama dahulu sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat dan Maha Pengasih.
Mendoakan bekas kekasih bermaksud kita sebenarnya telah berjaya memaafkan kesalahan diri kita sendiri dan mampu menghadapi peristiwa lalu dengan ketabahan dan kekuatan jiwa yang kuat.
5. Mengelak dari menjalin hubungan atau komitmen yang tidak perlu
Elakkan apa yang tidak perlu seperti berbual kosong atau berbual dalam perkara yang tidak wajar atau perkara-perkara yang sensitif dan melampaui batasan normal. Juga tidak perlu melayan kerenah bekas kekasih seperti menyuruh kita mengingati kisah lama atau menyatakan perasaan kita sekarang terhadap dirinya atau memberikan dia harapan atau komitmen terhadap pertemuan tersebut.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Antara ciri kebaikan Islam seseorang ialah dia meninggalkan apa yang tidak perlu baginya.” (hadith riwayat Tirmidzi)
Anggapan pertemuan itu ialah suatu ujian dan cubaan daripada Allah SWT untuk melihat apakah kita benar-benar telah berubah dan bersedia menghadapi kesilapan lalu dengan jiwa yang lebih tabah dan bersedia untuk berubah menjadi lebih baik.
6. Kesilapan lalu bukan penghalang kita untuk membina hidup baru
Ingatlah apa yang penting ialah bukan bagaimana kita bermula tetapi ialah bagaimana kita akan berakhir. Semua orang dilahirkan dalam keadaan fitrah tetapi berapa ramai yang akhirnya meninggalkan dunia ini dengan kebaikan dan fitrah yang bersih ?
Tidak penting siapa kita ini dahulu apakah seorang samseng jalanan atau pelacur murahan tetapi apa yang penting ialah siapa diri kita pada hari ini dan apa yang akan terjadi kepada diri kita pada hari esok !
Firman Allah SWt : “Dan orang-orang yang bertaubat dan mengerjakan amal soleh, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya.” (Al-Furqan : 71)
Tetapkan hati dan jiwa kita untuk beriman dan percaya kepada Allah SWT dan berusaha memperbaiki diri menjadi seseorang yang lebih baik daripada dahulu tanpa perlu lagi memandang ke belakang.
Majukan langkah ke hadapan dengan penuh keyakinan dan ketabahan !
7. Apa yang penting pilihan kita hari ini !
Kita ialah apa yang kita pilih untuk jadi. Jika kita memilih untuk menjadi seorang yang beriman dan bertaqwa maka kita adalah apa yang kita pilih. Oleh yang demikian apa yang penting ialah pilihan kita dan keberanian kita untuk meneruskan langkah ke hadapan.
Kehidupan tidak pernah mudah.
Firman Allah SWT : “Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwal dirimu.” (Muhammad : 31)
Kehidupan ini memang diciptakan oleh Allah SWT untuk menguji kita dan menghancurkan hati-hati kita agar menyerah kalah dan kecewa serta rebah.
Tetapi kita diberi pilihan oleh Allah SWT untuk meneruskan perjalanan dan untuk memilih tidak mengaku kalah dan bangkit semula daripada kegagalan dan kekalahan !
Firman Allah SWT : “Tetapi Allah hendak menguji sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain. Dan orang-orang yang syahid pada jalan Allah, Allah tidak akan mensia-siakan amalan mereka.” (Muhammad : 4)
Apa yang penting bukanlah sekuat mana kita diuji tetapi sekuat mana kita tahan diuji. Ketahanan dan ketabahan untuk tidak mengaku kalah dan bangkit daripada kesilapan lalu untuk memperbaiki kehidupan yang akan datang adalah bukti kita benar-benar beriman kepada janji-janji Allah SWT untuk mereka yang percaya kepada hari akhirat dan syurga yang indah.
Jangan mengaku kalah kepada kenangan lama !
9 comments:
mohon share
Silakan...
mohon share...
mohon share....
Nice info. Mohon share
ustaz, mohon share.
Hai pandangan yang anda tahu ada mantra untuk memenangi cinta kembali dari bekas. Saya sudah melakukannya. Saya suka membaca tentang hubungan dan cara membuatnya berfungsi, bagaimana untuk memperbaiki hubungan, dan bagaimana untuk menjaga kehidupan percikan api, walaupun cara bercakap dengan mereka cara tertentu untuk membuat mereka berfikir cara yang berbeza tentang keadaan dan anda. Jika anda memerlukan nasihat atau mahu memenangi semula bekas anda, cubalah ini: augusmimi789@gmail.com salinan dan mesej yang berikut (augusmimi789@gmail.com) Ia akan mengubah mentaliti anda dan mendapatkan apa yang anda mahu.
Hai pandangan yang anda tahu ada mantra untuk memenangi cinta kembali dari bekas. Saya sudah melakukannya. Saya suka membaca tentang hubungan dan cara membuatnya berfungsi, bagaimana untuk memperbaiki hubungan, dan bagaimana untuk menjaga kehidupan percikan api, walaupun cara bercakap dengan mereka cara tertentu untuk membuat mereka berfikir cara yang berbeza tentang keadaan dan anda. Jika anda memerlukan nasihat atau mahu memenangi semula bekas anda, cubalah ini: augusmimi789@gmail.com salinan dan mesej yang berikut (augusmimi789@gmail.com) Ia akan mengubah mentaliti anda dan mendapatkan apa yang anda mahu.
Tbaik
Post a Comment